Rabu, 21 Mac 2018

Rasulullah tidak berguru dengan rahib Nasrani


ARKIB : 04/05/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
(Siri 14)
SELAMA puluhan tahun, Pendita atau Rahib Nasrani, Buhaira atau Bahirah, malah beliau juga dikenali dengan panggilan Jarjis beribadat di sebuah biara atau gereja di Busra tanpa pernah keluar dari biaranya itu.

Buhaira dikatakan mempunyai pengetahuan yang amat mendalam mengenai ajaran dan agama Kristian. Ini menyebabkan beliau begitu dihormati khususnya oleh penganut Kristian yang lain. Beliau cukup terkenal sehinggakan banyak kafilah-kafilah dagangan yang menuju ke Syam akan berhenti di Busra semata-mata untuk bertemu dengan Buhaira untuk mendapatkan berkat dan doa daripadanya.

Tanpa berbuat demikian mereka dikatakan tidak akan pulang dengan membawa untung dan satu perjalanan yang selamat. Namun ketika rombongan Abu Talib singgah di Busra seperti yang diceritakan pada keluaran lalu, Buhaira sendiri keluar kepada mereka dan menyambut rombongan tersebut sebagai tetamu yang dimuliakan.

Seperti yang disebutkan tadi, pada hal selama ini, Buhaira tidak pernah keluar dari biaranya itu untuk menyambut sesiapa.

Ini semata-mata kerana dikatakan beliau dapat menghidu sesuatu dari rombongan Abu Talib itu. Atas pengetahuan yang cukup mendalam terhadap isi kandungan kitab Injil, Buhaira dapat mengenalpasti seorang budak lelaki yang dibawa oleh Abu Talib begitu menepati ciri-ciri kemunculan seorang Nabi bagi menyambung ajaran Nabi Isa. Lalu beliau bertanya kepada Abu Talib, mengenai siapakah anak lelaki yang menyertai rombongan dagangan dari Mekah itu.

"Siapa anak ini, siapakah keluarga anak ini?" Tanya Buhaira sambil memegang tangan Nabi Muhammad. Lalu Abu Talib menjawab: "Dia adalah anak saudara saya Muhammad, anak kepada abang saya, Abdullah yang telah meninggal dunia ketika anak ini masih dalam kandungan ibunya!," katanya.

Sejurus mendengar jawapan Abu Talib itu, lantas Buhaira mengangkat tangan Nabi dan berkata: "Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam. Dialah nabi yang dijanjikan; kerasulannya yang universal serta penaklukan dan pemerintahannya telah diramalkan dalam Kitab-kitab Suci!".

Kata-kata Buhaira itu amat mengejutkan yang lain dan Abu Talib bertanya: "Bagaimana kamu tahu perkara ini wahai Buhaira, sedangkan engkau baru sahaja mengenali Muhammad yang baru sahaja tiba dari Mekah ini?"

Buhaira menjawab: "Ketika kamu bertolak dari Aqabah, tidak ada sebutir batu atau sepohon pokok melainkan semuanya tunduk sujud dan tidaklah mereka sujud melainkan kepada seorang nabi!"

"Dialah Nabi yang namanya dan nama bapa serta keluarganya telah saya baca dalam kitab-kitab sebelum ini dan saya tahu dari mana dia akan muncul dan bagaimana agamanya akan tersebar di seluruh dunia," katanya.

Buhaira dapat mengenali kanak-kanak yang bersama Abu Talib itu sebagai bakal nabi kerana terdapat cap kenabian di bawah tulang belikat yang berbentuk seperti buah epal.

Abu Talib sendiri terus memeriksa dan ternyata benar seperti yang didakwa oleh Buhaira. Ini menyebabkan semua termasuk seluruh ahli rombongan dagangan itu terkejut dengan apa yang mereka dengar dan saksikan.

Tentu sekali mereka tidak menyangka bahawa kanak-kanak atau lebih tepat lagi si yatim piatu ini merupakan yang bakal menjadi pemimpin besar mereka di suatu hari kelak.

"Namun kamu Abu Talib mesti menyembunyikan perkara itu dan anak saudara ini dari mata kaum Yahudi. Bawalah dia pulang, tidak perlulah kau meneruskan perjalanan ke Syam.

"Demi keselamatan budak ini andai jika kamu terserempak dengan kaum Yahudi kerana mereka juga mengetahui mengenai tanda-tanda kemunculan seorang nabi baru," kata Buhaira.

Abu Talib yang juga sependapat dengan Buhaira terus mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke Syam.

Namun sesetengah riwayat menyebut beliau tetap ke Syam dengan menghantar pulang Nabi Muhammad bersama sebahagian pembantunya ke Mekah.

Peristiwa pertemuan dengan Buhaira ini telah diceritakan oleh ramai penulis sejarah termasuk oleh pihak orientalis.

Namun pihak orientalis kemudiannya didapati cuba memanipulasikan peristiwa ini dengan mengatakan bahawa Nabi Muhammad dikatakan tidak sahaja bertemu, malah dikatakan duduk belajar dengan Buhaira mengenai ajaran-ajaran dan peristiwa-peristiwa sejarah sebelum ini.

Ini termasuklah kisah-kisah para nabi, mengenai kaum yang hilang seperti Kaum Ad dan Tsamud dan pelbagai lagi ajaran-ajaran pokok mengenai agama samawi dari rahib ini.

Malah yang lebih teruk lagi, ada yang menuduh Abu Talib sengaja membawa anak saudaranya itu bertemu dengan Buhaira kerana dikatakan beliau telah mendengarkan ramalan yang dibuat oleh rahib ini kepada orang ramai.

Beliau tidak ada tujuan untuk berniaga ke Syam kecuali hanya untuk membawakan Nabi Muhammad itu untuk bertemu Buhaira.

Tidak kurang juga ada yang menulis Abu Talib tetap meneruskan perjalanan ke Syam tetapi beliau meninggalkan Nabi Muhammad untuk belajar dengan Buhaira, bukannya pulang semula ke Mekah sebagaimana yang dinasihatkan oleh Buhaira.

Menangkis

Bagi menangkis dakwaan-dakwaan ini, Jaafar Subhani dalam bukunya Ar Risalah Sejarah Kehidupan Rasulullah SAW (1984) menulis bahawa pertemuan Nabi dengan pendeta Nasrani itu merupakan perkara sederhana sahaja.

"Namun para orientalis menjadikan peristiwa ini sebagai dalil untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad belajar dari Buhaira, seorang Nasrani mengenai ajaran-ajaran luhur yang diperkenalkan 23 tahun kemudian (kedatangan Islam sehingga Rasulullah wafat).

"Bererti Islam itu bermula dari sumbangan seorang yang beragama Kristian," katanya.

Perkara ini ternyata tidak benar berdasarkan fakta bahawa:

1) Para sejarawan sepakat berkata bahawa Nabi Muhammad seorang yang buta huruf dan tidak belajar membaca dan menulis.

Semasa peristiwa ini berlaku, Nabi Muhammad dikatakan berusia 12 tahun dan tidak mungkin bagi seseorang yang semuda itu dapat mengetahui mengenai kitab Taurat dan Injil dan kemudiannya pada usia 40 tahun, berdasarkan belajar dengan Buhaira itu, Nabi Muhammad memperkenalkan agama baru.

2) Masa perjalanan untuk berdagang itu lazimnya singkat dan ini tidak memungkinkan kepada Nabi Muhammad memperoleh pelbagai pengetahuan mengenai kitab-kitab lama dalam masa yang singkat.

Menurut Jaafar, lazimnya perjalanan dagangan dari Mekah ke Syam mengambil masa selama empat bulan, termasuk masa berhenti untuk berehat di mana-mana destinasi.

"Maka mustahil dalam tempoh sesingkat itu, seseorang boleh menerima pelbagai ilmu apa tah lagi melibatkan seorang budak yang begitu tidak mengenal huruf," katanya.

3) Jika benar Nabi Muhammad dikatakan dihantar untuk belajar dengan Buhaira, tentunya perkara ini tersebar di kalangan penduduk Mekah menyebabkan semua orang akan membicarakannya.

Namun, keadaan seperti ini tidak terjadi dan tercatat di mana-mana pengkisahan. Walaupun perkara Nabi Muhammad belajar dengan Buhaira ini tidak disebut dalam al-Quran, namun kata Jaafar, jelaslah bahawa peristiwa ini dimanipulasi oleh para orientalis di zaman moden ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5ANJNsOKR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 20 Mac 2018

Tongkat menjadi ular


ARKIB : 01/05/2009
PADA suatu ketika, Nabi Musa diperintahkan oleh Allah supaya menyeru kaum Bani Israel untuk menyembah Allah. Pada ketika itu, negeri Mesir diperintah oleh seorang raja yang zalim dan kejam iaitu Firaun. Firaun menganggap dirinya sebagai Tuhan dan menyuruh semua rakyat menyembah dirinya. Maka Allah mengutuskan Nabi Musa untuk menyeru Firaun supaya menyembah Allah.

Firaun tidak mahu menyembah Allah. Disebabkan kedegilan Firaun itu, Allah memerintahkan Nabi Musa menunjukkan mukjizatnya kepada Firaun. Setelah mendapat perintah itu Nabi Musa pun terus menuju ke istana Firaun.

"Apakah tujuan engkau datang ke istana aku?" tanya Firaun.

"Aku datang untuk menyeru engkau supaya menyembah Allah," jawab Nabi Musa.

"Aku ingin melihat kekuasaan Allah. Tunjukkanlah kepada aku," kata Firaun kepada Nabi Musa.

Tanpa membuang masa, Nabi Musa menunjukkan kekuasaan Allah dengan melemparkan tongkat yang dipegangnya di hadapan Firaun. Dengan kekuasaan dan keagungan Allah, tongkat yang dilemparkan oleh Nabi Musa tadi bertukar menjadi seekor ular. Firaun berasa amat takut. Tetapi dia tetap tidak mahu menyembah Allah. Firaun telah menuduh Nabi Musa sebagai seorang ahli sihir. Firaun mencabar Nabi Musa dengan memanggil semua ahli sihir untuk memperlihatkan kehebatan dan kebenaran masing-masing.

Pada keesokan harinya, maka datanglah ahli-ahli sihir dari seluruh pelosok negeri Mesir. Mereka telah berkumpul di hadapan istana Firaun. Nabi Musa dipanggil oleh Firaun untuk bersama-sama ahli-ahli sihir bagi menunjukkan kehebatan masing-masing.

"Aku mahu engkau menentukan masa dan tempat untuk membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran masing-masing," arah Firaun.

"Baiklah aku tetapkan pada hari perayaan dan orang ramai dikehendaki berkumpul pada waktu pagi," jawab Nabi Musa.

Apabila tiba masanya, maka berkumpullah orang ramai di satu tanah lapang untuk melihat kehandalan Nabi Musa melawan ahli-ahli sihir Firaun.

"Aku ingin memberitahu kepada semua yang hadir bahawa pada hari ini kita akan dapat menyaksikan kekuasaan Tuhan yang disembah Nabi Musa," kata Firaun dengan megah.

Nabi Musa memberi peluang kepada ahli-ahli sihir Firaun melemparkan tongkat masing-masing. Maka ahli-ahli sihir mencampakkan tongkat masing-masing sambil menyebut nama Firaun. Tongkat yang dicampakkan tadi, tiba-tiba bertukar menjadi ular-ular kecil yang merayap-rayap di atas tanah tersebut.

Nabi Musa berasa takut. Akan tetapi, Allah telah berfirman menyuruh Nabi Musa mencampakkan semula tongkatnya. Dengan kekuasaan Allah, maka muncullah seekor ular yang sangat besar di hadapan semua orang. Ini telah membuktikan bahawa Allah Maha Berkuasa. Maka ular besar itu terus memakan semua ular kecil yang ada di hadapannya.

Semua orang yang hadir berasa kagum melihat kehebatan Nabi Musa. Ahli-ahli sihir sedar dan insaf lalu mengakui bahawa apa yang dilakukan oleh Nabi Musa itu bukanlah sihir tetapi merupakan bukti kekuasaan Allah dan keagungan Allah.

"Kami datang untuk memberitahu bahawa kami semua telah beriman kepada Allah Tuhan kamu," kata ahli-ahli sihir kepada Nabi Musa tidak lama selepas itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5AIEYtqKR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Mac 2018

Rasulullah 'nyawa' Abu Talib


ARKIB : 20/04/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
KISAH seterusnya bukan sekadar; "Nabi Muhammad kemudiannya dijaga oleh bapa saudara, Abu Talib Bin Abdul Mutalib selepas kematian datuk kesayangan baginda!" Ini kerana baginda lebih banyak menghabiskan usia mudanya bersama Abu Talib, iaitu sejak berusia lapan tahun sehinggalah baginda menginjak dewasa dan mendirikan rumah tangga pada usia 40 tahun dengan wanita terkemuka Arab pada masa itu, Saidatina Siti Khadijah binti Khuwailid.

Tentunya sepanjang di bawah penjagaan Abu Talib ini, merupakan kesinambungan satu sirah nabi yang menjanjikan pelbagai lagi inti pati pengajaran kepada umat Islam.

Abu Talib, adalah abang kepada bapa Nabi, Abdullah bin Abdul Mutalib. Nama sebenar beliau ialah Imran dan digelar Abu Talib kerana anak sulungnya bernama Talib iaitu hasil perkahwinannya dengan Fatimah binti Asad. Mereka dikurniakan anak-anak yang lain iaitu, Jaafar, Ali dan Aqil serta dua anak perempuan, Fakhitah dan Jumanah (Ummu Hani) binti Abu Talib.

Abdullah Al Khazini dalam bukunya, "Abu Thalib (Talib) Mukmin Quraisy - Paman, sekali gus Pengasuh, Pelindung dan Pembela Rasulullah SAW (Darul Fikir, 1978) menulis, Abu Talib yang juga mendapat julukan Abdul Manaf dikatakan menerima wasiat daripada bapanya, Abdul Mutalib akan tanggungjawabnya untuk memelihara Nabi Muhammad dalam satu bentuk syair, yang berbunyi;

Ku wasiatkan pada mu wahai Abdul Manaf sepeninggalanku,

Akan anak yatim, yang ditinggal ayahnya sendirian.

Ku wasiatkan pada orang yang ku juluki Abdul Manaf

Dialah orangnya yang memiliki banyak pengalaman

Akan anak kekasih, kerabat paling mulia

Anak yang ditinggalkan ayahnya hidup sendiri

Wasiat ini dipikulkan kepada diri Abu Talib

Tempat tinggalnya yang kukuh dan ia menyukainya

Jangan kau wasiat aku dengan keharusan dan kewajiban

Kerana ku dengar keajaiban yang sangat mengkagumkan

Dari semua orang yang berilmu dan cerdik cendekiawan

Hingga jelaslah dengan puji Allah dan ucapan Rahib itu

Wasiat tersebut dilafazkan ketika detik-detik kematian kian menghampiri Abdul Mutalib yang dikatakan meninggal dunia pada usia 120 tahun. Lalu dijawab oleh Abu Talib; "Aku menerimanya. Demi Allah, Dialah yang menjadi saksinya".

Walaupun tidak memiliki kekayaan harta benda yang lumayan dan melimpah, namun kecerdasan dan daya kepimpinan yang tinggi adalah kekayaan yang dimiliki oleh bapa saudara Nabi ini.

Kepimpinan yang jitu ditunjukkan oleh Abu Talib dalam mengambil alih tugas bapanya iaitu sebagai pemberi makan dan minum kepada jemaah yang datang ke Kaabah untuk mengerjakan haji. Sebagai penjaga Telaga Zamzam, Abu Talib akan melemparkan buah kurma dan kismis ke dalam telaga itu supaya air Zamzam terasa manis lagi menyegarkan untuk para jemaah yang menempuh perjalanan jauh dan panas. Apatah lagi melalui padang-padang Sahara yang kering lagi tandus itu.

Jatuh miskin

Namun pada suatu ketika, Abu Talib benar-benar jatuh miskin yang boleh menggugat kemampuannya untuk terus membantu para jemaah itu. Namun bapa saudara Nabi ini tidak sanggup meninggalkan kemuliaan tugas itu hanya kerana kemiskinan.

Demi meneruskan usaha bapanya, Abu Talib kemudiannya menemui saudaranya yang yang lebih kaya dan berharta, iaitu al Abbas. Tanpa segan Abu Talib meminjam wang 10,000 dirham daripada saudaranya itu bagi membolehkan beliau terus menunaikan kewajipannya kepada para jemaah.

Jelas sekali Abu Talib menggambarkan satu daya kepimpinan yang tinggi namun jasa beliau yang sangat dikenang oleh penduduk Mekah dapat kita ikuti melalui satu peristiwa.

Pada satu ketika Mekah benar-benar ditimpa musibah yang amat perit untuk ditanggung oleh para penduduknya apabila berhari-hari tidak hujan menyebabkan berlakunya musim kemarau yang paling buruk.

Ibnu Assakir dalam satu riwayat daripada Julhamah bin Arthafah yang menceritakan Julhamah yang datang ke Mekah yang mendapati penduduk di situ begitu sengsara. Seorang daripada penduduk berkata; "Marilah kita bersandar (memohon pertolongan) kepada Lata dan Uzza (berhala)!" Sementara seorang lagi pula berkata: "Marilah kita bersandar kepada Manat (berhala)," Namun seorang lagi pula berkata: "Mengapa kalian menjadi lemah akal, sementara di tengah-tengah kalian masih ada yang mewarisi keturunan Ibrahim (Nabi) dan Ismail (Nabi?)!"

Lalu mereka berkata; "Nampaknya, orang yang kamu maksudkan adalah Abu Talib!".

"Benar!" jawab si polan yang ketiga tadi.

Lalu mereka terus menuju ke rumah Abu Talib dan berkata; "Wahai Abu Talib, wadi-wadi yang ada telah mengering, tanah serta ladang semakin gersang. Oleh kerana itu, mintakanlah supaya hujan turun supaya kami dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala!"

Sambil tersenyum tanda sedia membantu, Abu Talib pun keluar dari rumahnya dengan membawa seorang kanak-kanak, iaitu anak saudaranya, Nabi Muhammad.

Awan gelap

Sejurus mereka melangkah keluar awan yang tebal dan gelap terus berkumpul di langit yang sebelum ini begitu cerah tanpa segumpal awan pun.

Setibanya mereka di Kaabah, Abu Talib pun merapatkan badan anak saudaranya itu ke dinding Rumah Allah itu dan mereka bersama-sama memohon kepada Allah supaya bumi yang gersang itu akhirnya dibasahi hujan.

Ditakdirkan Allah, tidak lama kemudian hujan pun turun dengan mencurah-curah sebagaimana yang diminta oleh penduduk Mekah itu.

Lembah Mekah pun kembali subur dan tiada lagi keperitan untuk ditanggung.

Peristiwa ini seperti yang disebut oleh Abi Talib dalam syairnya;

Si Putih yang diminta hujan dengan berkat wajahnya

Ketua anak-anak yatim dan pelindung balu-balu!

Kejadian ini juga menyuntik lagi kekuatan kepada Abu Talib untuk menjaga anak saudaranya itu kerana kini semakin nampak mengenai kedudukan Nabi Muhammad sebagaimana yang sering diucapkan oleh bapanya sebelum ini. Keperibadian Nabi Muhammad benar-benar tidak sebagaimana anak-anak yang lazimnya.

Apa yang dilihat oleh Abu Talib, anak saudaranya itu tidak sahaja memiliki segala kesempurnaan dan kelebihan tetapi beliau yakin Nabi Muhammad akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tentangan. Ini menyebabkan Abu Talib akan mempertahankan anak saudaranya itu walau terpaksa bergalang dengan nyawanya sendiri.

Namun dalam satu peristiwa lain, Abu Talib pernah cuba hendak meninggalkan Nabi Muhammad dalam jagaan orang lain. Ini semata-mata beliau tidak mahu anak saudaranya itu terdedah kepada sebarang ancaman keselamatan ketika beliau bersama beberapa pedagang Quraisy yang ingin memulakan perjalanan untuk berniaga di Syam (Syria).

Namun ketika kafilah-kafilah yang membawa pelbagai dagangan itu hendak mulakan perjalanan yang jauh itu, Abu Talib memalingkan muka dan alangkah terkejutnya beliau apabila melihat dengan jelas anak saudaranya itu sedang menyapu air mata yang jatuh membasahi pipi. Rupa-rupanya Nabi Muhammad sangat sedih untuk berpisah dengan dengan bapa saudaranya itu.

"Pakcik, kepada siapakah kau hendak tinggalkan aku sementara ketiadaanmu di sini? Sedangkan aku tidak mempunyai baik ayah mahupun ibu," kata si anak saudara dalam sedu dan sedan.

Wajah sedih dan kata-kata Nabi Muhammad itu membangkitkan rasa hiba Abu Talib dan tidak semena-mena beliau sendiri merasakan tidak sanggup meninggalkan anak saudaranya itu.

Lalu dipeluknya anak saudaranya yang ketika itu dikatakan dalam usia 12 tahun sambil berkata; "Demi Allah, aku akan membawa kau pergi bersamaku. Kau tidak akan berpisah dengan aku dan aku tidak akan meninggalkan engkau lagi wahai anak saudaraku!"

Berdagang

Nabi Muhammad yang dalam rangkulan bapa saudaranya itu kemudiannya turut dibawa untuk berdagang ke Syam itu. Satu perjalanan getir lebih-lebih lagi terpaksa menempuh padang pasir yang kering dan kontang yang tentunya tidak sesuai untuk anak yang semuda Nabi itu.

Namun Abu Talib mendapati bahawa perjalanan kali ini berbeza, tidak ada kepayahan kecuali yang menyenangkan tanpa sebarang ancaman yang boleh mengganggu perjalanan mereka.

Mereka berjaya melewati Madian, Lembah Qura, negeri Tsamud sehinggalah daripada jauh mereka dapat menyaksikan keindahan matahari yang sedang terbit dari arah Syria. Sungguh indah sehinggakan mereka semakin bersemangat untuk sampai ke negeri itu walaupun telah berhari dan berbulan dalam perjalanan ini.

Namun telah menjadi kebiasaan kepada mana-mana kafilah yang hendak mengunjungi Syam, mereka mesti terlebih dahulu singgah di Busra. Ini kerana di tempat itu, semua kafilah-kafilah dagang yang berhenti mesti mengunjungi sebuah biara yang padanya terdapat seorang pendeta Nasrani bernama Buhaira.

Mereka mesti bertemu Buhaira untuk mendapatkan barakah! Namun sesetengah riwayat menyebut bahawa Busra sekadar destinasi kepada kafilah untuk mereka berhenti untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Syria.

Justeru apakah yang berlaku apabila Pendeta Buhaira ini berjaya 'menangkap' sesuatu pada Nabi Muhammad, yang menyebabkan Abu Talib semakin tersentak! Ikuti pada keluaran seterusnya!
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5ACpm0PvG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Mac 2018

Nabi Ibrahim pengikut ajaran tauhid


ARKIB : 17/04/2009
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah SWT menyebut pada ayat terdahulu berkenaan dua kumpulan Yahudi dan Kristian yang mendakwa agama mereka adalah agama Allah yang sebenar. Dan bahawasanya, ia adalah agama para Nabi keseluruhan. Begitu juga agama Nabi Ibrahim a.s.

“Mereka juga mendakwa bahawa mereka tidak pernah meminda dan menukar ayat-ayat Allah. Begitu juga golongan musyrikin mendakwa dari kalangan keturunan Nabi Allah Ibrahim tetapi Allah menjelaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Ibrahim tidak mengikut dakwaan dan sangkaan mereka. Tetapi ia Nabi wahdaniah yang mengesakan Allah serta meruntuhkan segala berhala”.

Ayat ke-67

Firman Allah SWT yang bermaksud: Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Sebab Nuzul

Ibn Jauzi berkata: Ada dua pendapat berkenaan dengan sebab nuzul.

Pertama: Pembesar Yahudi berkata kepada Nabi SAW bahawa kami lebih utama daripadamu dengan agama Ibrahim a.s dan dia adalah di kalangan Yahudi sedangkan kamu adalah yang berhasad lantas turun ayat ini. Ini adalah pendapat Ibn Abbas r.a..

Kedua: Amru bin al-As hendak menjadikan raja Najasyi murka kepada sahabat Nabi seraya berkata: “Mereka mencerca Isa a.s lantas Raja Najasyi bertanya: Apakah yang dikatakan oleh sahabatmu (Muhammad tentang Isa)?”

Mereka menjawab ia adalah hamba Allah dan rohnya serta kalimah yang dicampakkannya kepada Maryam, kemudian turunnya ayat ini seperti kata Abdul Rahman bin Ghanam.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Allah Ibrahim a.s tidak syirik tetapi menganut agama yang sebenar serta beriman”.

Ayat ini sebenarnya sama seperti ayat 135 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (Wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik”.

ii. Al-Qurtubi berkata: “Allah menyucikan segala dakwaan-dakwaan mereka yang dusta dan menerangkan bahawa Nabi Ibrahim a.s di atas agama yang sebenar tanpa sekutu”.

iii. Sheikh Sya’rawi berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Ibrahim bukan golongan Yahudi kerana golongan itu datang selepasnya. Begitu juga bukan golongan Nasrani kerana golongan itu datang selepasnya.

“Berdasarkan kepada kalimah Hanif jelas menunjukkan bahwa Ibrahim AS penganut agama yang bersih datang daripada Allah SWT yang tiada sebarang condong ke mana arah pun”.

iv. Al-Maraghi berkata: “Nabi Ibrahim seorang yang telah diakui kebesaran dan kehormatannya oleh bangsa Yahudi, kaum Nasrani, dan golongan-golongan musyrik. Namun sama sekali tidak ada dengan agama mereka penyembahan berhala.

“Baginda seorang yang hanya menyerah diri kepada Allah SWT semata dan seorang yang taat kepada-Nya”.

v. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini membantah kebohongan mereka. Nabi Ibrahim a.s bukan seorang Yahudi seperti yang diakui oleh orang-orang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani seperti yang diakui oleh orang-orang Nasrani dengan dalil yang dikemukakan.

“Sebaliknya, dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri kepada Allah dan juga sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik, yang dapat diduga oleh orang-orang musyrik Mekah yang mengaku mengikut agama beliau”.

Ayat ke-68.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya- umat Islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang Yang beriman.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: “Orang yang paling berhak mengikuti Ibrahim dan agamanya adalah Nabi Muhammad SAW dan mereka yang beriman dengannya di kalangan Muhajirin dan Ansar serta mengikut jejak mereka”.

ii. Riwayat Ibn Mas’ud r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap Nabi ada wali-wali di kalangan Nabi-nabi. Dan waliku di kalangan mereka ialah bapaku (Ibrahim a.s) dan kekasih Tuhanku Azzawajalla.

“Kemudian Nabi SAW membaca ayat ini yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekelian orang-orang Yang beriman”.

iii. Al-Maraghi berkata: “Inilah hakikat Islam dan tujuan iman yang sebenar. Barang siapa yang kehilangan jiwa seperti itu bererti dia telah kehilangan seluruh agamanya (dalam sanubari)”.

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini turun menundukkan persoalan, yakni: Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim dan paling berhak dinamai pengikut Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang bersungguh-sungguh mengikutnya baik yang hidup pada masa beliau mahupun yang sesudahnya”.

v. Hamka berkata: “Tuhan menjamin bahawasanya apabila orang telah benar-benar beriman kepada-Nya, tidak lagi menduakan hati kepada orang lain, tidak memandang ada yang memberi manfaat atau mudarat dalam ala mini selain Allah SWT, orang-orang sedemikian akan dipelihara oleh Allah SWT”.

Demikianlah ayat yang membincangkan berkenaan dengan dakwaan Nabi Ibrahim AS dari golongan mereka sedangkan dakwaan itu adalah meleset dan batil sebagaimana yang dinafikan oleh Allah SWT.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang beriman dengan sebenar-benarnya dan tidak menyeleweng sebagaimana golongan yang lain.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5AAbUskqx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Asiah menyelamatkan Nabi Musa


ARKIB : 15/04/2009
ASIAH binti Mazahim merupakan seorang wanita Mesir yang baik budi pekertinya dan bijaksana dalam pemikirannya. Oleh kerana dia memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingan, dia dipaksa berkahwin dengan Firaun, raja Mesir yang berkuasa pada ketika itu.

Pada suatu hari ketika Asiah sedang duduk bersantai bersama dayang-dayang istana, dia terlihat sebuah kotak kayu terapung-apung di tepian sungai yang mengalir merentasi istana Firaun.

"Ambil kotak itu dan bawa kepada beta," arah Asiah kepada salah seorang dayang yang berdiri di tepinya.

Dayang itu berlari pantas ke arah kotak yang sedang terapung-apung di tepian sungai. Dia mengangkat kotak kayu itu dari permukaan sungai lalu dibawakan kepada Asiah. Dia berdebar-debar untuk mengetahui isi kandungan kotak kayu itu.

"Comelnya bayi lelaki dalam kotak kayu ini!," jerit hati Asiah apabila penutup kotak kayu itu terbuka.

Pada ketika itu, Firaun memerintahkan masyarakatnya membunuh semua bayi lelaki Bani Israel kerana dia bermimpi bayi tersebut akan menghancurkan dan membinasakan kerajaan pemerintahan Firaun.

Apabila berita penemuan bayi lelaki itu sampai ke telinga Firaun, maka dia bergegas ke tempat Asiah dan bayi lelaki itu.

"Pengawal! Bunuh bayi ini sekarang..." Perintah Firaun kepada pengawal yang mengiringinya ke kamar Asiah.

"Bukankah kita tidak mempunyai anak lelaki. Anak lelaki ini dapat kita jadikan anak angkat. Saya merayu supaya bayi ini tidak dibunuh kerana saya sudah sayang kepadanya.

' Dia akan memberikan manfaat kepada kita berdua apabila dewasa nanti," Asiah menghalang niat jahat Firaun dengan kata-kata bijaksananya.

"Baiklah. Saya tidak akan bunuh bayi ini kerana perasaan cinta saya pada kamu," Firaun akur dengan permintaan isterinya, lalu keluar dari kamar itu.

Asiah memberi nama Musa kepada bayi tersebut dan memeliharanya sehingga dewasa di istana Firaun.

Apabila nabi Musa mula berdakwah menyebarkan ajaran Allah, maka Asiah terus menjadi salah seorang pengikutnya tanpa pengetahuan Firaun dan orang sekelilingnya.

Pada suatu hari, Asiah duduk menyisir rambut anak perempuannya di kamar tidur. Tiba-tiba sikat yang digunakan Asiah bagi menyisir rambut anaknya jatuh dengan kehendak Allah.

Asiah yang terkejut dengan kejadian itu terus berkata, "Binasalah Firaun yang dilaknat Allah dengan izinnya."

"Dengan nama Allah," ucap Asiah tanpa menyedari anaknya memerhatikan perbuatannya dengan perasaan hairan.

"Ibu, adakah tuhan lain selain ayah? Adakah ibu sudah menganut agama yang dibawa oleh Musa? Mengapa ibu sanggup mengikut agama Musa? Bukankah ibu menyelamatkan Musa sewaktu kecil apabila dia akan dibunuh oleh ayah," anaknya bertanya pelbagai soalan kepada Asiah dan menanti jawapannya.

Manusia biasa

"Firaun, ayah kamu adalah manusia biasa seperti kita semua dan bukan tuhan. Tuhan sebenar adalah Allah, tuhan semesta alam!" jawab Asiah tanpa perasaan takut dan gentar.

"Biar saya adukan perkara ini kepada ayah!," balas anaknya, lalu dia lari keluar dari bilik itu dan pergi mengadu kepada Firaun.

Firaun yang mendengar aduan anaknya berasa sangat marah dengan Asiah. Dia tidak menyangka Asiah sudah mengikut ajaran Allah walaupun dia melarang sesiapa sahaja di Negara Mesir mengikuti ajaran Allah.

Orang yang mengingkari larangan itu akan dijatuhkan hukuman berat jika diketahui oleh Firaun. Kini isterinya sudah mengikut ajaran Allah, maka dia harus berbuat sesuatu supaya isterinya keluar dari agama Allah.

"Dengarlah nasihat saya, wahai Asiah yang amat saya cintai dan sayangi.

"Keluarlah dari agama yang dibawa oleh Musa. Saya akan berikan segala harta dan istana di Mesir sebagai hadiah," Firaun cuba berlembut dan memujuk Asiah dengan kata-kata manisnya.

"Saya tidak akan sekali-kali keluar dari agama ajaran Musa yang benar dan suci. Nanti saya akan dimurkai oleh Allah, tuhan yang mencipta saya.

"Jika saya tetap dalam agama ini, saya percaya Allah akan memberikan syurga yang lebih baik dari harta dan istana kamu," tegas Asiah yang tenang dan berani bertentang mata dengan Firaun yang menyala dengan api kemarahan.

Usaha Firaun memujuk isterinya menemui jalan buntu. Dia tidak mahu menghukum Asiah kerana perasaan kasih sayang dan cinta yang mendalam terhadap isterinya. Dia cuba memikirkan cara lain bagi melembutkan hati Asiah supaya dia tidak beriman dengan ajaran nabi Musa.

Namun, semua ikhtiarnya gagal dan tidak menemui jalan penyelesaian. Firaun termenung. Wajahnya terbayang seribu kekecewaan kerana gagal memujuk Asiah. Akhirnya, dia mengambil keputusan menggunakan kekerasan kepada Asiah supaya dia berpaling dari agama Musa.

"Pengawal, tangkap Asiah dan bawa dia berjumpa beta sekarang!," perintah Firaun dengan nada keras.

"Oleh kerana kamu masih berdegil mahu mengikuti ajaran agama Musa, beta jatuhkan hukuman berat ke atas kamu," kata Firaun lagi.

"Pengawal, bawa perempuan ini ke tanah tinggi dan ikatkan pada empat batang kayu. Pakukan empat kayu itu ke bumi dengan menelentangkan badan perempuan ini menghadap langit.

"Biarkan bahang matahari yang panas, dan sejuk malam menyeksanya," Firaun meminta para pengawalnya menjalankan hukuman ke atas Asiah dengan segera.

"Allah! Allah! Allah!," mulut Asiah tidak henti-henti menyebut kalimat Allah sepanjang hukuman itu dijalankan.

"Ya Allah! Saya mohon supaya dilindungi dari bencana Firaun dan dianugerahkan sebuah rumah di syurga," doa Asiah yang terseksa dengan pancaran matahari yang sangat panas dan terik.

Akhirnya Asiah dapat melihat rumahnya di syurga dengan kehendak Allah yang membuka hijabnya. Hatinya sangat gembira sehingga lupa pada penderitaan dan kesakitan yang sedang diharunginya.

Selepas beberapa lama tempoh penyeksaan itu berlalu, Asiah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimat Allah di mulutnya.

Begitulah kisah wanita yang berhati waja. Dia tetap dalam keimanannya kepada Allah walaupun diseksa sehingga mati tanpa belas kasihan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5A9spOnaP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Doa Nabi Nuh mohon ampun


ARKIB : 14/04/2009
Firman Allah yang maksud-Nya: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya jadilah aku daripada orang-orang yang rugi. (Hud: 47)
Keterangan ayat

Setelah mendapati anaknya bertegas untuk mencari tempat perlindungan daripada banjir besar itu, maka Nabi Nuh memohon belas kasihan Allah agar merahmati anaknya.

Baginda mengatakan dalam ayat sebelumnya iaitu ayat 45 yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku.

Menurut Abu Sheikh, Allah SWT menafikannya dan menolak doa Nabi Nuh. Allah mengatakan dia termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang rugi kerana tidak menuruti Nabi Nuh dalam dakwahnya.

Nabi Nuh memohon keselamatannya selepas banjir reda kerana adatnya mungkin ada yang selamat dalam banjir dengan rahmat Allah.

Terdapat setengah riwayat menunjukkan bahawa anak Nabi Nuh itu sebenarnya adalah seorang munafik iaitu berpura-pura Islam di hadapan bapanya.

Lantaran itu, Nabi Nuh memohon keselamatannya sehingga Allah SWT mewahyukan tentang hakikat kekufurannya itu. (Tafsir Ruhil Ma’ani, tafsir ayat 47 surah Hud).

Menurut Fudhail Iyadh, Nabi Nuh menangisi kesilapannya yang memohon perkara yang tidak diketahui rahsia ketetapan Allah di sebaliknya itu selama 40 tahun.

Al-Imam Ahmad pula menyatakan, baginda menangis selama 300 tahun sehingga menjadi kesan laluan air mata di mukanya seperti laluan anak air. (Tafsir Ruhil Ma’ani, tafsir ayat 47 surah Hud).

Khasiat dan kaifiat beramal

Marilah kita jadikan pengajaran daripada kisah ini untuk meminta keampunan Allah atas permintaan kita kepada-Nya dalam banyak perkara yang kita tidak mengetahui rahsia di sebaliknya.

Jadikanlah doa ini amalan harian sebagai satu usaha bertaubat kepada Allah SWT.

-Petikan daripada buku 101 Doa Para Nabi & Rasul dalam Al-Quran Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5A9n6KwXn
© Utusan Melayu (M) Bhd