Sabtu, 2 Februari 2019

Tentera Islam berkawal di Madinah

ARKIB : 22/06/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin menyertai pasukan tentera Islam berangkat menuju ke medan Uhud pada awal pagi Sabtu, 11 Syawal tahun 3 Hijrah. Pada hari yang sama, iaitu disebelah petang mereka kembali semula ke Kota Madinah.

Ia selepas selesai menguburkan jenazah-jenazah tentera Islam yang terkorban dan setelah yakin tentera-tentera Quraisy yang telah meninggalkan medan Uhud itu tidak akan kembali menyerang tentera Islam.

Baginda berangkat pulang bersama-sama dengan para anggota tentera lain. Ada antara mereka yang mengalami kecederaan dengan dibantu rakan-rakan.

Ketika menghampiri kota, baginda didatangi penduduk Madinah terutama para wanita yang bertanyakan nasib saudara-saudara lelaki mereka yang berjuang di Medan Uhud.

Baginda memberitahu dan menjelaskan kepada mereka apa yang telah berlaku sepanjang perang itu. Jika ada pengkhabaran yang menyedihkan, baginda meminta mereka bersabar dan tidak meratapi kematian para syuhada. Sebabnya, para arwah saat itu telah kembali menemui Allah dan menghuni syurga.

Namun, tetap ada kalangan wanita itu yang meraung dan menangis tanpa henti kerana kehilangan orang yang disayangi terutama bapa kepada anak-anak mereka. Ini menyebabkan si ibu bimbang masa depan mereka.

Baginda lalu berdoa agar Allah anugerahkan kebaikan kepada keluarga para pejuang yang syahid itu.

Akhirnya baginda selamat tiba di rumahnya dan sambil melepaskan lelah, baginda dan menantunya, Saidina Ali bin Abi Talib menyerahkan kedua-dua pedang perang mereka yang masih dibasahi darah kepada puteri baginda, Fatimah Az Zahra untuk dibersihkan.

Begitu pun pada malam Ahad, iaitu 8 Syawal tahun 3 Hijrah itu, seluruh umat Islam di Madinah masih dalam keadaan berjaga-jaga. Walaupun kalangan anggota tentera Islam itu sendiri belum pulih daripada kecederaan dan masih letih, mereka tetap mengambil langkah berjaga-jaga mengawal ketat seluruh kota Madinah.

Lebih-lebih lagi kediaman Nabi dikawal ketat bagi menghadapi apa juga kemungkinan terutama jika pihak Quraisy melancarkan serangan mengejut ke atas Madinah di saat umat Islam berduka cita dan keletihan akibat berjuang dalam perang itu.

Baginda sendiri tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan pelbagai aspek terutama kemungkinan pihak Quraisy menyerang kembali secara tiba-tiba.

Kemungkinan itu ada kerana tentu ada perasaan tidak puas hati di kalangan puak Quraisy kerana mereka tidak mencapai kemenangan besar.

Tentera musuh juga tidak dapat membawa pulang sebarang harta rampasan, tawanan perang apatah lagi menumpaskan musuh ketat mereka, iaitu Rasulullah sendiri.

"Adakah mereka benar-benar kembali ke Mekah, atau cuba merancang sesuatu," tanya Rasulullah sendirian.

Pasti mereka dalam keadaan yang menyesal dan ingin berpatah balik untuk melancarkan serangan terhadap umat Islam.

Lalu baginda terpaksa membuat keputusan dan ia tentunya sangat berat untuk dilaksanakan. Namun, kerana tiada pilihan yang lebih baik, baginda tetap akan meneruskan satu rancangan.

Keesokan hari, iaitu pada hari ketiga selepas Perang Uhud, hanya selepas sehari mereka berehat, baginda menyeru umat Islam keluar menyerang tentera musuh, sebelum musuh sempat menyerang umat Islam di Madinah.

Baginda sebenarnya hanya ingin menjejaki musuh, andai benar pihak musuh hendak menyerang maka baginda dan pasukannya telah bersedia menghadapi sebarang tentangan dan serangan.

Sebaliknya, jika pihak musuh tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menyerang kembali, maka barulah umat Islam dikatakan benar-benar selamat daripada apa juga ancaman.

"Jangan keluar bersama kami kecuali mereka yang terlibat dalam peperangan sahaja (Perang Uhud). Mereka yang lain dikehendaki menjaga soal keselamatan Madinah terutama ancaman musuh-musuh dalam selimut," ujar baginda.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5eRnyWd2U
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 1 Februari 2019

Semangat jihad para sahabat


ARKIB : 01/06/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PERTEMPURAN di medan Uhud masih tidak ada kesudahannya lagi, kedua-dua belah pihak masih memberikan tentangan yang sengit.

Belum ada pihak yang mengaku kalah lebih-lebih lagi di pihak Islam walaupun pemimpin tentera mereka iaitu Rasulullah sendiri mengalami kecederaan.

Namun tidak dapat dinafikan serangan pihak musuh terhadap tentera Islam memang semakin hebat, terutamanya menumpukan serangan terhadap Rasulullah sendiri.

Mereka begitu mencari Rasulullah di sana sini untuk membunuh baginda.

Seorang sahabat, Nafi bin Jubair berkata: "Aku mendengar seseorang dari kaum Muhajirin berkata: "Aku ikut dalam Perang Uhud. Aku melihat anak panah berterbangan datang dari segala penjuru menuju kepada Rasulullah, namun mujur tidak satu pun dapat mencederakan baginda,"

Semua ini apabila ada kalangan para sahabat sendiri sanggup menjadikan diri perisai hidup agar Rasulullah terselamat.

Tidak akan dapat ditemui dalam mana-mana sejarah perang apabila seorang sahabat seperti Abu Thalhah misalnya, menjadikan dirinya sebagai pagar di hadapan baginda dan memasang dadanya untuk melindungi pemimpin kesayangan umat Islam itu daripada terkena anak panah pihak musuh.

Malah dikatakan Abu Thalhah mampu dan cekap menangkap anak panah yang laju dilepaskan daripada busurnya, lalu terus ditangkap dan dipatah-patahkannya.

Seorang lagi, Abu Dujanah begitu melindungi Rasulullah dengan menjadikan bahagian punggungnya sebagai perisai sehingga dikatakan beberapa anak panah tertancap di punggungnya itu namun beliau tetap mampu bertahan.

Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah menarik boleh dikutip di sepanjang berlakunya pertempuran di Medan Uhud ini.

Ini termasuklah semasa perang Uhud ini, Rasulullah juga adalah seorang pemanah yang cekap. Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Qatadah bin Nu'man akibat terlalu kuat Rasulullah menarik anak panah dari busurnya, menyebabkan tali busurnya terputus.

Lalu busur panah itu diambil oleh Qatadah kerana busur itu adalah miliknya lalu dipasang semula dengan tali yang baru.

Pada saat itu dikatakan salah satu dari organ mata Qatadah sendiri tersembul keluar akibat terkena serangan dari musuh, lalu Rasulullah sendiri dengan menggunakan tangan baginda 'memasukkan' semula organ itu ke dalam soket mata Qatadah.

Qatadah mengakui selepas dimasukkan organ itu matanya adalah yang terbaik dan paling tajam pandangannya berbanding sebelum ini.

Salah seorang sahabat besar Rasulullah sendiri, iaitu Abdul Rahman bin Auf turut mengalami kecederaan yang agak teruk.

Beliau bertempur melawan musuh sehingga mulutnya cedera yang mengakibatkan sebatang giginya tercabut. Namun seluruh tubuh badannya juga terdapat 20 kesan kecederaan dan begitu juga kakinya tercedera sehingga menyebabkan Abdul Rahman terpaksa berjalan dengan agak pincang selepas itu.

Namun kisah yang paling menakjubkan mengenai seorang lagi sahabat Rasulullah, iaitu Mush'ab bin Umair yang dibunuh oleh Ibnu Qamiah yang disangkanya Mushab itu adalah Rasulullah kerana dikatakan mempunyai wajah yang mirip baginda.

Mush'ab bertanggungjawab untuk membawa dan mengibar bendera atau panji-panji tentera Islam. Sehinggalah tangan kanannya itu terputus akibat ditetak oleh musuh supaya bendera tersebut boleh melemahkan semangat tentera Islam andainya jatuh ke bumi dan tidak mampu dipertahankan oleh sesiapa.

Namun sebelah tangannya masih lagi ada, tidak cedera, lalu Mush'ab mengambil bendera yang jatuh itu dengan tangan kirinya pula.

Namun akibatnya, selepas tangan kirinya itu pula dipenggal sehingga putus, menyebabkan panji Islam jatuh juga ke bumi.

Namun Mush'ab mempunyai semangat yang sangat tinggi dan luar biasa sifatnya. Beliau tetap mempertahankan maruah Islam dengan berusaha untuk mengibarkan panji islam itu walaupun kehilangan kedua-dua belah tangan dan mengalami kecederaan yang teruk.

Beliau membongkok dan cuba mengambil bendera itu dan dikepitkan antara dada dan lehernya. Akhirnya dapatlah juga bendera itu berkibar dengan 'harga' yang paling mahal dan penuh berdarah!

Begitu pun, selagi bendera itu bersamanya, selagi itulah Mush'ab menjadi sasaran serangan pihak musuh yang tiada belas kasihan dan ampun walaupun Mush'ab kini tinggal separuh nyawa untuk mempertahankan panji Islam itu.

Beliau akhirnya mati dibunuh oleh Ibnu Qamiah, lalu gugurlah seorang pahlawan Islam yang kehebatan semangatnya itu untuk mempertahankan Islam itu tiada tolok bandingnya sehingga kini.

Lalu semangat Mush'ab yang seperti itu diteruskan oleh sepupu baginda, Ali bin Abi Talib yang mengambil alih mengibarkan bendera Islam dan dipertahankan sehingga perang tamat.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5eLa7VPjM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Allah tumpaskan tentera bergajah


ARKIB : 27/05/2011
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SURAH al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kafirun.

Hubungan surah ini dengan surah al-Humazah ialah dalam surah al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta tidak dapat menjauhkan daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bukti tentang perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah.

Seorang panglima tentera Habsyah yang menguasai Yaman bercita-cita menyerbu dan meruntuhkan Kaabah yang dimuliakan supaya orang Arab tidak melakukan ibadah haji di sana.

Dia menuju Mekah diiringi tentera yang ramai dan gajah yang banyak bagi menambahkan rasa takut pada orang ramai. Dia terus mara sambil mengalahkan sesiapa saja yang dijumpainya, sampai ke al-Mughammas iaitu suatu tempat yang berdekatan kota Mekah.

Dia kemudian mengirim utusan kepada penduduk Mekah memberitahu bahawa tujuan kedatangannya bukan untuk berperang dengan mereka, tetapi meruntuhkan Baitullah.

Mereka ketakutan, lalu mencari perlindungan di puncak-puncak gunung sambil melihat apa yang akan dia lakukan. Pada hari kedua penyakit cacar dan campak mula menular di kalangan tentera Habsyah.

Ikrimah mengatakan, itu adalah permulaan penyakit cacar yang menular di negara Arab. Wabak itu menimpa mereka dengan kesan yang tidak ada tandingannya. Di mana daging mereka berguguran sehingga mereka dan panglima lari ketakutan.

Panglima mereka juga terkena wabak tersebut dan dagingnya terus tanggal sedikit demi sedikit, seketul demi seketul, akhirnya dada mereka terbelah dan mati di San'a.

Bagaimanapun pada ulama berkhilaf pendapat mengenai bilada itu berlaku. Ada tiga pandangan mengenai, iaitu:

i. Pada tahun kelahiran Rasulullah SAW. Ini pendapat yang asah yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama seperti pendapat Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.

ii. Ia berlaku selepas 40 tahun peristiwa serangan gajah. Ini pendapat Muqatil.

iii. Kelahiran berlaku 23 tahun selepas serangan tersebut. Ini pendapat al-Kalbi, Ubaid bin Umair dan Abu Soleh.

Firman Allah SWT: Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?

Perkataan tidakkah kamu memperhatikan ditafsirkan dengan dua pendapat:

i. Tidakkah kamu diberitahu dan dikhabarkan seperti pendapat al-Farra'.

ii. Tidakkah kamu mempelajari sebagaimana kata al-Zajjaj.

Sayid Qutub berkata: "Tidakkah rancangan jahat mereka gagal dan tidak mencapai sasarannya sama seperti orang yang sesat jalan dan tidak sampai kepada tempat yang dituju."

Mungkin dengan pertanyaan ini Allah mahu mengingatkan kaum Quraisy terhadap nikmat-Nya kepada mereka iaitu nikmat menjaga dan memelihara rumah Kaabah semasa mereka tidak berdaya menghadapi serangan tentera bergajah yang kuat.

Tentera Allah dalam bentuk burung

Firman Allah SWT: Dan dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.

Perkataan ababil ditafsirkan dengan lima pendapat:

i. Dalam bentuk berselerakan datangnya burung tersebut dari sana ke sini dengan segenap penjuru. Inilah pendapat Ibn Mas'ud dan al-Akhfash.

ii. Burung tersebut datang selepas satu kumpulan dan datang kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil.

iii. Burung tersebut datang dengan jumlah yang banyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Thawus.

iv. Burung tersebut datang dalam bentuk berkumpulan diikuti dengan kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ata' dan Abu Soleh.

v. Ia mempunyai pelbagai jenis warna sebagaimana pendapat Zaid bin Aslam.

Para ulama khilaf berkenaan sifat burung tersebut iaitu:

i. Burung tersebut mempunyai belalai dan kuku seperti kuku anjing. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Ikrimah berkata: Kepala mereka seperti binatang buas.

iii. Ibn Ishak berpendapat: Mereka seumpama binatang helang yang menyambar.

Begitu juga mereka khilaf berkenaan warna burung tersebut:

i. Warnanya hijau sebagaimana pendapat Ikrimah dan Said bin Jubair.

ii. Warnanya hitam sebagaimana pendapat Ubaid bin Umair.

iii. Warnanya putih sebagaimana pendapat Qatadah.

Firman Allah SWT: Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar.

Berkenaan dengan burung yang membawa batu seperti kata Qatadah: Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, dua biji batu di kakinya, manakala sebiji lagi di muncungnya.

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT mengirimkan sekawan burung yang membawa batu kering yang dijatuhkan kepada anggota-anggota tentera itu menyebabkan mereka menderita penyakit cacar atau campak dan membawa maut."

Kemungkinan juga binatang yang terbang itu terdiri daripada jenis nyamuk atau lalat membawa kuman penyakit. Atau batu itu daripada tanah liat yang kering dan beracun yang diterbangkan angin lalu melekat pada kaki-kaki burung itu.

Jika tanah liat itu menyentuh tubuh maka racun itu akan meresap dan melukakan apa yang mengenainya dan berakhir dengan kerosakan tubuh serta keguguran dagingnya.

Jelas bahawa lalat membawa kuman penyakit. Seekor lalat yang membawa kuman boleh menyebabkan manusia dijangkiti penyakit dan menular kepada semua orang.

Oleh yang demikian, jika Allah SWT menghendaki membinasakan sejumlah besar tentera dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya.

Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan mereka yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh memusnahkan manusia.

Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan manusia dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka adalah makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di tempat tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin.

Imam Muhammad Abduh berkata: "Bagi orang yang kejam ini yang hendak merobohkan Baitu al-Haram, Allah SWT mengirimkan sesuatu yang dapat membawa kuman penyakit cacar atau campak yang kemudiannya akan membinasakannya dan kaumnya sebelum sempat masuk kota Mekah."

Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah berhala kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW meskipun Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera bergajah yang ingin menghancurkan Baitu al-Haram yang tidak berdosa itu.

Firman Allah SWT: Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Selepas terkena batu, tubuh badan mereka jatuh berguguran sedikit demi sedikit sebesar hujung jari dan akhirnya terbelah dadanya hingga binasa.

Abdul Muttalib berkata: "Burung tersebut amat pelik." Lalu beliau pernah menghantar anaknya Abdullah untuk melihat apa yang terjadi kepada puak Abrahah dan pulang seraya melaporkan semuanya binasa.

Kemudian Abdul Muttalib keluar bersama dengan rakannya untuk mengambil harta yang ditinggalkan. Ada pendapat mengatakan bahawa tidak seorang pun yang selamat kecuali Abu Yaksum, di mana burung sentiasa mengekorinya dari atas kepalanya, sedangkan dia tidak perasan sehingga sempat masuk bertemu al-Najashi dan mengkhabarkan dengan peristiwa yang berlaku.

Setelah selesai kata-katanya, burung tersebut melepaskan batu dan akhirnya dia mati. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT memperlihatkan kepada al-Najashi tentang bagaimana Allah SWT membinasakan kaum tersebut.

Hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah dari kesesatan. Semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bala dan bencana.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5eLDA7hL7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hebatnya pahlawan Islam berjuang


ARKIB : 11/05/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
BAPA saudara Rasulullah, Saidina Hamzah Abdul Mutalib benar-benar seorang pahlawan Islam sejati walaupun akhirnya tumpas dan syahid di tangan musuh di Perang Uhud.

Sebelum syahid, belaiu berjaya membunuh lebih 30 tentera kafir dalam perang itu. Bayangkan berapa ramai lagi yang bakal tewas di tangannya andai beliau tidak syahid di tangan hamba kulit hitam Warsyi bin Harb.

Kehebatan Assadullah atau Singa Allah itu benar-benar tiada tandingannya dan sangat dikagumi!

Tetapi sayangnya sejauh mana generasi terutama yang muda Islam hari ini mengenali Saidina Hamzah berbanding nama 'pahlawan' yang kebanyakannya tidak pernah wujud pun di muka bumi ini.

Malah direka dengan tokok tambah segala macam kekuatan dan kehebatan sedangkan kesemua 'pahlawan' itu wujud atas nama animasi kartun dan lakonan untuk melariskan jualan tiket-tiket wayang.

Kehebatan Saidina Hamzah wajar 'dijual' supaya lebih ramai lagi 'Singa-Singa Allah' sepertinya dapat kita lahirkan.

Ia antara lain membuktikan bahawa jumlah musuh yang ramai bukan penyebab umat Islam mengaku kalah dalam perjuangan. Sebaliknya, perlu kuat persis Saidina Hamzah yang relatifnya adalah manusia biasa, tetapi atas nama jihad dan mengharapkan syurga Allah, maka satu demi satu musuh ditumpaskan.

Perang Uhud memang benar-benar mengumpulkan ramai pahlawan Islam yang terbilang. Tetapi yang terbilang selain dari Saidina Hamzah ialah Abu Dujanah seperti yang diceritakan sebelum ini.

Kecuali Abu Dujanah yang menampakkan ciri pahlawan yang menggerunkan musuh dengan melilitkan serban merah di kepalanya, pahlawan-pahlawan Islam yang lain mungkin kelihatan begitu 'sederhana'.

Lebih bersifat tawaduk dan rendah diri malah mungkin mempunyai susuk badan yang kecil tetapi kekuatan yang dipamerkan adalah sangat luar biasa.

Salah satu kisah menarik, apabila seorang pahlawan musuh bernama Thalhah dengan sombong dan bongkak mencabar mana-mana pahlawan Islam berlawan dengannya pada peringkat awal sebelum Perang Uhud meletus.

"Siapa yang mahu bertanding berlawan dengan aku," teriak Thalhah.

Apabila tiada pahlawan Islam yang mahu menyahut cabarannya, Thalhah pun terus menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati pasukan tentera Islam.

"Wahai pengikut-pengikut Muhammad, kamu menyangka Tuhan akan menghantar kami ke neraka dengan pedang kamu dan menghantar kamu ke syurga dengan pedang kami!

"Siapakah antara kamu yang akan mempercepatkan kami ke neraka dengan pedangnya? Atau pun kami akan mempercepatkan kamu ke syurga dengan pedang kami?

"Sungguh, kamu berdusta. Demi Latta dan Uzza, sekiranya kamu semua betul-betul percaya begitu, keluarkanlah seorang daripada kamu kepada kami sekarang," teriaknya.

Disebabkan kata-kata yang angkuh itu, sahabat besar Rasulullah, Saidina Ali bin Abi Talib pun keluar menyahut cabaran si Thalhah. Tanpa membuang masa, menantu Rasulullah itu menyerang Thalhah dengan sekali libasan pedangnya sahaja berjaya mencederakan kaki pahlawan Quraisy itu sehingga menyebabkan dia cedera parah dan terjatuh tanpa sempat melawan.

Ali kemudiannya meninggalkan Thalhah begitu sahaja yang tidak mati walaupun kakinya putus akibat libasan pedangnya.

Rasulullah bertanya mengapa Saidina Ali tidak terus membunuh sahaja musuh yang begitu sombong mencabar tentera Islam itu.

"Thalhah kini begitu malu dengan kata-katanya dan saya kasihan dan tidak sampai hati membunuhnya," jawab Ali dengan penuh makna.

Dikatakan, sebelum pasukan musuh bertempur secara besar-besaran dengan tentera Islam, hampir 12 pahlawan Quraisy berjaya dibunuh oleh para pahlawan Islam dalam adegan atau pertarungan satu lawan satu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5eKM2iOTD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 31 Januari 2019

Hanzalah berjihad walau baru nikah


ARKIB : 11/05/2011
SEORANG lagi pahlawan Islam yang jihad bermati-matian ketika Perang Uhud ialah Anas bin Nadhar. Beliau tidak dapat menyertai Perang Badar sebelum ini kerana masih terlalu muda.

Tetapi apabila dibenarkan turut serta dalam Perang Uhud, beliau sangat gembira tanpa sedikit pun bimbang nyawanya melayang.

Anas mempamerkan kejantanan dan semangat juang yang sangat tinggi di Perang Uhud apabila berjaya membunuh ramai kafir Quraisy.

Namun akhirnya Anas mati syahid. Namun dikatakan beliau sempat mengucapkan selamat tinggal kepada seorang sahabat, iaitu Saad bin Muaz sebelum mengakhiri nafasnya.

"Tujuanku (syahid) sudah tercapai wahai sahabatku Saad. Aku sudah terbau bau syurga yang sangat harum semerbak di kaki bukit Uhud ini. Selamat tinggal Saad, selamat tinggal," ujar Anas.

Seorang lagi pahlawan Uhud yang mempunyai kisah yang menyentuh perasaan ialah Hanzalah Al Ghasil bin Abu Amir. Hanzalah dikatakan baru melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita yang sangat jelita.

Namun tatkala mendengarkan seruan berjihad di Medan Uhud, Hanzalah dikatakan terus bergegas meninggalkan isteri dalam dakapannya semata-mata untuk menyahut seruan jihad.

Apabila berhadapan dengan musuh di medan perang, Hanzalah mempamerkan daya juang yang sangat menggerunkan musuh dengan membunuh ramai di kalangan anggota tentera Quraisy sehingga membuka jalan kepada beliau yang akhirnya berjaya berhadapan dengan Abu Suffian bin Harb, ketua panglima perang Quraisy.

Hanzalah dikatakan hampir berjaya membunuh Abu Suffian tetapi Allah lebih memilih beliau untuk syahid apabila Hanzalah ditetak dengan kuat sehingga mati oleh seorang pengikut Abu Suffian, Syaddah bin Al Aswad yang kebetulan ternampak cubaan untuk membunuh Abu Suffian itu.

Hanzalah syahid dan jenazahnya ditemui seusai perang dalam keadaan basah seluruh badannya.

Rasulullah menjelaskan bahawa Hanzalah baru sahaja dimandikan oleh para malaikat kerana semasa beliau keluar berperang, Hanzalah masih dalam keadaan berjunub.

Lalu dalam riwayat Hanzalah terkenal dengan gelaran Al Ghasil yang bermakna dimandikan oleh para malaikat.

Namun Rasulullah sendiri juga tidak kurang hebatnya sebagai seorang pahlawan yang tidak sahaja berlawan malah mampu mengalahkan musuh.

Dalam satu peristiwa ketika berlangsung perang itu, iaitu di saat-saat akhir sebelum perang tamat, telah tersebarnya berita kononnya Rasulullah terkorban.

Namun apabila mendapat tahu baginda sebenarnya masih hidup, seorang anggota tentera di pihak musuh bernama Ubai bin Khalaf terjerit-jerit mencari baginda Rasulullah.

"Di mana orang yang mengaku dirinya itu seorang nabi? Andai dia seorang yang berani, keluarlah bertarung dengan aku, satu lawan satu sehingga salah seorang terkorban.

"Di manakah Muhammad? Aku sendiri malu untuk meneruskan hidup jika membiarkan si Muhammad ini terus hidup," kata Ubai dengan sombong dan bongkak.

Mendengarkan cabaran Ubai itu, ramai pahlawan dan sahabat baginda yang menawarkan diri untuk membunuh Ubai bagi pihak baginda.

Namun baginda meminta diberi ruang untuk baginda sendiri berhadapan dengan Ubai.

Sebaik sahaja Ubai melihat kemunculan baginda maka tanpa ditunggu-tunggu lagi dia pun terus memacu kudanya dengan deras untuk menyerang baginda.

Lalu baginda pun meminta sebilah lembing yang sedang dipegang oleh Harith bin Syimmah. Sebaik sahaja Ubai semakin menghampiri baginda maka dengan pantas dan sekuat-kuat tenaga baginda melontarkan lembing itu ke arah Ubai.

Lembing itu tepat sasarannya mengenai leher Ubai sehingga tembus. Ubai mati tersungkur dalam keadaan berlumuran darah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5eAqWVTVA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 30 Januari 2019

Hamzah digeruni musuh


ARKIB : 04/05/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Perang Uhud merupakan antara perang yang paling menarik pernah berlaku dalam dalam mana-mana sejarah perang dunia.

Walaupun berakhir dengan kekalahan pihak Islam dengan pelbagai strategi diatur sedemikian rupa yang pastinya menjanjikan kemenangan namun sepanjang berlaku perang ini penuh dengan pelbagai kisah kepahlawanan yang luar biasa dan sehingga kini tiada tolok bandingnya.

Tentunya yang kita maksudkan adalah kisah bapa saudara Rasulullah sendiri, iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai 'Singa Allah' atau Asadullah.

Seorang bapa saudara yang sangat menjaga anak saudaranya sebelum ini dan pahlawan yang sangat perkasa dalam Perang Badar.

Semasa Perang Uhud, sesuai dengan gelaran yang diberi, Hamzah bagaikan seekor singa yang sedang mengamuk dan mengganas.

Hamzah atau nama sebenarnya Hamzah Abu 'Amaarah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin 'Abdi Manaaf al Quraisy al Haasyimi. Berusia dua tahun lebih tua daripada Rasulullah dikatakan berjaya membunuh lebih 30 tentera kafir Mekah sepanjang Perang Uhud itu.

Beliau yang turut digelar Sayyidusy-Syuhadaa' (Penghulu para syuhada) tidak akan memberi peluang terhadap musuh kecuali terus berjuang habis-habisan mempertahankan Islam.

Sejak Hamzah mula memeluk Islam pada tahun kelapan selepas anak saudaranya itu dilantik Allah menjadi Rasul sehinggalah pada detik membawa kepada kematiannya di tangan musuh di Perang Uhud, seluruh hidupnya adalah untuk Islam.

Justeru sasaran membunuhnya memang tidak pernah padam di kalangan musuh. Malah ada yang membuat pelbagai tawaran yang sangat lumayan asal sahaja Hamzah dapat dibunuh.

Satu lawan satu

Bagi mereka dengan gugurnya seorang pahlawan Islam ini pasti akan pincanglah kekuatan Nabi Muhammad dan para pengikutnya.

Ini menyebabkan tugas membunuh Hamzah tidak boleh dilakukan secara berhadapan atau satu lawan satu. Jika cara itu dipilih maka tidak akan pernah pihak yang lawan tidak akan menang, jauh sekali dapat mencederakan Hamzah. Ini kerana Hamzah begitu hebat, perkasa, cekap dan tangkas.

Saat Hamzah sedang melawan dan mencari musuh untuk diperangi, saat itu jugalah sebenarnya Hamzah sedang diekori tanpa beliau sedari.

Musuh yang mengekori untuk mengambil peluang membunuh Hamzah secara curi itu ialah seorang bangsa kulit hitam bernama Wahsyi bin Harb.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5e9YZA6yt
© Utusan Melayu (M) Bhd