Selasa, 29 Ogos 2017

Ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad SAW

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
1.Ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad SAW.
Kepemimpinan Nabi Muhammad SAW bermula selepas kebangkitan baginda sebagai rasul.
Sifat terpuji Nabi Muhammad SAW. 4.1 Ciri-ciri Kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w
Kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w sebenarnya telah terserlah sewaktu baginda berada di Makkah lagi, dan ianya terbukti apabila Nabi Muhammad s.a.w menonjolkan kebijaksanaannya menyelesaikan pertikaian tentang peletakan Hajar al-Aswad yang menjadi rebutan dalam kalangan pemimpin Makkah.
  Penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah mengesahkan kedudukan baginda sebagai pemimpin tertinggi negara Islam Madinah, dan ianya diiktiraf oleh orang-orang Islam dan bukan Islam melalui penggubalan Piagam Madinah.[1]
Sifat terpuji Nabi sebagai pemimpin umat.
1.Siddiq –benar dalam tutur kata dan tingkah laku. Para nabi dan rasul mempunyai sifat siddiq iaitu membawa kebenaran.
2.Amanah-Ertinya para nabi dan rasul wajib menunaikan amanah yang dipetanggungjawab kepadanya sekalipun harus ditebus dengan jiwa raganya.Sifat amanah Rasulullah lengkap dan sempurna.Keluhuran budi pekertinya ialah penyumbang terbesar kepada penyebaran risalah Allah. Baginda telah menyampaikan risalah  itu kepada manusia dengan sebaik-baiknya.Bangsa Arab telah mengenali sifat amanah Rasulullah SAW sebelum baginda diutuskan menjadi Rasul. Mereka menggelari Rasulullah dengan gelaan al-Amin, iaitu orang yang dipercayai.
3.Tabligh- Tabligh ertinya menyampaikan. Para rasul wajib menyampaikan wahyu daripada Allah kepada seluruh manusia tanpa disembunyikan walau satu pun. Mereka tetap menyampaikan walaupun menghadapi kezaliman dan kekejaman manusia.Demikian juga Nabi Muhammad SAW yang diperintah supaya menyampaikan perintah Allah kepada umat manusia.Baginda sentiasa menyampaikan segala ajaran, peringatan, hukum-hakam, berita gembiran dan berita buruk kepada seluruh umatnya. Ekorannya Islam tersebar luas ke setiap pelosok benua dengan cepat.
4.Fatanah
Fatanah ertinya kecerdikan, kepintaran atau kebijaksanaan. Setiap Rasul yang dipilih oleh Allah SWT wajib bersifat fatonah, malah secara lua biasa dalam memahami ajaan Allah SWT. Rasulullah menyampaikan ajaran Allah dengan menghadapi perbahasan dan perbincangan yang sengit dengan musuh-musuh baginda. Hal ini terbukti bahawa baginda seorang yang bijak dan dapa memberi hujjah yang kuat serta tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya. Sehinggalah kata-kata baginda ,hadis menjadi hujah yang kuat dalam setiap keputusan.[2]           
Teras kepimpinan Nabi Muhammad SAW ialah wahyu Allah SWT
Ciri-ciri kepemimpinan Nabi Muhammad SAW SAW
1.ADIL
Menyelesaikan pertikaian mengenai peletakan Hajar al-Aswad.
. Membela atau menghapuskan diskriminasi terhadap kaum wanita termasuk menghapuskan amalan membunuh bayi perempuan.
. Memperkenalkan sistem ekonomi yang menghapuskan segala bentuk penindasan.
. Menghapuskan semangat  asabiyyah dan amalan diskriminasi antara kabilah.
2.BERANI
Mengetuai setiap kali ekspedisi peperangan.Umpamanya, dalam Perang Badar, Perang Uhud,
Perang Khandak dan Perang Tabuk.
Menanamkan semangat jihad dalam kalangan pejuang Islam meskipun mempunyai bilangan tentera yang sedikit berbanding dengan musuh. Contohnya, ketika Perang Badar dan Perang Khandak.
3.BIJAK
Merencana strategi peperangan bagi mengatasi ancaman musuh. Contohnya, menggunakan taktik menguasai tempat strategik dalam Perang Badar dan strategi bertahan dalam Perang Khandak.
4.BERPANDANGAN JAUH
Menerima syarat-syarat yang terkandung dalam Peranjian Hudaibiyah; bersetuju dengan menghantar semula orang-orang Makkah berhijrah tanpa kebenaran wali mereka. Tindakan tersebut merupakan strategi dakwah Nabi Muhammad s.a.w.
5.TEGAS.
Menjatuhkan hukuman yang sewajarnya terhadap kaum Yahudi yang mengkhianati Piagam Madinah. Bani Qainuqa' diusir kerana memperlekehkan kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar dan bertindak menjatuhkan maruah seorang wanita Islam.
Bani Nadhir diusir kerana merancang membunuh Nabi Muhammad s.a.w.Bani Quraizah diusir disebabkan bersekongkol dengan tentera Ahzab.
6.MAHIR BERPOLITIK-BIJAK BERSIASAH
Merencana proses Hijrah; dimulai dengan memeterai Perjanjian Aqabah I dan II bagi menanam "benih" Islam di Madinah agar memudahkan baginda berhijrah kelak.
Menggubal Piagam Madinah; bersumberkan wahyu dan norma-norma masyarakat yang tidak bertentangan dengan syarak. 47 fasal yang terkandung dalam Piagam Madinah dipersetujui oleh masyarakat Madinah tanpa mengira agama.
Mengasaskan hubungan diplomatik dengan negara lain, bukan sahaja dapat mengukuhkan negara Islam bahkan melalui penghantaran utusan ia dapat menyebarkan agama Islam dengan lebih luas sama ada dalam atau luar Semenanjung Tanah Arab.
7.CEKAL/GIGIH/SABAR
Meskipun menghadapi cabaran hebat daripada kaum Quraisy di Makkah, baginda tetap tegar
mempertahankan akidah Islam walaupun menghadapi cabaran serta halangan sama ada dalam bentuk fizikal, psikologi mahupun kewangan.
. Tidak berputus asa walaupun misi dakwah di Ta'if menemui kebuntuan. Kesabaran baginda
meninggalkan impak positif apabila wakil kaum Aus dan Khazraj menemui baginda untuk menyatakan pengislaman, memeterai Perjanjian Aqabah dan menjemput baginda berhijrah ke Madinah.
8.TOLERANSI.
. Sedia memaafkan golongan Quraisy yang selama ini mengkhianati perjuangan Islam. Buktinya, tawanan Perang Badar tidak dijatuhkan hukuman bunuh,sebaliknya baginda menetapkan supaya mengajar kanak-kanak Islam membaca dan menulis sehingga pandai sebagai syarat untuk menebus diri.
. Memperkenalkan etika peperangan; bukan sekadar menggambarkan sikap tentera Islam yang berdisiplin malah menolak tanggapan, bahawa tentera Islam berperang berdasarkan dendam dan mementingkan habuan dunia.
. Mengamalkan musyawarah dalam pemerintahan; mengelak rasa tidak puas hati dalam kalangan warga Madinah.
KESIMPULAN
Ciri-ciri kepemimpinan yang ada tersebutlah yang menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w dianggap oleh sejarawan Islam sebagai negarawan yang unggul. Fakta ini diserlahkan dengan kejayaan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin politik, pemimpin masyarakat, perancang ekonomi, panglima tentera, ketua hakim yang adil, role model dalam pembentukan institusi keluarga Islam, pemimpin agama dan penaung kegiatan keilmuan.[3]


[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),35.
[2] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,47.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini,40.

Bukti Nabi Muhammad s.a.w sebagai Seorang Negarawan

Oleh –AHMAD BIN YAAKOB 
Pemimpin Masyarakat
      Sejak sebelum Hijrah lagi, Nabi Muhammad s.a.w sudah terkenal sebagai seorang yang amanah, al-Amin lagi adil dalam kalangan masyarakat Makkah, iaitu sejak berlakunya peristiwa peletakan Hajar al-Aswad ke tempat asalnya berikutan banjir besar yang melanda Kaabah.
      Nabi Muhammad s.a.w menghormati agama-agama lain dan memberikan kebebasan beragama kepada mereka serta menghormati adat resam dan budaya kaum bukan Islam, termasuk kaumYahudi.
       Nabi Muhammad s.a.w turut memberikan kepercayaan kepada ketua-ketua kaum bagi mengurus hal-hal penting yang bersabit dengan kaum dan sekutu mereka.
      Menerusi prinsip keadilan dan toleransi serta ikatan akidah menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w berjaya, bukan sahaja menyatukan umat Islam tetapi seluruh penduduk Madinah yang berbilang agama dan keturunan.

      Baginda berjaya menyatukan semula masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan.Baginda menyatukan masyarakat Islam melalui persaudaraan antara golongan Muhajirin dengan Ansar.Baginda berjaya mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah seperti yang terkandung dalam Piagam Madinah. Selain itu, baginda juga berjaya menghapuskan batas-batas pebezaan kaum melalui konsep ummah.[1]

Pemimpin Politik
Kepimpinan baginda mula terserlah sejak di Makkah lagi apabila berjaya menyelesaikan pemindahan Hajar al-Aswad.Baginda telah berjaya menunjukkan sifat-sifat kepimpinan politik menerusi Pejanjian Aqabah I dan II. Kaum Khazraj dan Aus dari Madinah berasa lega dengan jaminan yang diberikan oleh baginda bagi menyelesaikan masalah politik di Madinah, khususnya tentang perbalahan mereka dengan kaum Yahudi dan perpecahan antara sesama Arab (Aus dan Khazraj).

      Baginda tidak menunjukkan sikap permusuhan terhadap kaum Yahudi, tetapi baginda sentiasa menganjurkan perundingan dengan mereka. Setelah perundingan gagal, barulah baginda bertindak mengikut lunas-lunas dan undang-undang yang termeterai dalam Piagam Madinah.
      Baginda juga boleh dianggap sebagai diplomat yang berjaya kerana inisiatif baginda menghantar perwakilan ke luar negara seperti Habsyah dan Mesir. Baginda  juga memperkenalkan Sistem Syura atau musyawarah untuk dilaksanakan dalam semua bidang politik dan ekonomi.

Perancang Ekonomi
Pemilihan kota Madinah sebagai pusat dakwah dan pentadbiran politik Islam yang baharu didorong oleh faktor ekonomi kerana kota Madinah terletak di pertengahan jalan Makkah-Syam. Dengan kedudukannya yang strategik, ini menyebabkan aktiviti ekonomi orang Islam semakin meluas.
      Nabi Muhammad s.a.w telah memperkenalkan dasar ekonomi baharu bagi menggantikan dasar ekonomi zaman jahiliah. Baginda menggalakkan orang Islam bekerja keras dan bergiat dalam bidang perniagaan dan pertanian.Baginda berusaha membangunkan ekonomi orang Islam yang tergadai kepada kaum Yahudi.

Pemimpin Tentera
Baginda menunjukkan mutu kepimpinan yang tinggi dalam bidang ketenteraan melalui ekspedisi ketenteraan yang disertai. Dalam bidang ketenteraan, asas kepimpinan baginda ialah akidah, syariat dan akhlak yang mulia. Baginda bertindak mengikut peraturan yang telah disyariatkan oleh Allah SWT.

       Baginda turut mengamalkan sifat amanah dan tidak mudah lemah semangat dalam menghadapi musuh.Baginda juga sentiasa adil kepada semua orang tidak kira kawan atau pihak musuh. Contohnya, baginda membahagikan harta rampasan perang secara adil kepada tentera yang menyertai peperangan dan tidak melakukan pencerobohan terhadap musuh
yang sudah lari dari medan perang atau kaum-kaum yang lemah.

      Baginda juga dianggap sebagai seorang panglima tentera dan ahli strategi dalam ketenteraan. Baginda berjaya merangka taktik dan strategi ketenteraan yang membawa kejayaan kepada pasukan tentera Islam.
Ketua Hakim
Baginda menjalankan kewajipan sebagai ketua hakim yang adil dan saksama.
      Baginda menunjukkan beberapa etika yang perlu dipatuhi oleh mana-mana hakim. Contohnya, keadilan yang dipaparkan oleh baginda ialah ketegasan tentang hukum memotong tangan terhadap pencuri, walaupun pencuri itu ialah Fatimah r.a. anak yang paling
disayangi oleh baginda.Tindakan tegas baginda jelas apabila kaum Yahudi diusir dari bumi Madinah kerana pengkhinatan yang dilakukan oleh mereka.[2]
Nabi dan Rasul
      Selain sebagai seorang negarawan, Nabi Muhammad s.a.w juga merupakan seorang Nabi dan Rasul.Antara bukti yang menunjukkan baginda sebagai seorang Nabi dan Rasul ialah:
(a) menerusi kenyataan dalam kitab-kitab suci seperti Taurat,Injil, Zabur dan al-Quran.
(b) sifat-sifat kenabian dan kerasulan yang terdapat pada diri baginda seperti bercakap benar (siddiq), amanah,menyampaikan wahyu (tabligh), bijaksana (fatanah), berakhlak, lemah- lembut, berbudi pekerti, penyabar, toleran, dan berdedikasi.Mukjizat yang dianugerahkan  kepada Baginda. Contoh mukjizat teragung ialah al-Quran.[3]




[1] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 ,39.
[2] Ibid,40.
[3] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kedua, 44..

PEPERANGAN ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW

Oleh-ahmad bin yaakob
Peperangan
Sesungguhnya Islam tidak menggalakkan peperangan, namun setelah turunnya wahyu yang membenarkan umat Islam mengangkat senjata, Nabi Muhammad s.a.w telah membentuk angkatan tentera Islam yang dianggotai oleh golongan Muhajirin dan Ansar. Matlamat penubuhan angkatan tentera hanyalah untuk mempertahankan negara, maruah serta kesucian agama daripada dinodai gleh musuh khususnya golongan musyrikin Quraisy, Yahudi, serta Rom dan Parsi.

Pada, zaman Rasulullah s.a.w peperangan dalam lslam dapat dibahagikan kepada dua, iaitu sariyah merujuk kepada tindakan menyekat rombongan para pedagang ataupun musuh-musuh Islam serta ghazwah yang melibatkan peperangan secara besar-besaran dan disertai olen Nabi Muhammad s.a.w sendiri.

Terdapat banyak sariyah dilancarkan begitu juga peperangan yang tercetus seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perang Ahzab dan sebagainya yang ada memberikan kemenangan dan ada yang meninggalkan kesan yang mendalam ke atas masyarakat dan negara Islam.[1]
sebab dan tujuan peperangan mengikut Islam.  
1.      Mempertahankan diri dan hak
2.      Mempertahankan kemuliaan agama
3.      Mempertahankan kedaulaan negara
4.      Menegakkan keamanan dan keadilan
5.      Menghapuskan golongan riddah
6.      Penyebaran dakwah.[2]






[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini(Shah Alam:Oxford Fajar,2014),78.
[2 “Peperangan”, ”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),31.

Konsep Ummah

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Menurut Kamus Dewan, ummah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud umat.[1]Ummah bererti masyarakat atau umat manusia.Dalam konteks Islam umat ialah pemeluk, penganut, pengamal dan pengikut agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.Inbu Hisham dalam As-Sirah menyatakan bahawa umat (ummah) Islam yang pertama ialah As-Sabiqun al-Awwalun,[2] iaitu golongan pertama yang memeluk Islam di Mekah. Dalam konteks ummah pada zaman Nabi Muhammad SAW,masyarakat yang mematuhi Piagam Madinah termasuk umat Islam dan bukan Islam seperti kaum Yahudi di Madinah.[3]
       Penyebaran Islam di Madinah lebih mudah berbanding di Makkah kerana keadaan dan suasana yang berbeza antara kedua-dua kota tersebut.Sebelum ketibaan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, Islam telah tersebar di sana menerusi usaha mereka yang menyertai Perjanjian Aqabah I dan Aqabah II, serta 12 orang naqib yang dilantik oleh baginda.
       Usaha ke arah mendaulatkan agama Islam di Madinah bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak rintangan telah dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.Umat Islam berupaya untuk mendirikan sebuah masjid di tengah-tengah kota Madinah dan dapat melakukan amal ibadat secara terbuka.
       Nabi Muhammad SAW telah menyatupadukan umat Islam Madinah dan membentuk negara Islam.Selepas Hijrah, masyarakat Islam terbahagi kepada dua golongan, iaitu Muhajirin dan Ansar. Kedua-dua golongan ini telah dipersaudarakan bagi tujuan membentuk umat Islam yang kuat di kota Madinah.[4]
Golongon Muhajirin
Golongan Muhajirin merupakan pengikut Nabi Muhammad SAW yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.Istilah Muhajirin berasal daripada perkataan hijrah, penghijrahan; orang yang berhijrah dipanggil al-Muhajir (secara jamak: al-Muhajirin).
       Golongan Muhajirin bukan orang pelarian; seperti mana anggapan sesetengah orientalis, tetapi mereka berpindah/berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah kerana mematuhi suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya derni masa depan Islam yang lebih cerah.Di Madinah, golongan Muhajirin mendapat pertolongan dari segi fizikal dan moral daripada golongan Ansar.
       Golongan Muhajirin diberitakan dalam al-Quran (surah al-Baqarah: 215, surah al-Imran: 191) mendapat rahmat dan pahala yang amat besar daripada Allah SWT kerana pengorbanan mereka berhijrah.Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar untuk menjadi umat yang mulia dan kuat.[5]Golongan Muhajirin dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan paling banyak berjasa dalam menegakkan ajaran tauhid.[6]
Golongan Ansar
Golongan Ansar ialah penduduk Madinah, khususnya daripada kaum Aus dan Khazraj yang telah memeluk agama Islam.Mereka membantu Nabi Muhammad SAW sebelum dan selepas
berhijrah ke Madinah (622M). Golongan Ansar telah menjemput Nabi SAW dan para sahabat datang ke Madinah.Golongan Ansar bersama Muhajirin telah menegakkan negara Islam Madinah.Kaum  Ansar banyak berkorban, sama ada  harta benda, tenaga dan jiwa raga untuk mengembangkan agama Islam.Mereka dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan yang paling banyak berjasa dalam menegeakkan ajaran tauhid.[7]

[1] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad Wan Sulong, Teks Pra-U STPM Sejarah Islam,(Petaling Jaya : Sasbadi, 2014),12.
[2] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),32.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),21.
[4] Ibid,21.
[5] Mahayudin Yahaya, Tamadun Islam, (Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti,1998),53.
[6] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,22.
[7] Mahayudin Yahaya, Tamadun Islam,53.

JIHAD ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pengertian Jihad
Kamus Dewan mentakrifkan jihad ialah suatu peperangan yang suci melawan orang-orang kafir kerana mempertahankan agama Islam atau perang sabil dan penentangan atau perlawanan terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan agama Islam.[1]
Dari segi bahasa jihad bererti  kesulitan  atau beban atau kesungguhan dan keupayaan terakhir.Perkataan al-Jahdu dan al-Jihad  menurut  pengertian  bahasa Arab adalah  pengerahan  segenap tenaga  manusia untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan atau menolak sesuatu yang dibenci.

Menurut  istilah  syarak pula, makna jihad ialah perang  dan membantu  semua persiapan perang. Setiap mazhab mempunyai  pandangan  yang berbeza  tentang jihad.Misalnya, Mazhab Hanafi mentakrifkan jihad  sebagai mengajak orang kafir ke dalam pelukan Din al- Haq dan memerangi  mereka jika mereka menolak. Menurut pandangan Mazhab Hanafi  pula,jihad adalah mengerahkan  segala  kemampuan  dan tenaga dengan melakukan  perkara perang fi sabilillah baik dengan diri, harta,mahupun  lidah.

Sementara Mazhab Syafie pula menjelaskan jihad sebagai berperang  dijalan Allah SWT dan mengerahkan  segala  kemampuan untuk memerangi  orang-orang  kafir. Oleh itu, dengan erti kata yang luas, jihad bolehlah dimaksudkan sebagai berjuang menegakkan  kebenaran  melalui cara yang diredai-Nya, diistilahkan juga sebagai fi sabililIah.[2]
PERANAN JIHAD ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW
a) Jihad nyawa dan tenaga
Jihad nyawa  dan tenaga merupakan jihad yang paling utama, iaitu melalui  pengorbanan  jiwa dan raga.Lazimnya  jihad  sebegini  ialah jihad di medan perang  dan mereka yang terkorban  diistilahkan  sebagai  syahid.Contohnya,  Saidina  Hamzah telah gugur atau syahid  di medan Perang Uhud.
b) Jihad mempertahankan  kebenaran
Umat Islam juga digalakkan menentang kemungkaran  dan kezaliman  dalam  sesebuah pemerintahan.Oleh  sebab  itu, segala  kebatilan yang terdapat dalam masyarakat mestilah  ditentang  sama ada melalui perbuatan, perkataan ataupun dengan  hati.Terdapat  dalil daripada al-Quran  yang menggesa  umat manusia melakukan  kebaikan,  iaitu surah al-Baqarah  ayat l12,"Tidak,  barang siapa yang menyerahkan  diri sepenuhnya kepada jalan Allah dan dia berbuat baik akan mendapat pahala di sisi Tuhannya  dan tidak  ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati'.
c Mempertahankan kesucian agama daripada tindakan musuh Isam
Peranan jihad juga untuk mempertahankan kesucian agama Islam daripada tindakan musuh. Contohnya golongan al-Riddah. Golongan ini perlu diperangi untuk mempertahankan kedudukan Islam.Ada yang dihapuskan dan ada yang kembali ke jalan Allah. SMT.[4]
d) Jihad menentang  golongan munafik
Jihad dalam  kategori ini bermaksud menentang  golongan  yang berselindung  di sebalik  nama Islam.Terdapat banyak ayat al-Quran yang membicarakan berkenaan golongan  munafik  ini. Misalnya,  dalam  surah ol-Munafiqun  yang menjadi panduan kepada umat Islam sewaktu berhadapan dengan golongan  ini.Antara dalil al-Quran yang  terdapat  surah at-Taubah ayat73 yang menyeru kepadajihad ke atas orang kafir dan munafik ialah"WahaiNabi, berjihadlah  menentang orang-orang  kafir dan orang-orang munafik,  dan bertindak keras terhadap  mereka".
e)Melambangkan pengabdian diri kepada Allah SWT.
Jihad melambangkan pengabdian diri terhadap Allah SWT. Penglibatan dalam peperangan  secara tidak langsung menggambarkan bahawa individu tersebut berusaha memenuhi tuntutan syariat Islam. Apabila seorang individu mengetepikan kesenangan dan berjuang dengan bersungguh-sungguh , maka peranan jihad telah memperkasakan ketahanan dan pertahanan tentera Islam.
f)Ganjaran syurga.
Kepentingan jihad juga ialah ganjaran dan jaminan syurga kepada orang yang syahid dalam peperangan. Memang dinyatakan dalam al-Quran bahawa orang yang syahid kerana jihad fisabillillah menentang orang kafir demi menegakkan syiar Islam dijanjikan balasan syurga kepada mereka. Perkara ini menjadi peluang dan pendorong penguat semangat tentera Islam bagi melaksanakan jihad.
g)Mempertahan Islam maruah dan negara.
Konsep jihad juga digunakan untuk mempertahankan maruah diri dan negara. Pada zaman Rasulullah SAW tentera Islam menghadapi golongan musyrikin Quraisy dalam beberapa siri peperangan. Dalam kebanyakan pertempuran, tentera Islam dapat mengalahkan musuh dengan berpegang kepada konsep jihad yang tinggi. .[5]


[1Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd, 2014), 124.
[2]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar.2014)  ,75.
[3]“Pertahanan dan Pembukaan Wilayah”,dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),29.
 [4]Skor A Dalam STPM Sejarah Islam Penggal 2 (940/2),(Petaling Jaya: Penerbitan Ilmu Bakti Sdn Bhd,2015), ,43
[5]Ibid.43

Sabtu, 19 Ogos 2017

Kisah Nabi pertama ialah Kisah Nabi Zulkifli.

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Nama sebenar Nabi Zulkifli ialah Basyar bin Ayub. Oleh kerana keyakinan dan telah menjalankan tanggungjawab yang disanggupinya, Allah telah mengangkatnya sebagai nabi dan dimasukkan dalam kalangan orang-orang yang sabar.[1]Nama Zulkifli bererti Saya sanggup berpunca daripada suatu peristiwa. Raja negeri tempat Nabi Zulkifli tinggal telah tua dan tidak berdaya lagi untuk memerintah. Raja tua itu ingin menyerahkan tanggungjawabnya memerintah negeri itu kepada sesiapa sahaja yang menyanggupi syarat-syaratnya, iaitu berpuasa pada waktu siang, beribadat pada waktu malam, memerintah dengan adil dan tidak marah-marah ketika menjalankan pemerintahan.[2]

      Raja tersebut mengadakan perhimpunan dan titahnya disambut oleh seorang pemuda bernama Bashar.Oleh yang demikian, Basyar yang telah digelar Zulkifli telah ditabalkan menjadi raja yang telah tua tadi. Setelah Zulkifli ditabalkan menjadi raja, maka baginda pun menyusun jadual-jadual pentadbirannya. Pada waktu siang, Nabi Zulkifli berpuasa dan pada waktu malam dia menjalankan pentadbirannya di samping beribadat. Ketika peperangan antara negerinya dengan orang-orang yang menderhaka kepada Allah, Zulkifli meminta rakyat negerinya  pergi berperang dan mendoakan keselamatan nyawa mereka dalam peperangan tersebut.[3]  



[1]Abdul Raof Dalip, Pengajaran dari Kisah Nabi,Progressive Publishing House Sdn. Bhd., Kuala Lumpur,2011, hlm.ii.
[2] Ibid,2.
[3] Ibid, 4.

Allah perintah berkiblatkan Kaabah



Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SYEIKH al-Maraghi berkata: Selepas Allah mendirikan segala hujah terhadap ahli kitab dinyatakan bahawa mereka amat mengetahui bahawa Muhammad s.a.w. merupakan Nabi yang sebenar dan mereka mengenalinya sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka.

Begitu juga ingkar mereka berkenaan dengan penukaran kiblat semata-mata kerana takbur dan penentangan. Ini kerana bila thabit kenabiannya adalah setiap apa yang dilakukannya, sesungguhnya ia adalah wahyu daripada Tuhannya. Disebut di sini bahawa setiap umat baginya kiblat yang dihadap. Dan wajib menyerahkan hal ini kepada arahan wahyu. Firman Allah s.w.t.:

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan. Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar). (al-Baqarah: 148-150)

Firman Allah, Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya. Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan tafsiran (huwa) iaitu Dia:

(i) Kembali kepada Allah. Yakni Allah yang memerintahkan mereka mengadap kepadanya iaitu kiblat.

(ii) Kembali kepada yang memerintahkannya dengan sendirinya.

(iii) Kembali kepada rumah Allah. Inilah pendapat Mujahid.

Seterusnya firman Allah, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, iaitu dengan bersegera. Qatadah berkata: Jangan kamu kalahkan atas kiblat kamu. Al-Qurtubi berkata: Iaitu berlumba-lumbalah apa yang Allah perintahkan kamu daripada mengadap Baitullah al-Haram sekalipun gesaan bersegera kepada seluruh amalan, ketaatan dengan umum tetapi dikehendaki dengan mengadap kiblat berdasarkan ayat-ayat seterusnya.

Makna bersegera dengan solat ialah pada awal waktunya, wallahu`alam. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w., sebagaimana riwayat Daraqutni daripada Ibn Umar: Sebaik-baik amalan ialah solat pada awal waktunya. Dan dalam hadis riwayat Ibn Mas’ud menyebut awal waktunya.

Begitu juga riwayat daripada Ibrahim bin Abd al-Malik, daripada Abi Mahzurah, daripada ayahnya, daripada datuknya, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Awal waktu merupakan keredhaan Allah, pertengahan waktu merupakan rahmat Allah dan akhir waktu merupakan keampunan Allah.

Ibn al-Arabi menambah; maka berkata Abu Bakar: Keredhaan Allah lebih suka kepada kami dari keampunannya kerana keredaan-Nya untuk orang yang baik dan muhsinin sedangkan keampunannya untuk orang yang cuai. Inilah yang dipilih oleh Imam Syafie.

Firman Allah, Kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan). Ibn Abbas menafsirkan dengan maksud hari ini pada hari kiamat.

Firman Allah, Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, iaitu Allah Maha Berkuasa dan tiada sesuatupun yang dapat menghalang.

Sayid Qutub berkata: Kemudian dikemukakan pula penjelasan bagi kali yang ketiga kerana sesuatu tujuan baru yang lain, iaitu untuk mematahkan hujah kaum Ahli Kitab dan hujah golongan yang lain dari mereka yang melihat kaum Muslimin mengadap ke arah kiblat kaum Yahudi lalu menyebabkan mereka percaya kepada kebenaran apa yang digembar-gemburkan oleh kaum Yahudi.

Ia adalah tentang kelebihan agama mereka yang mengatasi agama yang dibawa oleh Muhammad, dan tentang keunggulan kiblat mereka yang mengertikan keunggulan agama mereka atau (untuk mematahkan hujah) kaum musyrikin Arab yang menggunakan isu mengadap kiblat Bait al-Maqdis itu sebagai senjata untuk menghalang orang-orang Arab yang memandang suci kepada Bait al-Haram itu dan meliarkan mereka dari memeluk Islam yang menghendaki penganut-penganutnya mengadap kepada kiblat Bani Israel.

Benarlah firman Allah: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah). Ini merupakan ta’kid dan penguat bagi perintah mengadap Kaabah serta prihatin dengannya, kerana tempat berpaling merupakan kesukaran bagi jiwa dan diri mereka. Justeru dikuatkan perintah dengan melihat manusia prihatin dengannya untuk tenang.

Dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, yakni wajib mengadap kiblat walaupun dalam musafir. Sekalipun kita berada di mana sahaja di muka bumi ini.

Benarlah hadis riwayat Daraqutni, daripada Anas bin Malik katanya: Adalah Nabi s.a.w. apabila dalam musafir dan hendak melaksanakan solat ketika di atas tunggangan nescaya ia menghadap kiblat dan bertakbir kemudian solat di mana sekalipun dihadapkan selepas itu. Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Daud juga dan dengannya merupakan pendapat Imam Syafie, Ahmad dan Abu Thaur. Sedangkan dalam mazhab Imam Malik tidaklah melazimi dan wajib mengadap kiblat berdasarkan hadis Ibn Umar katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. solat sedangkan ia mengadap dari Mekah ke Madinah atas tunggangannya.

Supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Mujahid berkata: Mereka adalah golongan musyrikin arab dan hujah mereka adalah kenyataan mereka; kamu telah kembali ke arah kiblat kami

Dan sesungguhnya dijawab daripada ini dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Katakanlah bagi Allah lah yang mempunyai timur dan barat. Al-Syaukani berkata: Mereka adalah golongan Yahudi dan dikehendaki dengan orang yang zalim ialah yang ingkar di kalangan ahli kitab dan pendapat ini dipersetujui oleh al-Qurtubi.

Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada-Ku (semata-mata). Perasaan takut asalnya ialah ketenangan pada hati yang membangkitkan untuk menjauhkan segala larangan Allah sehingga boleh membawa kepada ringannya anggota badan untuk melaksanakan ketaatan. Al-Qurtubi berkata: Makna ayat ini ialah merasa hina bagi setiap makhluk selain Allah s.w.t. dan arahan untuk meraikan segala arahan Allah.

Dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar). Al-Zajjaj berkata: Supaya aku sempurnakan nikmat atas kamu dengan cara aku memperkenalkan kepadamu kiblatku dan penyempurnaan nikmat ialah hidayah dan petunjuk ke arah kiblat, dikatakan juga masuknya syurga. Sa`id bin Jubair berkata: Tidak sempurna mendapati nikmat Allah atas seseorang hamba sehingga dimasukkan ke dalam syurga.

Iktibar ayat:

Antara iktibar dan pengajaran yang di ambil ialah:

1. Kiblat merupakan perkara yang diserah kepada wahyu yang tidak boleh dibangkang berdasarkan logik akal.

2. Sifat muslim sejati ialah berlumba-lumba dalam melaksanakan pelbagai jenis ketaatan.

3. Takut yang sebaik-baiknya ialah kepada Allah yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Natijah daripada takut kepada-Nya akan ditambah dan disempurnakan nikmat dan hidayah.

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah pensyarah di Kolej Uniti, Seremban, Negeri Sembilan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4qCT9GoEa
© Utusan Melayu (M) Bhd