Sabtu, 5 Januari 2019

Abu Zar yang pemurah


ARKIB : 17/08/2010
ABU Zar al-Ghifari adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang berfahaman keras. Beliau terkenal dengan ilmu pengetahuan. Pernah dilaporkan oleh Ali bin Abu Talib bahawa Abu Zar mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Abu Zar seorang yang berani. Beliau mengisytiharkan pengislamannya di hadapan Kaabah. Pada ketika itu orang-orang kafir yang menyekutukan Allah mendengar akan kedatangannya. Mereka datang bagi membunuhnya. Kemudian Abu Zar dibantu oleh bapa saudara Nabi Muhammad iaitu Abbas. Abbas memeluk Abu Zar daripada di pukul oleh orang kafir Quraisy.

Menurut cerita, orang kafir itu tidak mengenali Abu Zar. Selepas mereka mengetahui yang Abu Zar adalah dari puak Ghifar, barulah mereka membiarkan dan tidak memukulnya lagi.

Ghifar adalah satu kawasan yang menjadi laluan perjalanan kabilah-kabilah Quraisy semasa hendak ke Syria. Membunuh Abu Zar bermakna mereka tidak dapat berdagang di situ lagi. Malah puak Ghifar bakal menyerang hendap kabilah mereka.

Abu Zar juga seorang yang bersifat takwa dan tabah. Pada masa khalifah Usman, beliau diarahkan supaya berpindah ke kawasan padang pasir yang bernama Rabzah. Beliau tidak suka kepada kekayaan. Beliau sentiasa menentang golongan kaya.

Abu Zar menyara kehidupannya dengan memelihara beberapa ekor unta. Beliau juga mempunyai orang suruhan yang sudah tua.

Pada suatu hari, seorang orang kampung daripada Bani Sulaim datang berjumpa dengannya.

Orang itu berkata: "Saya mahu tinggal bersama tuan. Saya mahu belajar ilmu-ilmu yang tuan ada mengenai perintah Allah dan sunah Nabi Muhammad. Saya sanggup membantu orang suruhan tuan menjaga unta-unta tuan."

Abu Zar memang seorang yang tegas. Beliau mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Lalu Abu Zar berkata: "Saya tidak dapat mengambil sembarangan orang tinggal bersama saya, kecuali dengan satu syarat. Kamu perlu ikut segala arahan saya."

Mendengar jawapan tersebut, lelaki dari Bani Sulaim itu bertanya: "Apakah syaratnya? Saya cuba patuh kepada kemahuan tuan itu."

Kemudian Abu Zar berkata: "Kamu harus menuruti arahan saya. Sekiranya saya menyuruh kamu membelanjakan harta saya, maka kamu perlu membelanjakan harta itu dengan cara yang terbaik."

Orang dari Bani Sulaim itu merasakan bahawa syarat yang diberikan oleh Abu Zar mudah dilakukan. Beliau menerima syarat tersebut. Akhirnya, beliau tinggal bersama Abu Zar.

Pada suatu hari, orang dari Bani Sulaim itu mendengar berita bahawa ada orang miskin berkhemah berhampiran tempat itu. Mereka sangat memerlukan makanan. Selepas mendengar berita itu, Abu Zar menyuruh orang dari Bani Sulaim menyembelih untanya dan memberi makanan kepada orang miskin tadi. Orang dari Bani Sulaim itu pergi memilih unta.

Unta pertama yang dipilih sangat jinak. Baginya unta itu sesuai bagi tunggangan Abu Zaar. Lalu dia tidak menyembelih unta pertama itu. Kemudian beliau memilih unta yang kedua. Unta yang kedua itu juga baik cuma berbeza dengan yang pertama.

Melihat unta itu, Abu Zar berkata: "Kamu tidak menepati janji yang kamu buat kepada saya sebelum ini."

Selepas mendengar penjelasan Abu Zar, orang dari Bani Sulaim itu berpatah balik dan mengambil unta pertama yang dipilihnya tadi. Unta itu adalah yang terbaik diberi makan kepada orang miskin.

Abu Zar menyuruh dua orang menyembelih unta tersebut. Beliau juga berpesan kepada tukang sembelih unta itu supaya membahagikan daging sama rata kepada orang miskin tadi. Beliau juga berpesan supaya meninggalkan satu bahagian yang sama bagi keluarganya.

Kemudian Abu Zar memanggil orang dari Bani Sulaim itu. Beliau bertanya: "Adakah kamu sengaja mengingkari arahan saya atau kamu sebenarnya terlupa dengan arahan saya itu?"

"Saya tidak terlupa. Saya sebenarnya merasakan bahawa unta pertama itu sesuai bagi kenderaan tuan. Unta itu sangat jinak. Tuan amat memerlukannya. Manakala unta kedua sesuai dijadikan makanan dan diberikan kepada orang miskin itu," jawab orang dari Bani Sulaim itu.

Abu Zar berkata lagi: "Saya beritahu kamu bilakah sebenarnya saya memerlukan harta itu? Iaitu semasa saya berada di dalam kubur. Ada tiga perkara yang berhak ke atas harta saya itu.

"Pertama, takdir. Tiada sesiapa yang berhak menghalangnya sama ada baik atau buruk. Harta itu tetap diambilnya.

"Kedua, pewaris harta itu. Mereka hanya menunggu saat kematian saya. Selepas saya mati, mereka bakal memperoleh harta itu. Ketiga ialah diri kita sendiri. Sekiranya kita dapat menguruskan harta itu, kita tidak perlu berkongsi dengan dua perkara tadi. Kita perlu menguruskan harta itu dengan sebaik mungkin."

Bagi Abu Zar, beliau tetap memberikan harta yang paling disayanginya kepada orang yang memerlukannya sebagai bekalan hari selepas kematiannya. Orang dari Bani Sulaim itu memahami penerangan Abu Zar.

Oleh yang demikian kita perlu membelanjakan harta kita ke jalan yang disukai oleh Allah. Barang yang mahu kita berikan kepada orang lain adalah dari barang yang paling kita sayang.

lPetikan daripada buku Sayap dari Syurga PTS Publications.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5bk3moD8x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rancangan kafir Quraisy gagal


ARKIB : 04/08/2010
Rancangan kafir Quraisy gagal
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PENDUDUK kafir Quraisy kini benar-benar serius untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. Keputusan di Darul Nadwah itu akan diteruskan sebagai cara dan jalan penyelesaian terbaik menyekat kemaraan Islam daripada terus berkembang selepas tanpa disangka memasuki Yathrib.

Mereka tidak boleh menunggu masa dan perlu menyegerakan komplot untuk membunuh Nabi SAW sebelum baginda menurut jejak langkah para pengikutnya yang berhijrah ke Yathrib.

Komplot membunuh baginda itu tentunya begitu segar dalam ingatan umat Islam. Ia antara catatan besar dalam sejarah atau sirah Nabi Muhammad.

Setiap detik penuh dikira begitu mencemaskan apabila para pembesar Quraisy melantik 11 pembunuh yang mewakili pelbagai kabilah dan kaum bagi menjalankan misi itu.

Mereka terdiri daripada kalangan pemuda-pemuda dan beberapa pemimpin Quraisy yang gagah perkasa, cekap bermain senjata dan terkenal dengan sifat jahat dan kejam.

Termasuk beberapa nama yang kita kenali, para pembunuh yang diamanahkan untuk membunuh Nabi Muhammad itu ialah:

1) Abu Jahal bin Hisham

2) Al Hakam bin Abi Al 'As

3) 'Uqbah bin Abi Mu'ayyat

4) Al-Nadr bin Al Harith

5) Ummayyah bin Khalaf

6) Ta'imah bin Adiy

7) Abu Lahab

8) Ubay bin Khalaf

9) Zama'ah bin Al Aswad

10) Nabih bin al Hajjaj

11) Munabbih bin Al Hajjaj

Lalu Jibrail segera membawa wahyu kepada Nabi Muhammad memberitahu mengenai perancangan jahat itu dan memerintahkan baginda dengan izin Allah segera berhijrah sebagaimana umat Islam yang lain.

"Malam ini, kamu jangan tidur di atas tempat tidurmu yang biasa engkau tidur di atasnya," kata Jibrail.

Lalu baginda segera pergi ke rumah sahabat baiknya, Abu Bakar memberitahu perintah Allah untuk mereka segera menyelamatkan diri kerana pada malam itu pasti pakatan hendak membunuh.

Apabila tiba waktu malam, kesemua mereka yang diamanahkan membunuh Nabi Muhammad mula menyusup secara senyap-senyap di sebalik rumah baginda.

Mereka mengepung rumah baginda dan hanya menunggu masa sahaja untuk membunuh baginda.

Kerana terlalu yakin bahawa mereka akan mencapai kemenangan dengan darah merah Rasulullah akan membasahi pedang panjang masing-masing lalu Abu Jahal sempat mengeluarkan kata-kata yang sangat angkuh.

"Muhammad mendakwa kalau kamu ikut dia, maka kamu akan menjadi Raja kepada orang-orang Arab dan Ajam. Kemudian setelah kamu mati kamu akan dibangkitkan.

"Dia janjikan untuk kamu syurga-syurga seperti taman-taman di Urdun (Jordan).

"Kalau kamu tak sanggup mengikutinya, dia berupaya menewaskan kamu. Kemudian selepas mati kamu akan dibangkitkan dan disediakan untuk kamu neraka yang akan membakar kamu," kata Abu Jahal dengan tujuan untuk mempersenda-sendakan Nabi SAW.

Yang lain hanya tersenyum mendengarkan kata-kata Abu Jahal itu. Malah mereka semakin tidak sabar untuk menghunuskan pedang bagi menamatkan riwayat baginda.

Namun sebaik mana pun pakatan untuk membunuh Nabi Muhammad itu dirancang, akhirnya seperti yang kita semua ketahui ia gagal (rujuk surah al-Anfal; 30).

Pihak Quraisy menemui kegagalan yang sangat memalukan. Apabila tiba detik untuk mereka membunuh Nabi Muhammad mereka mendapati menantu baginda, Ali bin Abi Talib pula yang berada di atas katil yang lazimnya menjadi tempat tidur baginda.

Baginda berkata kepada Ali: "Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut al Hadramai yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu."

Selepas memberi arahan daripada Rasulullah, Ali pun melakukan seperti apa yang diperintahkan tanpa sedikit rasa ragu mahupun takut. Ali segera menutup badannya dengan selimut itu lalu terus baring mengiring mengadap ke dinding, tidak ubahnya seperti nabi Muhammad yang sedang tidur.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5bk033xO9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bani Israel meninggalkan Mesir


ARKIB : 30/07/2010
BANI Israel yang hidup di bawah pemerintahan Firaun sedar dan tahu membezakan antara sesat dan benar. Mereka juga mula percaya akan rasul Allah iaitu Nabi Musa yang datang memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka.

Mereka tidak lagi mentaati Firaun sebaliknya mula mendekatkan diri kepada Nabi Musa. Firaun telah kekurangan pengaruhnya.

Firaun mahu mengalahkan Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya dengan cara pembunuhan. Nabi Musa telah merancang bersama pengikut-pengikutnya akan keluar dari Mesir pada suatu malam yang telah ditetapkan.

Apabila tiba malam tersebut, berkumpullah Nabi Musa dan kaum Bani Israel di sebuah tempat. Mereka berangkat bersama-sama meninggalkan Mesir menuju ke tanah suci Palestin.

Mereka berangkat dengan berhati-hati kerana tentera Firaun telah bersiap sedia untuk menghalangi keberangkatan mereka. Mereka berjalan di atas gurun padang pasir yang kering sehingga mereka tiba di pinggir laut yang luas.

Mereka tidak tahu bagaimana cara untuk menyeberangi laut yang luas itu. Mereka takut dan masing-masing melihat maut sedang menghampiri.

Firaun dan tenteranya semakin hampir. Firaun akan memusnahkan Nabi Musa bersama pengikutnya. Sesungguhnya mereka tidak mampu melawan Firaun dan tenteranya.

Pengikut-pengikut Nabi Musa mulai marah dan geram terhadap Nabi Musa. Mereka mula mencela Nabi Musa dan berasa kesal kerana mengikutnya.

Tiba-tiba terdengarlah teriakan daripada pengikut Nabi Musa: “Firaun sudah berada di belakang kita. Dia mahu menangkap dan membunuh kita. “Ke mana harus kita pergi? Apa yang harus kami buat untuk menyelamatkan diri daripada dikejar oleh Firaun dan tenteranya?”

“Tidak, Firaun tidak akan berjaya mengejar kita, sesungguhnya Tuhanku bersamaku dan Dia akan membimbingku. Tak usahlah kamu semua khuatir, perjalanan kita ini telah diperintahkan oleh Allah kepadaku. Dialah yang akan memberi jalan keluar serta menyelamatkan kita daripada dikejar oleh Firaun yang zalim itu, Allah sentiasa membimbingku,” kata Nabi Musa kepada pengikutnya.

Pada saat yang genting itulah, tiba-tiba Allah mewahyukan kepada Nabi Musa: “Wahai Musa, pukullah tongkatmu itu ke laut.”

Dengan segera Nabi Musa memukul laut itu dengan tongkatnya. Tiba-tiba terbentanglah di atas laut itu dua belas lorong yang luas. Di pinggir jalan itu pula berdiri tembok air yang tebal. Tembok itu tidak dapat ditembusi oleh panah atau peluru.

Mereka segera berlari dengan cepat melalui jalan yang terbentang luas. Akhirnya mereka sampai di seberang dengan selamat.

Inilah mukjizat Allah SWT yang sangat besar diberikan kepada Nabi Musa
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5bjxYnxSw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pakatan membunuh nabi


ARKIB : 28/07/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
DETIK-DETIK penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Yathrib merupakan satu sejarah yang menjadi ingatan umat Islam sepanjang zaman. Selepas lebih dari dua bulan berlakunya Perjanjian Aqabah Kedua, tidak ada lagi umat Islam yang tinggal di Mekah.

Hampir kesemua mereka berjaya membawa diri ke Yathrib secara senyap-senyap bagi memulakan satu kehidupan.

Tetapi ketika itu baginda Rasulullah bersama kaum keluarga, sahabat Abu Bakar As Siddiq dan menantu Ali bin Abi Talib masih berada di Mekah.

Ini sebagai mematuhi perancangan agar mereka menunggu masa yang benar-benar sesuai untuk berhijrah.

Tempoh itu baginda gunakan untuk menyiapkan segala kelengkapan dan hanya menanti wahyu dari Allah untuk memerintahkan baginda keluar dari Kota Mekah.

Tetapi bagi kaum musyrik Mekah, mereka tidak senang duduk apabila setiap kali mendengar berita orang Islam telah sampai ke Yathrib.

Ini kerana penghijrahan umat Islam itu adalah satu ancaman atau bahaya yang cukup besar kepada mereka terutamanya kedudukan agama penyembahan berhala, ekonomi dan politik kaum musyrik.

Lagi pula umat Islam bakal bersatu dengan penduduk Arab dari dua kabilah utama di Yathrib, Aus dan Khazraj yang bakal membentuk satu kelompok Arab yang sangat kuat dan boleh menjadi mengancam kedudukan Arab di Mekah.

Semua itu tidak mustahil kerana faktor pimpinan dan seluruh peribadi baginda sangat kuat pengaruhnya terhadap para pengikut lama dan baru.

Pengaruh baginda mampu membentuk satu kesetiaan jitu malah sanggup berkorban apa sahaja demi baginda dan agama Islam yang disebarkan oleh baginda itu.

Apatah lagi jika baginda disakiti, pengalaman-pengalaman sebelum ini menunjukkan ramai yang menerima padah akibat cuba berniat jahat terhadap baginda.

Dari aspek ekonomi pula, Yathrib itu sendiri mempunyai kedudukan geografi yang sangat strategik kepada rombongan perdagangan yang sering melalui kawasan persisiran Laut Merah dari Yaman ke Syam (Syria).

Mereka pasti akan melewati Yathrib terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Syam yang menjadi pusat perniagaan dan perdagangan utama ketika itu.

Ini bakal memberi peluang kepada penduduk Yathrib untuk memberi pelbagai tekanan dan menghilangkan kebebasan kepada para pedagang yang terdiri dari Musyrik Mekah itu sendiri untuk berdagang ke Syam.

Kaum musyrik Mekah bimbang mereka disekat atau dilarang untuk berdagang kerana akan dianggap sebagai pengintip yang bakal menimbulkan kekacauan bagi melemahkan kedudukan umat Islam.

Lantaran setelah dikaji semua itu, penghijrahan umat Islam itu benar-benar satu petaka. Hubungan umat Islam dengan penduduk Yathrib mesti disekat. Jika tidak ia dilihat bakal menghancurkan kaum musyrik Mekah.

Lalu pada 26 Safar tahun ke 14 kenabian bersamaan 12 September 622 Masihi maka berlakulah satu mesyuarat serius dan tegang. Ia dihadiri oleh hampir kesemua pemimpin kabilah-kabilah Arab musyrikin Mekah yang disifatkan seperti dalam satu sidang perwakilan (Darul Nadwah).

Abu Jahal bin Hisham yang mewakili Bani Makhzum, Jubair bin Mut'im dari Bani Nawfal, Shaybah, Utbah bin Rabiah, Abu Sufyan bin Harb dari Bani Abd Shams, Umayyah bin Khalaf dari Bani Jumah adalah antara para pemimpin Quraisy yang hadir dalam pertemuan itu. Mereka sepakat untuk mendapatkan apa juga cara yang boleh menyekat Islam dan umatnya dari terus berkembang.

Namun yang menariknya saat mereka hendak berkumpul untuk sama-sama berbincang maka datang seorang lelaki tidak dikenali yang sangat tua.

Lelaki itu sebenarnya iblis yang menyamar bagi menjalankan jarum jahatnya untuk menghancurkan Islam. Tetapi apabila ditanya siapakah dia kerana mereka tidak pernah nampak dan mengenali orang tua ini, lalu Iblis pun menjawab: "Saya merupakan seorang tua yang sangat dihormati dari Najd yang telah terdengar akan rancangan kamu untuk mengadakan pertemuan ini.

"Benarkanlah saya hadir bersama-sama dalam perbincangan ini untuk sama-sama mendengar apa yang kamu bincangkan agar kita sama-sama dapat mengambil pendapat dan nasihat yang bernas bagi menyelesaikan masalah ini."

Melihatkan perwatakannya seperti seorang yang sangat berpengalaman dan bijak lalu iblis itu dibenarkan turut serta dalam perbincangan.

Pertemuan tersebut menjurus kepada cadangan-cadangan terutama bagaimana mereka dapat menahan baginda daripada meluaskan pengaruhnya dan membina kekuatan dari luar kota Mekah bagi membolehkan pada suatu hari nanti Kota itu akan jatuh sepenuhnya ke tangan Islam.

Pelbagai cadangan dikemukakan yang kemudiannya diperhalusi namun kita akan mengetahui siapa yang memastikan cadangan-cadangan itu bernas mahupun tidak.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5bjtlQIgX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Usaid bin Malik suka hadiri majlis ilmu


ARKIB : 27/07/2010
USAID bin Malik bin Rabiah ialah salah seorang sahabat Nabi Muhammad dan seorang pahlawan Islam yang berani. Usaid sering menyertai angkatan perang Islam bagi mengalahkan musuh. Salah satu sifat Usaid yang mengkagumkan ialah beliau suka menghadiri majlis ilmu.

Setiap kali ada majlis ilmu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad, Usaid ada di sana. Usaid suka menimba ilmu-ilmu yang baru.

Beliau memang suka mendengar ilmu yang diajarkan dan disampaikan oleh Nabi Muhammad. Setiap ilmu agama dan nasihat yang diperolehnya itu diambil perhatian.

Pada suatu hari, ada majlis ilmu yang disampai oleh Nabi Muhammad.

"Nampaknya hari ini ada ilmu agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad," kata Usaid seorang diri.

Usaid tidak mahu melepaskan peluang itu. Beliau menghadiri majlis ilmu itu. Sampai sahaja di dalam majlis tersebut, beliau duduk mendengar segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad dengan penuh perhatian.

Ramai turut hadir dalam majlis itu. Sedang asyik beliau mendengar, tiba-tiba datang seorang lelaki dari golongan Bani Salmah duduk dalam majlis tersebut.

Semasa majlis itu berlangsung, sesi soal jawab dibuka di antara Nabi Muhammad dan orang yang berada di sana.

"Ada soalan yang mahu ditanya oleh anda semua," tanya Nabi Muhammad kepada para hadirin.

Lelaki dari golongan Bani Salmah itu pun mengangkat tangannya dan bertanya kepada Nabi Muhammad.

"Wahai Nabi Muhammad, ibu bapa saya sudah meninggal dunia. Masih bolehkah saya berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya selepas mereka meninggal dunia," tanya lelaki itu.

"Semasa mereka masih hidup, saya orang yang selalu menjaga dan taat kepada mereka," katanya lagi.

Rupa-rupanya, para hadirin yang lain juga mempunyai kemusykilan yang sama dengan lelaki Bani Salmah itu.

Usaid bin Malik tidak sabar-sabar menantikan jawapan yang bakal diberikan oleh Nabi Muhammad.

Keadaan menjadi senyap dan sunyi. Sebentar kemudian, Nabi Muhammad menjawab: "Kamu masih dapat berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

"Caranya begini. Kamu harus selalu mendoakan mereka, meminta ampun kepada Allah dan melaksanakan wasiat yang mereka tinggalkan selepas meninggal dunia."

Para hadirin yang mendengar penjelasan itu mengangguk-angguk kepala mereka.

Kemudian Nabi Muhammad berkata lagi: "Kamu juga perlu menjaga tali persaudaraan dengan kawan-kawan ibu bapa dan memuliakan kawan-kawan mereka itu."

Para hadirin yang mendengar jawapan Nabi Muhammad faham dengan jawapan yang diberikan.

Kemudian lelaki daripada golongan Bani Salmah itu teringat pesanan Nabi Muhammad, iaitu; "Apabila meninggal seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara. Pertama, sedekah yang diberinya semasa beliau hidup. Kedua, ilmu yang disampaikannya kepada orang lain. Akhir sekali yang ketiga, ialah anak yang baik dan selalu mendoakan ibu bapa mereka."

"Mulai saat ini, saya sentiasa berdoa kepada Allah dan berbuat baik dalam hidup, supaya saya dapat berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya yang sudah meninggal dunia," bisik lelaki itu sendirian.

Lelaki itu berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Kemudian, beliau beredar dari majlis ilmu itu. Beliau berazam berbuat baik kepada kedua ibu bapanya yang sudah meninggal dunia selagi beliau masih hidup.

Usaid juga turut gembira mendapat penjelasan daripada Nabi Muhammad pada hari itu. Bagi Usaid, beliau juga berazam menjadi seorang anak yang taat dan berbuat baik kepada ibu bapanya.

Pada hari itu, Usaid mendapat ilmu baru mengenai berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia. Beliau gembira kerana ilmunya semakin bertambah.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5bjfLQRPG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 4 Januari 2019

Umar amanah menjaga harta Baitulmal


ARKIB : 20/07/2010
Umar amanah menjaga harta Baitulmal
UMAR al-Khattab adalah khalifah Islam yang kedua. Pada ketika itu pusat pemerintahan berada di kota Madinah. Umar adalah khalifah yang sangat disegani, bertanggungjawab dan amanah pada tugasnya.

Segala arahan yang dikeluarkannya adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas termasuk oleh ahli keluarganya terlebih dahulu.

Tidak ada pengecualian kerana Umar amat teliti dengan segala suruhan Allah dan Nabi Muhammad.

Terdapat kisah bagaiamana semasa Umarb sedang mengira dan membahagikan wang baitulmal, tiba-tiba anak perempuannya datang mengambil satu dirham wang itu.

"Saya jumpa wang. Ini wang saya. Saya ada wang sekarang," kata anak perempuan Umar sambil terlompat-lompat kerana gembira mendapat wang satu dinar.

Seperti kanak-kanak lain, anak perempuan Umar itu memang tidak mengerti bahawa wang itu bukan milik ayahnya.

Walaupun ayahnya adalah pemerintah pada masa itu, tidak bermakna anaknya dapat boleh mengambil wang baitulmal sesuka hati.

Wang itu diberikan kepada orang yang berhak menerimanya. Sudah menjadi tanggungjawab Umar membahagikan wang baitulmal itu kepada individu-individu yang berhak menerimanya.

Umar menyuruh anak perempuannya menyerahkan kembali wang itu.

"Tolong berikan ayah wang itu kembali," kata Umar kepada anak perempuannya itu.

"Kembalikan wang itu," katanya lagi.

"Tidak mahu. Saya yang jumpa wang ini. Wang ini milik saya," kata anak perempuannya sambil berlari-lari anak.

Bagi Umar, sekiranya anaknya mengambil wang itu, bermakna beliau sendiri tidak bersifat amanah pada wang baitulmal itu.

Khalifah Umar tidak mahu melanggar perintah Allah. Beliau juga tidak mahu menjadi pengkhianat kepada negara yang diperintahnya itu.

Umar pun mengejar anaknya yang sedang menuju ke rumahnya. Anaknya menjadi takut melihat ayahnya mengejarnya. Lalu anak perempuannya menangis teresak-esak.

"Baik saya masukkan wang ini ke dalam mulut saya. Untung-untung ayah tidak dapat mengambil wang ini," bisik anak perempuannya itu.

Anak perempuannya memasukkan wang satu dirham itu ke dalam mulutnya. Puas Umar memujuk anaknya.

"Kembalikan wang itu, wahai puteri ayah," pujuk Umar kepada anaknya itu.

Anaknya masih berdegil. Tanpa berlengah, Umar terpaksa memasukkan jarinya ke dalam mulut anaknya itu.

"Maafkan ayah kerana terpaksa mengorek mulut kamu bagi mendapatkan semula wang baitulmal ini," kata Umar kepada anak perempuannya itu.

Umar mengorek wang itu dengan jarinya. Wang itu berjaya dikeluarkan.

Kemudian Umar berkata kepada anak perempuannya itu: "Maafkan ayah. Wang ini bukan kamu yang punya. Wang ini milik baitulmal."

Anak perempuannya masih menangis, sementara ibunya memujuk anaknya itu.

Orang lain yang berada di baitulmal turut melihat kejadian itu. Mereka sangat kagum dengan sikap Umar yang tegas.

Selepas berjaya mendapatkan wang satu dirham itu, Umar kembali ke baitulmal dan meletakkan semula wang itu ke tempat asalnya.

Kemudian Umar berkata kepada orang Islam yang melihat kejadian itu: "Harta baitulmal bukan milik saya atau keluarga saya. Harta dan wang Baitulmal adalah milik orang Islam yang berhak menerimanya."

Peristiwa itu menjadi contoh teladan kepada semua masyarakat Islam. Ketegasan dan keadilan Umar dalam melaksanakan kepimpinannya, menjadikan beliau lebih dihormati oleh orang lain.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5bhEOA7HQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khalid al-Walid ‘pedang Allah’


ARKIB : 16/07/2010
Khalid al-Walid ‘pedang Allah’
PERJANJIAN damai Hudaibiah banyak membuka hati orang-orang kafir untuk memeluk Islam. Antaranya yang memeluk Islam ialah Khalid bin al-Walid. Beliau dahulu adalah pemimpin pasukan Quraisy yang sangat terkemuka. Beliau juga merupakan seorang pahlawan perang yang sangat gagah dan berani.

Hampir semua peperangan disertai oleh beliau akan beroleh kemenangan. Selepas memeluk Islam, Rasulullah memberikannya jolokan ‘Saifullah’ iaitu Pedang Allah. Beliau juga telah menakluki negeri Syria.

Selepas memeluk Islam, Khalid menjadi pemimpin dalam setiap peperangan. Ini disebabkan beliau bijaksana dan berpengalaman dalam mengatur strategi peperangan.

Ketika beliau melihat jumlah pasukan musuh di Muktah yang berlipat ganda ramainya, beliau memasang strategi dengan mengajak pasukannya mundur ke selatan sementara pihak musuh mundur ke utara.

Dengan itu, kedua-dua pasukan tidak bertembung dan berada dalam keadaan yang jauh. Keadaan itu menjadikan mereka lebih selamat dalam pasukan daripada meneruskan peperangan yang akan membawa kepada kebinasaan dan kematian.

Sementara itu, beliau juga telah menugaskan sebahagian pasukannya yang berada di barisan belakang untuk melancarkan pertembungan dan pergaduhan sebagai taktik seolah-olah pasukan Muslimin sedang mendapatkan bantuan dari Madinah.

Taktik yang beliau atur ini ternyata berhasil. Pihak musuh menjadi takut terhadap pasukan Muslimin sehingga sebahagiannya terus berusaha mundur dan tidak meneruskan peperangan.

Ketika hendak memeluk Islam, beliau telah menyaksikan berbagai-bagai peristiwa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sangat dikenali oleh semua orang dan pengikut-pengikut baginda juga semakin bertambah.

Pernah suatu ketika, baginda dan rombongan baginda dalam perjalanan menuju ke Hudaibiah, pasukan Khalid telah mengekori baginda. Kemudian beliau melihat Rasulullah bersembahyang Zuhur bersama-sama para sahabat baginda.

Pada mulanya beliau bercadang hendak menyerang mereka ketika mereka sedang bersembahyang itu, tetapi tiba-tiba tidak tercapai keinginan untuk membuat sedemikian.

Khalid terus menunggu sehingga baginda menunaikan solat Asar pula. Tetapi niat itu diketahui oleh Rasulullah, lalu baginda dan para sahabat terpaksa menunaikan solat khauf iaitu solat dalam keadaan takut dan berjaga-jaga.

Terus hati Khalid berasa serba salah dan tidak jadi hendak menghalang Rasulullah.

Apabila beliau mengetahui pemergian baginda ke Hudaibiah adalah untuk membuat perjanjian perdamaian dengan kaum Quraisy, terus Khalid bersemangat untuk mendatangi Rasulullah dan menyatakan keinginan beliau untuk memeluk Islam.

Lalu beliau pun segera mengajak kawan-kawannya untuk pergi ke Madinah menemui Rasulullah dan memeluk Islam. Rasulullah sungguh gembira menyambut kedatangan Khalid dan sahabat-sahabatnya, lalu mengislamkan mereka.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5bgjx3Pad
© Utusan Melayu (M) Bhd