Jumaat, 30 November 2018

Nabi SAW disakiti kaum Musyrikin


ARKIB : 07/09/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

Di awal Islam, masyarakat Arab yang baru memeluk Islam masih lagi melakukan solat jemaah jauh di padang-padang pasir supaya tidak diketahui oleh kaum kafir Quraisy. - Gambar Hiasan

KALAU dahulunya kaum kafir Quraisy menentang Rasulullah SAW tanpa perlu menyentuh tubuh badan baginda. Bahkan sehelai bulu roma baginda pun, mereka tidak akan cuba usik.

Cukup dengan kempen memburuk-burukkan baginda, dirasakan Nabi Muhammad pasti akan menyerah kalah. Ini kerana dengan cara kempen seperti itu, diyakini boleh memberi tekanan kepada ketahanan mental sehingga menyebabkan seseorang itu tidak lagi mampu mempertahankan apa yang cuba diperjuangkan.

Namun mereka cukup marah apabila strategi tersebut langsung tidak memberikan kesan kepada nabi SAW. Malah semakin hebat mereka memburukkan baginda semakin hebat jugalah baginda meneruskan usaha menyampaikan dakwah-dakwah agama Allah.

Malah baginda tidak teragak-agak untuk terus meminta kaumnya supaya berhenti dari menyembah berhala serta meninggalkan segala kekufuran dan kehidupan yang selama ini penuh dengan kesesatan.

Akibat tidak lagi tertahan dengan 'kedegilan' Nabi Muhammad itu, maka akhirnya mereka bersetuju untuk mencederakan tubuh badan baginda.

Menurut al-Bukhari di dalam sahihnya bahawa Amru Ibn Al 'As menceritakan, pernah berlaku pada suatu hari, ketika baginda berada berdekatan dengan batu Hajaral Aswad di Kaabah, secara tiba-tiba datang seorang pemuda Arab Quraisy, 'Aqabah bin Abi Muit (La'natullah) menyerang baginda. Pemuda itu terus menjerut leher Nabi Muhammad dengan sehelai kain.

Jerutan yang begitu kuat itu menyebabkan Nabi Muhammad tidak dapat bernafas dan hampir-hampir meragut nyawa baginda.

Mujurlah ketika itu sahabat baik baginda, Abu Bakar As Siddiq kebetulan lalu di tempat kejadian dan terus menyelamatkan Nabi Muhammad dari terus menjadi mangsa jerut Aqabah.

Abu Bakar begitu marah dengan cubaan Aqabah itu lalu menjerkah dengan nada yang tinggi; "Adakah kamu mahu membunuh seseorang yang hanya berkata: Tuhanku ialah Allah?"

Namun peristiwa ini sama sekali tidak mematahkan semangat baginda dan menyerahkan kepada Allah supaya dirinya tidak diapa-apakan lagi di masa hadapan.

Namun dalam satu peristiwa lain, nyawa baginda benar-benar hampir melayang, kali ini di tangan musuh Islam yang paling jahat, si Abu Jahal. Abu Jahal yang dikatakan bukanlah orang lain kepada baginda tetapi yang selama ini duduk berjiran dengan Nabi Muhammad.

Terlalu geram

Mungkin akibat terlalu geram yang tidak boleh ditahan-tahan lagi, Abu Jahal tanpa berfikir panjang kecuali ditambah lagi dengan hasutan syaitan, dia cuba menghempaskan sebongkah batu yang besar ke atas kepala Nabi Muhammad.

Satu tindakan untuk terus membunuh baginda setelah baginda dianggap menjadi satu ancaman besar kepada golongan kaum Quraisy Mekah.

Sebagai kekasih-Nya, mujur baginda dapat diselamatkan oleh Allah dalam cubaan jahat itu, malah Abu Jahal terus mencampakkan batu itu dan lari lintang pukang dengan wajah yang penuh ketakutan.

Apabila ditanya apa yang telah berlaku oleh kawan-kawannya yang lain, Abu Jahal dengan keadaan termengah-mengah itu pun memberitahu: "Ketika aku hampir-hampir hendak mencampakkan batu besar itu ke arah Muhammad, secara tiba-tiba datang seekor unta yang sangat besar dengan mengeluarkan bunyi menakutkan sambil mengangakan mulut sebesar-besarnya seperti hendak menelan aku!

"Apa lagi, lintang pukang aku terpaksa lari menyelamatkan diri. Pelik, tidak tahu aku dari mana arah datangnya unta yang sangat besar itu. Tiba-tiba sahaja ia muncul. Maka terselamat lagi nyawa si Muhammad dari tangan ku ini!" katanya.

Namun kawan-kawannya itu tidak dapat menyebelahi apa lagi simpati terhadap nasib yang menimpa Abu Jahal kecuali mereka mentertawakannya seperti hendak pecah perut.

Ini menyebabkan Abu Jahal semakin marah dan terus menaruh dendam dan tetap bertekad untuk menghapuskan Nabi Muhammad.

Sebuah lagi kisah seorang kafir Quraisy yang melakukan satu cubaan jahat terhadap Nabi Muhammad, iaitu Uqbah Abi Mu'it. Pada suatu hari ketika Nabi Muhammad sedang bersujud ketika melakukan ibadat solat, tiba-tiba datang si Uqbah dan terus meletakkan seketul besar perut unta ke atas belakang baginda.

Akibat terlalu berat, baginda tidak dapat bergerak atau bangun dari sujud apabila perut haiwan itu diletakkan di belakangnya. Sehinggalah datang puteri baginda, Fatimah Az Zahra yang terkejut melihat keadaan ayahandanya itu lalu terus membuang perut itu dan membersihkan belakang baginda dari sisa-sisa kotoran organ haiwan itu.

Sambil menangis sedih, Fatimah kemudiannya berdoa untuk orang yang melakukan kejahatan terhadap ayahandanya dan Nabi Muhammad sendiri turut sama-sama berdoa dengan sabda baginda yang bermaksud;

"Ya Allah, Ya Tuhanku, aku serahkan kepada-Mu urusan membalas ke atas muka-muka Quraisy yang cuba menghalang dari dakwah mu tersebar, Abu Jahal bin Hisyam, Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Uqbah bin Abi Muit dan Umaiyyah bin Khalaf".

Begitupun perbuatan untuk menyakiti baginda tidak pernah terhenti. Semakin kuat Islam bertapak, semakin banyak tindakan seperti itu diambil terhadap baginda.

Kisah Ummu Jamil misalnya, bagaimana isteri kepada Abu Lahab (nama sebenar Abdul Uzza bin Abdul Mutalib namun sering dipanggil Abu Utaybah dan dan dipanggil Abu Lahab kerana dikatakan mempunyai wajah yang cerah) itu atau lebih tepat ibu saudara Nabi turut begitu memusuhi anak saudaranya sendiri.

Ummu Jamil atau nama sebenarnya Arwah (sesetengah dieja Arwa) binti Harb bin Umayyah, adik kepada Abu Suffian adalah ketua golongan wanita Quraisy yang berpengaruh, begitu menyokong tindakan suaminya dengan beliau sendiri melakukan pelbagai perkara buruk kepada Nabi Muhammad.

Beliau tidak sahaja selalu mencerca baginda di sana sini, tidak cukup itu Ummu Jamil sering menyakiti Nabi SAW dengan selalu menaburkan duri-duri tajam dan melemparkan segala macam kekotoran di atas jalan yang sering menjadi laluan harian baginda.

Bukan sedikit yang cuba menyakiti Nabi Muhammad secara fizikal termasuk pelbagai cubaan untuk membunuh baginda itu sendiri. Sedangkan jika perkara ini dilakukan, sama ada menyakiti baginda secara perkataan mahupun perbuatan, maka di sisi Islam, ia merupakan perkara yang sangat terkutuk dan dimurkai Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, maka Allah akan melaknati mereka (mengutuk) di dunia dan di akhirat dan akan disediakan bagi mereka akan azab seksa yang menghinakan. (al-Ahzab: 57)

Firman-Nya lagi: ...dan mereka yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang pedih. (at-Taubah: 61)

Laknat Allah terhadap mereka yang cuba menyakiti Rasulullah tetap akan terpakai sampai bila-bila, hatta pada hari ini walaupun baginda tidak lagi dapat disakiti pada tubuh badannya.

Musuh-musuh Islam sama ada yang di kalangan bukan Islam dan dalam kelompok Islam itu sendiri yang cuba menyakiti baginda dengan apa juga cara terutama membuat pelbagai bentuk penghinaan tidak akan terlepas dari mendapat balasan pedih dari Allah.

Sekalipun penghinaan dibuat atas nama kejahilan atau ikut-ikutan, masih itu juga bukan alasannya bagi seseorang itu menghina baginda.

Malah lebih bahayanya pada hari ini, atas nama kekuatan ilmu untuk memerangi Islam, ramai yang masih mengkaji bagi mencari sudut-sudut kelemahan Nabi Muhammad sebagai alasan untuk menghina baginda.

Mereka suka mengelirukan orang ramai dari fakta-fakta sejarah baginda. Namun kita yakin segalanya akan kembali seperti yang berlaku di Mekah pada awal penyebaran Islam itu sendiri.

Ini apabila golongan Musyrikin sendiri tetap menghadapi kesulitan di dalam mereka mengambil pelbagai tindakan terhadap baginda Nabi Muhammad.

Ini kerana 'musuh' yang mereka berdepan adalah seorang yang sangat benar, sangat amanah, sangat mulia akhlaknya yang tiada tandingannya dalam sejarah nenek moyang mereka.

Oleh itu terpaksalah mereka berhempas pulas mengerah kekuatan akal bagi menyekat baginda dari menarik lebih ramai kalangan penduduk Arab meninggalkan agama nenek moyang.

Ini memberi ilham kepada mereka untuk menyeksa para pengikut baginda sendiri!
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YLRAlVOT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Aishah difitnah


ARKIB : 01/09/2009
AISHAH binti Abu Bakar dilahirkan pada Tahun 614 Masihi di kota Mekah. Ayahnya adalah Abu Bakar As-Siddiq dan ibunya adalah Ummu Ruman binti Amir.

Antara adik-beradiknya, yang terkenal adalah Asma binti Abu Bakar dan Muhammad bin Abu Bakar. Abu Bakar as-Siddiq merupakan lelaki pertama yang memeluk agama Islam dan merupakan orang kanan nabi Muhammad. Aishah telah bernikah dengan nabi sebagai isteri ketiganya selepas Khadijah binti Khuwalid dan Saudah binti Zamah.

Aishah adalah seorang tokoh wanita yang tersohor pada zamannya. Beliau sangat bijaksana, cerdik dan fasih dalam pengucapannya.

Aishah menjadi rujukan dalam bidang ilmu teologi dan hukum agama kerana beliau berpeluang mempelajari banyak ilmu melalui nabi sewaktu menjadi isterinya.

Aishah mendapat gelaran 'as-Siddiqah' kerana Allah telah menguji kejujuran, kepercayaan dan kesucian beliau dalam satu peristiwa. Beliau juga mendapat gelaran Humaira yang bermaksud mawar merah kerana paras rupanya yang cantik dan menawan.

Aishah menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang membentuk pelbagai aspek masyarakat Islam pertama di kota Madinah. Antaranya adalah perubahan arah kiblat dari Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah. Beliau juga terlibat dan menyaksikan peperangan Badar, Uhud dan Khandak di antara pihak Islam dan pihak bukan Islam Quraisy.

Aishah membantu pihak Islam dengan membawa minuman dan merawat luka tentera Islam yang cedera. Keberanian dan kecekalan Aishah di medan peperangan harus menjadi panduan kepada generasi remaja pada hari ini untuk menghadapi cabaran hidup yang semakin mencabar.

Setiap kali nabi memulakan sesuatu ekspedisi peperangan, beliau akan membawa salah seorang isterinya untuk menemaninya dengan menggunakan undian.

Aishah terpilih untuk menemani nabi dalam ekspedisi peperangan terhadap Bani Mustaliq. Sewaktu pulang ke kota Madinah, rombongan nabi telah singgah di satu perhentian untuk berehat seketika pada waktu malam.

Aishah keluar dari kawasan khemah untuk membuang air. Ketika pulang semula ke kawasan khemah selepas membuang air, beliau mendapati rantainya hilang.

Aishah berjalan semula ke tempat beliau membuang air untuk mencari rantainya. Setelah mencari untuk jangka masa panjang, rantai itu berjaya ditemuinya.

Apabila pulang semula ke kawasan khemah, rombongan nabi sudah beredar tanpa mengetahui Aishah tiada dalam rombongan mereka. Aishah tidak panik atau berasa takut kerana tahu rombongan itu akan kembali jika menyedari dirinya tiada dalam rombongan mereka. Beliau menyelimutkan dirinya lalu baring sambil menunggu rombongan nabi berpatah balik. Namun tiada siapa yang datang sehingga Aishah tertidur dengan nyenyak.

"Kasihan! Isteri nabi ditinggalkan seorang diri di sini." jerit Safwan bin Muatal yang lalu di kawasan Aishah sedang baring pada keesokan hari.

Aishah yang terkejut dengan jeritan itu bangkit dan menutup mukanya dengan selimut. Safwan membawa untanya lalu mendudukkannya sebelum beredar jauh dari Aishah.

Safwan menarik unta yang ditunggang oleh Aishah dengan pantas menuju ke Kota Madinah. Kepantasan Safwan menarik unta itu menyebabkan Aishah tiba di kota Madinah tidak berapa lama selepas ketibaan rombongan nabi.

Abdullah bin Ubay, Mistah bin Athathah, Hassan dan Hamnah, sepupu Zainab binti Jahsy berpakat memfitnah Aishah bahawa beliau berlaku curang dengan Safwan. Khabar fitnah ini bertiup kencang di Kota Madinah sehingga tiba di cuping telinga nabi.

Nabi menjadi bingung mendengar berita ini dan mula bersikap dingin terhadap Aishah. Beliau mula merasakan perubahan pada diri nabi terhadapnya sehingga beliau meminta izin nabi untuk pulang ke rumah ibu bapanya buat sementara waktu.

Apabila Aishah pulang ke rumahnya, ibu sepupunya memberitahu khabar fitnah itu kepada beliau. Aishah terkejut dan menangis tersedu-sedu sehingga terasa jantungnya berdegup dengan begitu kencang.

Beliau berlari ke rumah untuk mengadu pada ibunya tentang fitnah yang dilemparkan pada dirinya. Ibunya menasihatkan agar tidak sedih dengan khabar fitnah itu kerana wanita cantik yang dicintai suaminya dan menjadi madu sentiasa menjadi buah mulut orang.

Nabi yang gelisah menemui Ali dan Usamah bin Zaid untuk bertanya pendapat mereka. Usamah tidak percaya langsung pada fitnah yang dilemparkan pada Aishah. Ali mencadangkan agar bertanya pada pembantu Aishah tentang perkara itu.

Pembantu Aishah menyatakan tuannya adalah seorang wanita yang baik. Akhirnya nabi mengambil keputusan untuk berjumpa isterinya untuk menjelaskan perkara sebenarnya kepadanya.

"Aishah, kamu sudah mengetahui tentang apa yang dikatakan oleh orang ramai. Takutlah kamu pada Allah jika kamu telah melakukan sesuatu kejahatan seperti yang dikatakan oleh orang ramai. Bertaubatlah kepada Allah kerana Allah menerima segala taubat hambanya."

Aishah menjadi marah dan menoleh ke arah ayah dan ibunya. Namun tiada jawapan yang keluar dari mulut mereka. Beliau mula menangis dan berkata, " Kamu semua telah mendengar segala-segala-galanya tentang diri saya dan mempercayainya.

"Saya tahu jika saya memperakui apa yang dikatakan oleh orang ramai walhal Allah mengetahui saya tidak bersalah, bermakna saya memperakui sesuatu yang tidak benar.

"Namun sekiranya saya membantah apa yang mereka katakan, kamu semua tak akan percaya.

"Saya hanya boleh katakan apa yang dikatakan oleh ayah nabi Yusuf, maka sabar itulah yang baik dan hanya Allah tempat meminta pertolongan atas segala yang kamu lakukan."

Keadaan menjadi sunyi sepi. Apakah yang akan berlaku? Tiba-tiba wahyu turun ketika nabi hendak meninggalkan rumah Abu Bakar. Wajah nabi penuh dengan peluh walaupun pada ketika itu cuaca begitu sejuk.

Semua yang hadir di rumah itu senyap dan menarik nafas panjang. Setelah wahyu habis turun, wajah nabi kelihatan gembira.

"Allah telah menurunkan wahyu membuktikan kesucian kamu!" kata nabi yang kemudian membacakan 10 ayat dari surah al-Nur 11 ayat 26.

Turunnya ayat ini menunjukkan Aishah dan Safwan bersih daripada semua tuduhan yang dilontarkan kepada mereka. Nabi merupakan orang yang paling baik dan sudah pasti wanita yang paling baik pula yang menjadi isterinya.

Aishah meninggal dunia pada zaman khalifah Muawiyah ketika berusia 67 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Jannat al-Baqi seperti wasiatnya. Jenazah beliau dimakamkan oleh Abu Hurairah yang menjadi Gabenor Mekah pada masa itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YL87mDpt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Fatimah az-Zahra menuntut keadilan


ARKIB : 25/08/2009
FATIMAH az-Zahra adalah puteri bongsu nabi Muhammad, hasil perkahwinannya dengan Khatijah. Fatimah dilahirkan pada tahun ke-5 setelah nabi Muhammad diutus menjadi Nabi, bertepatan dengan tiga tahun setelah peristiwa Israk dan Mikraj.

Beliau dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadilakhir tahun 605 Masihi semasa masyarakat Quraisy sedang memperbaiki dan membangun kembali Kaabah disebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.

Siti Fatimah mendapat gelaran as-Siddiqah (wanita terpercaya); at-Tahirah (wanita suci), al-Mubarakah (yang diberkati Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Az-Zahra (yang cemerlang).

Beliau juga digelar Al-Batul, iaitu yang menumpukan perhatian kepada ibadah dan menjauhi keduniaan. Fatimah selalu bersujud ketika setiap kali berasa lapar dan berzikir setiap kali berasa susah.

Fatimah mencintai ayahandanya melebihi cintanya kepada siapa pun. Apabila ibunya meninggal dunia ketika berusia enam tahun, Fatimah sentiasa berusaha untuk menggantikan peranan ibunya.

Fatimah sentiasa mengajak nabi berbual-bual dengan kata-kata yang menggembirakan dan menyenangkan hati nabi.

Justeru nabi memanggilnya dengan panggilan manja Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh Fatimah kepada ayahnya.

Fatimah mempunyai tiga orang kakak iaitu Zainab, Rugayah dan Ummi Kalsum. Fatimah adalah anak yang paling dicintai dan dikasihi nabi sehingga beliau berkata, "Fatimah adalah darah daging saya, apa yang menyusahkannya juga menyusahkan saya dan apa yang mengganggunya juga mengganggu saya".

Fatimah menyerupai ayahnya dari sisi rupa dan akhlaknya. Ummu Salamah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah.

Demikian juga dengan Aishah yang pernah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya.

Zaman kanak-kanaknya diwarnai oleh pelbagai penentangan yang ditujukan kepada agama Islam yang dibawa oleh ayahnya.

Penyeksaan, celaan yang keji, gangguan mental dan fizikal dan fitnah dilakukan oleh golongan kafir Mekah terhadap umat Islam.

Allah telah mengurniakan Fatimah dengan sifat lemah-lembut, cerdas dan berani yang tidak dimiliki oleh kanak-kanak lain yang seusianya. Fatimah melihat cabaran dan dugaan yang menimpa keluarga terutama pengalaman pahit yang menimpa ayahnya.

Cabaran dan dugaan itu mampu difahami oleh Fatimah pada usia yang muda dan ini telah mendewasakan pemikiran Fatimah supaya cekal menghadapinya dengan lebih cekal dan berani.

"Uqbah bin Abi Muit menyimbah kotoran unta pada ayah kamu yang sedang bersujud di Kaabah!," kata seorang wanita kepada Fatimah yang sedang duduk di rumahnya.

"Apa! Sampai hati mereka berbuat demikian kepada ayah saya," jawab Fatimah yang bergegas keluar dari rumahnya.

Fatimah berlari sekuat hati menuju ke arah Kaabah. Jantungnya berdegup dengan pantas memikirkan apa yang telah berlaku pada ayahnya. Apabila sampai di hadapan Kaabah, Fatimah melihat pembesar-pembesar Quraisy sedang ketawa kuat sambil menunjuk jari mereka kepada ayahnya.

Beliau pantas menghampiri ayahnya yang tengah bersujud di Kaabah. Fatimah melihat perut-perut unta yang berdarah dan bernajis di atas kepala ayahnya. Beliau membersihkan kotoran itu dengan pantas.

Air mukanya kelihatan sedih bercampur geram kerana kotoran itu terpalit keseluruhan jubah ayahnya. Fatimah bangun dan menghampiri Uqbah bin Abi Muit dan pembesar Quraisy lain yang berdiri sombong bongkak tanpa perasaan takut.

Beliau menjeling tajam kepada semua wajah-wajah itu dengan air mukanya yang benar-benar marah dengan tindakan mereka terhadap ayahnya.

"Mengapa kamu melakukan perkara keji ini kepada ayah saya?" tanya Fatimah dengan nada keras dan marah.

"Suka hati kamilah. Mari kita tinggalkan tempat ini. Puas hati saya melihat jubah Muhammad penuh dengan kotoran unta," kata Uqbah lalu beredar dari situ bersama pembesar Quraisy lain meninggalkan Fatimah yang masih sedih dan marah.

Pada satu peristiwa lain pula, Fatimah sedang berjalan di sebuah lorong ketika berselisih dengan Abu Jahal yang terkenal dengan permusuhannya terhadap agama Islam.

Abu Jahal menahan Fatimah lalu menampar muka Fatimah beberapa kali. Fatimah terkejut dengan perbuatan Abu Jahal terus berlari menuju khemah pemimpin Quraisy yang sedang duduk berbincang.

"Ya Abu Sufian, ketua pemimpin Quraisy. Saya ingin mengadu tentang sikap buruk Abu Jahal yang tiba-tiba menampar muka saya tanpa sebab. Saya mahu keadilan!," kata Fatimah di hadapan Abu Sufian tanpa perasaan takut.

"Apa! Abu Jahal menampar kamu tanpa sebab. Pergi panggil Abu Jahal ke sini," arah Abu Sufian kepada pengawal di sebelahnya.

Abu Jahal pun datang dengan tergesa-gesa menuju khemah tempat pemimpin-pemimpin Quraisy sedang berbincang.

Dia tak menyangka Fatimah akan datang mengadu kepada Abu Sufian tentang perbuatannya terhadap Fatimah. Dia berharap Abu Sufian akan menyebelahinya dalam perkara itu.

Dia masuk ke dalam khemah itu dengan muka sombong memandang wajah Fatimah yang kelihatan tenang.

"Mengapa kamu menampar muka Fatimah tanpa sebab, Abu Jahal?," tanya Abu Sufian.

"Sahaja. Saya geram dengan ayahnya". Jawab Abu Jahal dengan bongkak.

"Kamu tak ada hak berbuat demikian terhadap budak kecil ini," kata Abu Sufian lalu memandang wajah Fatimah.

"Hulur muka kamu supaya Fatimah boleh menampar muka kamu," arah Abu Sufian kepada Abu Jahal yang kelihatan terkejut mendengar keputusan Abu Sufian itu.

Fatimah tidak melepaskan peluang itu untuk menampar muka Abu Jahal yang selama ini banyak menyakitkan hati ayahnya. Beliau menampar muka Abu Jahal dengan sekuat hati dan pulang dengan hati gembira ke rumahnya.

Fatimah menceritakan perkara yang berlaku itu kepada ayahnya. Nabi gembira kerana Abu Sufian telah memberikan keputusan yang adil kepada aduan anaknya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YKjjhZjH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tentera Muslimin dalam Perang Uhud


 
ARKIB : 21/08/2009
Tentera Muslimin dalam Perang Uhud
Umat Islam yang menunaikan umrah tidak melepaskan peluang menziarahi Bukit Uhud untuk melihat kesan peninggalan sejarah.

SETELAH Nabi Muhammad SAW menerima surat daripada Abas bin Abu Mutalib yang mengatakan tentang persiapan kaum Quraisy untuk menentang kaum Muslimin, baginda segera kembali ke Quba' bertemu dengan sahabat dan tentera-tenteranya.

Baginda memerintahkan tenteranya supaya bersiap sedia untuk menghadapi lawan dan bertempur dengan kaum Quraisy.

Baginda menyarankan tenteranya supaya sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada kerana pihak musuh sudah memulakan perjalanan menuju ke Madinah.

Tentera-tentera baginda mendengar arahan dengan tenang sekali dan tidak sedikit pun menampakkan kegelisahan. Baginda mengirimkan dua orang utusan iaitu Anas bin Fathalah dan Mu'nis bin Fadha'ah untuk mengintip tentera Quraisy.

Setelah menyelidik segala pergerakan tentera Quraisy, kedua-dua utusan ini kembali ke Madinah dan mengkhabarkan kepada baginda.

Baginda menyuruh pula seorang sahabatnya yang bernama Hubab bin Mundzir supaya menyelidiki lebih jauh lagi tentang kedatangan tentera Quraisy yang telah hampir memasuki Madinah itu.

Penduduk-penduduk Madinah mula berasa takut dan tidak tenteram dengan berita kedatangan tentera Quraisy.

Kemudian untuk kali ketiganya, baginda mengupah Salamah bin Salamah untuk mengintip pergerakan tentera Quraisy. Ternyata tentera Quraisy sudah hampir memasuki Madinah. Setelah berita itu disampaikan kepada baginda, persiapan mula dilakukan dengan selengkap-lengkapnya.

Langkah pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengumpulkan seramai mungkin tentera-tenteranya. Seterusnya mereka diberi senjata yang lengkap dengan pakaian perang.

Sebahagian tentera Muslimin telah diarah oleh baginda supaya berjaga di tepi kota Madinah. Manakala sebahagian lagi mengawal di sekeliling masjid untuk menjaga dan mempertahankan baginda daripada segala kemungkinan yang berlaku.

Tidak lama kemudian, baginda pun keluar dari rumah dengan berpakaian perang dan dilengkapi dengan senjata untuk berperang. Baginda keluar dari kota Madinah bersama 1,000 tentera Muslimin.

Hanya dua orang sahaja yang menunggang kuda, manakala 100 orang pula bersenjata lengkap, dan selebihnya mengikut dari belakang. Baginda dan tentera Muslimin pun memulakan perjalanan menuju ke Bukit Uhud, tempat berlakunya peperangan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YKhJd8jO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ummu Fadhl menghukum Abu Lahab


ARKIB : 18/08/2009
NAMA sebenar beliau ialah Lulabah binti al-Harits dan mendapat gelaran Lulabah al-Kubra. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Ummu Fadhl yang membawa makna ibu Fadhl.

Ummu Fadhl memeluk agama Islam sebelum hijrah. Beliau merupakan wanita pertama selepas Khadijah bin Khuwailid memeluk agama Islam.

Perkara ini dinyatakan oleh Abdullah, anak yang berbunyi: "Saya dan ibu saya adalah termasuk orang yang tertindas dari wanita dan kanak-kanak". Suami beliau ialah Abbas bin Abu Mutalib, bapa saudara Nabi Muhammad.

Abbas tidak mengisytiharkan keislamannya sehingga pada tahun pembebasan Kota Mekah. Abu Rafi, hamba nabi Muhammad menyatakan: "Saya pernah menjadi pelayan bagi Abbas bin Abu Mutalib. Ketika Islam datang maka Abbas memeluk agama Islam lalu diikuti oleh Ummu Fadhl dan saya juga memeluk agama Islam. Hanya Abbas merahsiakan keislamannya".

Ummu Fadhl telah melahirkan enam orang anak lelaki yang bijaksana dan mulia. Mereka adalah Fadhl, Abdullah, Ubaidullah, Mabad, Qatsam dan Abdul Rahman.

Abdullah merupakan seorang imam ilmu tafsir tersohor sehingga mendapat gelaran lautan kerana memiliki ilmu yang sangat luas dan kemuliaannya.

Kebijaksanaan Abdullah merupakan salah satu anugerah dari Allah kepada Ummu Fadhl. Kenikmatan Allah atas hambanya sangat luas dan paling sempurna adalah kebijaksanaan anak.

Ummu Fadhl dan Ummu Aiman telah diberi penghormatan untuk memandikan jenazah Khadijah oleh nabi. Ketika nabi berhijrah ke Madinah, Ummu Fadhl dan suaminya menetap di kota Mekah tetapi mengikuti perkembangan nabi di kota Madinah.

Ummu Fadhl telah mendapat kemuliaan untuk memukul dan membunuh Abu Lahab (musuh orang Islam) selepas Perang Badar.

Abu Lahab tidak dapat berjuang dalam Perang Badar dan mewakilkan dirinya kepada Ash bin Hisham. Ini adalah adat orang Quraisy yang akan mewakilkan kepada orang lain jika mereka tak dapat menyertai sesuatu peperangan. Abu Lahab menunggu dengan penuh debaran.

Ummu Fadhl duduk memerhatikan hambanya, Abu Rafi sedang memahat sesuatu pada batuan di sekitar telaga zamzam. Mereka berdua berasa gembira mendengar kemenangan pihak Islam ke atas pihak kafir Quraisy Mekah.

Abu Lahab yang mendapat berita kekalahan pihak kafir Quraisy berlari ke arah Abu Suffian bin Harith yang baru pulang dari Perang Badar.

"Abu Suffian sudah pulang dari Badar. Mari kita tanya apa yang telah berlaku di Badar?," kata orang-orang Mekah yang mula mengerumuninya.

"Wahai sepupu, ceritakanlah kepada kami peperangan Badar yang telah kau sertai," kata Abu Lahab kepada Abu Suffian.

"Ketika pasukan kita hendak bertempur dengan pihak Muhammad, tiba-tiba mereka menyerang tanpa henti ke arah pasukan kita. Mereka bertempur sesuka hati dan menawan kami sesuka hati.

"Kemudian saya menghimpun semula pasukan untuk menyerang mereka, tiba-tiba kami melihat ada sekelompok lelaki yang berkuda hitam putih berada di tengah-tengah manusia. Mereka tidak menginjakkan kaki ke tanah," cerita Abu Suffian dengan bersungguh-sungguh.

"Itu adalah malaikat", sampuk Abu Rafi sambil mengangkat batu dengan tangannya.

"Apa kata kamu?," Abu Lahab mengepalkan tangannya lalu memukul Abu Rafi dengan kuat.

Abu Lahab tidak suka Abu Rafi menyampuk cerita Abu Suffian itu. Dia memandang hina pada Abu Rafi yang hanya merupakan seorang hamba. Hatinya yang marah sudah tidak terkawal sehingga Abu Lahab menarik tubuh Abu Rafi lalu memukulnya berulang kali di atas tanah.

Ummu Fadhl yang tengah duduk terkejut melihat sikap Abu Lahab yang sudah melampaui batas. Beliau mendekati salah sebuah tiang khemah tempat Abu Suffian tengah duduk lalu mengambil dengan tangannya. Ummu Fadhl memukul Abu Lahab dengan pukulan keras tepat pada kepada Abu Lahab sehingga luka.

"Aduh sakitnya! Berhenti pukul saya," Abu Lahab menjerit kesakitan sambil memegang bahagian kepalanya yang mula berdarah.

"Berani kamu menyeksa hamba saya ketika tuannya tiada!," tengking Ummu Fadhl lalu meminta Abu Rafi bangun dan beredar dari kawasan itu.

Abu Lahab bangun lalu berdiri dan memalingkan muka dari Ummu Fadhl dengan perasaan malu. Nyawa Abu Lahab tidak panjang selepas kejadian itu. Allah telah menimpakan penyakit bisul kepada Abu Lahab yang menyebabkan kematiannya.

Keberanian Ummu Fadhl terhadap musuh Allah seperti Abu Lahab sehingga jatuhnya kehormatan diri dan kesombongannya harus menjadi teladan kepada peribadi wanita Islam.

Ummu Fadhl selalu dimuliakan oleh nabi dan mempunyai kedudukan tinggi di kalangan wanita Islam pada zaman itu kerana memiliki sifat peribadi dan akhlak yang baik.

Ummu Fadhl adalah wanita yang beriman, bertakwa, rajin berpuasa dan ikhlas hatinya.

Pada suatu hari Ummu Fadhl menceritakan mimpinya kepada nabi yang sering mengunjungi dan tidur siang di rumahnya. Nabi mendengar kata-kata Ummu Fadhl tentang mimpinya sebelum memberitahu apa maknanya.

"Ya Rasulullah saya bermimpi seperti salah satu daripada anggota tubuh kamu berada di rumah saya".

"Bagus mimpi kamu. Fatimah akan melahirkan seorang anak lelaki nanti. Anak itu akan kamu susukan bersama dengan anak kamu, Qatsam," kata nabi tentang mimpi Ummu Fadhl.

Ummu Fadhl berasa gembira dengan apa yang dikatakan oleh nabi dan menceritakan kepada keluarganya tentang perkara itu. Tidak berapa kemudian, Fatimah melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Hasan yang kemudian diasuh oleh Ummu Fadhl.

Dia meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YKfKKeYp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rasulullah diajarkan bacaan al-Quran


ARKIB : 14/08/2009
ALLAH SWT telah mengajar Rasulullah SAW cara untuk menerima wahyu (ayat-ayat al-Quran) yang dibawa oleh malaikat Jibril. Apabila Jibril membawa ayat-ayat yang diturunkan itu, Rasulullah dikehendaki mengikut bacaan Jibril.

Namun, sebelum sempat Jibril menghabiskan bacaan ayat tersebut, Rasulullah sudah menggerakkan lidahnya untuk meniru bacaan malaikat itu.

Lalu Allah memerintahkan Rasulullah agar bersabar apabila Jibril datang menemui baginda. Apabila Jibril membaca ayat-ayat suci al-Quran atau wahyu ketika itu, hendaklah baginda mendengarnya dengan penuh perhatian.

Allah memberi jaminan bahawa ayat-ayat yang datang daripada-Nya itu, tidak ada satu pun yang akan dilupakan oleh baginda. Semuanya akan lekat dalam ingatan baginda. Selepas Jibril habis membaca, maka Rasulullah pun dapat membaca dengan lancar.

Wahyu yang diterima oleh Rasulullah bukanlah hanya maksud semata-mata, tetapi adalah ayat yang jelas. Isi al-Quran didengar baginda tidak berubah walau sepatah pun daripada Jibril. Setiap patah ayat diikuti dan diingati oleh Rasulullah SAW dengan baik sekali.

Allah telah berfirman, Kalau sekiranya ia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan terhadap Kami, nescaya Kami pegang tangan kanannya, kemudian Kami potong tali jantungnya (Kami bunuh).

Maka wahyu yang Rasulullah bacakan adalah perkataan yang sebenar-benarnya daripada Allah SWT bukannya yang direka-rekakan oleh baginda sendiri.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5YKHafXnG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Contohi sikap Abd. Rahman 'Auf


ARKIB : 11/08/2009
Dr. Ghafarullahhuddin Din
MEGA: Apakah hukum perbuatan menyorok barang (ihtikar) ?
DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Ihtikar merujuk kepada amalan negatif para peniaga yang menyimpan atau menyorok barang keperluan masyarakat. Tujuannya mendapat keuntungan berlipat ganda.

Tindakan ini mungkin berpunca daripada spekulasi liar bahawa akan berlaku kenaikan dalam harga barangan tertentu. Spekulasi begini mendorong peniaga menyimpan barang tersebut dan hanya menjualnya pada harga yang bakal naik.

Amalan ihtikar memudaratkan pengguna sekurang-kurangnya dalam dua keadaan. Pertama, tidak dapat memenuhi dengan sempurna barangan yang diperlukan kerana sukar didapati dalam pasaran.

Kedua, bebanan kenaikan harga apabila tindakan ihtikar itu betul-betul memaksa agar harga dinaikkan.

Amalan tercela ini diberi amaran keras oleh Rasulullah SAW. Antaranya dalam sabda baginda yang bermaksud: "Seburuk-buruk manusia ialah orang yang melakukan ihtikar, jika dia mendengar harga murah dia kecewa dan jika dia mendengar harga naik dia gembira". (riwayat Imam Razin)

Ulama tersohor kontemporari, Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya al-Halal wa al Haram fi al-Islam menulis: ulama menetapkan hukum (istinbat) bahawa diharamkan ihtikar dengan dua syarat. Pertama, dilakukan di sebuah negara sehingga menyebabkan penduduknya menderita lantaran amalan ihtikar.

Kedua, amalan ini bertujuan menaikkan harga sehingga masyarakat berasa payah, agar dia memperolehi keuntungan berlipat-ganda.

Rasullullah SAW ada bersabda 9/10 rezeki adalah daripada perniagaan. Namun, ada peniaga yang menaikkan harga berkali ganda tetapi kata ia harga biasa. Bolehkah berbuat demikian?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Aktiviti perniagaan ternyata mendapat perhatian dalam Islam. Malah al-Quran dalam ayat 275 surah al-Baqarah jelas menyebut maksudnya: Dan Allah menghalal jual beli...

Dalam ayat lain, Allah berfirman yang maksud-Nya: Hai orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tipu dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan (tijarah)...(an-Nisaa': 29)

Meskipun anjuran Islam terhadap aktiviti perniagaan begitu positif, ini tidak bermakna para peniaga boleh bebas bertindak 'membujur lalu melintang patah'.

Para peniaga perlu perlu menggerakkan aktiviti masing-masing berpandukan nilai-nilai yang dianjurkan Islam seperti adil, tidak menindas, bertimbang rasa dan sebagainya.

Harga perlu ditetapkan secara sihat sesuai dengan kedudukan permintaan dan penawaran barangan dalam pasaran secara normal.

Sebarang harga yang tidak adil adalah suatu kezaliman yang pasti membawa 'kegelapan' kepada para peniaga di kampung akhirat kelak.

Bagi membendung kegiatan begini, adakah Islam membenarkan kaedah penetapan harga siling (tas'ir) terutama bagi barangan asasi.

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Bagi membendung gelagat atau kegiatan peniaga yang tidak bertanggungjawab memanipulasi harga, Islam memang membenarkan kaedah penetapan harga siling terutama barangan asasi.

Hal ini perlu dilihat dalam dua keadaan. Pertama, dalam keadaan normal, di mana ekonomi bergerak secara sihat tanpa gangguan tindak-tanduk negatif peniaga, penetapan harga mungkin membebankan para peniaga.

Nabi SAW pernah diusul cadangan menetapkan harga namun baginda tidak berbuat demikian. Sebaliknya, baginda bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah penentu harga, penahan, pelepas dan pemberi rezeki, dan sesungguhnya aku berharap bertemu Allah dalam keadaan tidak seorang pun daripada kalian menuntut aku kerana perbuatan zalim terhadap jiwa atau tentang harga".

Perbahasan mengenai perkara ini diberi perhatian oleh ulama seperti Ibnu Taimiah dalam Risalah al-Hisbah dan Risalah al-Siyasah al-Syar'iyyah dan Ibn Qayyim dan Turuq al-Hukmiyyah.

Dalam keadaan kedua, apabila pedagang sewenang-wenangnya menaikkan harga hingga memudaratkan kepentingan umum, maka pemerintah wajib campur tangan dengan menetapkan harga demi memelihara kepentingan orang ramai.

Allah memberi amaran kepada golongan yang berlumba-lumba mencari kekayaan sehingga mengabaikan nilai-nilai murni sebagai mana ayat 1-2 surah at-Takathur. Apa pula janji Allah kepada peniaga yang adil dan jujur?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Dalam ayat di atas, Allah mengingatkan kita agar jangan lalai tenggelam dalam bermegah-megah dan kenikmatan duniawi.

Dalam ayat lain, Allah berfirman yang maksud-Nya: Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari mengingati Allah dan (dari) mendirikan solat dan (dari) membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang. (al-Nur: 37)

Banyak ayat al-Quran memberi peringatan agar aktiviti perniagaan dapat dicorakkan secara positif.

Di sebalik panduan-panduan ini, Islam memberi khabar gembira yang istimewa kepada peniaga yang komited dengan nilai-nilai mulia dalam perniagaan.

Contohnya, sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Pedagang (al-tajir) yang jujur dan amanah akan bersama dengan al-nabiyin, al-siddiqin dan al-syuhada". (riwayat Tirmidzi)

Untuk mencapai anugerah besar ini, para peniaga perlu memiliki ilmu yang secukupnya agar aktiviti perniagaan mereka dapat dilaksanakan berdasarkan suluhan wahyu.

Imam al-Ghazali rahimahullah dalam karya agungnya Ihya' Ulumiddin, antara lain menulis: "Adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang terlibat dalam perniagaan untuk mempelajari ilmu dalam mengendalikan urusan jual-beli".

Sahabat seperti Abd Rahman bin 'Auf adalah contoh peniaga Islam. . Namun ramai yang kurang yakin kepada keberkatan dalam berniaga. Bagaimana membetulkan tanggapan sebegini?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Terdapat riwayat yang mengatakan perniagaan awal Abd. Rahman bin 'Auf r.a ialah keju dan minyak sapi. Apa pun perniagaan beliau, yang pasti ia menunjukkan semangat berdikari beliau yang kental.

Dalam Sahih al-Bukhari, dilaporkan Abd. Rahman apabila sampai hijrah di Madinah, beliau dipersaudarakan dengan Sa'd bin Rabi', orang terkaya di situ.

Sa'd sedia menceraikan salah seorang daripada dua isterinya untuk dinikahi oleh Abd. Rahman selain memberi separuh daripada harta kekayaannya.

Namun, kata Abd. Rahman: "Semoga Allah SWT memberkati keluarga dan hartamu. Janganlah menyusahkan diri kamu sendiri. Kamu tunjukkanlah sahaja kepadaku arah ke pasar". Lalu ditunjukkan ke arah pasar Bani Qainuqa.

Kisah ini mempamerkan peribadi mulia Abd. Rahman yang tidak mengambil kesempatan di atas sifat kedermawanan orang lain.

Beliau ternyata seorang usahawan yang berjaya. Kejayaan ini tidak pula berpaksikan keuntungan individu semata-mata tetapi beliau meletakkan dirinya sebagai aset ummah yang penting dalam memberi khidmat murni menyediakan pelbagai keperluan barangan yang diperlukan orang ramai.

Malah, beliau tidak teragak-agak mengagihkan barang dagangan secara percuma jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian. Pernah ketika Saidatina Aisyah r.a memberitahu berita gembira mengenai kedudukan dirinya sebagai penghuni syurga oleh Nabi SAW, beliau terus menyedekahkan segala hartanya yang dibawa oleh 700 ekor unta dari Syam.

Hari ini, dunia Islam amat memerlukan kualiti peniaga seperti Abd. Rahman. Beliau bukan sahaja menonjolkan kejayaan dan pencapaian cemerlang dari segi kebendaan malah turut menjadi contoh hebat peniaga yang berkorban untuk ummah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5YK82NBeY
© Utusan Melayu (M) Bhd