Selasa, 21 Mac 2017

Kenapa Rasulullah kahwin dengan hamba



ARKIB : 10/03/2002
 Bicara Agama oleh Astora Jabat
(astora@email.com)
TIDAK semua orientalis tidak baik kerana ramai daripada mereka membincangkan pelbagai isu agama secara ilmu sama ada yang berkait dengan Islam mahupun yang berkaitan dengan agama-agama lain.

Pada waktu yang sama ramai juga orientalis tidak baik yang menjadi crusader atau pejuang Perang Salib yang melancar Perang Salib pemikiran ke atas Islam dan umatnya.

Dalam keghairahan ramai di kalangan kita menolak golongan ulama konservatif yang jumud, penulis berpendapat jangan sama sekali sampai kita terperangkap menjadi mangsa Perang Salib pemikiran para orientalis yang tidak baik itu.

Nasihat ini penulis ditujukan kepada semua orang kita yang berpendidikan Inggeris atau mereka yang mendalami pemikiran agama dengan merujuk kepada buku-buku rujukan dalam bahasa Inggeris.

Di antara tajuk yang gemar dibincangkan oleh para orientalis tidak baik itu ialah dakwaan bahawa agama yang diseru oleh Rasulullah s.a.w. sebagai agama jahiliah, baginda belajar agama daripada ahli agama Yahudi dan Kristian, baginda sakit jiwa dan gila, baginda menyebar Islam dengan pedang, baginda kaki perempuan dan lain-lain.

Dakwaan baginda kaki perempuan inilah yang penulis akan bincangkan minggu ini.

Baginda didakwa begitu kerana baginda berkahwin secara sah dengan beberapa orang wanita bebas dan hamba yang telah dibebaskan oleh baginda.

Perlu diterangkan bahawa berkahwin lebih daripada satu bukan bermula dengan Islam atau Nabi Muhammad s.a.w. Sebaliknya perkara itu wujud sejak beratus dan beribu tahun sebelum ketibaan Islam.

Semua agama langit sebelum Islam membenarkan diamalkan poligami. Agama Yahudi pada masa lalu sebagaimana disebut dalam Taurat membenarkan lelaki berkahwin tanpa batas. Dengan itu tidak hairan jika nabi-nabi yang diutus kepada umat Yahudi berkahwin dengan ramai wanita.

Nabi Sulaiman alaihissalam sebagai contoh berkahwin dengan ratusan wanita. Bagaimanapun, sesetengah ahli agama Yahudi yang dikenali sebagai rabi membataskan perkahwinan kepada empat orang wanita seperti yang terdapat di dalam Islam. Pembatasan itu dilakukan berdasarkan kepada amalan Nabi Yaakub alaihissalam yang berkahwin dengan empat wanita saja.

Kini amalan berkahwin lebih daripada satu jarang terdapat di kalangan orang Yahudi di Israel dan negara-negara Barat. Tetapi orang Yahudi di negara-negara Arab atau keturunan Arab masih mengamalkan ajaran berkahwin lebih daripada satu.

Orang Kristian juga mengamalkan berkahwin lebih daripada satu. Maharaja Constantine dan puteranya berkahwin lebih daripada satu.

Mararaja Vlabius Valentian pula telah mengeluarkan undang-undang membenarkan semua lelaki berkahwin dengan beberapa wanita jika mereka mahu dan mampu.

Cuma amalan tradisi itu mula diharamkan pada zaman Maharja Justinian. Namun, pengharaman itu hanya dalam teori saja, tetapi dalam alam nyata majoriti orang Kristian pada zaman pertengahan masih kekal dengan amalan berkahwin lebih daripada satu.

Pada zaman keagungan firaun, Rom dan Yunan beribu-ribu tahun dulu juga terdapat amalan poligami.

Orang Arab pada zaman jahiliah juga mempunyai isteri yang sangat ramai dan ada di kalangan mereka kekal dengan isteri masing-masing setelah memeluk Islam.

Bagaimanapun, setelah diturunkan wahyu mengehadkan lelaki Islam berkahwin dengan empat orang wanita sahaja, orang Islam termasuk para sahabat yang mempunyai ramai isteri mengambil tindakan menalakkan isteri masing-masing dan meninggalkan empat orang isteri saja di bawah tanggungan mereka.

Ini seperti dilakukan oleh orang Islam dari Bani Thaqif seperti Ghilan ibn Salmah, Sufian ibn Abdullah dan Massu'ud ibn Amer di mana masing-masing yang mempunyai sepuluh orang isteri terpaksa menalak enam orang dan meninggalkan empat isteri di bawah tanggungan mereka.

Begitu juga yang dilakukan oleh Nufl ibn Mu'awiah yang mempunyai lima isteri, Abdul Mutalib ibn Hashim mempunyai enam isteri, Abu Sufian dan Safwan ibn Umaiyah mempunyai enam isteri dan al-Mughira ibn Shu'bah mempunyai 70 atau 93 orang isteri mengikut sesetengah riwayat.

Sebagai agama yang membuat perubahan secara evolusi dalam semua perkara, perkahwinan tanpa batas dihadkan sedikit demi sedikit sehingga pada hari dikeluarkan peruntukan dalam al-Quran membenarkan berkahwin empat orang wanita dengan syarat yang amat ketat dan penghapusan perhambaan.

Perkahwinan Rasulullah dengan beberapa orang wanita walaupun merupakan hak khusus bagi baginda sebagai utusan Allah, tetapi tidak patut dilihat kecuali dalam konteks amalan berkahwin lebih daripada satu itu merupakan amalan turun-temurun masyarakat sejak ratusan dan ribuan tahun.

Jika dilihat dalam konteks itu kita akan dapati bahawa perkahwinan Rasulullah adalah satu pengorbanan yang besar. Malah di sebalik perkahwinan itu terdapat banyak matlamat lain termasuk untuk mendampingi sesuatu kaum, bangsa dan negara dan mendekatkan orang dengan Islam.

Cuba perhatikan beberapa fakta ini.

Rasulullah yang berusia 25 tahun berkahwin dengan wanita tua berusia 40 tahun iaitu Khadijah binti Khuwailid.

Baginda tidak berkahwin dengan mana-mana wanita kecuali selepas Khadijah meninggal dunia. Baginda kekal dengan satu isteri selama 15 tahun.

Disebut dalam kitab Zadul Mi'ad bahawa Rasulullah tidak mengahwini wanita-wanita lain kecuali selepas Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia dan kemudian baginda mengahwini Saudah binti Zama'ah. Semua anak baginda lahir dengan Khadijah kecuali Ibrahim.

Semua isteri baginda adalah janda kecuali Aisyah yang diakad nikah dengan Rasulullah pada usia enam atau tujuh tahun. Baginda tidak menggauli Aisyah kecuali selepas Aisyah berusia sembilan atau sepuluh tahun.

Inilah antara alasan yang digunakan oleh sesetengah orientalis untuk mengaibkan Rasulullah. Tetapi riwayat tentang usia Aisyah itu sendiri yang dicatatkan selepas 500 tahun itu bukan fakta yang muktamad.

Ini sama juga dengan usia Khadijah 40 tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah yang dipertikaikan oleh sesetengah sarjana Islam. Salah seorang sarjana Islam yang mempertikai usia Khadijah itu ialah guru penulis, Dr. Suhial Zakkar yang berasal dari Syria. Beliau berhujah bahawa jika betul Khadijah berusia 40 tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah, masakan dia boleh melahirkan tujuh orang anak dengan baginda.

Tiga daripada mereka lelaki dan baki empat orang wanita.

Beberapa wanita yang merupakan hamba dikahwini Rasulullah selepas Rasulullah membebaskan mereka terlebih dahulu.

Ini kerana telah menjadi dasar dalam Islam membenarkan lelaki Islam berkahwin dengan hamba untuk membebaskan mereka daripada perhambaan. Dasar ini tidak pernah diamalkan oleh mana-mana bangsa pada zaman itu kerana semua bangsa menerima perhambaan sebagai salah satu sistem masyarakat.

Dengan ada dasar itu dalam Islam menyebabkan perhambaan terhapus secara beransur-ansur. Sebagai contoh anak yang lahir daripada hamba yang dikahwini lelaki Islam menjadi orang bebas. Malah wanita hamba itu pula yang dipanggil umm al-walad menjadi bebas selepas suaminya meninggal dunia.

Ibn Hisyam ada menukilkan beberapa cerita yang menarik mengenai perkahwinan Rasulullah dengan hamba seperti Juwairiah yang ditawan dalam satu peperangan.

Salah satu cerita yang dikutip di sini ada menyebut bahawa Juwairiah telah menjadi habuan perang kepada Thabit bin Qaisy bin asy-Syammas al-Ansari.

Kemudian Rasulullah membeli Juwairiah daripada Thabit dan membebaskannya. Setelah itu baginda mengambilnya sebagai isteri. (Ibn Hisyam, juz kedua, muka surat 646)

Satu lagi cerita ialah mengenai perkahwinan Rasulullah dengan seorang hamba wanita iaitu Raihanah binti Zaid.

Kitab Zad al-Mi'ad menyebut bahawa Rasulullah telah membebaskan Raihanah daripada perhambaan dan mengahwininya.

Maria al-Qibtiyyah pula ialah seorang hamba wanita beragama Kristian yang merupakan pemberian dari Mesir. Bapa Maria adalah orang Qibti Mesir dan ibunya pula merupakan orang Yunan (Greek). Maria inilah yang menjadi isteri kedua Rasulullah yang melahirkan anak ketujuh baginda yang diberi nama Ibrahim.

Seorang hamba wanita lain yang dikahwini Rasulullah ialah Safiah binti Huyei dari kaum Yahudi Bani Nadir.

Safiah dikatakan dari keturunan Nabi Harun alaihissalam, adik kepada Nabi Musa alaihissalam. Safiah merupakan anak kepada orang besar dan ketua suku Bani Nadir di mana bapanya terlibat dalam merancang komplot untuk membunuh Nabi. Komplot itulah yang menyebabkan kaum Yahudi diusir dari Madinah.

Suami Safiah mati semasa dalam pertempuran dan Safiah menjadi tawanan. Bagaimanapun, Rasulullah membebaskannya dan mengambil wanita itu menjadi isteri.

Perkara terakhir yang penulis ingin jelaskan di sini ialah para sejarawan Islam tidak bersepakat tentang jumlah isteri Rasulullah. Ada yang berkata baginda mempunyai sebelas orang isteri, ada yang berkata baginda ada 14 dan 15 isteri.

Cuma jika kita merujuk kepada Ibn Hisyam dalam kitab Sirahnya (juz kedua, muka surat 644-648) didapati beliau menyebut bahawa isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang dipanggil Umahat al-Mu'minin sembilan orang kesemuanya seperti Aisyah binti Abu Bakar, Hafsah bin `Umar bin al-Khattab, Ummu Habibah bin Abu Sufyan bin Harb, Ummu Salmah bin Abu Umaiyah bin al-Mughirah, Saudah binti Zama'ah bin Qais, Zainab binti Jahsy bin Ri'ab, Maimunah binti al-Harith, Jurairiah binti al-Harith bin Abu Dhirar dan Safiyyah binti Huyai bin Akhtab.

Pengarang yang sama berkata, wanita yang dikahwini dan digauli Rasulullah adalah sebelas orang kesemuanya termasuk sembilan orang yang bergelar Ummu al-Mu'minin itu.

Dua daripada mereka meninggal dunia sebelum baginda, iaitu Khadijah binti Khuwailid dan Zainab binti Khuzaimah.

Sembilan daripada mereka meninggal dunia selepas baginda wafat. Dua daripada mereka dikahwini baginda tanpa menggauli mereka iaitu Asma' binti an-Nu'man al-Kindiah dan Amrah binti Yazid al-Kilabiah

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4bxnwHwBr© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 Februari 2017

Mengupas kehebatan Muhammad Abdullah

APAKAH perasaan anda apabila berpeluang berjumpa ataupun dipeluk oleh manusia teragung di muka bumi, Muhammad Abdullah?

Pastinya tidak semua orang berpeluang untuk berjumpa dan melihat jasadnya pada zaman baginda apatah lagi setelah baginda wafat pada tahun ke-11 Hijrah.

Namun, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas Malik menceritakan tentang seorang pemuda bernama Zahir yang dipeluk oleh seorang lelaki ketika dia sedang berniaga di pasar.

Ketika Zahir menjual barang-barangnya, seorang lelaki memeluknya dari belakang.

Zahir kemudiannya bertanya siapakah gerangan orang tersebut dan meminta pelukan itu dilepaskan. Saat pelukan dilepaskan dan dia berkalih pada lelaki yang kemudiannya mengajukan soalan, “Siapa mahu membeli hamba ini?”

Zahir pun membalas: “Jika begitu, demi Allah engkau mendapatiku adalah seorang yang tidak berharga kerana menjualku sebagai hamba.”

“Akan tetapi di sisi Allah engkau ialah seorang yang mahal,” balas lelaki itu.

Bertuahlah Zahir kerana berpeluang untuk dipeluk dan bergurau dengan insan agung, nabi akhir zaman.

Dalam ketinggian darjatnya sebagai seorang pemimpin Madinah yang hebat, baginda masih mengekalkan sifat zuhud dalam setiap aspek termasuklah peribadi, pergaulan dan sikapnya selain fizikal yang sudah tersedia sederhana.

Siapa sangka dalam statusnya bergelar Rasulullah, Nabi Muhammad SAW seorang yang suka bergurau dan bermesra. Gurauannya tidak melampaui batas dan menjaga adab antara dirinya dan manusia lain.

Daripada hadis ini jelas menggambarkan, Rasulullah adalah seorang yang suka bergurau dengan sesiapa sahaja yang dikenali secara sangat berhemah kerana dalam setiap gurauannya mempunyai pengisian atau mesej berguna kepada orang lain.

Ciri fizikal

“Gurauan yang berlaku antara Zahir dan Rasulullah boleh menjadi contoh bahawa seorang pemimpin juga boleh bergurau dengan orang biasa.

“Gurauan itu bukan hanya melibatkan ucapan malah turut disertai perbuatan baginda yang memeluk Zahir dari belakang,” jelas pendakwah terkenal, Ustaz Dr. Zahazan Mohamed mengulas berhubung keperibadian Rasulullah.

Dalam satu pertemuan dengan Zahazan baru-baru ini, beliau menjelaskan Muhammad adalah pemimpin yang diterangkan secara jelas perwatakan dan fizikalnya yang diriwayatkan oleh para sahabat.

Secara fizikalnya, Rasulullah adalah seorang lelaki yang berbadan tegap dan berdada bidang sehinggakan air mandiannya mengalir seperti air terjun tatkala turun dari dada ke bawah apabila mandi.

Baginda tidaklah terlalu tinggi sehingga orang perlu mendongakkan kepala untuk melihatnya malah tidak terlalu rendah sehingga tenggelam dalam pandangan ramai.

Rambut baginda tidak kerinting dan tidak pula terlalu lurus manakala kulitnya putih kemerahan.

CAPAL Nabi Muhammad mempunyai dua tali penambat kaki dan dua tali perentang.

Selain fizikalnya yang bersifat sederhana yang cantik, kehidupan baginda tidak mewah walaupun mempunyai peluang untuk bermewah. Segala harta atau keperluan yang ada padanya, diambil sekadar cukup-cukup sahaja dan selebihnya diagihkan kepada orang yang lebih memerlukan.

Contohnya, hadis yang diriwayatkan oleh isteri Baginda, Aisyah: “Sesungguhnya, kami ahli-ahli keluarga Muhammad SAW pernah tinggal di dalam rumah selama sebulan tanpa menyalakan api untuk memasak. Makanan kami tiada lain hanyalah tamar dan air.”

Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah turut mengajar keluarganya supaya bersederhana.

Cerita Zahazan yang mengupas tentang keperibadian Rasulullah, sewaktu Rasulullah sedang bersolat pada waktu malam, kaki isteri baginda tersentuh pada bahagian kepalanya ketika sedang bersujud.

“Bayangkan keluasan rumah baginda. Rumah tersebut tidak layak digelar rumah kerana berkeluasan bilik sahaja.

“Rasulullah akan berpuasa selang sehari kerana makanan di rumahnya adalah cukup-cukup sahaja. Baginda biasanya hanya meminum air kosong dan tamar sebagai alas perut,’’ ujar beliau. Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd. ini menegaskan, kisah-kisah Rasulullah patut diketahui oleh semua orang kerana melaluinya terkandung pelbagai pengajaran dan contoh berguna dalam semua aspek kehidupan.

Manfaat

Syarikat penerbitan Telaga Biru telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah karya terjemahan daripada Imam At-Tarmizi yang bertajuk, Kenali Rasul Kita Muhammad SAW pada tahun 2013 bagi berkongsi kisah-kisah Rasulullah kepada awam.

Mengambil masa sehingga tujuh tahun untuk menghasilkan buku tersebut, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 42, menyifatkan ia adalah karya yang paling disayanginya.

Lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir jurusan Syariah dan Undang-Undang ini menjelaskan, kajiannya sepanjang menterjemah karya itu membawa manfaat yang besar buat diri dan masyarakat untuk dikongsi.

“Faedahnya cukup sempurna buat masyarakat dan diri saya. Daripada kajian ini, banyak sumbangan dan kehebatan insan ini yang dapat saya kupas.

“Tidak dapat saya bayangkan bagaimana seorang lelaki berumur 50-an boleh mengetuai peperangan sebanyak 30 kali walhal peperangan pada zaman dahulu banyak menggunakan fizikal.

“Baginda adalah insan yang sangat hebat baik dari segi dalaman atau luarannya. Fizikalnya sangat kuat dan sihat,” jelas anak kelahiran Arau, Perlis ini.

Ahmad Adnan berkata, walaupun Rasulullah adalah pemimpin tertinggi di Madinah dan merupakan seorang rasul, baginda selalu tersenyum tatkala bertemu dengan sesiapa sahaja malah menjadi orang pertama yang memberi salam.

Umat terbaik

“Disebabkan itu, sesiapa yang pernah berjumpa dengan Muhammad Abdullah, mereka akan teringin untuk berjumpa lagi.

“Bukan kerana baginda seorang rasul, tetapi kerana insan mulia ini sangat pandai bergaul dengan orang lain,” kongsinya.

AHMAD bersama karya terjemahan kesayangannya, Kenali Rasul Kita Muhammad SAW.

Selain itu kata Ahmad Adnan, baginda seorang yang tidak pernah menzahirkan masalahnya apabila dibelenggu sesuatu masalah. Sebaliknya, apabila sahabat-sahabat yang mempunyai masalah bertemu Rasulullah, mereka akan pulang dengan senyuman.

Baginda adalah penawar dan cahaya kepada umat. Sebagaimana yang disebut oleh Ibrahim Adham, wali Allah yang menyifatkan bahawa umat Muhammad adalah umat yang terbaik.

Jelas Ahmad Adnan, Muhammad adalah rasul terbaik dalam kalangan rasul-rasul. Baginda akan memberi syafaat kepada umatnya di akhirat kelak.

Malangnya menurut pendakwah ini, ramai yang tidak menyintai Rasulullah walhal beriman kepada rasul adalah teras kepada iman seseorang.

“Bagaimana mahu menanamkan perasaan kasih kepada baginda jika tidak kenal akan kisah dan sejarahnya? Bagaimana mahu cinta kepadanya jika peribadi dan akhlaknya tidak dijadikan panduan?

“Kenalilah Rasulullah bukan hanya dengan berselawat tetapi kajilah tentang kisah hidup dan sejarahnya,” ujar Ahmad Adnan.

Ilmu

Jelas Ahmad Adnan, Rasulullah pernah bersabda bahawa, para rasul tidak meninggalkan harta kepada umatnya melainkan ilmu yang boleh digunakan oleh manusia sejagat.

Sehubungan itu, saran pendakwah ini, umat hari ini perlu mempelajari hadis-hadis Rasulullah setiap hari.

“Jadikan amalan untuk membaca hadis baharu pada setiap hari. Itu adalah salah satu cara untuk kita mengenali dan menanamkan kecintaan kepada Rasulullah.

“Selain al-Quran, hadis adalah sumber rujukan ilmu untuk orang Islam. Hubungan ilmu adalah hubungan yang paling penting antara rasul dan umatnya,” terangnya.

Buku Kenali Rasul Kita Muhammad SAW, merupakan terjemahan dan ulasan karya agung Imam at-Tirmizi, as-Syamail al-Muhammadiyah.

Imam at-Tirmizi atau nama sebenarnya Muhammad Isa Suarah Musa as-Sulami at-Tirmizi merupakan seorang tokoh hadis yang sebaris dengan Imam-Bukhari, Imam Muslim, Imam an-Nasa’i, Imam Abu Daud dan sebagainya. Beliau lahir pada tahun 209 Hijrah dan wafat pada tahun 297 Hijrah.

Buku berkulit tebal yang mempunyai 685 muka surat ini memperincikan kesempurnaan peribadi, akhlak dan cara hidup Rasulullah SAW.

Mengandungi 56 bab,bab pertama dimulakan dengan Ciri-Ciri Fizikal Nabi SAW dan diakhiri dengan bab Melihat Nabi Dalam Mimpi.

Buku yang memuatkan pelbagai gambar berwarna-warni dan ilustrasi bagi meningkatkan kefahaman pembaca ini turut memuatkan profil ringkas setiap perawi hadis dalam kalangan tabiin. Harga buku ini ialah RM89.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3Ni3l2k5jHakcipta terpelihara


Ahad, 18 Disember 2016

Piagam Madinah asas permuafakatan hidup

ARKIB : 06/04/2000
Oleh: DR. BADLIHISHAM NASIR

TANGGAL 1 Muharam merupakan tarikh penting bagi umat Islam. Tarikh keramat ini diambil daripada suatu peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah. Penentuan tarikh Hijrah ini (bersamaan 16 Julai 622M) kemudiannya diputuskan pada zaman Saidina Umar ibni al-Khattab bertujuan mengingati peristiwa penting itu di samping untuk memudahkan urusan pentadbiran negara.

Sejak terbentuknya takwim Islam menggantikan takwim Masihi ini, segala urusan pentadbiran negara Islam berjalan dengan licin dan pada masa yang sama semua catatan sejarah penting direkod berdasarkan kepada takwim ini. Takwim Hijrah mengikut peredaran bulan (lunar - qamariyah) di mana dalam setahun ia mengandungi 254 hari berbanding dengan takwim Masihi sebanyak 365 hari).

Perbezaan ini disebabkan kerana takwim Islam mengikut peredaran bulan, manakala takwim Masihi mengikut peredaran matahari. Bilangan hari dalam bulan Islam kurang daripada bilangan hari dalam bulan Masihi. Hari dalam Islam hanya di antara 29 hingga 30 hari sahaja. Sebagai contoh, bulan Muharam mengandungi 30 hari, diikuti oleh bulan Safar 29 hari, bulan Rabiulawal 30 hari, Rabiulakhir 29 hari, demikianlah seterusnya hingga ke bulan Zulhijah 30 hari.

Sementara bulan Masihi, mengandungi antara 30 hingga 31 hari (kecuali bulan Februari 28 atau 29 hari). Berdasarkan kaedah ini menyebabkan perbezaan antara takwim Islam dan takwim Masihi secara kasarnya adalah sebanyak 11 hari dalam setahun atau 365 hari dalam tempoh 33 tahun).

Kehadiran Maal Hijrah saban tahun diraikan kerana terdapat banyak pengajaran dan hikmah di sebalik peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah yang seharusnya dihayati oleh umat Islam. Kita mungkin terpengaruh dengan dakyah para orientalis yang menterjemahkan perkataan Hijrah bererti flight atau lari.

Mereka cenderung mendakwa Nabi dan pengikutnya melarikan diri dari Mekah ke Madinah kerana takut diseksa dan diancam oleh kaum Musyrikin. Terjemahan dan takrifan ini terbabas daripada maksud yang sebenar. Hijrah ialah perkataan Arab yang diambil daripada kata dasar 'hajara' yang bererti 'berpindah', manakala kata terbitannya hijrah bererti 'perpindahan' (migration). Orang yang berpindah digelar sebagai muhajir atau muhajirun. Pada umumnya perpindahan diertikan sebagai suatu langkah untuk memperbaiki nasib hidup di dunia, seperti perpindahan dari desa ke kota untuk mencari peluang kehidupan yang lebih baik.

Namun demikian hijrah merupakan suatu konotasi yang berbeza dan mempunyai orientasi dan objektif yang lebih luas daripada itu, ia mencakupi aspek rohani dan jasmani bagi tujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Hijrah bukan berlaku secara kebetulan malah telah dilakukan dengan penuh perancangan serta mendapat arahan dan keredhaan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah dalam ayat 56 surah al-Ankabut yang bermaksud ''tidakkah engkau mendapati bumi Allah itu luas maka hendaklah kamu berhijrah padanya.'' (Surah an-Nisa: 97). Sekali imbas arahan Allah ini merupakan sebagai suatu kesempatan yang mungkin digunakan oleh Rasulullah untuk melepaskan diri daripada ancaman kafir Quraisy. Ini seolah-olah membenarkan dakwaan musuh Islam kononnya Nabi lari tengah malam justeru tidak tahan dengan seksaan yang dialami semasa di Mekah. Sebagai seorang Rasul yang menjalankan amanah Allah, ketakutan terhadap ancaman musuh bukanlah merupakan sifat para Nabi walaupun baginda dan pengikut-pengikutnya dinisbahkan sebagai golongan yang tertindas atau mustadhafin.

Hijrah sebenarnya digerakkan oleh faktor yang lebih penting daripada itu, walaupun diakui keselamatan Rasulullah semakin terancam berikutan kematian isterinya Siti Khadijah dan pak ciknya Abu Thalib yang banyak membantu perkembangan dakwah Islamiah.

Faktor paling utama yang mendorong kepada berlakunya peristiwa ini ialah sokongan terhadap Islam yang datangnya daripada penduduk Madinah. Perjanjian Aqabah pertama dan kedua dengan penduduk Madinah memberikan sinar baru bagi perkembangan Islam yang kian tersepit di bumi jahiliah Mekah itu. Pergerakan Rasulullah s.a.w keluar dari kota Mekah juga diatur dengan penuh rapi agar tidak menimbulkan kegemparan di kalangan musuh yang juga merancang untuk membunuh Nabi s.a.w. Ini dapat dilihat daripada kesediaan Saidina Ali menggantikan Nabi di tempat tidur, bantuan bekalan makanan daripada Asma' binti Abu Bakr dan panduan perjalanan jalan daripada seorang yang mahir mengenai selok- belok laluan kota Mekah iaitu Abdullah bin 'Uraiqit.

Semuanya ini menjelaskan bahawa peristiwa Hijrah adalah merupakan suatu perancangan yang telah disusun begitu rapi, selain daripada pertolongan Allah yang memudahkan lagi perjalanan Rasulullah s.a.w ke Madinah. Banyak perkara penting yang dapat dijadikan pengajaran dalam kita menghayati peristiwa Hijrah ini iaitu berkaitan dengan misi kerasulan Muhammad s.a.w. Walaupun Baginda telah berusaha menyebarkan Islam siang dan malam, penduduk kota Mekah gagal diislamkan secara menyeluruh.

Hal ini berbeza dengan sikap penduduk kota Madinah yang menyambut ketibaan Rasulullah s.a.w dengan paluan gendang dan hamburan nyanyian kesyukuran.

Penduduk Madinah yang terdiri daripada golongan Ansar telah memberikan pertolongan yang besar terhadap Rasulullah dan kaum Muhajirin menegakkan Islam di kota tersebut. Perpaduan yang ditegakkan melalui Hijrah ini bukan sahaja menyatukan umat Islam tetapi seluruh penduduk Madinah yang juga terdiri daripada golongan bukan Islam. Piagam atau perjanjian Madinah yang dimeterai oleh Nabi menjadi asas kepada permuafakatan hidup dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama. Piagam yang diakui oleh Profesor Hamidullah sebagai perjanjian bertulis di dunia yang pertama ini menjadi asas pembinaan negara Islam yang berjaya mendaulatkan perpaduan di kalangan manusia.

Penguasaan politik negara Madinah yang berasaskan Islam telah berjaya menjelmakan Islam sebagai sebuah agama yang mampu membina peradabannya tersendiri. Jika di Mekah, Islam hanya dikenali sebagai agama yang menekankan aspek-aspek keimanan dan kerohanian, khususnya dalam membina asas-asas seorang individu Muslim, maka di Madinah kita melihat Islam berinteraksi dalam seluruh lapangan kehidupan. Di kota inilah banyak ayat-ayat al-Quran diturun bagi menerangkan hukum-hakam dalam seluruh lapangan kehidupan. Negara yang ditegakkan di atas asas keimanan juga berjaya melahirkan para da'i dan mujahid yang sanggup mengorbankan diri untuk kebangkitan agama Allah. Madinah menjadi pusat kebangkitan strategi Islam dalam memperluaskan dakwahnya ke seluruh dunia. Sesungguhnya kemenangan kepada Islam pastinya akan berulang sekiranya umatnya bersikap positif untuk berubah ke arah kemajuan dalam seluruh aspek kehidupan. Perubahan ini tidak akan datang bergolek tetapi perlu dilaksanakan dengan penuh kesungguhan sebagaimana hijrah Rasulullah s.a.w. perlu dijadikan renungan untuk melakukan agenda perubahan dalam alaf baru ini.

DR. BADLIHISHAM NASIR, Jabatan Dakwah, Fakulti Pendidikan Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4TFWWmgFf © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 9 November 2016

Kaum Yahudi dan munafik di Madinah

ARKIB : 20/11/1998
KETIKA Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah dan menubuhkan kerajaan di sana, baginda telah menyusun beberapa rancangan dan strategi pemerintahan untuk memantapkan kerajaan pimpinan baginda.

Seperti yang sering dijelaskan, bahawa langkah pertama yang diambil oleh baginda ialah menghubungkan tali persaudaraan dan persefahaman serta kerjasama di antara orang-orang Islam sendiri yang terdiri dari golongan Ansar dan Muhajirin.

Setelah memastikan kesepaduan antara orang-orang Islam, maka baginda bertindak memeteraikan perjanjian dengan kaum-kaum lain, termasuk kaum Yahudi yang berada di bawah pemerintahan baginda. Dengan itu negara Madinah menjadi negara yang aman damai dan berpadu dengan diketuai oleh baginda.

Sesungguhnya model negara dan pemerintahan yang dibangunkan oleh baginda merupakan model terbaik bagi pembangunan sebuah negara yang berdaulat dan berwibawa. Semua rakyat mencintai negaranya dan mengakui baginda sebagai ketua negara yang mempunyai kuasa memerintah dan melaksanakan segala undang-undang dan peraturan yang dipersetujui bersama.

Hanya orang-orang yang tidak berilmu dan tidak memahami sirah dan sejarah sahaja yang mungkin merasakan bahawa Islam membenarkan kekerasan dan tindakan ganas untuk memberontak melawan dan menjatuhkan sebuah kerajaan yang tegak di atas perlembagaan yang sah.

Kalau cara ini dibenarkan Islam, maka mungkin Rasulullah s.a.w. telah bertindak keras dan memaksa kaum-kaum di sekeliling baginda di Madinah tunduk kepada baginda tanpa berunding dan memeterai perjanjian dengan mereka. Tetapi baginda tetap menggunakan cara diplomasi dan perundingan untuk membentuk masyarakat Madinah secara aman bagi menegakkan peaceful coexistence di kalangan semua kaum.

Bagaimanapun, setelah dua tahun tertubuhnya kerajaan Madinah, maka lahirlah tembelang kaum yang tidak ikhlas dan kaum yang hanya mementingkan diri sendiri, iaitu apabila kaum Yahudi yang pada mulanya sama-sama bersetuju dengan dasar-dasar perjanjian dengan Rasulullah s.a.w. tiba-tiba menunjukkan sikap angkuh dan permusuhan dengan baginda dan bertindak melawan dan memusuhi orang-orang Islam.

Menurut catatan sejarah, kaum Yahudi merasa cemburu dan dengki melihat kekuatan tentera Islam di bawah pimpinan baginda Rasulullah s.a.w. memenangi peperangan Badar dengan cemerlang sekali.

Kemenangan Islam ke atas kaum musyrikin di dalam peperangan tersebut mendorong kaum Yahudi mengambil beberapa tindakan secara konfrontasi terhadap kaum Muslimin dan ketua negara sendiri. Hal ini berlaku adalah semata-mata kerana perasaan dengki dan sombong terhadap kekuatan kerajaan Islam yang diterajui oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Kembali ke zaman kini, maka perasaan hasad dan dengki inilah yang sebenarnya diwarisi turun-temurun oleh golongan-golongan seperti ini dan konco-konconya yang sealiran. Hari ini kita dapat melihat bagaimana kerajaan dan kuasa-kuasa yang diterajui oleh rejim-rejim bongkak seperti ini bertindak menindas dan melebarkan penjajahan kuku besi mereka ke atas negara-negara lain, khususnya negara-negara Islam.

Mereka tidak mahu melihat negara Islam berdaulat, merdeka dan kuat, dapat berjuang dan survive, dalam dunia yang mahu mereka kuasai sepenuhnya ini.

Dalam minggu ini di dalam Persidangan APEC kita dapat melihat dan mendengar dengan mata kepala kita sendiri, bagaimana negara kita juga dicemburui dan diganggu secara terang-terangan oleh kuasa luar yang mewakili mentaliti dan gerakan provokasi seperti yang dilakukan terhadap kerajaan pimpinan Rasulullah s.a.w. lima belas abad yang lalu.

Mereka datang ke negara kita dan cuba meracuni fikiran awam dengan dasar penjajahan ''pecah dan perintah''. Mereka ingin menjadikan Malaysia seperti Baghdad atau Mindanao dan mengorbankan rakyat Islam dengan dasar penindasan yang tidak berperi kemanusiaan.

Kalau ditinjau ketika dasar konfrontasi yang diambil oleh kaum Yahudi terhadap Rasulullah, maka keadaan menjadi bertambah kusut kerana Banu Qainuqa' yang mewakili sebahagian dari kaum Yahudi adalah didalangi oleh seorang musuh Islam dalam selimut, iaitu ketua kaum munafik, Abdullah ibn Ubai ibn Salul, yang bertindak menjadi tali barut golongan pengacau itu.

Ia dengan bijaknya menjalankan peranannya melicinkan segala urusan pengkhianatan kaum Yahudi terhadap baginda Rasulullah dan negara Madinah sehingga akhirnya baginda terpaksa mengusir kaum Yahudi keluar dari Madinah.

Maka hari ini nampaknya sejarah ini berulang lagi, menepati apa yang terjadi pada belasan abad yang lalu, terutamanya dengan kelahiran dalang-dalang seperti Abdullah ibn Ubai ibn Salul dalam negara kita sendiri.

Watak-watak seorang ini tanpa segan-silu sanggup bekerjasama dan membantu pihak ketiga yang mempunyai niat yang tidak baik terhadap rakyat dan negara.

Baru beberapa hari yang lalu, kita melihat di tanah air kita dalang-dalang ini merempat meminta sedekah dan merayu agar seorang ketua negara penjajah menyelamatkan negara ini, menangkap ketua negara ini tanpa mempunyai sebarang maruah dan kehormatan diri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita perbuatan hina yang menjatuhkan imej bangsa dan maruah diri seperti yang kita saksikan akhir-akhir ini.

Nilai dan harga diri yang digadaikan itu sesungguhnya amat menjatuhkan keperibadian bangsa merdeka, terutamanya apabila dilakukan oleh orang-orang Islam yang mengaku dan menerima konsep ''bahawa kamulah umat yang paling tinggi ....'' (Ayat 3, surah Ali-Imran).

Malaysia memang dicemburui, kerana dalam dunia Islam, mungkin tidak banyak negara yang cuba bangun dengan agak bebas dan merdeka dari pengaruh kuasa-kuasa luar, dan cuba menunjukkan kekuatannya dalam pembangunan Islam. Sejak tahun tujuh puluhan lagi, negara kita melahirkan penglibatannya yang serius dalam dasar pelaksanaan Islam di dalam semua aspek pembangunannya.

Pembangunan negara kita mendapat kejayaan besar dengan dokongan semua rakyat berbagai kaum dan agama dengan penuh kerjasama dan harmoni, satu kejayaan yang amat jarang berlaku dalam negara berbagai etnik, malah biasanya negara berbagai etnik akan menghadapi pelbagai masalah dan pertikaian yang membawa kepada pertumpahan darah secara berpanjangan. Maka dalam keadaan ini pihak musuh akan merasa cemburu dan akan berusaha mengganggu-gugat kestabilannya, memecah-belah rakyatnya dan mengembalikan semula kuasa penjajahannya.

Agama kita terang-terangan dari awal lagi memberi amaran tentang taktik permusuhan terhadap Islam oleh golongan-golongan yang tertentu. Tentang golongan yang akan terus memusuhi Islam ini kajilah ayat 12 dan 13 dari surah Ali-Imran yang merumuskan tentang kekecewaan golongan yang memusuhi kaum Muslimin.

Tentang kedudukan musuh Islam seperti yang menjelma dalam watak Abdullah ibn Ubai pula baca dan fahamilah ayat 54 surah al-Maidah yang menekankan tentang perwatakan buruk kumpulan ini.

Kini sejarah itu berulang lagi dalam bentuk yang lebih canggih, tetapi saya percaya hal ini akan lebih memberikan kekuatan mental dan azam kepada orang-orang yang teguh dan mantap imannya.

Rakyat umum merasakan diri mereka terlalu hina untuk menjual maruah dan kepercayaan mereka dengan harga yang amat murah. Golongan ramai (silent majority) tetap mempunyai prinsip dan harga diri yang tinggi, mereka tentulah tidak akan membiarkan negara dan akidah mereka tergadai kerana tuntutan nafsu yang tamak dan sikap fanatik melulu.

Gangguan yang dibuat ke atas kedaulatan agama secara berselindung di belakang tabir politik atau ekonomi sentiasa dapat dicium baunya yang busuk. Watak munafik Abdullah ibn Ubai yang berkeliaran dalam masyarakat dapat dilihat belang dan kehinaannya. Rakyat umum tentu masih rasional dan bermaruah untuk mempertahankan kedaulatan negara dan agamanya. Mereka mengetahui bahawa kaum penjajah dan konco-konconya itu adalah ibarat anjing menyalak bukit, tidak dapat memberi kesan apa-apa.

* Datuk Dr. Ismail Ibrahim ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

e-mel:ismail@ikim.gov.my

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4PVCZPCke © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 25 Julai 2016

SEMPENA SAMBUTAN NUZUL Al-QURAN HARI INI -- Kemurnian al-Quran

ARKIB : 16/01/1998
KATA 'Nuzul al-Quran' mempunyai dua makna (1). Turunnya al-Quran dari Lauh al-Mahfuzh ke suatu tempat yang bernama Bait al-'Izzah. (2) Dari Bait al-'Izzah kepada Rasulullah s.a.w.

Berdasarkan kepada sebuah hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim, al-Baihaqiy, an-Nasai, bahawa al-Quran diturunkan dari Lauh al-Mahfuzh ke Bait al-'Izzah pada malam lailatulqadar, iaitu suatu malam yang menurut surah al-Qadr ayat 2-5 di antaranya mengandungi empat keistimewaan. (1) Pada malam itu al-Quran diturunkan. (2) Malam itu lebih baik daripada 1,000 bulan (lebih kurang 83 tahun). (3) Pada malam itu para melaikat dan roh-roh turun ke muka bumi, mengucapkan selamat dan sejahtera kepada orang-orang yang beriman. (4) Malam tersebut adalah malam yang penuh dengan kesejahteraan.

Tentang bila waktu terjadinya lailatulqadar, majoriti 'ulama' berpendapat bahawa ia terjadi pada salah satu malam daripada malam-malam ganjil setelah Ramadan yang ke-20 iaitu pada 21, 23, 25, 27 dan 29.

Imam Syafii misalnya lebih menekankan malam yang ke-21 dan 23 lailatulqadar memang merupakan suatu malam yang dirahsiakan oleh Allah s.w.t. agar kita lebih giat beribadah pada malam-malam 10 yang terakhir daripada bulan Ramadan, yang mana pada waktu-waktu tersebut semangat ibadah lazimnya telah berkurangan dikeranakan perhatian yang tidak lagi sepenuhnya tertumpu kepada ibadah puasa.

Tentang turunnya al-Quran pertama kali kepada Rasulullah, menurut kebanyakan para ulama seperti Ibn Ishak, Thabari dan al-Qashthalani, terjadi pada 17 Ramadan.

Yang tidak ada perbezaan pandangan padanya ialah bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, kerana al-Quran menegaskan demikian (al-Baqarah: 85).

Al-Quran diturunkan Allah adalah untuk menjadi ''petunjuk'' (hudan) bagi orang-orang yang bertakwa (al-Baqarah: 2) sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan daripada petunjuk itu dan pembeza antara yang benar dan yang salah (yang hak dan yang batil) (al-Baqarah: 85). Untuk mengeluarkan manusia daripada kesesatan kepada kebenaran (Ibrahim: I). Untuk menjadi ubat (syifa') dan juga rahmat bagi orang-orang yang beriman (al-Isra': 82). Dan untuk tujuan-tujuan lainnya.

Begitu juga surah al-Maidah ayat 3 diwahyukan kepada Rasulullah sebagai ayat yang terakhir sekali diturunkan. Al-Quran telah menetapkan aturan-aturan umum pada suatu aspek kehidupan, untuk menjadi 'petunjuk' bagi manusia, agar mereka terkeluar daripada kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang. Aturan-aturan tersebut meliputi: Apabila (hal-hal yang berhubung kait dengan keimanan), ibadah (hal-hal ayng berkaitan dengan perkara-perkara pengabdian diri kepada Allah), muamalah (hal-hal yang berkenaan dengan perkara-perkara hubungan manusia dengan manusia dan makhluk-makhluk lainnya).

Aturan-aturan umum yang telah ditetapkan oleh al-Quran tersebut kemudian dijelaskan oleh sunah Rasulullah. Adapun perkara-perkara yang tidak diperbincangkan oleh al-Quran secara jelas, Rasulullah memberi penjelasan tentangnya. Mengenai hal-hal yang al-Quran dan assunah berdiam diri tentangnya, maka perkara itu diserahkan kepada akal manusia (ijtihad) untuk mencari penyelesaian dengan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh al-Quran dan as-sunah (al-Quran: 59).

Al-Quran memang tidak ada keraguan padanya, baik keasliannya mahupun kandungannya. Hal ini di antaranya kepada firman Allah ''fKitab itu tidak ada keraguan padanya''(al-Baqarah: 2) dan Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya. (Al-Hijr: 9).

Kemurnian al-Quran daripada kepalsuan dan kata-kata manusia telah dibuktikan dengan alasan-alasan yang kuat, di antaranya adalah (1) Rasulullah adalah seorang yang ummi (tidak tahu tulis baca). (2) Di masa Rasulullah, banyak para sahabat yang menghafal al-Quran di samping juga menuliskannya di pelbagai tempat, seperti pelepah-pelepah kurma, tulang-tulang, kayu-kayu, daun-daun dan lain-lain. Di masa khalifah yang pertama, Abu Bakar, setelah terjadinya peperangan Yamamah yang menyebabkan banyak penghafal al-Quran terkorban (syahid), 'Umar Ibn Khatab memberi usulan kepada Abu Bakar agar al-Quran yang tercatat di pelbagai tempat tersebut disalin ke dalam satu musyhaf. Abu Bakar setuju dengan usulan tersebut dan dimintanya salah seorang sahabat Nabi, Zaid bin Tasbit untuk melaksanakan tugas tersebut. Musyhaf tersebut kemudian disimpan di rumah Abu Bakar, kemudian di rumah 'Umar bin Khattab. Di masa Khalifah ketiga 'Utsman bin 'Affan diadakan penulisan kembali untuk penyeragaman penulisan dan bacaan. Kemudian dari sinilah seluruh al-Quran diperbanyak dan disebarkan ke seluruh dunia. Tidak ada keraguan historis tentang kemurnian al-Quran.

Tentang kandungan al-Quran pula telah diuji keagungannya daripada pelbagai disiplin ilmu. Kerana itu tidak hairanlah jika George Benard Shaw, seorang pujangga Inggeris pernah mengusulkan agar kerajaan Inggeris menganut ajaran al-Quran. Dan tidak merupakan sesuatu yang aneh jika Monsieur David Forte mengatakan bahawa al-Quran merupakan peraturan dasar kemasyarakatan yang dinamis, mengatasi semua peraturan yang ada di muka bumi ini.

Yang jelas al-Quran mengatakan:

''Dan jika kamu tetap dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), barulah satu surah (sahaja) yang semisal al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang memang benar'' (al-Baqarah: 23).

''Jika kamu tidak dapat membuat (nya) dan pasti kamu tidak dapat membuat (nya) peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu yang disediakan bagi orang-orang yang kafir'' (al-Baqarah: 24).

Kesimpulannya, al-Quran tidak ada keraguan padanya, dan ia adalah petunjuk bagi umat mansuia untuk keselamatan mereka di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda yang maksudnya ''Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, maka kamu tidak akan pernah tersesat, ialah Kitabullah dan Sunah Rasulullah.''

Kerana itu, al-Quran mestilah terus dibaca, kerana membaca sahaja pun menurut Rasulullah adalah ibadah, mesti terus dipelajari kandungannya, diamalkan isinya serta sentiasa berupaya untuk mewariskannya generasi-generasi berikutnya.

Kandungan sabda Rasulullah s.a.w. berikut perlu untuk kita renungkan bersama:

Sesungguhnya rumah yang di dalamnya dibaca al-Quran, lapanglah kehidupan penghuninya, banyak kebajikannya, malaikat hadir dan setan-setan keluar melarikan diri dari rumah itu. Sebaliknya rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya, sempitlah kehidupan penghuninya, sedikit kebajikan, keluar malaikat dan hadir setan-setan di rumah tersebut. Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda ''Hiasilah rumah kamu dengan bacaan al-Quran.''
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4FPx89I9I © Utusan Melayu (M) Bhd