Sabtu, 12 Januari 2019

Muawiyah terima teguran rakyat


ARKIB : 16/09/2010
MUAWIYAH bin Abi Sufyan bin Harb bin Umaiyah ialah pengasas Bani Umaiyah. Beliau ialah sahabat Nabi Muhammad dilahirkan pada tahun 602 Masihi. Lima tahun sebelum Nabi Muhammad menjadi rasul.

Beliau memeluk Islam ketika berumur 25 tahun. Pada masa itu Mekah ditawan oleh tentera Islam. Sebelum memeluk Islam, beliau seorang penentang yang hebat dan kuat terhadap Islam. Abu Sufyan ialah bapa Muawiyah seorang pemimpin Quraisy yang masyhur dan berpengaruh.

Pada masa Nabi Muhammad, beliau dilantik sebagai seorang penulis wahyu dan banyak melaporkan hadis serta mengetahui hadis Nabi Muhammad.

Selain dilantik menjadi gabenor Syam selama 20 tahun, Muawiyah juga dilantik menjadi khalifah pada 26 Rabiulawal tahun 41 Hijrah. Pada masa itu Hasan bin Ali menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, Muawiyah dilantik menjadi ketua pasukan tentera Islam semasa berperang di Syam. Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khatab, beliau dilantik sebagai gabenor di Jordan.

Semasa Muawiyah menjadi khalifah, beliau banyak mencapai kejayaan dalam aspek pemerintahan, pentadbiran, politik, ketenteraan, politik, dan lain-lain. Muawiyah meninggal dunia pada tahun 60 Hijrah bersamaan 680 Masihi.

Muawiyah adalah tokoh terkenal kerana mengubah corak pemerintahan daripada demokrasi kepada sistem beraja. Beliau adalah pemerintah yang dihormati dan digeruni oleh rakyatnya.

Pada suatu hari, semasa Muawiyah berada di istana, beliau bertanya kepada para pembesarnya yang lain mengenai dirinya.

Kata Muawiyah: "Siapakah di antara pembesar beta ini yang dapat memberitahu beta mengenai sesuatu. Siapakah orang yang lebih baik dan mulia selain daripada ahli keluarga beta?"

Para pembesar yang ada di istana itu tidak mahu menjawab. Kelihatan istana sunyi sepi. Tiba-tiba ada seorang pembesar yang bernama Annuman al-Zirqi cuba menjawab pertanyaan Muawiyah. Pembesar itu bangun menampilkan dirinya dengan berani.

Pada masa itu, Hasan bin Ali turut berada di sana mendengar soalan yang dikemukakan oleh Muawiyah. Hasan diam membisu. Tiba-tiba, datang pembesar yang berani itu menghampiri Hasan bin Ali.

Kemudian pembesar itu menarik tangan Hasan, lalu mengangkat tangan beliau sambil berkata: "Orang yang mulia selain ahli keluarga tuanku ialah Hasan Bin Ali."

"Apa kamu kata? Hasan bin Ali orang yang lebih mulia selain daripada keluarga beta?" Tanya Muawiyah dengan nada terkejut.

Muawiyah terkejut mendengar jawapan daripada pembesar itu. Pembesar itu berani mengatakan bahawa ada orang lain yang lebih mulia daripada ahli keluarganya, sedangkan pada masa itu Muawiyah adalah seorang raja dan pemerintah Bani Umaiyah.

"Benar tuanku. Hasan bin Ali adalah cucu Nabi Muhammad dan Siti Khadijah. Beliau adalah anak Ali bin Abi Talib dan Fatimah Az-Zahrah. Bagi saya Hasan bin Ali orang yang mulia dan tiada bandingannya dengan orang lain," kata pembesar itu lagi.

Para pembesar lain turut terkejut mendengar jawapan pembesar yang bernama Annuman al-Zirqi itu. Semua para pembesar lain memandang tepat ke arah muka beliau. Mereka memandang beliau dengan pandangan sinis.

"Berani benar Annuman al-Zirqi berkata begitu di hadapan tuanku. Memang tidak beradab beliau ini," kata salah seorang pembesar yang menyokong kuat kepimpinan Muawiyah.

Ada di antara mereka marah terhadap Annuman al-Zirqi kerana mereka adalah pembesar yang menyokong kuat dan setia kepada Muawiyah.

"Maafkan hamba tuanku. Annuman al-Zirqi ini mungkin kelaparan atau tidak cukup tidur semalam. Maka, sebab itulah beliau berkata begitu," kata salah seorang pembesar lain bagi memujuk hati Muawiyah.

Muawiyah tetap berada di sana. Kemudian Muawiyah berasa seperti mahu marah terhadap Annuman al-Zirqi. Sebentar kemudian, marahnya itu menjadi reda apabila Muawiyah duduk semula di atas kerusi takhtanya itu.

"Maafkan saya tuanku. Saya berkata benar. Bagi saya orang yang mulia daripada ahli keluarga tuanku adalah Hasan bin Ali," kata Annuman al-Zirqi kepada Muawiyah.

"Tidak mengapa. Beta sudah tahu kebenarannya. Orang yang mulia selain daripada keluarga beta adalah Hasan bin Ali. Walaupun pada mulanya tadi beta agak terkejut dan berkecil hati tetapi sekarang beta dapat menerima kenyataan itu. Beta memaafkan kamu. Kamu berkata benar," jelas Muawiyah panjang lebar.

Para pembesar lain yang turut berada di sana juga dapat menerima kenyataan bahawa Annuman al-Zirqi seorang yang tegas dan bercakap benar. Mereka tidak marah kepada Annuman al-Zirqi lagi.

Annuman al-Zirqi ialah seorang pembesar yang berani. Beliau berani menyatakan kebenaran di hadapan rajanya pada masa itu. Oleh yang demikian kita sebagai orang Islam wajar mengambil iktibar daripada kisah ini.

Kita juga perlu bercakap benar dengan sesiapa sahaja yang kita jumpa. Orang yang bercakap benar tidak akan rugi.

l Petikan daripada buku Sayap Dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5cOGUk8KR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nabi satukan penduduk Yathrib


ARKIB : 15/09/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
KETIBAAN Rasulullah SAW bersama ahli-ahli rombongannya bagaikan satu sinar baru menerangi bandar Yathrib yang sebelum ini menyaksikan penduduknya hidup berpecah-belah.

Kalangan bangsa Arab dan Yahudi yang sering bergaduh dan bersaing dalam pelbagai persoalan hidup.

Namun pada hari pertama kehadiran Nabi Muhammad sahaja sudah memperlihatkan mereka kini bersatu.

Arab dan Yahudi, lelaki dan perempuan, tua dan muda, dewasa dan kanak-kanak semuanya keluar beramai-ramai ke jalan bagi menyambut kehadiran baginda.

"Allahu Akbar, Rasulullah telah tiba, Allahu akbar, Muhammad sudah tiba, Allahu Akbar, Muhammad sudah datang, Allahu Akbar, Rasulullah sudah datang," laung mereka.

Mereka bertahmid dan berselawat ke atas junjungan nabi itu dengan penuh gembira dan melupakan segala sengketa perkauman yang selama ini membelenggu diri.

Begitu pun, ramai kalangan penduduk Yathrib itu sebenarnya tidak mengenali Nabi Muhammad kerana mereka tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan baginda.

Jadi mereka tidak kenal mana satu Nabi Muhammad dan yang mana satu Abu Bakar.

Ditambah lagi umur antara baginda dan sahabatnya itu tidak jauh beza, iaitu Abu Bakar dikatakan dua tahun lebih muda daripada Rasulullah.

Walaupun tidak pernah mengenali Rasulullah secara fizikal, tidak mengenal rupa paras baginda namun soal kesetiaan dan keyakinan mereka terhadap baginda tidak boleh dipersoalkan lagi.

Mereka sudah memberi keyakinan dan keimanan yang tidak berbelah bagi kepada Muhammad. Malah berjanji akan mempertahankan baginda daripada musuh-musuh Allah seperti mereka mempertahankan isteri, anak-anak dan kaum keluarga mereka sendiri.

Akhirnya apabila mereka melihat sendiri Abu Bakar melindungi Nabi Muhammad daripada terik sinaran matahari maka barulah mereka tahu yang mana satu Rasulullah.

Mereka kemudiannya berebut-rebut memegang tali unta tunggangan baginda untuk mengajak baginda tinggal di rumah atau di kampung mereka.

Malah tidak kurang juga kerana hendak mengambil berkat untuk tinggal bersama dengannya.

"Silakanlah singgah di rumah kami, supaya kamu mendapat teman, bekalan, senjata dan pertahanan," kata mereka.

Walaupun mereka bukanlah golongan yang kaya atau mewah tetapi mereka sangat berharap kalau baginda dapat singgah dan menetap di rumah mereka.

Tetapi baginda yang mengalu-alukan kemurahan hati penduduk Yathrib meminta supaya membiarkan sahaja unta baginda berjalan mengikut kemahuan haiwan itu sehingga ia berhenti sendiri.

"Biarlah dia berhenti sendiri. Unta ini mengikut perintah Allah," kata baginda.

Akhirnya, unta yang membawa baginda dikatakan berhenti di daerah suku Najjar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5cOEjEhh6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Mus'ab tinggalkan kemewahan


ARKIB : 09/09/2010
MUS'AB bin Umair ialah seorang pemuda yang segak dan tampan. Beliau adalah anak seorang bangsawan yang kaya raya dan keturunannya dianggap mulia oleh penduduk Mekah. Sebab itu Mus'ab menjadi bualan dan igauan wanita-wanita di Mekah.

Orang Quraisy juga menghormati keturunan keluarga Mus'ab. Sebelum Mus'ab memeluk Islam, beliau hidup dalam kemewahan. Pakaiannya mahal-mahal belaka. Beliau amat disayangi oleh kedua ibu bapanya.

Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat lain juga mengenali Mus'ab. Malah Nabi sendiri berkata: "Tidak ada orang yang tinggal di Mekah ini hidupnya mewah seperti Mus'ab."

Namun kemewahan dan kesenangan yang dimiliki oleh Mus'ab hanya sementara. Mus'ab mendapat petunjuk daripada Allah. Beliau mula meminati ajaran Islam dan berjumpa dengan Nabi Muhammad.

Beliau mendengar segala ajaran dan kata-kata Allah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Kemudian beliau tertarik memeluk agama Islam. Mus'ab masuk Islam tanpa pengetahuan ibu dan bapanya. Beliau memeluk agama Islam pada usia kira-kira 24 tahun.

Mus'ab cuba merahsiakan keislamannya daripada pengetahuan ibu bapanya. Beliau mula bergiat aktif dalam mempelajari ajaran Islam dan mula mengikuti Nabi Muhammad ke rumah Arqam bin Abi Arqam dan berkumpul mempelajari ajaran Islam.

Namun, rahsia Mus'ab memeluk Islam terbongkar apabila ada seorang pemuda melihat Mus'ab bersembahyang cara Islam. Kemudian pemuda itu memberitahu ibu bapa Mus'ab mengenai keislamannya itu. Mendengar cerita mengenai Mus'ab, ibu dan bapanya menjadi marah dan kesal kerana anaknya mudah terpengaruh dengan ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.

Bermula hari itu, Mus'ab dilarang sama sekali berjumpa Nabi SAW. Malah ibu bapanya mengurung Mus'ab di dalam rumah.

Ibu Mus'ab berkata kepadanya dalam keadaan marah: "Saya tidak terpengaruh dengan agama yang kamu anuti. Saya menjadi tidak siuman sekiranya saya masuk agama kamu."

Mus'ab hanya berdiam diri mendengar penjelasan ibunya. Kemudian ibunya berkata lagi: "Mulai pada hari ini, saya tidak makan sehingga mati jika kamu tidak kembali semula kepada agama asal".

Selepas ibunya berkata begitu, Mus'ab menjawab: "Wahai ibu yang saya sayangi, walaupun ibu bernyawa seribu dan setiap nyawa ibu mati satu persatu, saya tetap menjadi orang Islam sehingga akhir hayat saya." Ibunya terkejut dengan jawapan anaknya itu. Ibunya sedih dan kesal dengan tindakan anaknya itu.

Hari demi hari Mus'ab terkurung di dalam rumahnya. Pada suatu hari, beliau mendapat peluang melepaskan dirinya.

Mus'ab terus berjumpa Nabi Muhammad. Pada masa itu para pengikut Nabi SAW mahu berpindah ke Habsyah. Mus'ab mengikuti rombongan itu berpindah ke Habsyah. Tidak lama di Habsyah, Mus'ab kembali ke Mekah dan berjumpa Nabi Muhammad.

Beliau mula belajar semula ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Pada masa itu, orang Islam yang belajar ajaran Islam dengan Nabi Muhammad diseksa oleh orang Quraisy. Tetapi Mus'ab tidak diseksa kerana orang Quraisy menghormati keturunannya.

Selepas memeluk Islam, kehidupan Mus'ab bertukar daripada kaya kepada miskin. Beliau sanggup berbuat demikian kerana patuh dan taat kepada perintah Allah dan Nabi Muhammad.

Tidak ada lagi pakaian mahal dan makanan enak baginya setiap hari. Malah Mus'ab sanggup berlapar bagi mempelajari ajaran Islam.

Pada suatu hari, datang utusan dari Madinah berjumpa dengan Nabi Muhammad. Perutusan itu memberitahu bahawa keadaan di Madinah kucar-kacir kerana berlaku permusuhan di antara suka Aus dan suku Khazraj.

Malah orang Yahudi juga semakin zalim.

Mereka berharap Rasulullah dapat datang ke Madinah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka juga berharap Nabi SAW dapat menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk Madinah. Akhirnya baginda menghantar Mus'ab sebagai tenaga pengajar ke Madinah.

Di Madinah, Mus'ab di sambut baik oleh orang Islam Madinah. Beliau tinggal bersama-sama As'ad bin Zurarah. Mus'ab menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada penduduk Madinah.

Kegiatan Mus'ab akhirnya diketahui oleh para pemimpin Madinah iaitu Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudairiah. Mereka tidak suka Mus'ab menyebarkan agama Islam di Madinah. Namun Mus'ab seorang yang bijak dan akhirnya kedua-dua pemimpin itu memeluk Islam. Ini diikuti oleh puaknya yang lain sehingga kesemua puaknya dari Bani Asyhal turut memeluk agama Islam.

Hasil usaha Mus'ab menyampaikan agama Islam di Madinah, Islam terus berkembang sehingga perpindahan Nabi Muhammad ke Madinah. Mus'ab meninggal dunia dalam perang Uhud ketika menentang orang Quraisy pada 3 Hijrah bersamaan 625 Masihi.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz5cOAOtBxK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 5 Januari 2019

Kematian Saidina Hamzah

ARKIB : 10/09/2010
Kematian Saidina Hamzah
 
MAKAM Syuhada di Uhud. Di sinilah jasad Hamzah bin Abdul Mutalib disemadikan.

KETIKA peperangan begitu sengit di antara tentera Muslimin dengan tentera Quraisy, semangat tentera-tentera Muslimin semakin memuncak sehingga mereka terus menerkam ke arah tentera Quraisy bagaikan ombak melanda pantai sambil melaungkan amit, amit iaitu matilah! Matilah!”

Pada masa yang sama, kelihatan Hamzah bin Abdul Muttalib sedang melawan dan menerkam semua serangannya bagaikan seekor singa yang garang.

Beliau meluru ke tengah-tengah barisan tentera Quraisy dalam gerak kilat yang tiada bandingannya.

Tentera-tentera Quraisy pula mengelak daripada libasan pedangnya umpama daun-daun kering yang dipukul oleh angin.

Ketika Hamzah sedang bergelut dengan pihak musuh, tiba-tiba datang kepadanya Wahsyi bin Harb iaitu budak suruhan Jabir bin Mutim secara sembunyi-sembunyi untuk membunuh beliau.

Bapa saudara Jabir telah dibunuh dalam Perang Badar. Oleh yang demikian, Jabir mengupah Wahsyi dan dijanji akan dibebaskan sekiranya berjaya membunuh Hamzah kerana ingin menuntut bela ke atas kematian bapa saudaranya itu.

Wahsyi menyertai perang itu dengan tekad untuk membunuh Sayidina Hamzah. Dia mengekori Hamzah dicelah-celah orang ramai. Wahsyi bersembunyi di sebalik batu di tepi sepohon kayu.

Ketika Sayidina Hamzah sibuk berlawan dengan tentera-tentera Quraisy, Wahsyi lalu mengambil kesempatan melontarkan lembingnya ke arah Sayidina Hamzah secara curi-curi.

Lembing itu terkena dada Hamzah hingga menembusi badannya. Beliau cuba menerpa ke arah Wahsyi tetapi rebah tersungkur.

Setelah Hamzah menemui ajalnya, datanglah Hindun binti Utbah iaitu isteri Abu Sufyan pemimpin tentera Quraisy lalu menoreh dada Hamzah untuk mengeluarkan hati dan jantungnya yang masih panas dan bergerak-gerak itu, Hindon cuba menggigit hati dan jantung Saidina Hamzah untuk melepaskan sakit hatinya.

Setelah perang selesai dan kaum Quraisy telah kembali ke Mekah, Rasulullah menghadapi kemurungan dan kesedihan apabila melihat keadaan jenazah bapa saudaranya. Lalu baginda meminta Allah melaknat pemuka-pemuka Quraisy itu.

Sesudah baginda memohon laknat untuk orang-orang itu, datanglah ayat daripada Allah yang berbunyi: Tiada satu pun bagimu sama ada Allah hendak menerima taubat mereka, ataupun Dia hendak mengazab mereka, lantaran mereka itu adalah orang-orang yang zalim.

Baginda dan orang-orang Islam yang lain juga berazam untuk mencacatkan setiap mayat tentera Quraisy dalam peperangan akan datang sebagai membalas dendam.

Sehubungan dengan itu, Allah telah menurunkan Surah an-Nahl di atas.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5bmmNGx4T
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rasulullah dijejaki Suraqah


ARKIB : 02/09/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
MUNGKIN ramai yang bertanya mengapa Nabi Muhammad SAW memilih Madinah sebagai destinasi baginda dan seluruh pengikutnya berhijrah? Mengapa tidak Yaman, Habsyah atau negeri-negeri lain!

Dikatakan baginda mendapat petunjuk mengenai negeri untuk berhijrah itu menerusi mimpi.

Semasa baginda dan Abu Bakar masih berada di Mekah, iaitu sebelum komplot membunuh oleh kalangan 11 pemuda yang mewakili kabilah dan suku kaum itu.

Aku melihat dalam tidurku bahawa aku akan berhijrah dari Mekah ke satu tanah yang banyak terdapat pada negeri itu akan kebun-kebun kurma. Pada mulanya aku menyangka Yamamah atau Hajar, rupa-rupanya Yathrib. (riwayat Bukhari).

Al Qurtubi berpendapat bahawa seluruh Yathrib itu adalah Madinah, nama yang diberi oleh Rasulullah apabila menubuhkan kerajaan Islam yang pertama di sana.

Namun baginda juga memberikan gelaran lain kepada Madinah seperti Tayyibbah (baik) dan Tabah (nyaman).

Sementara Abu Ubaidah pula berkata, Yathrib adalah nama kepada sebuah negeri dan Madinah itu adalah nama salah satu daerah di dalamnya.

Al Suhayli pula berpendapat dinamakan Yathrib kerana ada penduduk asalnya adalah dari keturunan Al Amaliq iaitu Yathrib bin Umayl bin Mihla’il bin Iwad bin Amaliq bin Lawudh bin Iram.

Selepas tiga hari tiga malam baginda menyembunyikan diri dalam Gua Tsur bersama Abu Bakar, mereka meneruskan perjalanan ke Yathrib.

Ketika hendak memulakan hijrah, datanglah anak perempuan Abu Bakar, Asma membawakan makanan untuk Rasulullah dan bapanya.

Tetapi Asma terlupa untuk memasangkan tali sangkut pada bekalan tersebut. Ketika mereka hendak berangkat, Asma pun hendak menyangkutkan bekalan itu pada unta yang menjadi kenderaan bapanya dan Rasulullah tetapi tiada tali.

Lalu Asma mengoyakkan kain yang menjadi tali pinggangnya kepada dua bahagian. Satu dijadikan penyangkut dan yang satu lagi dipakainya kembali.

Lantaran dari peristiwa itu, Rasulullah menggelarkan Asma dengan gelaran yang manis iaitu dhat al-nitaqayn (empunya dua tali pinggang).

Jalan pertama yang dilalui selepas keluar dari gua Tsur ialah ke selatan ke arah Yaman. Kemudian ke barat menuju ke persisiran pantai.

Apabila sampai ke sebatang jalan yang jarang dilalui, mereka pun mengarah pula ke utara berhampiran pantai Laut Merah dan merentasi sebatang jalan yang jarang-jarang dilalui orang.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Bakar, katanya: Kami pun berjalan pada malam hari. Walau udara begitu sejuk dan hanya bertemankan bulan di langit namun kami tidak berhenti berjalan sehinggalah sampai keesokan harinya apabila cuaca bertambah terik, barulah kami berhenti berehat di sebalik sebuah batu besar yang memberikan sedikit perlindungan dari terik cahaya matahari.

Namun perjalanan mereka akhirnya berjaya dicium oleh seorang kafir Quraisy iaitu Suraqah bin Malek yang mendapat maklumat daripada seorang lelaki.

Tanpa membuang masa lagi, dia menyiapkan seekor kuda yang gagah dan lengkap bersenjata untuk mengejar baginda.

Suraqah terkenal sebagai penunggang kuda yang cekap. Dia juga dikatakan seorang yang mahir bermain senjata terutama tombak dan panah.

Dia terus memecut kuda dan akhirnya nampak kelibat manusia. Malah Suraqah juga boleh mendengar alunan bacaan al-Quran oleh Nabi Muhammad. Ini membuatkan dia memacu kudanya untuk membunuh baginda.

Tetapi apabila Suraqah semakin menghampiri Nabi SAW dan Abu Bakar, tiba-tiba kaki kudanya terbenam ke dalam pasir sehingga ke paras lutut kuda tersebut. Suraqah sendiri jatuh terhumban akibat kemalangan yang tidak diduga itu.

Dia pantas bangun dan begitu juga kudanya dapat keluar dari pasir. Namun tiba-tiba mereka didatangi ribut pasir.

Ribut kencang itu mengeluarkan debu-debu hitam yang menyelubungi kawasan sehingga menutup pandangan mata.

Semua itu menghalang Suraqah untuk menghunjamkan tombaknya atau memanah ke arah Nabi Muhammad.

Lalu, Suraqah menghentikan niat jahatnya itu. Kejadian-kejadian pelik yang berlaku sebagai petanda bahawa Nabi di pihak yang benar.

Suraqah pun terus memberi isyarat berdamai kepada baginda dan menghampiri Nabi SAW.

“Sesungguhnya kaummu telah menjanjikan tawaran untuk menangkap kamu wahai Muhammad. Tetapi sekarang ini terserahlah kepada kamu untuk menahan aku kerana aku mempunyai niat untuk membunuh kalian.

“Niat itu kini tidak ada gunanya lagi sedangkan alam (sekitar) turut merestui perjalanan kamu ini, aku memohon kita berdamai sahaja,” kata Suraqah.

Rasulullah dan Abu Bakar tidak mengapa-apakan Suraqah dan tidak juga meminta apa-apa daripadanya.

“Kamu cuma perlu jauhkan diri kamu daripada kami, itu sahaja,” kata Rasulullah.

Dalam satu riwayat yang lain, Abu Bakar menceritakan perjalanan mereka itu.

“Kami sudahpun berlepas dari kaki Bukit Tsur, sedang kaum Quraish masih mencari kami. Tidak seorang pun yang dapat menemui kami kecuali Suraqah bin Malik bin Ju'shum yang berada di atas kudanya.

“Lalu aku berkata, pemburuan ini (kaum Quraisy) telah berjaya akhirnya menemui kita ya Rasulullah!

“Baginda pun menjawab: Jangan takut, kerana Allah akan sentiasa bersama kita.”

Baginda kemudiannya meneruskan perjalanan tanpa ada sebarang gangguan lagi mana-mana pihak.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5bmFmcFFH
© Utusan Melayu (M) Bhd

100 unta upah bunuh Rasulullah


ARKIB : 26/08/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SELAMA tiga hari tiga malam Rasulullah SAW dan sahabat karib baginda, Abu Bakar As Siddiq menyembunyikan diri dalam Gua Tsur sebeluh berhijrah ke Madinah.

Sudah pasti ketika itu mereka diselubungi perasaan takut, bimbang dan cemas.

Ini kerana kafir Quraisy benar-benar melancarkan gerakan mencari mereka berdua untuk dibawa pulang sama ada dalam keadaan hidup mahupun mati.

Dahulu komplot untuk membunuh baginda di rumahnya di lakukan oleh 11 pemuda yang terpilih.

Tetapi kali ini tawaran dibuka kepada sesiapa sahaja untuk memburu dan membawa pulang Nabi Muhammad.

Tawarannya cukup lumayan sehingga menyebabkan seluruh pemuda Quraisy keluar dan masing-masing berpecah menuju ke seluruh pelosok dan ceruk kawasan untuk mencari dan menangkap baginda.

Tawaran 100 ekor unta itu menyebabkan ramai para pemuda yang gagah perkasa sama ada berjalan kaki, menunggang kuda mahupun unta keluar untuk mencari dan memburu baginda.

Mereka sanggup memanjat dan mendaki bukit-bukit, menuruni lembah-lembah yang tandus dan kering malah sehingga melepasi sempadan daerah dan wilayah semata-mata keghairahan untuk merebut tawaran yang cukup lumayan itu.

Ketika itulah sebagaimana yang diceritakan oleh isteri baginda, Saidatina Siti Aishah sama ada kedudukan baginda selamat atau tidak, semuanya diberitahu melalui laporan harian yang dibuat oleh seorang anak Abu Bakar, iaitu Abdullah.

"Abdullah adalah seorang anak muda yang mahir dan tangkas. Setiap malam ketika malam semakin larut, suasana senyap sepi apabila semua mula dibuai mimpi, anak muda itu akan keluar secara senyap dari Kota Mekah dan segera menuju ke Gua Tsur.

"Di gua itu, Abdullah akan terus melaporkan apa yang beliau intip dan dengar terutamanya dari mulut pemimpin Quraisy mengenai sebarang rancangan mereka sejak bapanya dan Rasulullah berjaya melarikan diri.

"Kemudian pada waktu sahur, Abdullah akan segera meninggalkan gua tersebut dan pulang ke Kota Mekah.

"Beliau kemudiannya berpura-pura seperti baru bangun tidur, seolah-olah setiap malam anak muda ini tidak ke mana-mana.

"Abdullah kemudiannya akan mula menjalankan kerja-kerja pengintipan di sana sini untuk dilaporkan kepada Rasulullah dan Abu Bakar pada malam hari," kata Aishah.

Bagaimana pula dengan makan minum Rasulullah dan Abu Bakar selama berada dalam gua itu?

Amir bin Fuhayrah, seorang lagi anak muda yang berani yang bertanggungjawab dalam hal itu.

Dia bertindak berani kerana jika tertangkap pastinya umur tidak akan panjang kecuali mati dikerjakan oleh musuh-musuh Rasulullah.

Dia merupakan hamba milik Abu Bakar yang kerjanya setiap hari menggembala kambing. Selepas waktu Isyak, Amir akan menghalau kambing-kambingnya berdekatan dengan kaki Bukit Tsur dan apabila keadaan didapati selamat, Amir akan memerah susu-susu kambing tersebut lalu ditinggalkan kepada Abdullah yang akan datang kemudian untuk dibawa kepada Rasulullah dan Abu Bakar.

Apabila tugasnya sudah selesai, Amir akan membawa pulang kambing-kambing dan begitulah yang beliau lakukan hampir setiap malam untuk memastikan baginda dan tuannya dapat minum susu kambing sebagai penggalas perut.

Segala jejak yang ditingalkan oleh Amir dan kambing-kambing tersebut di sepanjang perjalanan pulang, semua telah dipadam atau dihilangkan oleh Abdullah.

Maka tiada sesiapa dapat mengesyaki tindakan berani kedua-dua anak muda itu kerana masing-masing akan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Walaupun ada sesetengah riwayat menceritakan bahawa seorang lagi anak perempuan Abu Bakar, iaitu Asma sendiri yang sanggup bersusah payah setiap malam secara curi-curi membawa bekalan makanan untuk bapanya dan Rasulullah.

Asma sememangnya seorang srikandi Islam yang tidak pernah menghitungkan keselamatannya sendiri demi membantu perkembangan Islam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5bkD4LABX
© Utusan Melayu (M) Bhd


Amar syahid di medan Uhud


ARKIB : 24/08/2010
Amar bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad. Beliau berasal daripada Bani Asyahali. Salah seorang daripada tokoh terkenal dalam kaumnya ialah Saad bin Muaz yang memeluk Islam sebelum Amar.

Amar sangat berpegang teguh kepada agama nenek moyangnya. Hal itu menyebabkan beliau sukar menerima agama Islam.

Malah, Amar pernah berkata kepada salah seorang yang sudah memeluk Islam: "Apakah kebenaran dalam agama kamu? Tunjukkan kepada saya mengenai kebenaran itu. Saya tidak teragak-agak mengikutinya."

Ketika ramai daripada kaumnya sudah menerima Islam, pintu hati Amar tetap tertutup.

Sehingga pada suatu hari, semasa Nabi Muhammad bersiap untuk pergi ke medan Perang Uhud, Amar t datang berjumpa.

Kata Amar: "Wahai Nabi Muhammad, saya mahu memeluk agama Islam."

Nabi Muhammad terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Amar. Tindakan Amar menyebabkan Nabi kehairanan. Sebelum ini, Amar adalah seorang yang angkuh dan enggan menerima sedikit pun ajaran Islam.

Kemudian Nabi Muhammad bertanya: "Benarkah apa yang kamu katakan itu Amar?"

"Benar," jawab Amar.

"Ini adalah satu keajaiban dari Allah," kata Nabi Muhammad.

"Saya mahu memeluk agama Islam," kata Amar dengan tegas.

Kemudian Amar berkata lagi: "Saya juga mahu bersama-sama menyertai angkatan perang Islam ke Perang Uhud."

"Saya sudah bersedia dengan pedang saya," Amar berkata sambil menunjukkan pedang yang sudah siap ada di tangannya.

Selepas mendengar berita baik dari Amar itu, Nabi Muhammad gembira.

"Syukur kepada Allah. Akhirnya terbuka juga pintu hati Amar memeluk agama Islam," kata Nabi Muhammad sendirian.

Mulai pada hari itu, Amar sah menjadi orang Islam selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.

Berita keislaman Amar tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Nabi Muhammad. Selepas sah menjadi orang Islam, Amar bangkit menuju ke medan perang Uhud mengikuti Nabi Muhammad.

Peperangan yang berlaku dengan pihak musuh sangat sengit. Di situ Amar menunjukkan keberanian dan kepahlawanannya. Dalam kumpulan tentera Islam itu, ada yang hairan dengan kehadiran Amar.

Salah seorang daripada tentera Islam itu berkata kepada Amar: "Buat apa kamu ikut kami berperang?"

Amar tidak peduli dengan pertanyaan orang itu, beliau terus sahaja mara ke hadapan menentang musuh Islam.

"Kamu bukan orang Islam. Kamu sengaja mahu mempersendakan kami dengan kekuatan kamu itu," kata salah seorang tentera Islam itu lagi.

Pada masa itu, badan Amar berlumuran darah. Beliau bergelut dengan pihak musuh bagi menegakkan Islam. Akhirnya beliau jatuh ke bumi. Sebelum Amar menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau sempat menjawab pertanyaan orang itu tadi.

Kata Amar: "Saya sudah beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad. Saya adalah orang Islam seperti kamu. Saya sudah melawan musuh sedaya upaya saya. Semoga Allah memberkati saya."

"Betulkah apa yang kamu katakan itu?" tanya orang itu kepada Amar. Orang itu terkejut mendengar berita ke-Islaman Amar.

Amar gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid. Berita kematian Amar sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad berkata, "Amar masuk syurga kelak."

Tentera Islam lain terkejut dengan berita itu. Mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa Amar sudah memeluk Islam semasa berperang. Mereka juga terharu dengan semangat Amar yang tinggi semasa melawan musuh.

Pernah dilaporkan oleh Abu Hurairah dari hadis Nabi Muhammad bahawa salah seorang yang layak masuk syurga tanpa bersembahyang, berpuasa dan lain-lain ialah Amar bin Sabit.

Begitulah kisah sahabat Nabi Muhammad yang ikhlas menegakkan agama Islam.

Orang yang mengaku bahawa dirinya Islam sanggup mati demi membela agama Islam. Orang yang baik sentiasa diredai Allah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5bk9k8mUe
© Utusan Melayu (M) Bhd