ARKIB : 26/05/2009
UMMU Sulaim ialah ibu kepada Anas
bin Malik, salah seorang sahabat dan pembantu peribadi Nabi Muhammad SAW.
Ummu Sulaim menyerahkan Anas bin
Malik kepada Nabi Muhammad ketika berusia 20 tahun untuk melayan beliau. Dia
memeluk agama Islam ketika Nabi Muhammad masih berada di Mekah.
Apabila Nabi Muhammad berhijrah
ke Madinah, Ummu Sulaim bersama golongan Muslimin dan Muslimat Madinah
menyatakan keimanan mereka di hadapan nabi Muhammad.
Suaminya, Malik bin Nadir rasa
tercabar dan marah apabila isterinya sudah memeluk agama Islam. Dia tidak
percaya dengan agama Islam dan Nabi Muhammad.
"Adakah kamu sudah menjadi gila
dengan mengakui agama Islam sebagai agama kamu,!" tengking suaminya dengan
nada marah.
"Saya tidak gila tapi
beriman pada Allah dan rasulnya," jawab Ummu Sulaim dengan tegas.
Kemudian Ummu Sulaim mengajar
anaknya Anas mengucap dua kalimah syahadah. Anas bin Malik menurut perintah
ibunya lalu mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar. Malik menjadi berang
dengan tindakan Ummu Sulaim itu dan memarahinya.
"Jangan kamu rosakkan anak
saya!," jerit Malik dengan nada geram.
"Saya tidak merosakkan anak
kamu," balas Ummu Sulaim dengan tenang.
Malik bin Nadir keluar dari
rumahnya dengan perasaan tidak puas hati. Dia tidak faham mengapa isterinya
sanggup meninggalkan agama nenek moyangnya yang menyembah berhala lalu menerima
agama Islam.
Hatinya panas dan geram dengan
apa yang sudah berlaku di rumahnya tadi. Akhirnya dia membuat satu keputusan
drastik setelah berfikir panjang.
Tak tahan
"Saya tak tahan dengan sikap
isteri saya. Saya akan tinggalkan mereka berdua di Madinah dan berhijrah ke
Syam". Malik bin Nadir memulakan perjalanannya ke Syam.
Apabila tiba di Syam, Malik
terserempak dengan musuhnya. Musuhnya yang ingin membalas dendam telah
menikamnya sehingga mati. Berita kematian Malik akhirnya tiba di telinga Ummu
Sulaim dan dia berjanji tidak akan bernikah selagi Anas tidak meningkat dewasa.
Apabila Anas memasuki alam
dewasa, Abu Talhah al-Anshar datang melamarnya. Namun lamaran Abu Talhah
ditolak oleh Ummu Sulaim kerana dia masih belum memeluk agama Islam.
Walaupun lamaran Abu Talhah
ditolak, dia tidak berputus asa. Dia melamar Ummu Sulaim buat kali kedua. Ummu
Sulaim menolak lamaran Abu Talhah sekali lagi kerana hatinya masih belum
terbuka memeluk agama Islam.
"Dengar sini Abu Talhah,
adakah kamu tidak sedar bahawa apa yang kamu sembah itu adalah ukiran kayu yang
tidak dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada kamu?
"Apabila kamu menyalakan api
di sekelilingnya, sudah pasti mereka hangus terbakar. Tidakkah kamu malu untuk
menyembah semua itu? Jika kamu sedia memeluk agama Islam, maka saya bersedia
untuk bernikah dengan kamu. Saya tak mengharap mas kahwin selain kamu menganut
Islam," jelas Ummu Sulaim.
Setiap kali Abu Talhah melamar
Ummu Sulaim, jawapannya sentiasa sama iaitu Abu Talhah harus memeluk agama
Islam sebelum bernikah dengannya.
Lama kelamaan jawapan Ummu Sulaim
mempengaruhi fikiran Abu Talhah sehingga dia memeluk agama Islam. Ummu Sulaim
gembira mendengar berita itu lalu bersetuju untuk menikahinya.
Ummu Sulaim tidak meminta mas
kahwin melainkan Abu Talhah memeluk agama Islam. Ummu Sulaim memperoleh mas
kahwin yang lebih mulia dari mana-mana wanita pada ketika itu. Mas kahwinnya
adalah Islam.
Ummu Sulaim turut serta dalam
Perang Uhud bersama Aishah binti Abu Bakar. Mereka berdua mengangkut air di
atas bahu lalu membahagikan kepada pasukan tentera Islam yang bertempur di
medan peperangan.
Setiap kali kehabisan air, Ummu
Sulaim dan Aishah mengangkut air kembali untuk diberikan kepada tentera Islam yang
kehausan.
Ketika Perang Hunain meletus,
kaum wanita juga bergabung dengan pasukan tentera Islam untuk memerangi pihak
musuh.
Nusaibah membawa pedang pada
tangannya dan Ummu Sulaim membawa pisau belati yang diikatkan pada pinggangnya.
Hatinya bergelora berperang walaupun pada ketika itu dia mengandungkan Abdullah
bin Abu Talhah.
"Saya tak berani nak
menunggang unta dalam keadaan sebegini. Seandainya saya terjatuh, ia bahaya
pada kandungan saya," bisik hati kecil Ummu Sulaim yang merapatkan mukanya
ke badan unta. Tangan dimasukkan ke jalinan bulu yang diikatkan di hidung unta
bersama tali kendali.
"Ya Rasulullah, Ummu Sulaim
datang membawa pisau belati di pinggangnya," ujar Abu Talhah kepada Nabi
Muhammad ketika Ummu Sulaim menghampiri mereka.
"Untuk apa pisau belati
itu," tanya Nabi Muhammad dengan nada hairan.
"Jika ada pihak musuh yang
mendekati diri saya, maka saya akan robekkan perut mereka dengan pisau belati
ini.
"Saya akan bunuh orang-orang
Islam yang cuba melarikan diri daripada melindungi diri mu Rasulullah
sebagaimana kamu membunuh orang-orang yang menentang kamu kerana mereka hanya
layak untuk dibunuh," jawab Ummu Sulaim lalu memegang pisau belatinya.
"Sesungguhnya Allah
memberikan kecukupan dan kebaikan, wahai Ummu Sulaim," balas Rasulullah
sambil tersenyum mendengar jawapan Ummu Sulaim itu.
Begitulah kisah seorang wanita
yang menyerahkan anaknya untuk dijadikan pelayan kepada Nabi Muhammad. Dia
tidak gentar atau takut dengan suaminya yang memarahinya memeluk agama Islam.
Dia hanya berkahwin dengan Abu
Talhah setelah memeluk agama Islam. Mas kahwinnya adalah agama Islam. Walaupun
dirinya sedang mengandung, Ummu Sulaim tetap menyertai Perang Hunain bagi
menegakkan agama Islam.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5XvQJDxPg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan