Khamis, 23 Mac 2017

Mencontohi keperibadian Rasulullah



ARKIB : 24/05/2002
Wacana Islam
Oleh Mohd Shauki Abd. Majid
Mengingati Rabiulawal, bulan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun ini seharusnya benar-benar menjadi titik tolak kesedaran umat Islam di negara ini bagi memperkukuhkan perpaduan serta meningkatkan iman, takwa dan amal soleh. Kita imbas dan gali kembali perjuangan Rasulullah s.a.w. dengan niat mencontohinya dan mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-hari.

Kita harus ingat bahawa Nabi s.a.w. tidak pernah menyatakan dirinya memiliki sifat-sifat manusiawi yang terhebat. Mendapat wahyu itulah yang membezakan manusia ini dengan manusia yang lain. Akan tetapi, perlu diingat bahawa Muhammad s.a.w. mendapat wahyu kerana baginda adalah manusia agung dan berbudi pekerti yang luhur.

Kecenderungan untuk memperingati hari kelahiran Muhammad s.a.w. secara lebih besar-besaran muncul pertama kali di Mesir semasa era Fatimiyah (H969-H1171). Ini kerana orang Fatimiyah menganggap mereka sebagai keturunan Nabi melalui puterinya Fatimah.

Seorang sarjana Jerman, Annemarie Schimmel dalam bukunya And Muhammad is His Messenger (Dan Muhammad adalah Utusan Allah) menyatakan dalam keadaan darurat, seseorang Muslim mungkin menyangkal keyakinannya kepada Allah, tetapi sekali-kali ia tidak akan bersedia mengutarakan kata-kata yang tidak baik apalagi penghinaan terhadap Nabinya. (Lihat al-Quran surah 49 ayat 2-3).

Muhammad s.a.w. adalah utusan Allah yang terakhir. Dengan amanat yang dibawanya, ia merupakan pewujudan nyata daripada sifat Rahman dan Rahim Allah terhadap hamba-Nya, bahkan merupakan penyempurna daripada semua kenikmatan yang telah diberikan-Nya kepada sekalian penghuni alam.

Muhammad s.a.w. dengan syariat yang dibawa telah membuktikan dirinya sebagai potret teladan yang mampu menyatukan umat manusia bangsa Arab, khususnya pada waktu itu dalam satu wadah dan panji kebenaran Islam.

Ketampanan lahiriah terserlah pada wajah Muhammad s.a.w. Tetapi ketampanan lahiriahnya tidak lain adalah cermin keindahan dan kemuliaan batinnya, sebab Allah telah menciptakannya sempurna dalam akhlak dan moral. Ketika Aisyah, isteri kesayangannya yang masih muda, ditanya tentang akhlak Nabi, dia hanya berkata: Akhlaknya adalah al-Quran; dia menyukai apa yang disukai al-Quran, dan menjadi marah bila al-Quran marah.

Pembaca Barat, yang dibesarkan dalam tradisi yang telah tertanam berabad-abad untuk membenci Muhammad, barangkali akan terkejut apabila mengetahui bahawa dalam semua catatan, akhlak yang terutama ditekan dalam diri Nabi adalah kerendahan hati dan kebaikannya.

Semua catatan membicarakan tentang sikap Muhammad yang ramah, baik hati, tetapi serius, dan menunjukkan bahawa baginda tidak sering ketawa. Sebuah hadis Nabi yang terkenal menyatakan: Jika kamu tahu apa yang aku ketahui, maka kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa. Tetapi baginda juga dikatakan mempunyai senyuman yang paling memikat yang sentiasa menarik hati para pengikutnya. Malah Al-Ghazali menyebutkan tentang kecenderungan Nabi untuk ketawa. Humornya yang lembut terlihat daripada beberapa kisah Islam awal. Contohnya seperti berikut:

Suatu hari seorang wanita tua bertubuh kecil datang kepadanya dan menanyakan apakah wanita tua yang menyedihkan seperti dirinya itu juga akan masuk syurga. Tidak, kata Nabi, Tidak akan ada wanita tua di syurga! Dan kemudian, melihat kesedihan di wajahnya, Nabi meneruskan sambil tersenyum: Mereka akan diubah semuanya di syurga, sebab di sana hanya akan ada usia muda untuk semua penghuninya!

Sikap Muhammad terhadap kaum yang lemah dan kebaikannya itu selalu ditonjolkan. Mengikut sebuah hadis, baginda tidak pernah memukul pelayan, apa lagi pelayan wanita, atau salah seorang isterinya. Tirmidzi menggambarkannya sebagai berikut: Baginda akrab dengan kesedihan, banyak berfikir, sedikit beristirahat, tidak berkata-kata untuk waktu yang lama, dan tidak berbicara tanpa sebab. Baginda memulai dengan mengakhiri pembicaraannya dengan kata-kata; Dengan nama Allah. Pembicaraannya ringkas, tidak terlalu panjang dan juga tidak terlalu pendek, tidak kasar tetapi juga tidak main-main. Dia menghormati setiap tanda kurnia Allah, meskipun hanya kecil, dan tidak pernah menyalahkan apa pun.

Nasihat kepada umatnya terlalu banyak. Ketika seorang Badwi menanyakan kepadanya, apakah kerana percaya kepada Allah dan perlindungan-Nya, dia boleh membiarkan untanya memakan rumput dengan bebas, Nabi menjawab ringkas, Iqilha wa tawakkal. Pertama-tama tambatkanlah unta itu dulu, lalu percayakan kepada Allah.

Dunia ini adalah ladang persemaian bagi kehidupan di akhirat; setiap tindakan yang dilakukan oleh manusia di muka bumi ini akan menghasilkan buah - entah baik entah buruk - di akhirat kelak. Lebih jauh lagi, setiap Muslim yang taat hendaknya selalu ingat akan doa pendek yang tepat daripada Nabi, ``Ya Allah, tambahlah pengetahuanku!''

Orang yang beriman hendaknya juga meniru caranya bergaul dengan orang sezamannya dan caranya berperilaku di tengah-tengah masyarakat. Bukankah dia tidak pernah disalahkan dalam al-Quran kerana bersungut-sungut kepada seorang tamu yang buta.

Jika seseorang datang dengan suatu permintaan, dia tidak akan disuruh pergi sebelum permintaannya dikabulkan, atau sebelum dia setidak-tidaknya menerima jawapan yang ramah. Keramahan dan pemberian Nabi tertuju kepada semua orang; dia bagaikan seorang ayah bagi para sahabatnya.

Membicara dan memperkatakan tentang Nabi Muhammad s.a.w. sudah tentu tidak akan menambah keagungannya, jika sifat-sifat terpuji baginda tidak sedikit pun diraih oleh umat manusia.

- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cCPIW43L© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 21 Mac 2017

Kenapa Rasulullah kahwin dengan hamba



ARKIB : 10/03/2002
 Bicara Agama oleh Astora Jabat
(astora@email.com)
TIDAK semua orientalis tidak baik kerana ramai daripada mereka membincangkan pelbagai isu agama secara ilmu sama ada yang berkait dengan Islam mahupun yang berkaitan dengan agama-agama lain.

Pada waktu yang sama ramai juga orientalis tidak baik yang menjadi crusader atau pejuang Perang Salib yang melancar Perang Salib pemikiran ke atas Islam dan umatnya.

Dalam keghairahan ramai di kalangan kita menolak golongan ulama konservatif yang jumud, penulis berpendapat jangan sama sekali sampai kita terperangkap menjadi mangsa Perang Salib pemikiran para orientalis yang tidak baik itu.

Nasihat ini penulis ditujukan kepada semua orang kita yang berpendidikan Inggeris atau mereka yang mendalami pemikiran agama dengan merujuk kepada buku-buku rujukan dalam bahasa Inggeris.

Di antara tajuk yang gemar dibincangkan oleh para orientalis tidak baik itu ialah dakwaan bahawa agama yang diseru oleh Rasulullah s.a.w. sebagai agama jahiliah, baginda belajar agama daripada ahli agama Yahudi dan Kristian, baginda sakit jiwa dan gila, baginda menyebar Islam dengan pedang, baginda kaki perempuan dan lain-lain.

Dakwaan baginda kaki perempuan inilah yang penulis akan bincangkan minggu ini.

Baginda didakwa begitu kerana baginda berkahwin secara sah dengan beberapa orang wanita bebas dan hamba yang telah dibebaskan oleh baginda.

Perlu diterangkan bahawa berkahwin lebih daripada satu bukan bermula dengan Islam atau Nabi Muhammad s.a.w. Sebaliknya perkara itu wujud sejak beratus dan beribu tahun sebelum ketibaan Islam.

Semua agama langit sebelum Islam membenarkan diamalkan poligami. Agama Yahudi pada masa lalu sebagaimana disebut dalam Taurat membenarkan lelaki berkahwin tanpa batas. Dengan itu tidak hairan jika nabi-nabi yang diutus kepada umat Yahudi berkahwin dengan ramai wanita.

Nabi Sulaiman alaihissalam sebagai contoh berkahwin dengan ratusan wanita. Bagaimanapun, sesetengah ahli agama Yahudi yang dikenali sebagai rabi membataskan perkahwinan kepada empat orang wanita seperti yang terdapat di dalam Islam. Pembatasan itu dilakukan berdasarkan kepada amalan Nabi Yaakub alaihissalam yang berkahwin dengan empat wanita saja.

Kini amalan berkahwin lebih daripada satu jarang terdapat di kalangan orang Yahudi di Israel dan negara-negara Barat. Tetapi orang Yahudi di negara-negara Arab atau keturunan Arab masih mengamalkan ajaran berkahwin lebih daripada satu.

Orang Kristian juga mengamalkan berkahwin lebih daripada satu. Maharaja Constantine dan puteranya berkahwin lebih daripada satu.

Mararaja Vlabius Valentian pula telah mengeluarkan undang-undang membenarkan semua lelaki berkahwin dengan beberapa wanita jika mereka mahu dan mampu.

Cuma amalan tradisi itu mula diharamkan pada zaman Maharja Justinian. Namun, pengharaman itu hanya dalam teori saja, tetapi dalam alam nyata majoriti orang Kristian pada zaman pertengahan masih kekal dengan amalan berkahwin lebih daripada satu.

Pada zaman keagungan firaun, Rom dan Yunan beribu-ribu tahun dulu juga terdapat amalan poligami.

Orang Arab pada zaman jahiliah juga mempunyai isteri yang sangat ramai dan ada di kalangan mereka kekal dengan isteri masing-masing setelah memeluk Islam.

Bagaimanapun, setelah diturunkan wahyu mengehadkan lelaki Islam berkahwin dengan empat orang wanita sahaja, orang Islam termasuk para sahabat yang mempunyai ramai isteri mengambil tindakan menalakkan isteri masing-masing dan meninggalkan empat orang isteri saja di bawah tanggungan mereka.

Ini seperti dilakukan oleh orang Islam dari Bani Thaqif seperti Ghilan ibn Salmah, Sufian ibn Abdullah dan Massu'ud ibn Amer di mana masing-masing yang mempunyai sepuluh orang isteri terpaksa menalak enam orang dan meninggalkan empat isteri di bawah tanggungan mereka.

Begitu juga yang dilakukan oleh Nufl ibn Mu'awiah yang mempunyai lima isteri, Abdul Mutalib ibn Hashim mempunyai enam isteri, Abu Sufian dan Safwan ibn Umaiyah mempunyai enam isteri dan al-Mughira ibn Shu'bah mempunyai 70 atau 93 orang isteri mengikut sesetengah riwayat.

Sebagai agama yang membuat perubahan secara evolusi dalam semua perkara, perkahwinan tanpa batas dihadkan sedikit demi sedikit sehingga pada hari dikeluarkan peruntukan dalam al-Quran membenarkan berkahwin empat orang wanita dengan syarat yang amat ketat dan penghapusan perhambaan.

Perkahwinan Rasulullah dengan beberapa orang wanita walaupun merupakan hak khusus bagi baginda sebagai utusan Allah, tetapi tidak patut dilihat kecuali dalam konteks amalan berkahwin lebih daripada satu itu merupakan amalan turun-temurun masyarakat sejak ratusan dan ribuan tahun.

Jika dilihat dalam konteks itu kita akan dapati bahawa perkahwinan Rasulullah adalah satu pengorbanan yang besar. Malah di sebalik perkahwinan itu terdapat banyak matlamat lain termasuk untuk mendampingi sesuatu kaum, bangsa dan negara dan mendekatkan orang dengan Islam.

Cuba perhatikan beberapa fakta ini.

Rasulullah yang berusia 25 tahun berkahwin dengan wanita tua berusia 40 tahun iaitu Khadijah binti Khuwailid.

Baginda tidak berkahwin dengan mana-mana wanita kecuali selepas Khadijah meninggal dunia. Baginda kekal dengan satu isteri selama 15 tahun.

Disebut dalam kitab Zadul Mi'ad bahawa Rasulullah tidak mengahwini wanita-wanita lain kecuali selepas Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia dan kemudian baginda mengahwini Saudah binti Zama'ah. Semua anak baginda lahir dengan Khadijah kecuali Ibrahim.

Semua isteri baginda adalah janda kecuali Aisyah yang diakad nikah dengan Rasulullah pada usia enam atau tujuh tahun. Baginda tidak menggauli Aisyah kecuali selepas Aisyah berusia sembilan atau sepuluh tahun.

Inilah antara alasan yang digunakan oleh sesetengah orientalis untuk mengaibkan Rasulullah. Tetapi riwayat tentang usia Aisyah itu sendiri yang dicatatkan selepas 500 tahun itu bukan fakta yang muktamad.

Ini sama juga dengan usia Khadijah 40 tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah yang dipertikaikan oleh sesetengah sarjana Islam. Salah seorang sarjana Islam yang mempertikai usia Khadijah itu ialah guru penulis, Dr. Suhial Zakkar yang berasal dari Syria. Beliau berhujah bahawa jika betul Khadijah berusia 40 tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah, masakan dia boleh melahirkan tujuh orang anak dengan baginda.

Tiga daripada mereka lelaki dan baki empat orang wanita.

Beberapa wanita yang merupakan hamba dikahwini Rasulullah selepas Rasulullah membebaskan mereka terlebih dahulu.

Ini kerana telah menjadi dasar dalam Islam membenarkan lelaki Islam berkahwin dengan hamba untuk membebaskan mereka daripada perhambaan. Dasar ini tidak pernah diamalkan oleh mana-mana bangsa pada zaman itu kerana semua bangsa menerima perhambaan sebagai salah satu sistem masyarakat.

Dengan ada dasar itu dalam Islam menyebabkan perhambaan terhapus secara beransur-ansur. Sebagai contoh anak yang lahir daripada hamba yang dikahwini lelaki Islam menjadi orang bebas. Malah wanita hamba itu pula yang dipanggil umm al-walad menjadi bebas selepas suaminya meninggal dunia.

Ibn Hisyam ada menukilkan beberapa cerita yang menarik mengenai perkahwinan Rasulullah dengan hamba seperti Juwairiah yang ditawan dalam satu peperangan.

Salah satu cerita yang dikutip di sini ada menyebut bahawa Juwairiah telah menjadi habuan perang kepada Thabit bin Qaisy bin asy-Syammas al-Ansari.

Kemudian Rasulullah membeli Juwairiah daripada Thabit dan membebaskannya. Setelah itu baginda mengambilnya sebagai isteri. (Ibn Hisyam, juz kedua, muka surat 646)

Satu lagi cerita ialah mengenai perkahwinan Rasulullah dengan seorang hamba wanita iaitu Raihanah binti Zaid.

Kitab Zad al-Mi'ad menyebut bahawa Rasulullah telah membebaskan Raihanah daripada perhambaan dan mengahwininya.

Maria al-Qibtiyyah pula ialah seorang hamba wanita beragama Kristian yang merupakan pemberian dari Mesir. Bapa Maria adalah orang Qibti Mesir dan ibunya pula merupakan orang Yunan (Greek). Maria inilah yang menjadi isteri kedua Rasulullah yang melahirkan anak ketujuh baginda yang diberi nama Ibrahim.

Seorang hamba wanita lain yang dikahwini Rasulullah ialah Safiah binti Huyei dari kaum Yahudi Bani Nadir.

Safiah dikatakan dari keturunan Nabi Harun alaihissalam, adik kepada Nabi Musa alaihissalam. Safiah merupakan anak kepada orang besar dan ketua suku Bani Nadir di mana bapanya terlibat dalam merancang komplot untuk membunuh Nabi. Komplot itulah yang menyebabkan kaum Yahudi diusir dari Madinah.

Suami Safiah mati semasa dalam pertempuran dan Safiah menjadi tawanan. Bagaimanapun, Rasulullah membebaskannya dan mengambil wanita itu menjadi isteri.

Perkara terakhir yang penulis ingin jelaskan di sini ialah para sejarawan Islam tidak bersepakat tentang jumlah isteri Rasulullah. Ada yang berkata baginda mempunyai sebelas orang isteri, ada yang berkata baginda ada 14 dan 15 isteri.

Cuma jika kita merujuk kepada Ibn Hisyam dalam kitab Sirahnya (juz kedua, muka surat 644-648) didapati beliau menyebut bahawa isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang dipanggil Umahat al-Mu'minin sembilan orang kesemuanya seperti Aisyah binti Abu Bakar, Hafsah bin `Umar bin al-Khattab, Ummu Habibah bin Abu Sufyan bin Harb, Ummu Salmah bin Abu Umaiyah bin al-Mughirah, Saudah binti Zama'ah bin Qais, Zainab binti Jahsy bin Ri'ab, Maimunah binti al-Harith, Jurairiah binti al-Harith bin Abu Dhirar dan Safiyyah binti Huyai bin Akhtab.

Pengarang yang sama berkata, wanita yang dikahwini dan digauli Rasulullah adalah sebelas orang kesemuanya termasuk sembilan orang yang bergelar Ummu al-Mu'minin itu.

Dua daripada mereka meninggal dunia sebelum baginda, iaitu Khadijah binti Khuwailid dan Zainab binti Khuzaimah.

Sembilan daripada mereka meninggal dunia selepas baginda wafat. Dua daripada mereka dikahwini baginda tanpa menggauli mereka iaitu Asma' binti an-Nu'man al-Kindiah dan Amrah binti Yazid al-Kilabiah

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4bxnwHwBr© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 Februari 2017

Mengupas kehebatan Muhammad Abdullah

APAKAH perasaan anda apabila berpeluang berjumpa ataupun dipeluk oleh manusia teragung di muka bumi, Muhammad Abdullah?

Pastinya tidak semua orang berpeluang untuk berjumpa dan melihat jasadnya pada zaman baginda apatah lagi setelah baginda wafat pada tahun ke-11 Hijrah.

Namun, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas Malik menceritakan tentang seorang pemuda bernama Zahir yang dipeluk oleh seorang lelaki ketika dia sedang berniaga di pasar.

Ketika Zahir menjual barang-barangnya, seorang lelaki memeluknya dari belakang.

Zahir kemudiannya bertanya siapakah gerangan orang tersebut dan meminta pelukan itu dilepaskan. Saat pelukan dilepaskan dan dia berkalih pada lelaki yang kemudiannya mengajukan soalan, “Siapa mahu membeli hamba ini?”

Zahir pun membalas: “Jika begitu, demi Allah engkau mendapatiku adalah seorang yang tidak berharga kerana menjualku sebagai hamba.”

“Akan tetapi di sisi Allah engkau ialah seorang yang mahal,” balas lelaki itu.

Bertuahlah Zahir kerana berpeluang untuk dipeluk dan bergurau dengan insan agung, nabi akhir zaman.

Dalam ketinggian darjatnya sebagai seorang pemimpin Madinah yang hebat, baginda masih mengekalkan sifat zuhud dalam setiap aspek termasuklah peribadi, pergaulan dan sikapnya selain fizikal yang sudah tersedia sederhana.

Siapa sangka dalam statusnya bergelar Rasulullah, Nabi Muhammad SAW seorang yang suka bergurau dan bermesra. Gurauannya tidak melampaui batas dan menjaga adab antara dirinya dan manusia lain.

Daripada hadis ini jelas menggambarkan, Rasulullah adalah seorang yang suka bergurau dengan sesiapa sahaja yang dikenali secara sangat berhemah kerana dalam setiap gurauannya mempunyai pengisian atau mesej berguna kepada orang lain.

Ciri fizikal

“Gurauan yang berlaku antara Zahir dan Rasulullah boleh menjadi contoh bahawa seorang pemimpin juga boleh bergurau dengan orang biasa.

“Gurauan itu bukan hanya melibatkan ucapan malah turut disertai perbuatan baginda yang memeluk Zahir dari belakang,” jelas pendakwah terkenal, Ustaz Dr. Zahazan Mohamed mengulas berhubung keperibadian Rasulullah.

Dalam satu pertemuan dengan Zahazan baru-baru ini, beliau menjelaskan Muhammad adalah pemimpin yang diterangkan secara jelas perwatakan dan fizikalnya yang diriwayatkan oleh para sahabat.

Secara fizikalnya, Rasulullah adalah seorang lelaki yang berbadan tegap dan berdada bidang sehinggakan air mandiannya mengalir seperti air terjun tatkala turun dari dada ke bawah apabila mandi.

Baginda tidaklah terlalu tinggi sehingga orang perlu mendongakkan kepala untuk melihatnya malah tidak terlalu rendah sehingga tenggelam dalam pandangan ramai.

Rambut baginda tidak kerinting dan tidak pula terlalu lurus manakala kulitnya putih kemerahan.

CAPAL Nabi Muhammad mempunyai dua tali penambat kaki dan dua tali perentang.

Selain fizikalnya yang bersifat sederhana yang cantik, kehidupan baginda tidak mewah walaupun mempunyai peluang untuk bermewah. Segala harta atau keperluan yang ada padanya, diambil sekadar cukup-cukup sahaja dan selebihnya diagihkan kepada orang yang lebih memerlukan.

Contohnya, hadis yang diriwayatkan oleh isteri Baginda, Aisyah: “Sesungguhnya, kami ahli-ahli keluarga Muhammad SAW pernah tinggal di dalam rumah selama sebulan tanpa menyalakan api untuk memasak. Makanan kami tiada lain hanyalah tamar dan air.”

Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah turut mengajar keluarganya supaya bersederhana.

Cerita Zahazan yang mengupas tentang keperibadian Rasulullah, sewaktu Rasulullah sedang bersolat pada waktu malam, kaki isteri baginda tersentuh pada bahagian kepalanya ketika sedang bersujud.

“Bayangkan keluasan rumah baginda. Rumah tersebut tidak layak digelar rumah kerana berkeluasan bilik sahaja.

“Rasulullah akan berpuasa selang sehari kerana makanan di rumahnya adalah cukup-cukup sahaja. Baginda biasanya hanya meminum air kosong dan tamar sebagai alas perut,’’ ujar beliau. Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd. ini menegaskan, kisah-kisah Rasulullah patut diketahui oleh semua orang kerana melaluinya terkandung pelbagai pengajaran dan contoh berguna dalam semua aspek kehidupan.

Manfaat

Syarikat penerbitan Telaga Biru telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah karya terjemahan daripada Imam At-Tarmizi yang bertajuk, Kenali Rasul Kita Muhammad SAW pada tahun 2013 bagi berkongsi kisah-kisah Rasulullah kepada awam.

Mengambil masa sehingga tujuh tahun untuk menghasilkan buku tersebut, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 42, menyifatkan ia adalah karya yang paling disayanginya.

Lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir jurusan Syariah dan Undang-Undang ini menjelaskan, kajiannya sepanjang menterjemah karya itu membawa manfaat yang besar buat diri dan masyarakat untuk dikongsi.

“Faedahnya cukup sempurna buat masyarakat dan diri saya. Daripada kajian ini, banyak sumbangan dan kehebatan insan ini yang dapat saya kupas.

“Tidak dapat saya bayangkan bagaimana seorang lelaki berumur 50-an boleh mengetuai peperangan sebanyak 30 kali walhal peperangan pada zaman dahulu banyak menggunakan fizikal.

“Baginda adalah insan yang sangat hebat baik dari segi dalaman atau luarannya. Fizikalnya sangat kuat dan sihat,” jelas anak kelahiran Arau, Perlis ini.

Ahmad Adnan berkata, walaupun Rasulullah adalah pemimpin tertinggi di Madinah dan merupakan seorang rasul, baginda selalu tersenyum tatkala bertemu dengan sesiapa sahaja malah menjadi orang pertama yang memberi salam.

Umat terbaik

“Disebabkan itu, sesiapa yang pernah berjumpa dengan Muhammad Abdullah, mereka akan teringin untuk berjumpa lagi.

“Bukan kerana baginda seorang rasul, tetapi kerana insan mulia ini sangat pandai bergaul dengan orang lain,” kongsinya.

AHMAD bersama karya terjemahan kesayangannya, Kenali Rasul Kita Muhammad SAW.

Selain itu kata Ahmad Adnan, baginda seorang yang tidak pernah menzahirkan masalahnya apabila dibelenggu sesuatu masalah. Sebaliknya, apabila sahabat-sahabat yang mempunyai masalah bertemu Rasulullah, mereka akan pulang dengan senyuman.

Baginda adalah penawar dan cahaya kepada umat. Sebagaimana yang disebut oleh Ibrahim Adham, wali Allah yang menyifatkan bahawa umat Muhammad adalah umat yang terbaik.

Jelas Ahmad Adnan, Muhammad adalah rasul terbaik dalam kalangan rasul-rasul. Baginda akan memberi syafaat kepada umatnya di akhirat kelak.

Malangnya menurut pendakwah ini, ramai yang tidak menyintai Rasulullah walhal beriman kepada rasul adalah teras kepada iman seseorang.

“Bagaimana mahu menanamkan perasaan kasih kepada baginda jika tidak kenal akan kisah dan sejarahnya? Bagaimana mahu cinta kepadanya jika peribadi dan akhlaknya tidak dijadikan panduan?

“Kenalilah Rasulullah bukan hanya dengan berselawat tetapi kajilah tentang kisah hidup dan sejarahnya,” ujar Ahmad Adnan.

Ilmu

Jelas Ahmad Adnan, Rasulullah pernah bersabda bahawa, para rasul tidak meninggalkan harta kepada umatnya melainkan ilmu yang boleh digunakan oleh manusia sejagat.

Sehubungan itu, saran pendakwah ini, umat hari ini perlu mempelajari hadis-hadis Rasulullah setiap hari.

“Jadikan amalan untuk membaca hadis baharu pada setiap hari. Itu adalah salah satu cara untuk kita mengenali dan menanamkan kecintaan kepada Rasulullah.

“Selain al-Quran, hadis adalah sumber rujukan ilmu untuk orang Islam. Hubungan ilmu adalah hubungan yang paling penting antara rasul dan umatnya,” terangnya.

Buku Kenali Rasul Kita Muhammad SAW, merupakan terjemahan dan ulasan karya agung Imam at-Tirmizi, as-Syamail al-Muhammadiyah.

Imam at-Tirmizi atau nama sebenarnya Muhammad Isa Suarah Musa as-Sulami at-Tirmizi merupakan seorang tokoh hadis yang sebaris dengan Imam-Bukhari, Imam Muslim, Imam an-Nasa’i, Imam Abu Daud dan sebagainya. Beliau lahir pada tahun 209 Hijrah dan wafat pada tahun 297 Hijrah.

Buku berkulit tebal yang mempunyai 685 muka surat ini memperincikan kesempurnaan peribadi, akhlak dan cara hidup Rasulullah SAW.

Mengandungi 56 bab,bab pertama dimulakan dengan Ciri-Ciri Fizikal Nabi SAW dan diakhiri dengan bab Melihat Nabi Dalam Mimpi.

Buku yang memuatkan pelbagai gambar berwarna-warni dan ilustrasi bagi meningkatkan kefahaman pembaca ini turut memuatkan profil ringkas setiap perawi hadis dalam kalangan tabiin. Harga buku ini ialah RM89.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3Ni3l2k5jHakcipta terpelihara