Selasa, 3 Oktober 2017

1,000 malaikat pada Perang Badar



ARKIB : 13/07/2007

(INGATLAH), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankan-Nya bagimu: Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut. (al-Anfaal: 9)

Ketika berlakunya Perang Badar, Rasulullah memerhatikan bagaimana tentera Islam bertempur dengan tentera Quraisy. Pasukan tentera Islam yang sedikit bilangannya dengan senjata yang terhad berlawan dengan gagah berani.

Dalam keadaan demikian, Rasulullah bermunajat memohon pertolongan kepada Allah.

“Ya Allah kirimkanlah bantuan dan pertolongan-Mu. Ya Allah tunaikanlah janji-Mu kepadaku. Ya Allah, jika kelompok ini dihancurkan, maka Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini.”

Sementara itu, tentera-tentera Muslimin terus berada berada di medan pertempuran untuk mempertahankan serangan tentera Quraisy. Setelah mengemaskan saf tentera Islam, Rasulullah kembali ke tempatnya dengan bermunajat dan bermohon restu kepada Allah.

Apabila peperangan semakin memuncak, perjuangan menjadi bertambah sengit. Tentera Islam berjuang dengan penuh yakin. Baginda sekali lagi memohon doa dengan bersungguh-sungguh sehingga terjatuh kain serban dari atas bahunya. Abu Bakar terpaksa meletakkannya semula ke bagi Baginda.

“Cukuplah wahai Rasulullah dengan permintaan kau kepada Tuhanmu,” kata Abu Bakar.

Pada masa itu, Allah telah mewahyukan perintah-Nya kepada golongan malaikat dan Allah mewahyukan pula kepada Rasul-Nya di bumi. Kemudian turunlah bala tentera malaikat yang dipimpin oleh Jibrail. Ketibaan para malaikat menyertai tentera Islam adalah secara berperingkat-peringkat, bukan sekali gus.

Sementara itu, Baginda telah terlelap dan terlena sejenak, kemudian Baginda mengangkat kepalanya dan berkata kepada Abu Bakar bahawa Jibrail telah datang di antara debu-debu berterbangan untuk melawan pihak musuh. Kemudian Baginda keluar ke hadapan tempat perteduhan dengan mengenakan baju besi. Seterusnya Baginda mengambil segenggam pasir dan menoleh ke arah tentera Quraisy. Baginda berkata, “Musnah kalian semua,” sambil melontar pasir itu ke arah mereka menyebabkan tidak ada seorangpun yang tidak terkena pasir itu. Dengan izin Allah, pasir itu terkena telinga, mata, hidung dan mulut mereka sehingga menyebabkan penglihatan mereka menjadi kabur.

Pada masa yang sama, Baginda mengarahkan tenteranya membuat serangan balas terhadap tentera Quraisy dengan memberikan kata-kata yang penuh semangat perjuangan yang begitu kental. Semasa Baginda mengarahkan serangan balas, pihak tentera Quraisy sudah tidak bersemangat lagi. Semangat mereka untuk bertarung sudah luntur. Tindakan Baginda sangat bijak dan ia telah memberikan kesan mendalam kepada tentera Muslimin untuk memperkukuhkan kedudukan.

Sejurus menerima arahan membuat serangan, jiwa mereka membara dan bertambah cergas. Dengan itu mereka menyerang secara bertubi-tubi dan mengganyang barisan lawan sehabis-habisnya. Tentera Quraisy terbadai ke sana sini bagaikan tikar digulung ke sana sini. Kepala-kepala mereka tercantas, badan-badan mereka terkulai jatuh bertiarap di bumi. Tentera Muslimin semakin bersemangat dan bertempur bermati-matian untuk menegakkan agama Allah.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

* Allah telah memperingatkan kepada umat Islam agar sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi musuh, sama ada persiapan dari segi fizikal, jiwa dan hubungan hati dengan Allah atau kelengkapan senjata. Tetapi persiapan yang paling utama ialah persiapan iman dan takwa.

PERBENDAHARAAN KATA

* mendalam: besar, ketara

* mengganyang: membinasakan, memusnahkan atau menghancurkan

* terbadai: tersadai, dipukul habis

INFORMASI

* Kekuatan seorang malaikat ketika berperang menyamai sepuluh orang tentera Muslimin.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_07.htm#ixzz4uRiYGSfh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Wajib berjihad melawan pencerobohan

ARKIB : 11/07/2007
Syeikh al-Maraghi berkata, kalam Allah yang terdahulu membincangkan berkenaan dengan infak dan membelanjakan harta pada jalan Allah mengikut bahagian orang-orang beriman yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Ia boleh mewujudkan ruh ta’awun antara ikhwah dalam iman.

Ia sebagai takaful umum dalam sebuah keluarga Islam yang seluruh anggotanya seperti sebuah badan, tidak mengadu satu anggota kecuali anggota yang lain memainkan peranannya.

Kemudian selepas itu dinyatakan bab peperangan dengan pengorbanan jiwa semata-mata meninggikan agama Allah. Sebagaimana yang dinyatakan bahawa harta adalah saudara kepada ruh. Justeru, hubungan antara keduanya amat kuat, amat munasabahlah disebut ayat perang selepas menyebut semua hukum sedekah.

Allah berfirman:

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216)

Dinukilkan hukum jihad menurut para Fuqaha, Hasan al-Banna berkata: Di sini ingin saya petik beberapa pendapat ulama mazhab termasuk para ulama terkini berhubung hukum jihad dan persediaan berjihad.

Menurut pengarang kitab Majma’ al-Anhar Fi Sharh Multaqa al-Abhar yang menjelaskan hukum jihad dalam mazhab Hanafi: Jihad menurut bahasa ialah memberikan apa yang termampu baik dalam bentuk kata-kata atau tindakan. Menurut syariat pula ialah membunuh orang kafir atau seumpama dengannya dengan cara memukul mereka, merampas harta mereka, menghancurkan tempat ibadat dan memecahkan berhala mereka.

Tujuannya, mengukuhkan agama dengan cara memerangi kafir harbi atau zimmi yang melanggar perjanjian dan juga orang murtad yang merupakan orang kafir paling keji kerana dia mereka membatalkan pengakuannya. Jika kita yang mulakan peperangan ini ialah fardu kifayah. Maksudnya kita wajib memulakan peperangan selepas kita sampaikan dakwah Islam. Jika mereka tidak memerangi kita, pemerintah wajib mengutus pasukan tentera ke negara setiap tahun sekali atau dua kali.

Rakyat pula perlu menyokong pemerintah. Apabila perkara ini dilaksanakan oleh sebahagian, yang lain tidak diwajibkan. Jika kewajipan ini tidak terlaksana, penduduk yang berdekatan dan seterusnya yang terdekat wajib melaksanakannya. Jika masih tidak cukup dan memerlukan penyertaan semua, ketika itu jihad adalah fardu ain sama seperti sembahyang.

Hukum ini wajib berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Maka perangilah orang-orang musyrikin itu. Ia juga berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

Jihad itu terus hingga hari kiamat. Jika ditinggalkan, semua orang Islam berdosa.

Di akhirnya pengarang menyebut: Jika musuh berjaya menguasai sebahagian bumi Islam atau sebahagian wilayah Islam, hukum ketika itu adalah fardu ain. Wanita dan hamba boleh keluar tanpa izin suami dan tuannya. Begitu juga anak boleh keluar tanpa izin ibu bapanya. Pemiutang boleh keluar tanpa izin penghutangnya.

Dalam buku al-Bahr dinyatakan, jika seseorang wanita Islam ditawan di sebelah Timur, seluruh penduduk Barat wajib membebaskannya selagi wanita itu tidak dibawa pulang ke kota atau kubu mereka.

Menurut pengarang Bulghah al-Masalik Li Aqrab al-Masalik Fi Mazhab Imam Malik (Mazhab Maliki): Jihad di jalan Allah untuk memartabatkan kalimah Allah pada setiap tahun adalah fardu kifayah. Jika telah dilaksanakan oleh sebahagian, yang lain tidak diwajibkan.

Namun jihad menjadi fardu ain kepada orang tertentu seperti sembahyang dan puasa apabila dia dipilih oleh pemerintah melaksanakan tugas tersebut atau apabila sebuah wilayah Islam diserang musuh. Ketika itu penduduk itu wajib dan jika tidak mampu penduduk berdekatan juga diwajibkan.

Dalam keadaan ini, wanita dan hamba juga diwajibkan walaupun mereka dilarang oleh wali, suami, tuan dan peminjam bagi yang berhutang. Jihad juga wajib jika bernazar. Ibu bapa hanya boleh melarang jika jihad adalah fardu kifayah. Membebaskan seorang tawanan perang yang ditawan musuh adalah fardu kifayah jika wangnya tidak mencukupi untuk membebaskan dirinya. Walaupun ini bermakna terpaksa menggunakan semua harta umat Islam untuk membebaskannya.

Menurut Matan al-Minhaj karangan Imam Nawawi bermazhab Syafie, jihad di zaman Rasulullah s.a.w adalah fardu kifayah dan ada yang berpendapat fardu ain. Selepas zaman Rasulullah s.a.w pula bergantung pada kedudukan orang kafir.

Pertama: Jika orang kafir berada di negara mereka, jihad adalah fardu kifayah. Jika jihad ini dapat dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam, yang lain tidak tidak wajib melaksanakannya.

Kedua: Jika orang kafir menceroboh ke dalam negara kita, penduduknya wajib mempertahankannya dengan segala upaya mereka. Jika mereka boleh bersiap sedia untuk berperang, mereka diwajibkan termasuklah orang miskin, anak lelaki, pemiutang dan hamba walaupun tanpa izin.

Menurut kitab al-Mughni karangan Ibnu Qudamah bermazhab Hanbali, jihad adalah fardu kifayah.

Namun ia menjadi wajib (fardu ain) dalam tiga keadaan:

* Jika dua bala tentera bertembung dan bersemuka, sesiapa yang ada ketika ini diharamkan beredar dan masing-masing wajib menyertainya.

* Jika orang kafir menceroboh sesebuah wilayah, seluruh penduduk wilayah itu wajib berperang dan bertahan.

* Apabila pemerintah mengerah kumpulan tertentu, kumpulan itu wajib keluar berjihad.

Sekurang-kurangnya jihad ini dilakukan setahun sekali.

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, “setahu saya tidak ada amalan fardu yang lebih baik daripada jihad, manakala perang di laut lebih baik daripada perang di darat”.

Menurut kitab al-Muhalla, karangan Ibnu Hazm bermazhab Zahiri, jihad adalah fardu kepada umat Islam. Jika telah ada orang yang menghadapi serangan musuh, melancarkan serangan ke kubu musuh, memelihara sempadan umat Islam, orang lain tidak diwajibkan. Jika tidak ada, maka jihad diwajibkan kepada setiap orang Islam.

Allah berfirman yang bermaksud,

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu. (at-Taubah: 41)

Jihad hanya boleh dilaksanakan jika diizinkan oleh ibu bapa. Namun jika musuh menyerang sekumpulan umat Islam, jihad menjadi wajib kepada semua yang mampu menolong mereka sama ada ibubapa izinkan atau tidak. Kecuali jika tanpa kehadirannya boleh menyebabkan ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka akan terbiar.

Menurut al-Syaukani dalam kitab Al-Sail Al-Jarrar: Dalil-dalil daripada al-Quran dan sunah yang menyatakan jihad adalah wajib terlalu panjang untuk dituliskan di sini. Walau bagaimanapun jihad ini hanya fardu kifayah iaitu jika telah dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam, maka yang lain tidak diwajibkan. Namun begitu, sebelum sebahagian tadi melaksanakannya, jihad ini adalah fardu ain kepada semua yang mampu.

Bagi sesiapa yang dikerah untuk berperang oleh pemerintah, dia wajib berperang dan hukum baginya adalah fardu ain.

Para ulama, ahli sufi, ahli profesional dan sebagainya tidak pernah meninggalkan dan mengabaikan jihad. Mereka sentiasa bersiap sedia.

Abdullah bin al-Mubarak, seorang ahli fikah yang zuhud sentiasa secara sukarela menyumbangkan banyak masa untuk berjihad. Demikian juga Abdul Wahid bin Zaid, seorang ahli sufi yang zuhud. Shaqiq al-Bajkhli, mahaguru sufi di zamannya sentiasa membawa diri dan anak murid untuk berjihad.

Bagi al-Badar al-Aini, penulis huraian hadis al-Bukhari seorang ulama fikah dan hadis, beliau akan membuat giliran, tahun ini berperang, tahun hadapan mengajar dan tahun berikutnya menunaikan haji. Al-Qadi Asad bin al-Furat al-Maliki adalah ketua tentera laut pada zamannya. Al-Imam al-Syafie apabila memanah sepuluh anak panah, tiada satupun yang tersasar.

Demikianlah budaya ulama silam. Cubalah bandingkan kita dengan sejarah ini.

Iktibar Ayat:

* Berperang mempunyai matlamat untuk menegakkan kebenaran dan keharmonian ummah.

* Kadang-kadang apa yang kita tidak suka mempunyai hikmah yang cukup besar dan jauh lebih baik daripada apa yang kita suka.

* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Mengetahui.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4uRSqtyuA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 2 Oktober 2017

Persiapan Perang Badar



ARKIB : 06/07/2007
KISAH AL-QURAN - SIRI 47
SESUNGGUHNYA telah ada tanda bagi kamu pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan berperang di jalan Allah dan segolongan yang lain kafir yang dengan mata kepala melihat (seakan-akan) orang-orang Muslimin dua kali jumlah mereka.

Allah menguatkan dengan bantuan-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata hati. (Ali Imran: 13)

SEBAB terjadinya perang Badar ialah ketika Rasulullah mendengar berita tentang keberangkatan pedagang Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb.

Mereka dalam perjalanan kembali dari negara Syam dengan muatan barang-barang dagangan yang sangat banyak. Permusuhan antara kaum Quraisy dan kaum Muslimin telah lama berlaku dan berterusan kerana kaum Quraisy selalu berusaha untuk menghalang penyebaran agama Islam.

Kaum Quraisy sering mengadakan gangguan dan serangan di sempadan kota Madinah, tempat tinggal Rasulullah dan kaum Muslimin.

Baginda telah mengarahkan kaumnya supaya keluar mengejar kafilah dagangan kaum Quraisy itu.

Abu Sufyan mendengar berita pengejaran itu. Beliau mengutuskan seorang daripada kaumnya untuk memberitahu tentera-tentera Quraisy di Mekah supaya bersiap sedia menghadapi kaum Muslimin. Utusan Quraisy itu telah mengundang kemarahan seluruh penduduk Mekah kecuali beberapa orang yang tidak mampu untuk berperang.

Ketika Rasulullah mendengar berita pengiriman tentera kaum Quraisy untuk menyerang kaum Muslimin, baginda segera mengumpulkan kaum Ansar dan Muhajirin yang telah bersatu untuk berjuang bersama-sama baginda. Baginda beserta kaum Muslimin yang hanya berjumlah 313 orang berangkat ke Lembah Badar.

Tujuh puluh daripada mereka menaiki unta dan bakinya hanya berjalan kaki. Mereka saling berganti menaiki unta. Begitu juga dengan Rasulullah yang bertukar ganti menaiki unta dengan Abu Bakar, Umar dan sahabat-sahabatnya yang lain.

Nabi bersama tenteranya sampai dahulu ke tempat mata air di tengah malam. Kemudian mereka membuat kolam-kolam air, Rasulullah mengizinkan kaum Quraisy mengambil air minuman apabila mereka turut berkhemah tidak jauh dari situ.

Sebelum Perang Badar bermula, para sahabat mendirikan sebuah panggung untuk Rasulullah. Panggung tersebut didirikan di atas sebuah tempat yang tinggi supaya Baginda dapat menyaksikan kedatangan kaum Quraisy dan mengarahkan tenteranya supaya bersedia.

Setelah mengatur barisan kaum Muslimin, Baginda kemudiannya masuk ke dalam panggung dengan ditemani oleh Abu Bakar.

Dalam panggung itu, Baginda bersujud kepada Allah sambil berdoa memohon bantuan. Baginda berasa kaum Muslimin hanya bersandar kepada kekuatan diri semata-mata. Ini kerana mereka hanya hanya terdiri daripada jumlah yang sangat kecil jika dibandingkan dengan jumlah pihak lawan.

Melihat jumlah yang tidak sebanding itu, Baginda berasa bahawa tidak ada jalan lain selain meminta pertolongan Allah agar diberikan kemenangan. Baginda bertawaduk di hadapan Allah sambil memohon bantuan bagi tentera Islam yang jumlahnya dan kelengkapannya serba kekurangan.

Baginda berdoa semoga tentera Baginda mendapat kejayaan agar agama Islam dapat terus dikembangkan. Jika tidak, pastilah cahaya agama Islam akan pudar sedikit demi sedikit dan akhirnya terus hilang.

PENGAJARAN

*Doa adalah satu-satunya senjata yang paling ampuh apabila bertemu musuh.

*Kekuatan iman sebenarnya mampu mengalahkan kekuatan fizikal.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4uMHH2Wwg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rasulullah SAW seorang super hero!



RASULULLAH SAW mampu mendengar suara dari dalam kubur. - GAMBAR HIASAN
Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz 
02 Oktober 2017 4:00 PM

PERNAH saya menonton rancangan Stan Lee’s Superhuman (pengasas komik Spiderman) menceritakan kelebihan ‘Ang Rita’ iaitu seorang Sherpa (pemandu pendaki ke Gunung Everest di Banjaran Himalaya) yang mendakwa sudah mendaki Gunung Everest lebih 10 kali.

Dia juga dalam rancangan itu mampu bertahan berada di tanah tinggi tanpa menghadapi masalah untuk bernafas. Berlainan dengan keadaan manusia normal yang lazimnya akan menghadapi masalah tersebut apabila sampai pada tahap ketinggian tertentu kerana nipisnya oksigen di tanah tinggi.

Masalah ini dikenali sebagai ‘High Altitude Sickness’.

Usah cepat melopong dengan kelebihan itu kerana manusia kesayangan kita semua, Nabi Muhammad SAW memang memiliki banyak kelebihan fizikal yang luar biasa.

Antaranya baginda mampu melihat para malaikat, jin dan syaitan. Rasulullah terbang ke langit tinggi bersama Jibril tanpa memerlukan peralatan moden yang diperlukan angkasawan.

Bukan setakat itu, deria Baginda juga sangat luar biasa sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis maksudnya:

Daripada Abu Dhar r.a. berkata, Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya aku lihat apa yang kamu tidak lihat. Aku juga dengar apa yang kamu tidak dengar. Langit bergetar dan sangat patut baginya untuk bergetar kerana tiada tempat seluas empat jari melainkan ada sahaja malaikat yang meletak dahinya sujud kepada Allah (maksudnya langit dipenuhi para malaikat yang beribadat kepada Allah). Demi Allah, sekiranya kamu tahu apa yang aku tahu, pasti kamu akan ketawa sedikit dan banyak menangis. (Pasti) kamu juga tidak akan bersenang-lenang bersama isteri atas katil dan pastinya kamu akan keluar ke jalanan mengharap rahmat Allah.” - Riwayat Tirmizi.

Selain itu, banyak bukti yang menunjukkan kelebihan deria lihat, dengar dan rasa terdapat pada Rasulullah SAW. Antaranya;



1) Baginda mampu dengar, lihat dan tahu situasi dalam kubur:

Uthman bin Affan berkata: “Apabila selesai mengebumikan jenazah, Baginda duduk seketika di kuburnya dan bersabda: Mohonlah ampunan untuk saudaramu ini dan mohonlah pada Allah agar memberikannya keteguhan (jiwa) kerana sesungguhnya dia sekarang disoal (oleh dua malaikat).” - Riwayat Abu Daud

2) Baginda juga mampu melihat dari belakang kepalanya seakan ada mata tambahan di situ.

Kenyataan ini memang pelik bunyinya, namun terdapat hadis berbicara mengenainya:

Anas bin Malik r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sempurnakan pergerakan rukuk dan sujud (kamu). Demi jiwaku yang berada dalam tangan-Nya (kuasa-Nya). Sesungguhnya aku memang melihat dari belakangku apabila kamu rukuk dan sujud.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun, adakah kemampuan Baginda ini hanya berbentuk bayangan atau pandangan mata hakiki? Ia dibincangkan oleh para ulama dan ramai ulama berpandangan ia adalah pandangan hakiki atas kapasiti mukjizat Baginda. (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

3) Mata Baginda tidur sedangkan hatinya tidak

Aishah r.a. pernah ditanya mengenai bentuk solat malam Nabi pada bulan Ramadan. Ini jawapan beliau: “Rasulullah tidak menambah solat malam pada bulan Ramadan dan bulan lainnya lebih daripada 11 rakaat. Baginda mendirikan solat empat rakaat, jangan ditanya tentang kualiti dan panjangnya (solat itu kerana ibadat Baginda tiada bandingnya dengan orang lain). Baginda pun meneruskan solatnya empat rakaat lagi dan jangan ditanya tentang kualiti dan panjangnya (solat itu). (Selepas itu Baginda tidur seketika) dan Baginda teruskan lagi solatnya sebanyak tiga rakaat.

Aishah bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah kamu tidur (seketika) sebelum solat witir (dalam bilangan ganjil).” Rasulullah menjawab: “Wahai Aishah, dua mataku tidur tetapi hati jantungku tidak tidur.” - Riwayat Bukhari dan Muslim

Tingkat kecintaan

Mudahnya, kita katakan dalam peristiwa tersebut, mata zahir Rasulullah tidur nyenyak dek keletihan teramat sangat sehingga gagal bertindak balas dengan sinar matahari. Ini sifat manusia biasa yang ada pada Baginda. Hati jantung Baginda pula kekal sedar beribadat kepada Allah dalam kapasiti Baginda sebagai seorang nabi.

Ini antara beberapa kelebihan Rasulullah SAW yang saya jumpa dan mampu kongsi agar cinta dan kagum kita kepada Baginda mencanak naik.

Apa yang lebih penting bukan sekadar kagum dengan kelebihan luar biasa deria baginda, tetapi menggigit kemas segala peninggalan baginda.

Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang kafir.” (Al-Imran : 31-32).

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/rasulullah-saw-seorang-super-hero-1.533171#ixzz4uLQyN7j6
© Utusan Melayu (M) Bhd