Memaparkan catatan dengan label NABI IBRAHIM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NABI IBRAHIM. Papar semua catatan

Khamis, 20 Disember 2018

Dakwah Nabi Ibrahim


ARKIB : 11/06/2010
SEMASA meninggalkan Babylon, Nabi Ibrahim telah berhenti di sebuah tempat yang dinamakan Haran.

Penduduk Haran keseluruhannya menyembah bintang-bintang. Jelas, sekali lagi Nabi Ibrahim berhadapan dengan masyarakat yang berada dalam kesesatan.

Namun, Nabi Ibrahim tidak menyampaikan dakwah kepada mereka secara nyata. Baginda merancang dengan teliti supaya mereka dapat menerima ajaran yang dibawanya.

Pada mulanya Nabi Ibrahim berpura-pura mengamalkan ajaran yang sama seperti mereka.

Baginda bergaul seperti biasa bersama-sama dengan penduduk supaya kehadirannya sebaik mungkin.

Saban hari baginda duduk bercakap-cakap sambil menyampaikan ajaran yang dibawanya secara tidak langsung.

Dengan cara itu baginda dalam melihat tindak balas dan penerimaan penduduk terbabit.

Pada suatu hari, ketika duduk bersama mereka, Nabi Ibrahim telah menunjukkan ke arah sebutir bintang yang berada di langit. Baginda pun berkata: "Oh, inilah Tuhanku."

Tetapi apabila bintang itu hilang daripada pandangan, baginda pun berkata lagi: "Aku tidak menyukai Tuhan yang berubah-ubah dan timbul tenggelam di angkasa."

Keesokan harinya Nabi Ibrahim pun duduk lagi bersama dengan penduduk Palestin.

Apabila terbit sahaja matahari, Nabi Ibrahim pun berkata lagi: "Inilah Tuhanku kerana ia lebih besar daripada yang lain dan cahayanya lebih terang. Inilah yang patut aku sembah."

Apabila hari menjelang petang, matahari itu pun mulai terbenam. Melihat sahaja matahari terbenam, Nabi Ibrahim pun berkata kepada penduduk Palestin: "Sesungguhnya kamu telah tersesat dan terpengaruh oleh ajakan Iblis dengan penyembahanmu kepada bintang-bintang iaitu makhluk yang diciptakan oleh Tuhan yang Maha Kuasa.

"Sepatutnya Dialah yang kamu sembah dan bukan bintang-bintang ciptaan-Nya itu.

"Aku bebas daripada sembahan kepada Tuhan-tuhan kamu itu. Aku hanya menyembah kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Kepada-Nya aku beribadat dengan hati yang tulus ikhlas. Hanya Dia Tuhan yang aku sembah. Tidak ada Tuhan lain selain daripada-Nya. Sesungguhnya aku bukan tergolong dalam golongan yang musyrik."

Penduduk Palestin amat terkejut apabila mendengar kata-kata Nabi Ibrahim itu. Mereka mendapati Tuhan Nabi Ibrahim berbeza dengan tuhan mereka. Mereka berasakan Nabi Ibrahim telah tersesat dan perlu dikembalikan ke pangkal jalan. Nabi Ibrahim menolak ajakan mereka itu. Apabila baginda menolak ajakan tersebut, mereka pun mengajak baginda berdialog. Mereka berasakan bahawa merekalah yang benar.

Walau bagaimanapun, Nabi Ibrahim menolak ajakan mereka itu dengan berkata: "Kamu ingin berdialog denganku tentang ketuhanan kerana kamu berharap agar dapat mendorongku mengikut kamu menyembah yang batil dan sesat itu.

"Janganlah terlalu berharap. Harapan kamu akan sia-sia belaka. Tidak ada gunanya mengajak aku berdialog dengan kamu kerana Allah telah menunjukkan jalan yang benar dan akidah yang hak, sesuai dengan fitrah dan martabat manusia sebagai makhluk Tuhan yang utama."

Oleh yang demikian, mereka ternyata tidak berjaya untuk memesongkan akidah Nabi Ibrahim. Baginda tetap berpegang teguh dan beriman hanya kepada Tuhan yang Esa.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5aEM6FHeG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 2 Disember 2018

Burung pipit bantu padamkan api


ARKIB : 09/10/2009
NEGARA Babylon adalah negeri yang aman dan makmur. Raja yang memerintah negeri itu ialah Raja Namrud bin Kan'an. Negeri Babylon ini mempunyai tanah yang luas dan subur.

Raja Namrud memerintahkan rakyatnya mengukir patung-patung berhala. Mereka menganggap patung-patung itu adalah Tuhan.

Ketika itu, Nabi Ibrahim diutus untuk menyeru keluarganya dan kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala. Tetapi mereka tidak mengendahkannya.

Akhirnya, Nabi Ibrahim pergi ke istana Raja Namrud. Baginda mahu menemui Raja Namrud dan pembesar-pembesarnya. Baginda mahu penyembahan berhala dihentikan. Raja Namrud dan pengikutnya tidak mengendahkannya.

Pada setiap tahun, rakyat Babylon akan menyambut perayaan secara besar-besaran. Pada hari tersebut mereka akan keluar menuju ke tempat perhimpunan. Ketika itulah Nabi Ibrahim menjalankan rancangannya.

Selepas mereka keluar menyambut perayaan, Nabi Ibrahim masuk ke tempat penyembahan mereka. Baginda memecahkan patung-patung berhala kecuali patung yang paling besar.

Kemudian baginda menggantungkan kapak tadi di leher patung yang paling besar itu.

Selepas itu pulanglah semua orang daripada menyambut perayaan. Mereka pergi ke tempat berhala itu untuk menyembahnya. Alangkah terkejutnya mereka apabila didapati semua tuhan-tuhan mereka telah hancur dan berselerakan di atas lantai.

Mereka mencari Nabi Ibrahim dan menangkapnya. Raja Namrud mahu Nabi Ibrahim dibawa ke hadapan orang ramai supaya menjadi saksi atas perbuatan jenayahnya. Raja Namrud memerintahkan Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.

Raja Namrud memerintahkan seluruh rakyatnya mengumpul kayu-kayu. Setelah satu timbunan kayu api yang besar dilonggokkan, api pun dinyalakan. Nabi Ibrahim diikat dan diletakkan di atas pelontar lalu dicampakkan ke dalam api yang marak itu.

Ketika Nabi Ibrahim dibakar, burung-burung yang berterbangan juga menyaksikan peristiwa tersebut. Ada seekor burung pipit yang berasa kasihan melihat baginda yang dibakar hidup-hidup itu. Burung pipit itu mahu menolong Nabi Ibrahim.

Burung pipit itu terbang mencari air. Ia menyedut dan menyimpan air tersebut di dalam paruhnya yang kecil itu. Burung-burung lain kehairanan melihat perlakuan burung pipit.

"Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?" tanya burung-burung yang lain.

"Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim," jawab burung pipit.

"Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil. Sia-sia saja usaha kamu itu," kata burung lain pula.

Walau bagaimanapun, burung pipit tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas hati. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu Nabi Ibrahim.

Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orang ramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit itu berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran.

Orang ramai yang berada di situ berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api itu seperti sediakala. Badannya sedikitpun tidak melecur.

l Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YaR5ytlM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 17 Disember 2017

Nabi Ibrahim bukan Yahudi

ARKIB : 26/01/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SEBAGAI kaum yang licik, Yahudi gemar mengelirukan sejarah supaya segala kebenaran kononnya memihak kepada mereka. Mereka turut menjadikan sirah para nabi sebagai mangsa penipuan dan memutarbelitkan fakta. Sebagaimana pelbagai tanggapan yang mereka lemparkan terhadap Nabi Muhammad SAW, sejarah Nabi Ibrahim a.s. terlebih dahulu mereka kelirukan.

Ini apabila sejarah Nabi Ibrahim yang mendapat julukan Khalil Ullah (Sahabat Allah) itu dianggap penting sebagai titik mula bagaimana mereka kononnya menjadi bangsa atau entiti terpilih oleh Allah. Dikenali sebagai Patriakh Abraham yang merupakan migran Nabi Ibrahim ke tanah air Yahudi, iaitu Canaan (atau Kanaan yang dipercayai dikenali sebagai Palestin kini) dari Ur Chaldea (Harran dipercayai terletak di Turki).

Dalam kitab Perjanjian Lama (Taurat dan Injil) kononnya diceritakan mengenai Nabi Ibrahim telah diangkat oleh Yahudi sebagai nabi mereka, telah diminta oleh Allah untuk meninggalkan tempat asal baginda (Mesopotamia Lama) menuju ke suatu tempat yang tidak pasti bagi memulakan masyarakat baru di sana.

Ketika dalam perjalanan mereka menuju ke Tanah Terpilih (Chosen Land) itu, Abram (sebelum dikenali sebagai Abraham) bersama isterinya, Siti Sarah singgah dan tinggal sementara di Harran sehinggalah mereka akhirnya tiba di Kanaan. Ini sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Tuhan bahawa Kanaan menjadi pilihan dan anugerah buat Ibrahim yang dikatakan membawa agama Yahudi itu.

'Sejarah' ini dijadikan bukti oleh Yahudi bahawa mereka mempunyai hak terhadap bumi Palestin kerana pada asalnya nabi mereka, merupakan orang pertama yang menemui Palestin itu. Malah sanggup merampas daripada penduduk Islam Palestin dengan alasan sebagai bangsa yang terpilih, tuhan memilihkan bumi Palestin itu sebagai milik kepada Yahudi sahaja. Inilah yang cuba dilakukan oleh Yahudi itu sehingga kini.

Kekejaman selama 22 hari baru-baru ini dengan membunuh penduduk Palestin dan memusnahkan bumi Gaza adalah bukti usaha yang tidak pernah putus mereka dengan berdalilkan pada faktor 'sejarah' Nabi Ibrahim itu.

Sedangkan 'sejarah' itu ternyata antara rekaan yang paling jahat Yahudi kerana terbukti melalui ayat 67-68 dalam surah Ali 'Imran, Allah berfirman yang bermaksud: Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi menyerahkan diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia dari golongan yang musyrik. Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim adalah mereka yang mengikuti Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta orang-orang yang beriman kepada Muhammad dan Allah adalah pelindung semua mereka yang beriman.

Begitupun Nabi Ibrahim bin Aaazar (Tarih) bin Tahur bin Saruj bin Rau' bin Falij bin Aaabir bin Syalih bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh a.s. benar-benar Sahabat Allah apabila banyak pengorbanan dilakukan olehnya bagi menegakkan kebenaran dan menegakkan agama Allah.

Sedari Raja Namrud memerintahkan agar Ibrahim dibakar hidup-hidup dan kemuncaknya terpaksa meninggalkan Siti Hajar dan bayi mereka, Nabi Allah Ismail di sebuah lembah yang sangat tandus. Namun hikmah di sebaliknya, meninggalkan isteri dan anaknya itu dan penemuan telaga Zam Zam benar-benar membuka lembaran sejarah dengan bermulanya komuniti pertama di bumi Mekah itu.

Malah diceritakan air Zam Zam itu menyebabkan burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu. Sehingga menjadi perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di sekitar Mekah. Menerusi pengalaman mereka, jika terdapat burung-burung yang berterbangan di udara bermakna unggas tersebut berlegar di kawasan yang terdapat sumber air.

Setelah diperiksa mereka begitu gembira kerana terdapatnya telaga Zam Zam dan kehadiran Siti Hajar serta Nabi Ismail itu sendiri. Mereka segera berpindah dan meminta kebenaran Siti Hajar untuk menetap bersama di lembah itu. Tentu sahaja permintaan itu diterima oleh Siti Hajar kerana beliau kini mempunyai jiran-jiran setelah sekian masa hanya tinggal berdua bersama puteranya itu.

Puak Jurhum menurut buku Sirah Nabawiyyah ini hanya disebut sebagai penduduk pribumi Mekah yang terdiri daripada pelbagai kabilah. Namun dalam peristiwa penemuan telaga Zam Zam ini, generasi Jurhum yang tinggal bersama Siti Hajar merupakan generasi yang ketiga berasal kabilah dari negeri Yaman. Mereka sebelum ini hidup berpindah randah di sekitar lembah-lembah Mekah.

Sejak itu, Lembah Mekah berubah wajah dengan mempunyai kelompok komuniti yang tidak sahaja memulakan kehidupan 'bandar' malah sampai ke pengetahuan Nabi Ibrahim yang ketika itu berada di Palestin. Baginda yang kehairanan dengan perkhabaran itu lalu memutuskan untuk melihat sendiri, lebih-lebih lagi mengenangkan nasib Siti Hajar dan putera mereka yang pernah ditinggalkan di Lembah itu.

Alangkah terkejut baginda melihatkan perbezaan ketara berbanding ketika meninggalkan Siti Hajar dahulu. Malah melihatkan Nabi Ismail yang dapat membesar dengan baik menyebabkan Nabi Ibrahim menyedari Allah telah membayar nilai pengorbanan tinggi beliau setelah sanggup meninggalkan anak dan isterinya itu.

Setelah beberapa kali mengunjungi Siti Hajar dan Nabi Ismail pada suatu hari ketika si anak masih kanak-kanak atau sesetengah riwayat menyebut Ismail ketika itu sudah menginjak remaja, Nabi Ibrahim didatangi mimpi daripada Allah supaya baginda menyembelih satu-satunya anaknya itu. Walaupun mimpi itu bermakna satu perintah yang wajib dipatuhi namun sebagaimana manusia biasa yang lainnya, Nabi Ibrahim tidak dapat menyembunyikan kesedihan yang teramat sangat dengan mimpi itu.

Dikorbankan

Kelahiran Nabi Ismail merupakan putera yang diharap-harapkan oleh Nabi Ibrahim sejak berpuluh tahun lamanya dan tiba-tiba kini perlu dikorbankan di tangannya sendiri.

Namun Ibrahim perlu membuktikan bahawa cinta baginda kepada Allah perlu melebihi cinta terhadap anak, isteri, harta dan dunia ini. Sebagai nabi atau pesuruh Allah baginda perlu melakukan pengorbanan besar ini supaya dijadikan contoh teladan sebagai hamba-Nya yang taat.

Namun menyembelih anak dengan tangannya sendiri, sesungguhnya teramat berat. Lalu baginda menyuarakan kepada Ismail mengenai mimpinya itu dan tanpa diduga anaknya itu seolah-olah seperti tahu apa yang sedang berperang dalam fikiran bapanya itu.

Dipendekkan cerita, pedang yang tajam tiba-tiba bertukar tumpul ketika Nabi Ibrahim hendak menyembelih leher anaknya itu, malah Ismail bertindak menukar posisi badannya agar wajahnya tidak dilihat oleh ayahnya supaya beliau dapat disembelih kerana bimbang bapanya sebenarnya tidak sampai hati melakukan perintah dari Allah itu.

Namun sekali lagi, Nabi Ibrahim berjaya melepasi satu lagi ujian dengan Allah menukarkan Nabi Ismail kepada seekor kambing kibas sebagai menebus pengorbanan yang cuba dilakukan oleh hamba-Nya yang taat dan patuh pada suruhan Allah itu.

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat Allah yang menegaskan bahawa perintah pergorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail akan sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Peristiwa ini kemudiannya menjadi sunah kepada setiap umat Islam supaya melakukan ibadat korban tiap kali melakukan ibadat Haji dan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Nabi Ismail kemudiannya membesar dan baginda turut mempelajari bahasa Arab dari kabilah Jurhum. Baginda kemudiannya dikahwinkan dengan seorang wanita daripada kabilah itu.

Diceritakan dalam buku ini mengenai kisah Nabi Ibrahim mengunjungi anaknya itu berikutan selepas kemangkatan isterinya Siti Hajar. Ketika sampai, Ismail tiada di rumah lalu tanpa dikenali oleh isteri Ismail, Ibrahim bertanyakan kepada menantunya mengenai kehidupan mereka. Lalu si isteri mengadu bermacam-macam kesusahan dan kesempitan hidup mereka.

Lalu ketika bertemu dengan Nabi Ismail, Nabi Ibrahim berpesan supaya anaknya itu menukar ambang pintu rumahnya itu. Ismail yang mengerti maksud bapanya itu lalu menceraikan isterinya dan berkahwin lain dengan puteri Ketua Kabilah Jurhum, Mudah bin Amru.

Pada ketika yang lain, Ibrahim yang datang semula lalu bertanya kepada menantu yang baru mengenai kehidupan mereka semasa ketiadaan Nabi Ismail. Lalu si menantu memuji Allah atas apa yang mereka miliki. Nabi Ibrahim begitu berpuas hati dan meminta Ismail supaya tidak perlu menukar ambang pintu rumahnya itu.

Ismail tersenyum kerana mengerti dan hasil perkahwinan baginda dengan isteri keduanya itu, mereka dikurniakan anak lelaki seramai 12 orang. Iaitu nama-nama seperti yang pernah disebutkan sebelum ini, Nabit atau Binalut, Qaydar, Adbail, Mibsham, Mishma, Duma, Misha, Hadah, Yatma, Yatur, Nafis dan Qaydum.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz51ZB6klvC

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 15 Oktober 2017

Zaman kanak-kanak Nabi Ibrahim



ARKIB : 08/09/2006
Kisah Al-Quran (Siri 6)

NABI Ibrahim membesar sebagaimana kanak-kanak biasa yang lain. Baginda dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh kedua ibu bapanya. Ayahnya bekerja sebagai pengukir patung-patung penyembahan (berhala) untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Ayah Nabi Ibrahim sangat terkenal dalam kalangan penduduk Mesir ketika itu. Beliau terkenal kerana kelebihan dari segi pengukiran yang ada padanya. Ramai orang datang dari jauh dan dekat untuk mendapatkan patung-patung ukirannya sama ada besar ataupun kecil. Semuanya elok dan tidak ada tandingan daripada sesiapapun.

Sejak kecil lagi, Nabi Ibrahim terdedah dengan cara-cara pembuatan patung sembahan daripada ayahnya. Walau bagaimanapun, baginda tidak sedikit pun berasa yakin dan percaya dengan penyembahan yang diamalkan oleh masyarakatnya.

Walaupun masyarakat Babylon menyembah berhala-berhala, namun Nabi Ibrahim tidak pernah sekalipun melakukan penyembahan tersebut. Allah s.w.t. mengurniakan iman dan tauhid kepada Nabi Ibrahim sejak di alam kanak-kanak lagi. Oleh sebab itulah baginda tidak melakukan perbuatan-perbuatan syirik terhadap Allah.

Nabi Ibrahim sentiasa berusaha mencari Tuhan yang berhak disembah. hal ini ada diceritakan dalam surah al-An’am ayat 75 hingga 77 dengan jelas.

Demikian pula kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami) yang ada di langit dan di bumi. Yang demikian adalah supaya Ibrahim termasuk orang-orang yang berkeyakinan kuat.

Apabila malam telah gelap, dia melihat bintang. Dia berkata, “Inilah Tuhanku!” Tetapi apabila bintang itu tenggelam, dia berkata, Aku tidak menyukai sesuatu yang tenggelam. Ketika melihat bulan terbenam, dia berkata, “Kalau Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat.”

Sikap Nabi Ibrahim ini dapat dilihat ketika baginda diminta oleh ayahnya untuk menjualkan patung-patung ciptaannya kepada para pelanggan di pekan. Ayahnya selalu meminta pertolongan Nabi Ibrahim untuk menjualkan patung-patung itu.

Sebagai anak yang baik dan taat, Nabi Ibrahim tidak pernah membantah suruhan ayahnya tetapi tindakannya cukup dirasakan. Baginda amat tidak bersemangat untuk melakukannya.

Ada kalanya Nabi Ibrahim mengejek dan mentertawakan patung-patung yang dijualnya itu. Pelbagai panggilan dan perkataan yang tidak elok telah dikatakan kepada patung-patung itu. Pernah suatu ketika itu, Nabi Ibrahim ketawa sambil mengejek patung-patung tersebut dan menggelarkannya bodoh serta tidak berguna.

Tidak kurang juga ketika menjual patung-patung itu, Nabi Ibrahim selalu melaung-laungkan kepada pelanggannya, “Hai penduduk Babylon, siapakah yang akan membeli patung-patung yang tidak berguna dan bodoh ini?”

Kata-kata inilah yang selalu diucapkan oleh Nabi Ibrahim setiap kali baginda menjual patung-patung ukiran bapanya di pasar.

- Petikan daripada Untaian 366 kisah daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.

Tel: 03-61379220/ 8396/7834 atau Emel: edusb@streamyx.com

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4vYuYHdWe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 27 Jun 2017

Doa Nabi Ibrahim makbul



ARKIB : 05/07/2006
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI Setelah Allah s.w.t. menceritakan perihal Nabi Allah Ibrahim yang diuji dengan beberapa kalimah dan juga arahan-Nya supaya menjadikan Makam Ibrahim tempat sembahyang di samping membersihkan Kaabah daripada segala bentuk syirik. Allah s.w.t. melangsungkan lagi kisah munajat dan doa Nabi Ibrahim a.s. dalam ayat berikut.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.” Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali. (Al-Baqarah: 126)

Firman Allah s.w.t.: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa. Dikehendaki dengan keamanan, di sini tiga pendapat iaitu:

1. Nabi Ibrahim memohon keamanan dan keselamatan daripada pembunuhan atau peperangan.

2. Daripada bala, gempa bumi dan dihancurkan.

3. Daripada kemarau dan kebuluran.

Syeikh Al-Maghari berkata: Doa ini daripada Ibrahim supaya negeri Mekah aman dan selamat dari golongan mereka yang angkuh dan takbur yang menguasainya dan dari azab dan hukuman Allah yang ditimpa keatasnya sebagaimana yang berlaku di kebanyakan negeri seperti gempa bumi, bencana alam, banjir dan lain-lain lagi daripada kemusnahan.

Allah menerima doanya justeru tiada seorangpun yang inginkan kejahatan di Mekah kecuali dipatahkan keinginannya. Sebagai contoh tentera Abrahah dalam peristiwa serangan ke kota Mekah yang disebut dalam surah al-Fil.

Dan berikanlah rezeki daripada berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Di sini beliau menerima jawapan daripada Allah, yang menyempurnakan dan menjelaskan golongan yang satu lagi yang didiamkan begitu sahaja iaitu golongan yang tidak beriman yang akan menerima untung nasib yang amat pedih.

Al-Samarqandi berkata Nabi Ibrahim mensyaratkan dengan syarat ini kerana ia berdoa kepada tuhannya kepimpinan untuk zuriatnya. Kemudian Allah tidak menerima baginya bagi golongan orang zalim, justeru Ibrahim merasa bimbang hal rezeki begitu juga lantas ia memohon rezeki untuk orang beriman sahaja.

Allah mengkhabarkannya bahawa Ia memberi rezeki kepada orang kafir dan orang beriman kerana urusan rezeki adalah ain daripada urusan kepimpinan. Mereka berkata kerana kepimpinan adalah kurniaan dan kelebihan sedangkan rezeki merupakan keadilan, justeru Allah memberi dengan kelebihannya siapa yang dikehendaki daripada hambanya yang layak. Demikian itu kepada manusia kerana mereka hamba-hambanya sekalipun mereka kufur.

Dan rezekikanlah hai Tuhanku di kalangan orang yang beriman dengan pelbagai buah-buahan dan makanan supaya mereka dapat mentaatimu dan beribadat. Al-Nasafi berkata: Diminta buah-buahan kerana kota Mekah negeri yang kering kontang tanpa sebarang tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan.

Al-Baghawi berkata: dalam kisah bahawa negeri Taif asalnya dari negeri Syam di Jordan apabila Ibrahim berdoa dengan doa ini lantas Allah memerintahkan Jibril a.s. mencabutnya daripada asal dan mengelilinginya di Baitullah sebanyak tujuh kali kemudian meletakkannya di tempat yang ada sekarang daripadanya banyaklah buah-buahan yang sampai ke kota Mekah.

Al-Alusi dalam mengemukakan komentar berkenaan dengan pendapat ini berkata: atas andaian sahihnya pendapat ini ia tidaklah pelik berbanding dengan kekuasaan Allah yang maha berkuasa dan jika enggan mengekalkan atas zahirnya, maka bab takwil amatlah luas.

Rezeki

Dikhususkan dengan orang yang beriman sahaja sedangkan Allah menjawab: Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia). Aku rezekikan di kalangan orang kafir juga sebagaimana aku rezekikan juga di kalangan orang beriman. Adakah patut aku ciptakan makhluk kemudian tidak merezekikannya? Adapun orang kafir aku kurniakan sedikit nikmat di dunia sepanjang hidupnya sahaja. Kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, kemudian aku masukkannya di hari akhirat dan mengheretnya ke neraka, tiada peluang dan ruang baginya untuk melarikan diri.

Al-Mawardi menaqalkan dua pendapat ulama berkenaan persoalan adakah Mekah sentiasa menjadi tempat yang aman dengan doa Nabi Ibrahim atau semata-mata terbatas pada zamannya sahaja?

1. Bahawa ia sentiasa aman dan dipelihara daripada golongan penguasa yang zalim dan takbur begitu juga daripada gempa bumi dan bencana alam. Ini berdasarkan riwayat Said Al-Maqburi mengikut hadis yang disebut oleh Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, dan dinaqalkan juga oleh Ibn Jarir Al-Tabari dan Ibn Ishaq.

2. Bahawa Mekah adalah tanah halal sebelum doa Nabi Ibrahim sama seperti negeri-negeri lain dan dengan sebab doanya jadilah ia haram dan aman sebagaimana Madinah dijadikan tanah haram oleh Rasulullah selepas ia halal.

Berdasarkan riwayat Asy'ath, daripada Nafi' daripada Ibn Umar. Tetapi riwayat ini daif kerana salah seorang perawinya Asy'ath bin Siwar Al-Kindi dianggap lemah oleh Al-Hafiz Ibn Hajar, begitu juga Al-Hafiz Ibn Kathir menganggap sanad ini asing. Syeikh Muqbil Al-Wada'i dalam mentakhrijkan tafsir Ibn Kathir menyebut: yang demikian itu kerana Asy'ath berseorangan dalam riwayat sedangkan dia lemah dan dia dianggap termasuk dalam hadis mungkar.

Dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali. Itulah seburuk-buruk tempat kembali bagi orang kafir iaitu tempatnya neraka jahanam. Ayat ini Ibrahim al-Khalil telah mengkiaskan rezeki dengan imamah (pemerintahan) lantas Allah memberi peringatan kepadanya bahawa rezeki hanya rahmat duniawi yang umum bagi orang baik dan jahat.

Berlainan dengan imamah yang terkhusus dengan orang-orang yang baik di kalangan orang yang beriman.

Iktibar dan pengajaran ayat.

Antaranya:

i. Sifat yang menjadi sekutu dan kesamaan antara nabi-nabi ialah banyak berdoa dan memohon kepada Tuhan. Justeru amat wajar kita mengikut mereka dengan memperbanyakkan berdoa.

ii. Kurniaan Allah s.w.t. seperti rezeki, kesihatan, kekayaan dan lain-lain tidak hanya terbatas kepada orang yang beriman sahaja tetapi diumumkan kepada semua makhluk-Nya kerana dunia hanya pentas ujian, sebaliknya akhirat adalah tempat pembalasan yang hakiki yang membezakan antara golongan baik dan jahat.

iii. Doa Nabi dimakbulkan Tuhan. Ini bermakna doa orang yang mengikut Nabi juga dimakbulkan Tuhan. Thabit dalam hadis-hadis yang sahih, doa orang-orang soleh dan orang yang mengerjakan sesuatu ibadat akan diperkenankan doa selepas selesai ibadat tersebut.

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah pensyarah di Kolej Uniti, Seremban, Negeri Sembilan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4lCpx6M9I
© Utusan Melayu (M) Bhd