ARKIB : 20/07/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Peta yang menunjukkan kedudukan Bir Maunah yang
menjadi lokasi 70 anggota rombongan mubaligh Islam diserang hendap.
KELUARAN lalu menceritakan Abdullah bin Unais yang
mempamerkan kehebatannya tersendiri apabila hanya secara solo dapat membunuh
Khalid bin Sufyan al Hudzali, musuh Rasulullah yang sekali gus menjadi musuh
kepada Islam.
Malangnya kejayaan itu disusuli dengan dua
peristiwa duka menimpa umat Islam apabila Rasulullah kehilangan ramai sahabat
dan para pengikut termasuk mereka yang hafiz al-Quran dan para pendakwah yang
baik.
Kedukaan menyebabkan Rasulullah melakukan Qunut
Nazilah selama 30 hari mengiringi setiap solat baginda.
Sebenarnya apa sahaja peristiwa yang berlaku dalam
sejarah Islam seharusnya diketahui oleh umat Islam pada hari ini.
Namun apabila berlakunya Peristiwa Syuhada Perigi
Ma'unah atau Bir Maunah dan Peristiwa Maa' Al Raji' (Air Al Raji'), ia
merupakan antara peristiwa yang tidak boleh luput dalam ingatan umat Islam.
Kedua-duanya begitu sarat dengan pengajaran
walaupun mungkin sukar untuk kita memahaminya jika hanya membaca sekali harung.
Ini kerana ia turut melibatkan soal budaya, cara
hidup orang Arab yang terdiri dari pelbagai suku dan kaum.
Setiap mereka mempunyai pendirian sama ada untuk
menyokong atau menolak Rasulullah tetapi lebih merbahaya lagi kalau yang
bersikap munafik, bermuka-muka, baik di hadapan Rasulullah tetapi sebaliknya
apabila di belakang baginda!
Peristiwa Bir Maunah berlaku pada bulan Safar 4
Hijrah apabila seorang ketua suku yang besar di kalangan orang Arab pada masa
itu, dikenali sebagai Abu Barra atau nama sebenarnya Amir bin Malik dari daerah
Najd datang menemui Rasulullah di Madinah.
Sebelum ini, beliau telah mendengar mengenai Islam
dan tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agama itu dari Rasulullah
sendiri.
Maka sangguplah dia datang dari jauh dan
menghabiskan masa bersama baginda.
Baginda sendiri tentu sahaja amat mengalu-alukan
kehadiran Abu Barra. Malah segera dakwah itu disampaikan dengan dibacakan
ayat-ayat al Quran dan penjelasan demi penjelasan mengenai Islam kepada tetamu
itu.
Abu Barra mendengar dengan baik akan segala dakwah
yang disampaikan oleh baginda. Namun dia dikatakan berterus terang masih belum
mahu mengikut agama yang diajarkan kepadanya itu.
Sama ada Abu Barra mempunyai muslihat tertentu
kerana katanya beliau hanya akan memeluk Islam jika baginda menghantar wakil
atau utusan untuk mengajar kaumnya di Najd mengenai Islam.
"Ya Muhammad, saya mengusulkan kepada tuan,
alangkah baiknya tuan mengutus beberapa orang utusan kepada kaum Najd bagi
menyampaikan seruan tuan ini seperti yang tuan lakukan kepada saya.
"Manalah tahu sekiranya mereka mahu mengikuti
seruan tuan itu. Ini kerana semua yang tuan serukan itu adalah perkara-perkara
yang sangat baik belaka.
"Kalau seluruh suku aku masuk atau memeluk
Islam, aku akan masuk agama mu ini bersama mereka," kata Abu Barra.
Apabila mendengarkan usul atau cadangan daripada
Abu Barra dan berpegang untuk tidak berlaku paksa memaksa dalam urusan menukar
agama, Rasulullah pun bersetuju menerima cadangan itu.
Bagi baginda SAW cadangan itu tidak menampakkan
sebarang muslihat yang bakal memakan diri baginda dan kepentingan agama Islam.
Walaupun sesetengah riwayat yang lain menceritakan
baginda terus bersetuju kepada cadangan Abu Barra namun sesetengah yang lain
meriwayatkan baginda tidak begitu setuju untuk terus menghantar utusan
sebagaimana yang dipinta.
Ini kerana baginda tetap bimbang berlaku
pengkhianatan oleh suku-suku Arab yang tidak diketahui akan niat sebenar
mereka, bimbang mereka hanya bermanis di muka, pahit dan masam dalam hati.
Dikatakan Abu Barra berusaha memujuk Rasulullah
berkali-kali malah dia menjamin akan soal keselamatan dan keamanan para utusan
yang bakal dihantar oleh baginda itu.
Malah Abu Barra yakin jika misi itu berjaya,
kedudukan baginda dan Islam akan bertambah kukuh.
Namun baginda tetap merasa berat di hati hendak
melepaskan para sahabat demi keselamatan mereka. Mereka tentu akan selamat
pergi tetapi belum tentu selamat kembali ke Madinah.
Oleh kerana Abu Barra dikatakan ketua suku yang
dihormati dan disegani lawan dan kawan terutama daripada kalangan kaumnya
sendiri maka baginda akhirnya setuju dengan permintaan itu.
Ini kerana menurut adat atau budaya di kalangan
bangsa Arab, apabila ketua sesuatu kabilah berjanji bagi melindungi dan
menjamin keselamatan kabilah yang lain, maka tiada siapa pun daripada
kabilahnya dan kabilah-kabilah yang lain berani untuk menganggu dan melakukan
perkara-perkara yang tidak diingini!
BAGINDA Rasulullah pun menyediakan hampir 70
sahabat dan pengikut yang terpilih untuk menjayakan misi sebagai mubaligh islam
ke daerah Najd.
Mereka dikatakan terdiri daripada empat orang
sahabat dari kalangan Muhajirin dan 66 lagi dari kalangan Ansar yang diketuai
oleh Mundzir bin Amir.
Mereka yang mengikuti misi itu sebahagian besar
daripadanya adalah sahabat pilihan yang sangat arif atau memahami hukum-hukum
agama dan masing-masing menghafaz seluruh bacaan dan isi kandungan al-Quran.
Lalu mereka pun berangkat menuju ke daerah Najd
dengan Abu Barra pulang terlebih dahulu untuk memberitahu berita gembira kepada
seluruh kaumnya mengenai kejayaan membawa masuk 70 utusan dari Nabi Muhammad
SAW bagi menyampaikan dakwah Islam itu.
Begitupun rombongan itu tidak sahaja mempunyai
matlamat untuk berdakwah kepada penduduk di daerah Najd yang diketuai oleh Abu
Barra, malah kesempatan itu turut diambil untuk menyebarkan Islam kepada
mana-mana suku dan kaum lain yang mereka temui sepanjang menuju ke Najd.
Akhirnya rombongan tersebut tiba di tempat yang
dikenali sebagai Telaga Maunah atau Bir Maunah yang terletak antara tanah milik
Bani Amir dan Harrah Bani Sulaim.
Bani Amir, satu lagi suku Arab diketuai oleh Amir
bin Tufail. Tanpa ahli rombongan itu ketahui bahawa Amir adalah seorang yang
kuat memusuhi Islam walaupun dikatakan dia merupakan anak saudara kepada Abu Barra.
Namun kesempatan tetap diambil bagi menghantar
wakil dari rombongan Rasulullah, iaitu Haram bin Milhan untuk menyampaikan
sepucuk surat dari baginda mengajak kepada Islam kepada Amir selaku ketua
kabilah.
Namun surat itu telah dikoyak-koyakkan. Amir sangat
marah dengan kehadiran utusan Nabi Muhammad itu.
Tidak cukup dengan itu, Amir memerintahkan orang
suruhannya membunuh Haram. Lalu Haram dibunuh dengan ditikam dengan tombak dari
arah belakang.
Haram yang tidak menyangka layanan seburuk itu
sempat berteriak saat darahnya membuak-buak keluar akibat tikaman tombak itu:
"Aku sudah berjaya! Aku sudah berjaya! Aku sudah berjaya demi Tuhan
Kaabah!"
Mendengarkan teriakan itu, para ahli rombongan yang
lain menyangka bahawa misi Haram berjaya, iaitu Amir bin Tufail bersetuju
menerima Islam sedangkan Haram sebenarnya hendak memberitahu bahawa beliau
sebenarnya sudah syahid!
Ia juga sebagai amaran kepada ahli rombongan supaya
bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan buruk daripada Amir bin Tufail.
Telahan tersebut benar, kerana selepas itu tidak
cukup dengan membunuh Haram secara curi, Amir juga memerintahkan agar ahli
rombongan lain turut dibunuh!
Ini kerana beliau sedar adalah menjadi satu
kesalahan besar dalam adat budaya Arab membunuh sesiapa sahaja yang diutus
menjadi wakil.
Oleh itu, supaya kesalahannya tidak diketahui oleh
kalangan kabilah yang lain, Amir mahukan anggota tombongan mubaligh Islam yang
lain turut dibunuh.
Namun dia tidak mampu melakukannya seorang diri
atau hanya berharap kepada ahli-ahli sukunya melainkan terpaksa meminta bantuan
suku-suku Arab lain yang berdekatan untuk sama-sama menghapuskan rombongan
Rasulullah itu.
Lalu apa yang berlaku selepas itu, amat
memeranjatkan seluruh anggota rombongan. Mereka diserang hendap.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5eZbncoPA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan