ARKIB : 02/06/2009
ASMA' binti Yazid berasal dari
keturunan kaum Ansar yang mendiami kawasan Madinah. Dia terkenal sebagai raja
berpidato di kalangan kaum wanita Islam kerana kebijaksanaan dan kefasihan yang
dimilikinya dala menyampaikan pidato.
Dia selalu menjadi tumpuan kaum
ibu untuk menyampaikan keinginan dan tuntutan mereka kepada nabi Muhammad.
"Wahai Asma', kami ingin
meminta pertolongan kamu untuk berjumpa dengan Rasulullah dan bertanyakan
sesuatu kepada beliau.
"Oleh sebab kamu mempunyai
keberanian dan kepandaian berkata-kata, kami percaya kamu boleh menyampaikan
apa yang tersirat dalam hati kami kepada Rasulullah," luah salah seorang
wanita Ansar yang datang berjumpanya di rumahnya.
"Apakah yang kamu ingin saya
tanyakan pada rasulullah?" Asma' kelihatan bersetuju dengan permintaan
kumpulan wanita yang datang berjumpanya.
Asma' mendengar luahan hati
kumpulan wanita dengan tekun dan penuh perhatian. Dia kelihatan bersetuju
dengan pandangan kumpulan wanita dan menyatakan persetujuan untuk berjumpa
dengan Nabi Muhammad untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan yang ditujukan
oleh kaum wanita itu.
Dia pun memakai pakaian yang
sesuai lalu bergegas keluar dari rumahnya mengiringi kumpulan wanita itu pergi
berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Dia bersama kumpulan wanita itu
berjalan keluar mencari Nabi Muhammad. Tiba-tiba dia ternampak nabi Muhammad
bersama para sahabat sedang duduk berbincang. Dia meminta kumpulan wanita itu
menunggunya sementara dia pergi berjumpa Nabi Muhammad.
"Ya Rasulullah, saya
mewakili kaum wanita di sini ingin bertanya sesuatu kepada kamu. Setiap seorang
dari mereka berkata dan berpendapat sama seperti pendapat saya.
"Bukankah Allah telah
mengutus kamu untuk semua umat manusia, tidak kira lelaki atau wanita. Kami
percaya dengan kamu dan beriman kepada Allah.
"Kami kaum wanita rasa
tersisih, tidak sama dengan kaum lelaki. Kami golongan yang serba terbatas dan
terkurung. Kerja kami hanya menjaga rumah mereka, memelihara dan mengandung
anak mereka serta tempat melepaskan nafsu kaum lelaki.
"Kami tidak diberi peluang
untuk mengerjakan sebagaimana yang diberikan kepada kaum lelaki. Kami tidak
diberikan kesempatan untuk mendapatkan pahala seperti solat Jumaat, menziarahi
orang sakit, menyaksikan pengkebumian, menunaikan haji dan amalan yang paling
utama iaitu berjuang pada jalan Allah.
"Apabila kaum lelaki keluar
berjihad, maka kaum wanita menjaga harta, menjahit pakaian dan menjaga serta
mendidik anak. Apakah kami juga akan mendapat jihad seperti mereka juga?"
jelas Asma' kepada Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad menolehkan wajahnya
kepada para sahabat yang berada bersamanya. Beliau menatap setiap wajah mereka
sebelum bertanya sesuatu kepada mereka semua. Ada yang kelihatan terkejut
mendengar kata-kata Asma' itu.
"Pernah kamu semua mendengar
pertanyaan yang lebih baik dalam soal-soal agama selain dari Asma," tanya
Nabi Muhammad untuk melihat reaksi para sahabat.
"Ya Rasulullah, kami tidak
pernah terfikir dan menyangka bahawa Asma' akan mengajukan soalan seperti
ini." jawab mereka dengan spontan.
"Pulang dan beritahu kepada
kaum wanita bahawa layanan yang mereka berikan kepada suami mereka, usaha
mereka mendapat redanya dan mengikutinya adalah menyamai semua yang dilakukan
oleh suami mereka," kata nabi Muhammad yang menoleh ke arah Asma'.
"Terima kasih di atas
jawapan kamu, ya Rasulullah". Hati Asma' berasa gembira mendengar
kata-kata Nabi Muhammad.
Asma' berlari ke arah kumpulan
wanita yang menunggunya dengan penuh sabar. Dia menyampaikan berita gembira itu
kepada kumpulan wanita itu. Mereka semua berasa sangat gembira dan menyebarkan
berita itu kepada semua kaum wanita Islam di kota Madinah.
Asma' juga telah menunjukkan
keberanian dalam Perang Yarmuk menentang pasukan tentera Rom.
Khalid al- Walid menempatkan kaum
wanita di belakang dua barisan pasukan tentera Islam yang sedang bertempur.
"Jika ada tentera Islam yang
melarikan diri dari medan pertempuran, bunuhlah mereka," perintah Khalid
al-Walid kepada kaum wanita yang memegang pedang dan senjata lain mengawasi
bahagian belakang pasukan mereka.
Kaum wanita yang ditempatkan di
kawasan tinggi di belakang pasukan tentera Islam mengawasi apa yang berlaku di
medan pertempuran.
Mereka melempar batu kerikil dan
memukul dengan kayu siapa sahaja tentera Islam yang cuba berundur dari medan
pertempuran.
Mereka juga menghina tentera
Islam yang cuba melarikan diri sehingga mereka kembali semula ke posisi untuk
bertempur dengan tentera Rom.
Kaum wanita juga turut bertempur
menyertai pasukan hadapan tentera Islam apabila pasukan musuh berjaya menembusi
pertahanan pasukan tentera Islam.
Antaranya ialah Ummu Hakim yang
bertempur dengan pihak musuh menggunakan pedang sehingga berjaya membunuh
beberapa orang tentera Rom.
Begitu juga dengan Juwariyah
binti Abu Suffian yang bergabung dengan suaminya lalu bertempur dengan pihak
musuh sehingga mengalami luka.
"Wahai tentera musuh, jangan
kamu ingat kaum wanita ini lemah dan boleh diperbudakbudakkan kami. Lihat apa
yang kami boleh buat pada kamu!" kata Asma' untuk memberikan semangat
kepada kaum wanita yang berjaga-jaga dari serangan tentera Rom.
"Asma', ada tentera musuh
cuba masuk ke kawasan khemah kita!" jerit salah seorang wanita Muslim
tidak jauh daripadanya.
"Adakah kamu semua rela
menjadi tawanan pihak tentera musuh? Adakah kamu dan anak-anak kamu sanggup
menjadi hamba kepada mereka?
"Sesungguhnya saya lebih
rela mati menentang mereka dari menjadi tawanan mereka," Asma' terus
berpidato meniupkan kata-kata semangat kepada kaum wanita supaya bangun
menentang pihak musuh.
Kemudian dia memberi arahan
kepada kaum wanita agar mengambil tiang-tiang penyangga khemah dan pasak-pasak
tempat penambat tali. Asma' berteriak sekali lalu menyerbu ke arah tentera
musuh, diikuti oleh kaum wanita yang lain. Mereka menyerang tentera musuh
dengan satu tekad iaitu membunuh seberapa ramai tentera musuh.
"Pukul kepala dan badan
mereka!" jerit Asma' yang memukul dan membelasah tentera Rom dengan tiang
penyangga khemah.
Asma' berjaya membunuh sembilan
orang tentera Rom. Tentera Rom yang cuba menyelinap dan menangkap kaum wanita
Islam terpaksa berundur apabila melihat keberanian serta kegagahan kaum wanita
Islam menentang mereka.
Mereka tidak menyangka kaum
wanita Islam tidak gentar untuk menentang mereka walaupun hanya bersenjatakan
tiang penyangga khemah dan pasak tempat penambat tali.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5XvqXfbbN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan