Memaparkan catatan dengan label NABI HARUN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NABI HARUN. Papar semua catatan

Ahad, 27 Januari 2019

Kisah Nabi Harun a.s


ARKIB : 08/03/2011
HARUN adalah abang kandung Nabi Musa. Kisahnya dalam al-Quran selalu disebut bersama dengan kisah adiknya itu. Baginda mendampingi Nabi Musa menemui Firaun untuk meminta agar Firaun melepaskan Bani Israil daripada perhambaan.

Mereka menyampaikan wahyu daripada Allah kepada raja Mesir itu dan mengingatkannya serta meluruskan jalan hidupnya yang melampaui batas (tidak rela melepaskan Bani Israel daripada perhambaan) serta menyimpang daripada ajaran Allah SWT.

Dengan lemah lembut, Musa dan Harun menghadapi keangkuhan Firaun yang mengaku dirinya Tuhan. Akhirnya, Musa dan Harun berjaya membawa keluar Bani Israil dari Mesir.

Ketika sampai di sekitar Gunung Sinai, Nabi Musa meninggalkan Bani Israel selama 40 hari untuk menemui Tuhan di puncak Gunung Sinai.

Harun ditugaskan menjaga kaumnya. Baginda sempat mengingatkan mereka agar tidak menyembah berhala lagi.

Ketika Musa masih berada di Gunung Sinai, Harun mendatanginya.

Setelah mendapatkan tugas dan perintah daripada Allah SWT, kedua-duanya segera berangkat ke Mesir. Dengan ketabahan dan keteguhan iman, mereka menemui Firaun di istananya.

Dalam pertemuan itu, Nabi Musa menyampaikan wahyu Allah SWT kepada Firaun dan meminta agar Firaun membebaskan Bani Israel daripada perhambaan.

Harun memiliki kemampuan berbahasa lebih fasih daripada adiknya. Oleh hal demikian itu, Musa memohon kepada Allah SWT agar mengutuskan Harun mendampinginya menemui Firaun. Permohonan itu bermaksud untuk membenarkan kata-kata yang disampaikan Musa, kerana baginda khuatir Firaun tidak mahu menerima kata-katanya.

Harun diangkat oleh Allah SWT menjadi nabi dan rasul untuk membantu tugas kerasulan Nabi Musa a.s.

Ketika hendak mendatangi Firaun, mereka diperintahkan oleh Allah agar mengaku sebagai utusan Allah kepada Firaun. Mereka menghadap Firaun dengan membekalkan bukti-bukti kerasulan mereka daripada Allah.

Bani Israel menyembah patung lembu yang diperbuat daripada emas dan melupakan Tuhan ketika Musa berada di puncak Gunung Sinai untuk bertemu Tuhan. Harun tidak berdaya menggalas tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Nabi Musa.

Ketika hendak menerima wahyu Allah SWT di Gunung Sinai, Harun diserahkan untuk memikul amanah oleh Musa untuk memimpin Bani Israel. Selama ditinggalkan oleh Musa, kaumnya membuat kekacauan.

Dalam suasana itu, muncul Samiri yang mengaku layak menjadi pemimpin Bani Israil. Dia membuat patung anak lembu emas sebagai sembahan. Melihat kaumnya yang kufur itu, Harun berusaha mengingatkan akan kesesatan mereka. Baginda berusaha menghentikan kekufuran kaumnya, namun hati mereka benar-benar keras.

Setelah pulang dari Gunung Sinai, Musa marah kepada kaumnya dan menegur abangnya, Harun.

Oleh sebab berasa marah dan sedih, seperti dikisahkan di dalam al-Quran, Musa melemparkan 'loh-loh' (Taurat) yang baru diterimanya daripada Allah dan memegang rambut Harun, sambil menariknya ke arahnya.

Sesudah amarahnya reda, barulah diambilnya kembali 'loh-loh' (taurat) itu, kerana di dalam tulisan Taurat itu terdapat petunjuk dan rahmat untuk orang-orang yang takut kepadanya.

Nabi Harun a.s wafat terlebih dulu daripada Nabi Musa a.s dan dimakamkan oleh Nabi Musa a.s di Bukit Hur (Jabal Harun) di Semenanjung Sinai.


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5dp0i7Geg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 9 September 2017

Pelantikan Harun sebagai nabi


ARKIB : 10/11/2006
Kisah Al-Quran - Kisah 15
Pelantikan Harun sebagai nabi
DAN jadikanlah bagiku, seorang penyokong daripada keluargaku, iaitu Harun, saudaraku. Kuatkanlah dengan sokongannya akan pendirianku, dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, supaya kami sentiasa beribadat dan memujimu dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatinya. (Thaaha: 29-34)

NABI Harun adalah saudara Nabi Musa yang diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi penolong dan pendamping kepada Nabi Musa. Pelantikan Harun menjadi nabi adalah atas permohonan Nabi Musa kepada Allah s.w.t.

Allah telah memperkenankan permohonan Nabi Musa itu dan diberikan Nabi Harun kepadanya sebagai suatu rahmat. Kemudian diberikan pula kenabian kepada Nabi Harun.

Sebelum Harun dilantik menjadi Nabi, Allah telah memerintahkan Nabi Musa untuk menyampaikan risalah Illahi kepada Firaun kerana dia sangat sombong dan kejam. Untuk memudahkan urusannya, Nabi Musa memohon kepada Allah memperkenankan Nabi Harun, saudaranya sebagai penolong untuk menyampaikan risalah Allah yang berat itu. Lalu, Allah mengabulkan doa Nabi Musa dan memperkenankan segala permohonannya.

Allah mempersiapkan Nabi Musa untuk menyampaikan risalah-Nya. Kemudian Allah mengutus dan memerintahkan Nabi Harun bersama Nabi Musa dengan diperkuatkan oleh Allah akan ayat-ayat dan mukjizat-mukjizat untuk menghadapi Firaun.

Allah juga berpesan kepada baginda berdua supaya sentiasa menyebut nama-Nya dalam menyampaikan risalah dan memerintahkan supaya mereka berdua bersikap berani ketika berhadapan dengan Firaun. Allah s.w.t. juga mewasiatkan kepada mereka supaya bersikap lemah lembut ketika berbicara dengan Firaun. Mudah-mudahan sikap yang demikian itu dapat menghilangkan sifat Firaun yang sombong dan besar diri sehingga dia berasa takut kepada Allah.

Nabi Musa dan Nabi Harun berkata, “Sesungguhnya kami sangat takut kepada kekejaman dan kekerasan Firaun. Sekiranya kami menyampaikan risalah tersebut, sudah tentu kami akan diseksa dan dibunuh.”

Lalu Allah pun berfirman kepada mereka supaya jangan merasa takut kerana Allah sentiasa bersama mereka. Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. Dia akan memelihara mereka daripada sebarang penganiayaan.

Seterusnya Allah menyuruh mereka memberitahu Firaun bahawa mereka adalah utusan Allah dan Firaun adalah hamba-Nya, bukanlah Tuhan seperti yang didakwanya. Nabi Musa dan Nabi Harun menerima perintah Allah itu dan berangkatlah mereka untuk menemui Firaun.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx.com

PENGAJARAN

*Kita sebagai umat Islam patut bersyukur kerana dilahirkan dalam Islam, cuma tinggal diri kita sendiri untuk menghayati Islam itu dan menjadi orang yang beriman dan bertakwa.

*Kita hendaklah berani berkata benar atau menegur mereka yang zalim.

PERBENDAHARAAN KATA

*pendamping: peneman

*rahmat: hikmah

*risalah: utusan

*penganiayaan: kezaliman, perbuatan menindas atau penyeksaan

INFORMASI

Nabi Harun diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada kaum Bani Israel supaya menyembah Allah, membayar zakat, berpuasa dan berlaku jujur.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sCaY82pj
© Utusan Melayu (M) Bhd