Khamis, 21 Disember 2017

Pelbagai keistimewaan Nabi Isa

ARKIB : 20/02/2009
Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Kisah ini berterusan berkenaan perkara yang luar biasa yang dipaparkan oleh Allah SWT".

Al-Maraghi berkata: "Selepas diutarakan kisah mengenai Maryam, lalu diterangkan pula beberapa kisah mengenai Nabi Isa AS, kemudian disusuli pula beberapa kisah tentang Nabi Zakaria AS padahal jarak di antara kedua-duanya agak jauh.

"Tujuan penyajian kisah seperti ini adalah untuk menguatkan lagi kebenaran di sebalik kisah tentang Maryam dan mengingatkan bahawa Allah SWT sendiri sudah cukup membuktikan kebenaran keperibadian individu yang diberi wahyu oleh-Nya".

Iktibar dan fiqh ayat ke-45:

i. Ibn Kathir berkata: "Ayat ini sebagai berita gembira yang disampaikan malaikat kepada Maryam bahawa beliau akan melahirkan seorang putera yang mulia dan mempunyai kelebihan iaitu Nabi Allah Isa a.s".

ii. Al-Maraghi berkata: "Kemuliaan Nabi Isa AS di dunia kerana baginda mempunyai tempat di hati manusia dan dihormati. Tempatnya di hati orang yang beriman tidak dapat digantikan oleh yang lain, sedangkan kebaikan yang baginda bawa akan terus berjalan meskipun baginda telah wafat.

"Kemuliaan seperti ini lebih penting ertinya daripada kemuliaan para penguasa dan raja. Mereka (penguasa) dimuliakan kerana orang berasa takut terhadap kejahatan dan gangguan daripada mereka atau kerana sekadar manis di bibir dan ingin mengaut keuntungan daripada mereka kerana mengharapkan kesenangan dunia daripada tangan mereka.

"Kejadian seperti ini suatu yang lumrah dan tidak akan mempunyai sebarang pengaruh di hati manusia, sebaliknya ia menanamkan perasaan kebencian dan kemarahan".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Suatu ketika para malaikat, yakni malaikat Jibril AS sendiri sebagaimana telah dikemukakan pada ayat-ayat yang lalu berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah SWT menggembirakan engkau dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan dengan kalimat yang datang dari-Nya.

"Untuk lebih menjelaskan bahawa kalimat dimaksud bukan berupa ucapan tapi satu tubuh manusia, sekali gus untuk menjelaskan kedudukannya maka berita gembira itu berlanjutan dengan menyampaikan bahawa nama insan yang akan engkau lahirkan telah dipilih Allah SWT adalah Isa al-Masih".

Sejak baginda lahir berbagai kelebihan dan keistimewaan yang telah dianugerahkan kepadanya oleh Allah SWT berupa mukjizat yang tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa.

Iktibar dan fiqh ayat ke-46:

i. Al-Alusi berkata: "Sangkaan Nasara bahawa Nabi Isa tidak berkata-kata dalam buaian untuk membersihkan ibunya. Begitu juga pendapat Yahudi yang menuduh ibunya berzina dengan Yusuf al-Najjar adalah sebesar-besar pembohongan".

ii. Al-Maraghi berkata: "Baginda (Nabi Isa a.s) tergolong dalam golongan orang soleh yang telah mendapat nikmat daripada Allah SWT. Mereka terdiri daripada para Nabi dan orang siddiq, dan mereka yang diketahui oleh Maryam kejujuran tingkah lakunya".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata kahlan yang diterjemahkan di atas dengan dewasa difahami oleh banyak ulama sebagai usia antara 30 ke 40 tahun, demikian Mufasir al-Jamal dalam al-Futuhat al-Ilahiyah.

iv. Hamka berkata: "Di dalam surah Maryam akan bertemulah penjelasan lagi tentang Nabi Isa a.s yang bercakap membela kesucian ibunya ketika dia masih dalam buaian atau ayunan. Satu keterangan yang hanya adalah dalam al-Quran. "Tidak ada di dalam semua kitab yang dipercayai oleh orang Kristian. Kesolehan Nabi Isa a.s, tawaduknya dan tunduk kepada Allah SWT terkenal di kalangan para nabi dan rasul. Sehingga ahli-ahli tasauf Islam terutama Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin banyak mengambil perumpamaan tentang zuhud kepada diri Nabi Isa a.s".

Iktibar dan fiqh ayat ke-47.

i. Ibn Jauzi berkata: "Allah SWT menciptakan sesuatu mengikut kehendak-Nya sama ada dengan sebab atau tanpa sebab".

ii. Al-Maraghi berkata: "Perkataan Maryam, Dapatkah aku mempunyai seorang anak lelaki tanpa bersuami", sebenarnya ia mengandungi pelbagai pengertian.

Antaranya: Boleh jadi ia membawa erti apakah beliau segera dapat suami, sehingga dapat melahirkan seorang anak lelaki? Atau lahirnya anak ini terjadi dengan kekuasaan Engkau, Ya Allah? Atau ia membawa erti bahawa beliau begitu takjub dengan kekuasaan Allah SWT dan berasa masalah yang dihadapinya begitu hebat.

Al-Maraghi juga berkata: "Terdapat perbezaan yang menarik antara dua kisah ini, iaitu kisah Nabi Zakaria a.s dan kisah Maryam. Kisah pertama mengunakan perkataan yaf'alu (berbuat), manakala kisah yang kedua menggunakan perkataan yakhluqu (menciptakan, menjadikan).

"Menurut kebiasaan, bahawa perkataan 'berbuat' seringkali diterjemahkan dalam menjadikan benda-benda yang dikenal atau proses-proses alam yang umum. Sedangkan, perkataan 'menciptakan' sering digunakan untuk menyatakan sebarang perbuatan yang baru sama sekali atau sesuatu penemuan yang baru, sekalipun prosesnya tidak diketahui.

"Oleh itu, dikatakan Allah SWT mencipta langit dan bumi dan dikatakan Allah membuat langit dan bumi".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata kun dalam ayat ini digunakan sekadar untuk menggambarkan betapa mudah Allah SWT menciptakan sesuatu dan betapa cepat terciptanya sesuatu bila Dia menghendaki. Cepat dan mudahnya itu, diibaratkan dengan mengucapkan kata kun".

iv. Hamka berkata: "Bagaimana aku boleh beranak sedangkan aku belum berkahwin? Akupun tidak pernah berhubungan dengan mana-mana lelaki. Mungkin juga aku akan dikahwinkan membawa erti aku akan mengandung? (Pertanyaan Maryam kepada malaikat)".

Iktibar dan fiqh ayat ke-48:

i. Al-Maraghi berkata: "Kitab di sini bermaksud membaca, menulis dan pengetahuan yang benar membangkitkan kemahuan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang memberi manfaat serta memahami dengan betul kandungan kitab Taurat.

"Allah SWT turut mengajar baginda (nabi Isa a.s) rahsia-rahsia hukum Taurat sehingga al-Masih menjadi orang yang mengetahui, lalu memimpin kaumnya dan membimbing mereka kepada rahsia dan maksud Taurat. Pada masa yang sama Allah SWT juga mengajarkan kandungan kitab Injil yang diwahyukan kepadanya.

ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Nabi Isa a.s menegaskan bahawa apa yang dilakukannya adalah atas izin Allah SWT. Ini untuk menghapus segala kesan yang timbul dari apa yang dilakukannya.

"Oleh itu beliau perlu menyebutkan izin tersebut khususnya dalam hal yang sama tidak dapat dilakukan oleh manusia iaitu meniupkan roh kehidupan, menghidupkan manusia yang telah mati. Adapun penyembuhan, ia berlaku dengan izin Allah SWT".

iii. Hamka berkata: "Dijelaskan keutamaan anugerah Tuhan kepada beliau. Dia (nabi Isa a.s) akan diajari kitab, iaitu akan diberi pengetahuan menulis dan membaca. Firman Allah SWT itu akan menambah kepercayaan umat Muhammad SAW bahawasanya nescaya Nabi Isa ada mencatatkan Injil sebagai wahyu yang diterimanya dari Tuhan.

"Diajarkan pula kepada beliau hikmat iaitu kebijaksanaan dan akal budi yang luas dan jauh pandangan. Diajar Tuhan pula kepada beliau kitab Taurat dan diberi pula dia wahyu sendiri iaitu Injil. Injil itulah syariat yang khas bagi beliau".

Daripada ayat-ayat yang ditafsirkan ini jelas menunjukkan kuasa Allah SWT yang boleh melakukan apa sahaja dengan kehendak-Nya sekalipun dianggap mustahil oleh akal manusia. Semoga kita menjadi golongan yang beriman dan percaya dengan kekuasaan Allah SWT sifat kudrat dan iradat-Nya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz51twsTKJi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 20 Disember 2017

Arab jahiliah taksub khurafat

ARKIB : 16/02/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PATUNG Hubal yang diperbuat daripada batu akek merah dan berbentuk manusia tidak sahaja memulakan tradisi penyembahan berhala di kalangan masyarakat Arab di zaman pra-Islam malah patung itu turut 'berjaya' merendahkan taraf pemikiran masyarakat itu.

Tidak cukup mereka mengadu nasib dan hal kepada berhala, masyarakat Arab itu juga melakukan pelbagai cara untuk meramal nasib.

Iaitu animisme atau khurafat yang begitu kuat berakar umbi dalam pemikiran dan kuat menjadi amalan.

Antara yang popular, mereka meramal nasib dengan azlam, iaitu anak panah yang belum dipasangkan bulunya yang digunakan ketika mereka hendak bermusafir, berkahwin dan sebagainya berdasarkan.

Jika anak panah yang dilepaskan mengenai perkataan "ya" atau "tidak" semua itu nanti akan mempengaruhi perbuatan mereka.

Mereka juga percaya kepada kepakaran individu yang dikenali sebagai kahin, arraf dan munajjim, iaitu bagi menentukan perbuatan dan cara gaya hidup mereka tanpa sebarang keraguan untuk mereka mempercayainya.

Ini apabila Kahin merupakan individu yang mempunyai kepakaran memberitahu mengenai berita-berita alam semesta yang akan berlaku pada masa akan datang. Kahin juga mendakwa mengetahui banyak perkara ghaib dan rahsia sebagaimana yang diberitahu oleh jin yang menjadi 'sahabat' si Kahin itu.

Arraf pula tidak ubahnya seperti pawang atau bomoh yang tempat mengadu kepada pelbagai masalah termasuk bantuan mencari barang yang hilang atau dicuri.

Munajjim pula yang meramalkan nasib seseorang itu menerusi ilmu-ilmu bintang. Namun yang lebih teruk lagi masyarakat Arab Jahiliah ini sangat mempercayai Al Yiyarah iaitu menganggap sial. Sehinggakan jika perjalanan mereka dipintas atau dihalang oleh binatang liar seperti ular dan sebagainya mereka menganggap ada kesialan dan menyebabkan mereka tidak meneruskan perjalanan.

Segala kepercayaan karut dan amalan-amalan khurafat dan tahyul oleh masyarakat Arab ini menjadi penyakit yang sukar disembuhkan. Menyebabkan turunnya banyak ayat dari Allah agar ramalan atau merenung nasib diharamkan dan menjadi sebahagian ajaran penting Islam agar umat ini tidak mempercayai khurafat.

Namun kehadiran agama lain terutamanya, Kristian (Nasrani atau Masihi), Yahudi, Majusi dan Sabiah memberikan lagi kepelbagaian rupa dan wajah masyarakat Arab.

Kemasukan agama-agama itu dan menjadi anutan kepada sebahagian masyarakat Arab dengan sebahagian lagi mengekalkan amalan menyembah berhala di samping ada sebahagian lagi mempertahankan agama Ibrahim dan sebagainya menjadi naluri mempercayai tuhan ada dalam setiap sanubari masyarakat ini.

Sesuatu yang agak positif walaupun sering terpesong. Mereka menyedari keterbatasan sebagai manusia yang memerlukan yang paling di atas untuk menyempurnakan kehidupan dan memberikan kepada mereka perlindungan.

Agama Kristian berada di tanah Arab khususnya tertumpu di Wilayah Yaman akibat yang dijajah oleh Habsyah (kini Sudan) dengan bantuan tentera Rom pada tahun 340 (SM). Ini menyebabkan gerakan penyebaran Kristian turut meresapi wilayah itu terutama ke Najran.

Dikatakan mereka tertarik memeluk agama Masihi atas faktor seorang lelaki Kristian yang bernama Pabimion yang dikatakan mempunyai pelbagai karamah menyebabkan ajakan beliau untuk memeluk Kristian dapat diterima oleh penduduk Najran.

Apabila Yaman kemudiannya di bawah pemerintahan Yusuf Dhu Nuwas tragedi menimpa umat Kristian. Semasa pemerintahan Dhu Nuwas inilah sebagai seorang penganut Yahudi beliau telah bertindak ganas membunuh penganut-penganut Kristian Najran. Iaitu setelah seruan beliau supaya mereka memeluk agama Yahudi enggan diterima oleh penduduk Najran.

Akibat enggan, beliau telah menggali beberapa batang parit yang besar yang dinyalakan api di dalamnya. Beliau kemudiannya menghumban penganut agama Nasrani itu ke dalam parit yang sedang menyala-nyala api. Lalu meratah sehingga hangus setiap mereka, tanpa mengira mangsa, termasuk lelaki, wanita, kanak-kanak dan orang tua habis kesemuanya dibakar di dalam parit itu.

Dalam peristiwa ini dikatakan seramai 20 hingga 30,000 penganut Kristian mati di tangan penguasa kejam yang beragama Yahudi ini. Peristiwa disebut dalam surah al Buruj ayat 14, melalui firman Allah yang bermaksud; "Celakalah kaum yang menggali parit...".

Akibatnya, saki baki pengikut Kristian yang ada mengadukan tragedi yang menimpa mereka itu kepada pemimpin-pemimpin atau Maharaja Rom supaya membalas perbuatan Yahudi itu. Sekali lagi bala tentera dari Habsyah yang terdiri daripada hampir 70,000 armada lautnya menyerang Yaman buat kali kedua. Akhirnya mereka menawan wilayah itu pada tahun 525 (SM).

Raja Najashi (Habsyah) meletakkan Ariyat sebagai pemerintah Yaman sehinggalah beliau berjaya dibunuh oleh Abrahah, yang merupakan salah seorang dari panglima perangnya.

Abrahah yang kemudiannya mendapat perkenan daripada Raja Najashi kemudiannya membina bangunan yang hampir serupa seperti Kaabah. Ia bagi mengalihkan tumpuan orang ramai ke Kaabah di Kota Mekah kepada binaannya itu. Namun usahanya gagal kerana penduduk Arab tetap tidak berganjak dari tumpuan yang mereka berikan kepada Kaabah.

Ini menyebabkan Abrahah mengepalai bala tentera yang besar, iaitu terdiri dari tentera bergajah (Ashabul Fil - Angkatan Bergajah) untuk menyerang Kota Mekah. Peristiwa ini seperti yang diketahui umum, Abrahah bukan sahaja gagal menawan malah kalah dengan teruk.

Selain Hasbyah, pengaruh Kristian turut datangnya dari Mesir dan Syria (Syam) ke Tanah Arab.

Namun seperti yang diceritakan kisah sepupu Siti Khadijah Khuwailid (isteri Rasulullah) iaitu Waraqah Bin Naufal. Dia memeluk Kristian dan menjadi seorang Kristian yang terpelajar. Beliau yang mengesahkan mengenai kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagaimana beliau temui dalam Kitab Injil.

Walaupun dia adalah saudara dan penasihat rohani Nabi Muhammad, dia tidak pernah memeluk agama Islam. Selepas kematiannya, Nabi Muhammad dikatakan telah bermimpi melihat Waraqah berpakaian putih dan mengambilnya sebagai tanda Waraqah selamat di syurga.

Dalam masa yang singkat, iaitu di zaman pra-Islam itu, tidak dinafikan Kristian berjaya menjadi agama utama di Timur Tengah. Namun dikatakan ajarannya telah dipenuhi ajaran yang diperbaharui mengikut kepentingan pemimpin agama dan pengikutnya. Ini yang telah melahirkan kelompok-kelompok Kristian yang saling bertentangan antara satu sama lain, iaitu Katolik (Ortodoks), Anglican, Methodist dan Protestan.

Ramai yang keliru tentang fahaman Kristian yang benar terutamanya mereka yang tidak berpeluang membaca Al-kitab (gabungan kitab Taurat, Mazmur dan Injil) untuk mengkaji isu-isu yang diperdebatkan

Ikuti bagaimana Yahudi melebarkan pengaruhnya sehingga terdapat banyak kabilah di Tanah Arab yang memeluk Yahudi. Adakah benar mereka Yahudi sedangkan agama itu merupakan agama bangsa (Bani Israel).
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz51oXPlFd9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 19 Disember 2017

Maryam wanita mulia dan suci



ARKIB : 13/02/2009

Sheikh Sya'rawi berkata: "Selepas itu, Allah menceritakan berkenaan dengan Maryam kerana ia merupakan subjek utama. Begitu juga masalah rezeki yang dikurniakan kepadanya tanpa sebarang kesusahan dan kepayahan daripada Allah SWT."

Ayat ke-42

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).

Iktibar dan fiqh ayat :

i. Ibn Jauzi berkata: "Maksud dengan penyucian di sini ialah:-

nPertama: Suci daripada haid seperti kata Ibnu Abbas r.a.

nKedua: Suci daripada disentuh lelaki seperti kata Ibnu Abbas r.a juga.

nKetiga: Suci daripada kekufuran seperti kata al-Hassan dan Mujahid.

nKeempat: Suci daripada kejian dan dosa seperti kata al-Muqatil.

ii. Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memilih pengabdianmu kepada Baitu al-Muqaddis dan membersihkanmu daripada kecelakaan material mahupun moral, serta memberikan keistimewaan kepadamu dengan mendapat anak tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki serta memuliakanmu daripada sekelian perempuan lain pada setiap masa."

iii. Hamka berkata: "Adalah satu kemuliaan baginya, sebab dia sebagai nazar ibunya berkhidmat di rumah suci. Adalah kemuliaan baginya kerana guru pengasuhnya adalah seorang Nabi dan Rasul yang besar.

"Adalah kemuliaan baginya bahawa dia adalah satu-satunya perempuan yang dipilih Allah SWT untuk melahirkan Isa a.s ke dunia tanpa perantaraan seorang bapa. Satu lagi riwayat menyatakan Maryam benar-benar suci dan tidak pernah dikotori dengan haid. Sebab itu dia disebut juga Maryam az-Zahra, sebagai Fatimah puteri Rasulullah SAW menurut beberapa riwayat tidak diberi haid oleh Allah SAW tetapi tidak menghalangi beliau beroleh putera Hasan dan Husain.

"Menurut sebuah hadis daripada Nabi SAW ada tiga perempuan yang amat mulia. Pertama, Maryam binti Imran. Kedua, Khadijah binti Khuwalid (isteri Rasulullah SAW yang pertama). Ketiga, Fatimah binti Muhammad.

Ayat ke-43

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Taatlah engkau kepada Tuhanmu dan tunduklah kepada-Nya serta sembahyanglah bersama-sama di tempat sembahyang sedangkan Maryam sudah biasa menetap di mihrabnya".

ii. Hamka berkata: "Selalulah engkau beribadat kepada Allah SWT sehingga kemuliaan dan pilihan atas diri engkau yang diberikan Tuhan bertambah cemerlang. Sebagaimana Imam al-Ghazali pernah mengisahkan bahawasanya Nabi Isa a.s sendiri kadang-kadang membawa bunga karang untuk menghapus air matanya yang mengalir kerana ingat akan Tuhan dan burung yang sedang terbang pun terpegun mendengarkan bunyi kecapi Nabi Daud a.s menyanyikan nama Tuhan dan Nabi Muhammad SAW sampai sesemut kakinya kerana lamanya sembahyang malam. Bertambah mulia kedudukan mereka di sisi Tuhan, tunduk merendah diri kepada Allah SWT."

Ayat ke-44

Firman Allah SWT yang bermaksud: Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan kalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (Wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Inilah antara beberapa cerita mengenai Maryam dan Nabi Zakaria a.s yang Kami ceritakan kepadamu, meskipun engkau sendiri tidak pernah menyaksikannya sama sekali. "Begitu juga orang lain daripada kaummu dan engkau pun tidak membacanya daripada mana-mana buku, bahkan tidak seorang pun mengajarkannya kepadamu. Tetapi kerana wahyu yang Kami berikan kepadamu melalui Jibril a.s, ia dapat menjadi bukti kebenaran kenabian hamba Kami dan menolak pengingkaran yang menentangmu".

ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Itulah peristiwa yang dialami oleh isteri Imran, Nabi Zakaria a.s serta Maryam a.s sebahagian dari berita-berita ghaib yang kami wahyukan kepadamu dari saat ke saat wahai Muhamad SAW.

"Kini kamu mengetahuinya, padahal engkau wahai Muhamad SAW tidak berada di sisi mereka untuk mengisyaratkan bahawa informasi tersebut tidak terbuka dan hampir tidak diketahui oleh manusia".

iii. Hamka berkata: "Allah SWT menjelaskan bahawasanya berita ini, baik berita nazar isteri Imran atau pengasuhan Nabi Zakaria a.s ke atas Maryam atau doa Nabi Zakaria a.s agar diberi anak. Semuanya adalah berita ghaib yang tidak diterima oleh orang lain tetapi diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad SAW.

"Ditekankan lagi peringatan Allah SWT akan kesucian Maryam yang diceritakan kepada Muhammad SAW".

Dalam bahasa Arab perkataan istifa' khususnya pada ayat ini merupakan sifat khusus yang dimiliki Maryam. Dia melahirkan seorang nabi tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki. Pemilihan seperti ini tidak dinyatakan dengan perbuatan, tetapi disediakan dengan sifat khusus ini.

Dalam perkara ini, terkandung kesaksian yang membebaskan dirinya daripada apa yang didakwakan oleh orang Yahudi terhadap dirinya.

Ayat-ayat yang kita bincangkan ini kemuliaan Maryam dan ia diperintah Allah supaya sentiasa taat dan patuh dengan berdoa dan solat kepada-Nya. Alangkah baiknya jika sekiranya kita menempatkan diri bersama golongan yang sentiasa taat dan patuh kepada-Nya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz51lQXhIej
© Utusan Melayu (M) Bhd

Utusan Ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman



ARKIB : 13/02/2009 
PADA suatau hari, Nabi Sulaiman memerintahkan burung hud-hud menyampaikan sepucuk surat kepada Ratu Balqis. Tujuan surat itu dihantar ialah untuk menyedarkan Ratu Balqis supaya tidak meninggi diri dengan anugerah Allah SWT yang diberikan kepadanya dan menyeru menyembah Allah SWT.

Setelah membaca surat itu Ratu Balqis terus mengumpulkan para pembesar dan para penasihat kerajaan untuk membincangkan tindakan yang harus diambil berhubung dengan surat Nabi Sulaiman itu. Mereka bersepakat untuk mengirim hadiah yang paling berharga untuk Nabi Sulaiman.

Beberapa hari kemudian, pergilah utusan Ratu Balqis menghantar hadiah itu kepada Nabi Sulaiman. Ketika sampainya utusan Ratu Balqis, Nabi Sulaiman menyambut mereka dengan baik. Nabi Sulaiman tidak sedikitpun berbangga dengan hadiah yang dibawa oleh mereka itu.

Malah Nabi Sulaiman berkata kepada mereka, "Kembalilah kalian semua dan bawalah hadiah ini semula kepada ratu kalian. Allah SWT telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada aku. Allah SWT telah memberikan aku kekayaan dan rezeki melimpah ruah yang tidak diberikannya kepada seseorang pun daripada makhluk-Nya.

"Sampaikan kepada ratu kalian, aku tidak perlu harta kekayaan atau kekuasaan, tapi aku mahu ratu kalian bersama kalian menyembah dan patuh kepada perintah Allah SWT. Janganlah kalian semua menyembah selain daripada Allah SWT dan katakan kepadanya, sekiranya dia enggan menyembah dan patuh kepada perintah Allah, kami akan segera menghantar tentera kami untuk menentangnya."

Maka kembalilah utusan Ratu Balqis dengan segera ke istananya. Tiba sahaja di istana, para utusannya menceritakan amanat yang telah disampaikan oleh Nabi Sulaiman. Ratu Balqis mendengar dengan tenang.

"Kalau begitu, tidak ada cara dan usaha lain kecuali kita hanya tunduk dan menurut ajaran Nabi Sulaiman itu," kata Ratu Balqis.

"Baiklah," jawab para utusannya.

Beberapa hari kemudian, berangkatlah Ratu Balqis bersama para pembesarnya menuju ke istana Nabi Sulaiman.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz51l6KR1jG
© Utusan Melayu (M) Bhd