Ahad, 25 November 2018

Ummu Sulaim menanti keislaman Abu Talhah


ARKIB : 26/05/2009
UMMU Sulaim ialah ibu kepada Anas bin Malik, salah seorang sahabat dan pembantu peribadi Nabi Muhammad SAW.

Ummu Sulaim menyerahkan Anas bin Malik kepada Nabi Muhammad ketika berusia 20 tahun untuk melayan beliau. Dia memeluk agama Islam ketika Nabi Muhammad masih berada di Mekah.

Apabila Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, Ummu Sulaim bersama golongan Muslimin dan Muslimat Madinah menyatakan keimanan mereka di hadapan nabi Muhammad.

Suaminya, Malik bin Nadir rasa tercabar dan marah apabila isterinya sudah memeluk agama Islam. Dia tidak percaya dengan agama Islam dan Nabi Muhammad.

"Adakah kamu sudah menjadi gila dengan mengakui agama Islam sebagai agama kamu,!" tengking suaminya dengan nada marah.

"Saya tidak gila tapi beriman pada Allah dan rasulnya," jawab Ummu Sulaim dengan tegas.

Kemudian Ummu Sulaim mengajar anaknya Anas mengucap dua kalimah syahadah. Anas bin Malik menurut perintah ibunya lalu mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar. Malik menjadi berang dengan tindakan Ummu Sulaim itu dan memarahinya.

"Jangan kamu rosakkan anak saya!," jerit Malik dengan nada geram.

"Saya tidak merosakkan anak kamu," balas Ummu Sulaim dengan tenang.

Malik bin Nadir keluar dari rumahnya dengan perasaan tidak puas hati. Dia tidak faham mengapa isterinya sanggup meninggalkan agama nenek moyangnya yang menyembah berhala lalu menerima agama Islam.

Hatinya panas dan geram dengan apa yang sudah berlaku di rumahnya tadi. Akhirnya dia membuat satu keputusan drastik setelah berfikir panjang.

Tak tahan

"Saya tak tahan dengan sikap isteri saya. Saya akan tinggalkan mereka berdua di Madinah dan berhijrah ke Syam". Malik bin Nadir memulakan perjalanannya ke Syam.

Apabila tiba di Syam, Malik terserempak dengan musuhnya. Musuhnya yang ingin membalas dendam telah menikamnya sehingga mati. Berita kematian Malik akhirnya tiba di telinga Ummu Sulaim dan dia berjanji tidak akan bernikah selagi Anas tidak meningkat dewasa.

Apabila Anas memasuki alam dewasa, Abu Talhah al-Anshar datang melamarnya. Namun lamaran Abu Talhah ditolak oleh Ummu Sulaim kerana dia masih belum memeluk agama Islam.

Walaupun lamaran Abu Talhah ditolak, dia tidak berputus asa. Dia melamar Ummu Sulaim buat kali kedua. Ummu Sulaim menolak lamaran Abu Talhah sekali lagi kerana hatinya masih belum terbuka memeluk agama Islam.

"Dengar sini Abu Talhah, adakah kamu tidak sedar bahawa apa yang kamu sembah itu adalah ukiran kayu yang tidak dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada kamu?

"Apabila kamu menyalakan api di sekelilingnya, sudah pasti mereka hangus terbakar. Tidakkah kamu malu untuk menyembah semua itu? Jika kamu sedia memeluk agama Islam, maka saya bersedia untuk bernikah dengan kamu. Saya tak mengharap mas kahwin selain kamu menganut Islam," jelas Ummu Sulaim.

Setiap kali Abu Talhah melamar Ummu Sulaim, jawapannya sentiasa sama iaitu Abu Talhah harus memeluk agama Islam sebelum bernikah dengannya.

Lama kelamaan jawapan Ummu Sulaim mempengaruhi fikiran Abu Talhah sehingga dia memeluk agama Islam. Ummu Sulaim gembira mendengar berita itu lalu bersetuju untuk menikahinya.

Ummu Sulaim tidak meminta mas kahwin melainkan Abu Talhah memeluk agama Islam. Ummu Sulaim memperoleh mas kahwin yang lebih mulia dari mana-mana wanita pada ketika itu. Mas kahwinnya adalah Islam.

Ummu Sulaim turut serta dalam Perang Uhud bersama Aishah binti Abu Bakar. Mereka berdua mengangkut air di atas bahu lalu membahagikan kepada pasukan tentera Islam yang bertempur di medan peperangan.

Setiap kali kehabisan air, Ummu Sulaim dan Aishah mengangkut air kembali untuk diberikan kepada tentera Islam yang kehausan.

Ketika Perang Hunain meletus, kaum wanita juga bergabung dengan pasukan tentera Islam untuk memerangi pihak musuh.

Nusaibah membawa pedang pada tangannya dan Ummu Sulaim membawa pisau belati yang diikatkan pada pinggangnya. Hatinya bergelora berperang walaupun pada ketika itu dia mengandungkan Abdullah bin Abu Talhah.

"Saya tak berani nak menunggang unta dalam keadaan sebegini. Seandainya saya terjatuh, ia bahaya pada kandungan saya," bisik hati kecil Ummu Sulaim yang merapatkan mukanya ke badan unta. Tangan dimasukkan ke jalinan bulu yang diikatkan di hidung unta bersama tali kendali.

"Ya Rasulullah, Ummu Sulaim datang membawa pisau belati di pinggangnya," ujar Abu Talhah kepada Nabi Muhammad ketika Ummu Sulaim menghampiri mereka.

"Untuk apa pisau belati itu," tanya Nabi Muhammad dengan nada hairan.

"Jika ada pihak musuh yang mendekati diri saya, maka saya akan robekkan perut mereka dengan pisau belati ini.

"Saya akan bunuh orang-orang Islam yang cuba melarikan diri daripada melindungi diri mu Rasulullah sebagaimana kamu membunuh orang-orang yang menentang kamu kerana mereka hanya layak untuk dibunuh," jawab Ummu Sulaim lalu memegang pisau belatinya.

"Sesungguhnya Allah memberikan kecukupan dan kebaikan, wahai Ummu Sulaim," balas Rasulullah sambil tersenyum mendengar jawapan Ummu Sulaim itu.

Begitulah kisah seorang wanita yang menyerahkan anaknya untuk dijadikan pelayan kepada Nabi Muhammad. Dia tidak gentar atau takut dengan suaminya yang memarahinya memeluk agama Islam.

Dia hanya berkahwin dengan Abu Talhah setelah memeluk agama Islam. Mas kahwinnya adalah agama Islam. Walaupun dirinya sedang mengandung, Ummu Sulaim tetap menyertai Perang Hunain bagi menegakkan agama Islam.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5XvQJDxPg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kisah Rasulullah bersemuka dengan Siti Khadijah


ARKIB : 25/05/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

SyRIA pernah dikunjungi oleh Nabi Muhammad semasa mengetuai kafilah perdagangan kepunyaan Siti Khadijah. - Gambar hiasan

Rasullullah SAW dikatakan hanya menerima beberapa qirat (satu qirat bersamaan dengan 1/24 dinar) sebagai upah untuk mengembala kambing milik penduduk Mekah.

Upah tersebut mungkin jauh dari memadai memandangkan kemampuan bapa saudara baginda Abu Talib yang terhad untuk menyara keluarganya sendiri dan Nabi Muhammad yang dalam jagaan beliau itu.

Sehinggalah pada suatu hari, Abu Talib berkata kepada anak saudaranya itu: "Khadijah Putri Khuwailid termasuk orang kaya di kalangan Quraisy. Kegiatan perdagangannya sampai ke Mesir dan Ethiopia.

"Beliau kini sedang mencari seorang yang jujur dan amanah untuk melaksanakan usaha dagangnya itu, iaitu membawa barang dagangannya dalam satu kafilah Quraisy untuk diniagakan di Syam (Syria).

"Wahai Muhammad, alangkah bagusnya jika kau melamar pekerjaan ini dari wanita itu?"

Kemungkinan atas rasa segan Nabi Muhammad tidak segera melamar pekerjaan itu walaupun baginda sangat bersetuju memenuhi permintaan bapa saudaranya.

Ini kerana baginda tidak pernah berkenalan dengan Siti Khadijah sebelum ini dan baginya adalah tidak salah supaya wakil pihak wanita itu untuk menemuinya.

Apabila permintaan ini sampai kepada pengetahuan Siti Khadijah, dengan segera wanita ini telah menghantar seorang wakil menemui Rasulullah dan menyampaikan pesanan yang berbunyi: "Saya begitu menghormati tuan atas kelurusan, kejujuran dan keunggulan akhlak peribadi yang tuan miliki.

"Oleh itu, jika barang dagangan saya dalam urusan tuan maka saya akan memberikan upah dua kali ganda banyak berbeza dari yang biasa saya beri kepada orang lain.

"Di samping saya akan memberi kepada tuan dua budak suruhan yang akan membantu dan menuruti apa juga arahan yang tuan berikan kepada mereka," pesan Khadijah.

Sebagaimana biasa, Nabi Muhammad akan merujuk kepada bapa saudara bagi mendapatkan pendapat dan nasihat lalu Abu Talib berkata: "Tawaran ini merupakan sumber nafkah yang Allah SWT limpahkan kepadamu wahai Muhammad, terimalah dan laksanakanlah amanah ini dengan jujur dan amanah. Semoga Allah berkati perjalanan dan urusanmu."

Lalu kepada wakil itu, Nabi Muhammad menyatakan persetujuan menerima tawaran dari Siti Khadijah dan tanpa membuang masa baginda bergegas untuk membantu wanita itu.

Baginda mengetuai sebuah kafilah barang-barang dagangan milik Siti Khadijah untuk dibawa berdagang ke negeri Syam. Bersama baginda dua orang budak suruhan seperti yang dijanjikan oleh wanita itu.

Pemergian kali ini merupakan satu lagi usaha baru yang dilakukan oleh Rasulullah. Sebelum ini baginda terlibat dalam pelbagai kegiatan termasuk mengembala kambing yang baginda lakukan sejak dalam jagaan ibu susuannya, Halimah Saadiah sehinggalah terlibat dalam peperangan dan sebagainya.

Baginda tidak sekadar membawa dagangan milik Siti Khadijah supaya selamat sepanjang perjalanan ke Syria untuk diniagakan, tetapi baginda juga perlu niagakan barang dagangan itu seperti yang diamanahkan oleh wanita bangsawan itu.

Ini bererti baginda sanggup menyahut apa juga cabaran lebih-lebih lagi melibatkan perkara yang baru atau yang tidak pernah ditempuh oleh baginda sebelum ini.

Hasilnya, sejurus baginda selamat tiba di Syria, diringkaskan seluruh anggota kafilah yang mengikuti rombongan yang diketuai oleh baginda itu akhirnya pulang semula ke Mekah dengan hasil perniagaan yang sangat menguntungkan!

Namun keuntungan yang diperoleh oleh baginda sendiri adalah lebih menguntungkan berbanding saudagar-saudagar yang mengikuti rombongan baginda itu.

Peribadi yang menarik

Disebabkan ia merupakan pengalaman pertama baginda berniaga dan juga membawa barang dagangan orang lain, tentulah ia suatu keadaan yang menyukarkan kepada baginda.

Namun ternyata cabaran itu berjaya disahut dan ini menambahkan lagi kematangan dan kemahiran kepada baginda.

Baginda kemudiannya bersama ahli rombongan yang lain kembali semula pulang ke Kota Mekah dalam satu perjalanan yang dipelihara Allah, selamat dari sebarang mara bahaya.

Semasa kafilah itu berada tidak jauh dari Mekah, budak suruhan yang bernama Maisarah menyarankan kepada Nabi Muhammad supaya baginda memasuki Kota Mekah lebih dahulu dari mereka.

"Alangkah baiknya jika tuan memasuki Mekah mendahului kami dan segera khabarkan kepada Khadijah mengenai perdagangan dan keuntungan besar yang kita perolehi dari Syam ini.

"Tentu beliau gembira dan tuan sendiri akan sentiasa menjadi orang kepercayaan Khadijah setiap kali untuk berniaga jauh dari Kota Mekah, tuan juga yang mendapat untung," kata Maisarah.

Baginda tidak bermasalah untuk menerima saranan Maisarah itu. Dengan segera baginda berkejar ke Mekah semata-mata untuk menemui Siti Khadijah.

Di Kota Mekah, Siti Khadijah berlari turun dari kamarnya apabila mendapati seorang pemuda tampan yang beliau kenali datang hendak menemui beliau dengan hati penuh berdebar.

Beliau segera bertanyakan kepada pemuda tersebut akan berita yang hendak disampaikan kepadanya.

Walaupun ini merupakan kali pertama baginda bertemu Khadijah secara bersemuka, namun baginda tidak mempunyai masalah berkongsi berita-berita gembira mengenai barang dagangan milik Khadijah yang laris dalam perniagaan di Syam.

Tidak lama kemudian Maisarah pun tiba dan terus menyertai pertemuan antara Khadijah dan Nabi Muhammad itu dan tanpa sabar-sabar beliau pun bercerita kepada Khadijah.

Maisarah menceritakan kepada wanita itu pengalaman sepanjang beliau menjadi budak suruhan Nabi Muhammad, termasuk apa yang berlaku dan dilihat sepanjang perjalanan dagangan itu.

Khadijah diberitahu mengenai Rasulullah mempunyai peribadi yang menarik, akhlak yang mulia, fikiran yang tajam, tutur kata yang benar, sangat amanah dan bijak dalam berurusan dengan para peniaga dan pelanggan-pelanggan.

Oleh kerana baginda hanya menonjolkan yang terbaik, termasuk tidak pernah meninggikan suara dan berhemah tinggi menyebabkan ramai yang menyukai dan gemar berurusan dengannya.

Di masa lain, Maisarah juga menceritakan kepada wanita ternama ini bagaimana Rasulullah juga pernah berselisih faham dengan seorang pedagang yang lain yang hendak bersumpah demi berhala Lat dan Uzza.

Tetapi Nabi Muhammad menjawab: "Saya menganggap Lat dan Uzza yang tuan sembah itu sebagai benda-benda yang paling buruk dan nista di muka bumi ini!"

"Ini menyebabkan pedagang itu terdiam dan tidak lagi hendak bertelagah dengan Muhammad," kata Maisarah.

Maisarah juga bercerita mengenai pengalaman mereka ketika berhenti rehat di Busra.

Ia adalah kisah yang mempunyai persamaan seperti yang berlaku ketika baginda mengikuti rombongan dagangan bapa saudaranya, Abu Talib dahulu.

Tetapi diceritakan kali ini, di Busra iaitu ketika al Amin (gelaran kepada Nabi) duduk berehat di bawah sepohon pokok dan tanpa disedari perlakuan baginda diperhatikan oleh seorang pendita atau rahib Nasrani yang keluar dari biaranya.

Rahib itu kemudiannya bertanyakan kepada Maisarah sendiri mengenai Nabi Muhammad yang sedang berehat itu.

Lalu Rahib itu berkata: "Pemuda yang sedang duduk di bawah naungan pohon itu adalah Nabi, yang mengenainya telah saya banyak baca khabar gembira di dalam kitab Talmud (Taurat) dan Injil".

Segala kisah yang diceritakan oleh Maisarah ini benar-benar menjadikan Khadijah seperti dikuasai oleh kuasa magis atau terpukau. Khadijah benar-benar amat tertarik kepada Nabi Muhammad.

Sehinggakan Khadijah meminta supaya Maisarah berhenti dari menceritakan mengenai Muhammad.

"Maisarah, Maisarah cukuplah, cukuplah!

"Engkau telah melipatgandakan perhatian saya terhadap Muhammad.

"Sekarang saya bebaskan engkau dan isterimu dari menjadi hamba saya lagi. Untuk itu juga saya hadiahkan sebanyak 200 dirham, dua ekor kuda dan sepasang baju yang mahal," kata Khadijah.

Maisarah dan isterinya bebas gara-gara kisah Nabi Muhammad! Siti Khadijah tidak lama kemudian didatangi oleh satu mimpi yang aneh. Ikuti kisah selanjutnya mengenai mimpi itu pada siri akan datang!
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5XvOXeIAo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ummu Hakim mohon pengampunan nabi


ARKIB : 19/05/2009
UMMU Hakim lahir dalam keluarga bangsawan Quraisy yang disegani pada ketika itu. Ayahnya adalah Al-Harith bin Hisyam iaitu saudara kandung kepada Abu Jahal.

Ibunya ialah Fatimah binti Al-Walid, saudara kandung Khalid Al-Walid. Suaminya pula adalah Ikramah bin Abu Jahal yang pada mulanya merupakan ketua pasukan tentera Quraisy yang menentang tentera Islam di bawah pimpinan nabi Muhammad.

Ikramah membawa isterinya berangkat ke medan peperangan ketika Perang Uhud meletus. Ummu Hakim berbaris dengan wanita lain di belakang pasukan tentera Quraisy memukul gendang untuk menaikkan semangat para pejuang mereka untuk bertempur dengan tentera Islam.

Mereka memusuhi agama Islam dan nabi Muhammad kerana dorongan ayahnya, Abu Jahal yang menentang keras agama Islam. Ini semua berlaku sebelum hati Ikramah dan Ummu Hakim terbuka pada agama Islam.

Apabila kota Mekah jatuh ke tangan pasukan tentera Islam di bawah pimpinan nabi Muhammad, Ummu Hakim bersama sepuluh wanita Quraisy telah pergi berjumpa dengan nabi Muhammad untuk memohon pengampunan dan memeluk agama Islam.

Menggoda

Ummu Hakim mendapat tahu bahawa suaminya termasuk dalam senarai orang yang akan dihukum mati kerana menentang pihak Islam dengan keras dan kejam.

"Ya Rasulullah, saya memohon agar suami saya diberi pengampunan di atas kesalahannya selama ini," pohon Ummu Hakim yang datang berjumpa Nabi Muhammad untuk mendapat jaminan keselamatan bagi suaminya.

"Baiklah," Nabi Muhammad meluluskan permohonannya.

Namun Ikramah yang mendapat tahu bahawa dirinya sedang diburu tentera Islam melarikan diri ke negara Yaman. Ummu Hakim berasa kecewa dengan tindakan Ikramah itu dan mengambil keputusan untuk menjejaki suaminya sehingga menemuinya.

Dia berjumpa dengan Rasulullah untuk meminta izin bagi mencari suaminya dan dibenarkan oleh Nabi SAW.

Ikramah yang telah tiba di negara Yaman seterusnya bertekad untuk meninggalkan semenanjung Arab menuju negara Habsyah (Ethiopia) di benua Afrika.

Dia pun menaiki kapal di pelabuhan Yaman untuk meneruskan rancangannya. Namun kapal yang dinaikinya di landa taufan lalu merempuh ombak besar. Ikramah menjadi takut dan kecut lalu berjanji untuk memohon maaf dari Nabi Muhammad sekiranya selamat dari bencana itu. Kapal itu selamat dengan izin Allah.

Ketibaan Ikramah di pantai Tihamah di sambut oleh isterinya, Ummu Hakim dengan wajah ceria. Ummu Hakim telah menempuh pelbagai rintangan dan halangan untuk berjumpa dengan suaminya. Ummu Hakim ditemani oleh seorang hamba lelaki berbangsa Rom ketika keluar kota Mekah menuju destinasi mencari suaminya.

Hamba lelaki itu menggoda Ummu Hakim lalu mendesaknya untuk melakukan perkara yang terkutuk. Namun Ummu Hakim berjaya menjaga maruah dirinya dengan menolak keinginan hambanya itu dengan bijaksana.

"Hasrat kamu akan ku tunaikan setelah bertemu dengan suami saya," Ummu Hakim memperdayakan hambanya dengan berjanji palsu dengannya.

"Baiklah," balas hambanya dengan penuh harapan.

Kemudian dia meneruskan perjalanannya menuju ke pantai Tihamah kerana mendapat berita bahawa suaminya berada di situ.

"Saya sudah memohon pengampunan dari Nabi Muhammad untuk diri kamu. Beliau telah mengabulkan permohonan saya. Kamu selamat pulang ke Mekah," ujar Ummu Hakim kepada suaminya yang khuatir untuk pulang bersamanya.

"Betulkah apa yang dikatakan oleh kamu itu," Ikramah kelihatan was-was.

"Ya. Nabi Muhammad berjanji tidak akan menghukum kamu".

Selepas berbincang dengan panjang lebar, hati Ikramah menjadi lembut dan tenang untuk mengikut Ummu Hakim pulang ke Mekah.

Mereka akhirnya tiba di depan pintu nabi Muhammad dan memohon izin untuk berjumpa dengan beliau. Nabi Muhammad gembira menyambut ketibaan Ikramah dan isterinya.

Ikramah melafazkan dua kalimah syahadat di hadapan nabi Muhammad lalu memeluk agama Islam. Ikramah memohon pengampunan dari nabi Muhammad di atas kesalahannya selama ini memusuhi agama Islam dan diri nabi Muhammad. Nabi Muhammad mengampuni segala kesalahannya selama ini dan menikahkan Ikramah dengan Ummu Hakim.

Ketika Perang Yarmuk meletus, Ummu Hakim keluar bersama suaminya, Ikramah yang memimpin pasukan tentera Islam untuk bertempur dengan orang Rom.

Ummu Hakim tidak melepaskan peluang untuk turut berjuang bersama pasukan tentera Islam untuk membunuh pasukan tentera Rom yang memusuhi mereka.

Dengan menggunakan pedang untuk menebas dan menikam tentera Rom yang cuba menghalang pergerakannya. Hatinya puas apabila melihat beberapa orang tentera musuh rebah menyembah bumi akibat tikaman dan tebasan pedangnya.

Jiwanya yang berani dan kental mengatasi ketakutan yang biasa ada pada diri wanita untuk menentang pihak musuh Allah. Ummu Hakim kehilangan suami tercintanya dalam Perang Yarmuk, namun hatinya gembira kerana Ikramah mati kerana menegakkan agama Islam.

Selepas tamat tempoh idah, Khalid bin Said telah melamarnya ketika pasukan tentera Islam sedang menanti serangan dari pasukan tentera Rom dalam Perang Maraj Ash-Shuffar.

Sengit

Ummu Hakim menerima lamaran Khalid bin Said lalu mereka bernikah di sebuah jambatan di Safar, selatan Damsyik yang kini dikenali sebagai jambatan Ummu Hakim.

Mereka mengadakan jamuan makan kepada pasukan tentera Islam sempena majlis pernikahan mereka. Namun sebelum sempat mereka makan, pasukan tentera Rom sudah menyerang mereka. Khalid bin Said bertempur dengan berani untuk melawan kemaraan tentera Rom.

Ummu Hakim pula mengikat pakaiannya lalu turut serta bertempur melawan pasukan tentera Rom. Pertempuran antara dua pasukan tentera itu berlangsung berhampiran sungai.

"Walaupun ini merupakan hari pernikahan saya dengan Khalid, namun saya tak akan meraikannya sehingga Allah memberi kemenangan ke atas pasukan tentera Islam," detik hati Ummu Hakim yang memegang pedang menebas dan menikam pihak musuh.

"Serang dan tentang pihak musuh sehingga titisan akhir darah kamu!," jerit komander pasukan tentera melihat kemaraan pasukan tentera Rom yang semakin mengasak kubu pertahanan tentera Islam.

Pertempuran itu berlaku dengan begitu sengit sehingga Khalid bin Said dan ramai tentera Islam terkorban dalam peperangan itu. Ummu Hakim berjaya membunuh tujuh orang tentera Rom dalam peperangan itu.

Ummu Hakim tidak sedih atau sayu dengan kematian Khalid bin Said pada hari pernikahannya. Ini adalah kerana suaminya terbunuh ketika menentang pihak musuh Islam.

Ummu Hakim menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 14 Hijrah. Semoga Allah menempatkan Ummu Hakim di kalangan orang yang dikasihi-Nya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5Xv3m8paF
© Utusan Melayu (M) Bhd



Sabtu, 15 September 2018

Mengembala kambing sunah Rasulullah

ARKIB : 18/05/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PEPERANGAN FUJJAR tentunya memberikan pengalaman yang menguji kekuatan, kepintaran, kepantasan dan kecekapan Rasulullah SAW. Namun untuk menjadi pemimpin umat malah pemimpin atau ketua dalam keluarga yang berjaya perlu mempunyai pengalaman yang lebih berkaitan tanggungjawab berat itu.

Oleh itu baginda mendapatkan semua pengalaman untuk menjadi pemimpin yang baik dengan menghabiskan sebahagian usia muda baginda sebagai pengembala kambing!

Kambing-kambing peliharaan baginda itu merupakan milik keluarga dan dikatakan juga mengambil upah mengembala kambing yang dimiliki oleh penduduk Mekah.

Namun tugas ini sebenarnya mempunyai falsafah yang unik lagi tinggi. Ia tidak sekadar mengembala kambing supaya tidak berkeliaran dan hilang dari kawalan.

Oleh kerana semua nabi sebelum ini pernah menjadi pengembala ternakan semasa mereka menjalankan amanah sebagai pembawa ajaran dari Allah. Lalu pengikut Rasulullah bertanya sendiri kepada baginda: "Adakah Wahai Rasulullah juga pernah menjadi gembala?" Lalu baginda menjawab: "Ya, selama beberapa waktu saya mengembalakan domba milik penduduk Mekah di daerah Qararit".

Justeru, kita hayati apa yang ditulis oleh penulis sejarah terkenal, Hussein Haekal mengenai corak kehidupan Rasulullah sebelum baginda mendirikan rumahtangga dengan wanita bangsawan yang terkenal, Siti Khadijah Khuwailid ini.

Kata Haekal, seperti yang kita ketahui, Perang Fijar atau Fujjar itu berlangsung hanya beberapa hari saja setiap tahun. Selebihnya masyarakat Arab kembali meneruskan pekerjaan masing-masing.

Pahit getirnya peperangan yang tergores dalam hati mereka tidak akan menghalangi mereka daripada kegiatan perdagangan, menjalankan riba, minum minuman keras serta pelbagai macam kesenangan dan hiburan dengan sepuas-puasnya.

Maka adakah Nabi Muhammad juga ikut serta dengan mereka dalam hal-hal yang seperti ini? Atau sebaliknya?

Menurut Haekal, telah berlaku pelbagai gejala yang teruk melanda anak-anak muda di kota Mekah ketika itu.

"Sudahlah mereka tinggal di pinggiran Mekah, yang tidak mempunyai mata pencarian, hidup dalam kemiskinan dan kekurangan namun merekalah yang ikut hanyut dalam hiburan itu.

"Bahkan di antara mereka lebih gila lagi dari golongan ternama Mekah dan bangsawan-bangsawan Quraisy dalam menghanyutkan diri dalam kesenangan demikian itu," katanya.

Akan tetapi Nabi Muhammad kata Haekal adalah anak muda yang ingin melihat, mendengar dan mengetahui.

"Itu sifat yang ditunjukkan oleh baginda," kata penulis sejarah Nabi yang terkenal ini.

Oleh itu baginda tidak ikut serta seperti yang dilakukan teman-temannya dari anak-anak bangsawan kerana baginda lebih berminat untuk memiliki pengetahuan berbanding berhibur dan menjauhi hidup ber foya-foya.

"Baginda mendambakan cahaya hidup yang akan lahir dalam segala manifestasi kehidupan dan yang akan dicapainya hanya dengan dasar kebenaran.

"Kenyataan ini dibuktikan oleh jolokan yang diberikan kepadanya dan pembawaan yang ada dalam dirinya.

"Itu sebabnya, sejak zaman kanak-kanak gejala kesempurnaan, kedewasaan dan kejujuran hati sudah tampak, sehingga penduduk Mekah semua memanggilnya Al-Amin (yang dapat dipercayai)," kata Haekal.

Ini menyebabkan baginda lebih banyak merenung dan berfikir melalui pekerjaannya menggembalakan kambing sejak sejak usia remaja baginda.

Baginda sendiri dikatakan begitu gembira dengan tugas sebagai pengembala kambing itu.

Haekal dapat mengutip kata-kata rasa gembira baginda di saat-saat mengembala ternakan itu, iaitu: "Nabi-nabi yang diutus Allah, kesemua mereka mengembala kambing. Ini termasuklah Nabi Allah Musa, Nabi Allah Daud sehinggalah aku sendiri meneruskan usaha murni ini mengembala kambing milik keluarga ku di Ajyad.

"Baginda mempunyai hati yang terang, menjalankan tugas dalam udara yang bebas di siang hari sehinggalah membawa kepada kemilau bintang di langit apabila malam menjelma.

"Ini menjadikan tugas baginda itu amat sesuai dan serasi untuk pemikiran dan merenung kejadian alam bagi mendapatkan sesuatu di atau penafsiran tentang penciptaan semesta ini," katanya.

Baginda membawa kambing-kambingnya jauh merentas padang sehinggalah ke kaki-kaki gunung dan bukit, jauh dari kesibukan kota Mekah.

Namun apabila kambing-kambing yang ada di hadapan Nabi Muhammad itu menarik kesedaran dan perhatiannya supaya jangan ada serigala yang akan menerkam kambing-kambing itu atau jangan sampai ada yang hilang dan sesat lalu baginda tidak lagi dalam dunianya yang tersendiri itu.

Baginda akan berusaha segenap tenaga dan akal pemikiran terhadap tahap keselamatan kambing-kambingnya itu.

Baginda akan mengawal dan memastikan sepenuhnya supaya ternakan tersebut dapat meragut rumput tanpa gangguan, hidup dan membiak dengan banyaknya.

Namun seperti yang ditulis oleh pakar sejarawan yang lain, Jaafar Subhani, apa yang penting mengembala kambing mengajar baginda supaya meningkatkan kesabaran dan ketabahan dalam 'memimpin' kambing-kambing itu.

Setiap ekor kambing akan mempunyai kerenah mereka yang tersendiri, begitu juga yang bakal dihadapi oleh baginda ketika baginda memimpin umat manusia.

"Apabila seseorang itu dapat menanggung kesukaran dalam menguruskan haiwan, yang tidak mempunyai akal dan kearifan, maka tentunya dia juga dapat bertanggungjawab untuk memimpin manusia yang sesat akal fikiran dan cara hidup mereka," kata Jaafar.

Malah dikatakan terdapat hadis Rasulullah sendiri yang menyebut: "Allah tidak mengangkat seorang nabi pun yang sebelumnya tidak dijadikan pengembala supaya mereka dapat belajar bagaimana hendak membimbing manusia."

Namun ada ketikanya, baginda hampir terpukau juga dengan kilauan segala macam maksiat dan hiburan yang berleluasa di Kota Mekah.

Ini apabila pada suatu hari ketika baginda menggembala kambing dengan seorang kawannya berkata bahawa baginda ingin bermain-main seperti pemuda-pemuda lain dengan menyertai pelbagai hiburan di kota Mekah dengan meminta kawannya itu menjaga kambing-kambing peliharaan baginda.

Tetapi sesampainya di hujung kota Mekah, perhatiannya tertarik pada suatu pesta perkahwinan dan baginda ingin hadir di tempat itu.

Tetapi tiba-tiba baginda terjatuh dan tertidur.

Begitu juga pada malam berikutnya, baginda lagi sekali cuba hendak mengunjungi Mekah, dengan maksud yang sama.

Baginda telah terdengar dari jauh kemeriahan irama muzik yang indah, seolah-olah turun dari langit.

Ini membuatkan baginda terleka namun menyebabkan baginda akhirnya tertidur lagi sehingga keesokan paginya.

Lagi sekali baginda gagal menyertai hiburan seperti pemuda-pemuda yang lain dan bagai direncanakan oleh Allah supaya baginda tidak terlibat dalam hiburan yang bakal melalaikannya.

Sebagai pengembala kambing tentunya tidak menjanjikan keuntungan, jauh sekali kemewahan tetapi baginda lebih mengejar 'kemewahan' yang menjanjikan kekuatan kepada jiwa dan minda. Semua ini diperolehi walau sekadar bergelar pengembala kambing!

Baginda sendiri pernah menyebut, "Kami adalah golongan yang hanya makan bila merasa lapar, dan bila sudah makan tidak sampai kenyang!"

Mengembala kambing bukan sekadar satu tradisi lama, wajar sekali dijayakan oleh kalangan anak-anak muda hari ini. Tidak sahaja untuk tujuan komersial tetapi bagi melahirkan pemimpin yang tabah dan tahan lasak sebagaimana yang menjadi rahsia di sebalik kejayaan si pengembala kambing, Nabi Muhammad SAW.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5RDctIGXJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumaat, 14 September 2018

Ummu Haram menyeberang lautan

ARKIB : 12/05/2009
UMMU Haram binti Milham merupakan isteri kepada Ubadah bin Samit dan ibu saudara susuan nabi Muhammad. Ummu Haram merupakan salah seorang dari kumpulan wanita Ansar yang mula-mula memeluk Islam.

Beliau juga merupakan ibu saudara kepada Anas bin Malik. Nabi Muhammad memuliakan Ummu Haram dengan mengatakan, "Kamu termasuk orang yang pertama daripada kalangan mereka".

Ini adalah kerana sifatnya yang berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan seperti berjihad, menuntut ilmu, mendahulukan kepentingan orang lain dan merendah diri.

Ummu Haram juga melibatkan diri dalam peperangan menentang pihak musuh Islam. Dia membantu merawat luka dan memberikan air kepada pasukan tentera Islam sewaktu peperangan Badar dan Uhud.

Jiwa Ummu Haram yang cekal dan kental memudahkan beliau bergerak di kawasan peperangan yang penuh bahaya bagi membantu dan merawat tentera Islam yang cedera.

Nabi Muhammad selalu mengunjungi masjid Quba yang didirikan oleh beliau atas dasar takwa kepada Allah. Kadangkala, beliau menaiki unta atau berjalan kaki menuju Masjid Quba lalu menunaikan solat sunat dua rakaat.

Kadang kala, Nabi Muhammad singgah di rumah Ummu Haram yang terletak berhampiran masjid Quba bagi melawatnya serta tidur siang di rumahnya. Malahan ada ketika beliau solat di rumah Ummu Haram.

"Assalamualaikum Ummu Haram!" Nabi Muhammad memberi salam sambil mengetuk pintu rumah Ummu Haram.

"Waalaikumusalam. Silakan masuk," jawab Ummu Haram sambil membuka pintu mempelawa Nabi Muhammad masuk.

"Apa khabar Ummu Sulaim dan Anas? Mari kita solat bersama-sama," kata Nabi Muhammad.

"Khabar baik, Rasulullah," balas Ummu Sulaim dan anaknya.

Mereka menunaikan solat sunat bersama-sama kerana pada ketika itu beliau belum masuk waktu solat wajib.

Kemudian Nabi Muhammad mendoakan kesejahteraan dan kebaikan dunia serta akhirat untuk Ummu Haram, Ummu Sulaim dan anaknya. Selepas itu, Ummu Haram menjemput nabi Muhammad makan bersama-sama.

"Ummu Haram, saya mahu berehat sebentar," kata Rasulullah selepas menjamah makanan yang disediakan oleh Ummu Haram.

"Baring dan berehatlah," balas Ummu Haram yang sedang mengemas pinggan di dapurnya.

Nabi Muhammad yang baring di ruang tamu tidak lama kemudian tertidur. Ummu Haram, Ummu Sulaim dan Anas berbual perlahan supaya tidak mengganggu baginda yang sedang tidur. Selepas beberapa ketika berlalu, Nabi Muhammad terjaga dari tidurnya dan tersenyum sendirian.

"Mengapa kamu tersenyum," tanya Ummu Haram dalam kehairanan.

"Beberapa orang dari umat Islam menawarkan diri berperang di jalan Allah. Mereka menaiki kapal merentas lautan menuju ke arah raja-raja yang zalim," jawab Nabi Muhammad sambil memandang wajah Ummu Haram.

"Ya Rasulullah, doakan saya semoga termasuk di antara golongan itu," pinta Ummu Haram yang berangan-angan supaya dapat menyertai peperangan bersama pasukan tentera Islam menyeberang lautan bagi menyebarkan agama Islam pada suatu hari nanti.

"Baiklah," balas Nabi SAW lalu mendoakan Ummu Haram. Kemudian, Rasulullah berbaring dan menyambung semula tidurnya.

Beberapa ketika kemudian, Nabi SAW bangkit dari tidurnya dan tertawa. Ummu Haram yang hairan dengan kelakuan baginda bertanya, "Ya Rasulullah, mengapa kamu ketawa".

"Sekumpulan umat Islam diperlihatkan kepada saya seketika mereka berperang menentang pihak musuh Islam seperti raja bagi pasukannya," jawab Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah, doakan agar saya termasuk dalam golongan itu," mohon Ummu Haram.

"Kamu termasuk golongan yang pertama dari kalangan mereka," jawab Nabi Muhammad.

Peristiwa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad berlaku pada era pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. Pada ketika itu, penaklukan bandar-bandar musuh Islam berlaku dengan rancak.

Ketika Usman ditabalkan sebagai Khalifah, Muawiyah Abu Sufian yang ketika itu menjadi Gabenor Syria mencadangkan pembentukan pasukan armada laut bagi menentang Empayar Byzantine.

Ekspedisi armada laut Muawiyah dibantu dengan sebuah kapal perang yang diketuai oleh Abdullah bin Abu Sarah dari Mesir.

Kedua kapal angkatan tentera laut Islam mula belayar menuju ke pulau Cyprus bagi bertempur pasukan tentera Byzantine yang berpangkalan di pulau itu.

"Tercapai juga cita-cita saya untuk berjihad di jalan Allah merentas lautan. Permintaan saya yang telah didoakan oleh rasulullah telah dimakbulkan oleh Allah," bisik hati Ummu Haram yang berdebar-debar berdiri di atas dek kapal.

Kedatangan kedua kapal angkatan tentera laut Islam itu tidak disedari oleh pasukan tentera Empayar Byzantium dan penduduk tempatan pulau Cyprus.

Ini adalah kerana tanggapan pihak musuh bahawa umat Islam tak mampu menyeberang lautan dan berperang di kawasan laut.

Abdullah bin Qais menghantar perisik untuk meninjau kekuatan pihak musuh sebelum melancarkan serang hendap. Pihak musuh yang terkejut dengan kehadiran pasukan tentera Islam dengan tiba-tiba hanya mampu memandang melihat kem kawalan mereka diambil alih oleh pihak tentera Islam.

"Panglima, saya sebagai ketua penduduk pulau ini sanggup membayar jizyah sebanyak 70,000 dinar setahun kepada kerajaan Islam. Tolong jangan apa-apakan penduduk pulau ini," mohon ketua penduduk pulau Cyprus kepada Abdullah bin Qais.

"Baiklah," balas Abdullah bin Qais dengan tegas.

"Panglima, izinkan saya untuk melihat kawasan sekitar pulau ini," tanya Ummu Hakim kepada Abdullah bin Qais setelah pulau Cyprus telah selamat ditakluk oleh tentera Islam.

"Kamu boleh melawat sekitar pulau ini dengan menaiki kuda ini. Pastikan ada orang temankan kamu," Abdullah bin Qais memberikan kebenaran kepada Ummu Haram yang teringin melawat sekitar pulau itu.

Ummu Haram bersama beberapa orang tentera Islam mula bergerak menaiki kuda mengelilingi kawasan sekitar pulau Cyprus itu.

Pada suatu ketika, seekor binatang buas tiba-tiba muncul dan menyerang kuda yang dinaiki oleh Ummu Haram. Ini menyebabkan Ummu Haram tercampak daripada kudanya lalu jatuh menghempas tanah. Oleh sebab mengalami kecederaan parah, Ummu Haram meninggal dunia di tempat beliau jatuh.

Ummu Haram meninggal dunia pada tahun 27 Hijrah. Kubur beliau masih lagi terdapat dipinggir pantai Cyprus dan dikunjungi oleh umat Islam sehingga kini. Ummu Haram adalah pejuang Muslimah pertama menyeberang lautan untuk berjihad di jalan Allah.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5R8qWb98k
© Utusan Melayu (M) Bhd