ARKIB : 01/06/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SAIDATINA Siti Khadijah binti
Khuwailid atau Khadijah al Kubra merupakan isteri pertama Nabi Muhammad SAW.
Nama penuhnya Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai.
Beliau ialah anak perempuan
pasangan Khuwailid bin Asad dan Fatimah binti Zaidah berasal daripada kabilah
Bani Asad dari suku kaum Quraisy namun dikatakan bapanya itu terbunuh dalam peperangan
Fujjar.
Siti Khadijah sebelum mengahwini
Rasulullah pernah berkahwin sebanyak dua kali, iaitu perkahwinan pertamanya
bersama Ais atau Atiq bin Abid dan mendapat dua orang anak iaitu Abdullah dan
Jariyah dan perkahwinan keduanya, adalah dengan Abu Halah bin Malik dan
mempunyai anak iaitu Hindun dan Zainab.
Kedua-dua suaminya meninggal
dunia menyebabkan Siti Khadijah menjadi janda atau balu sebelum berkahwin
dengan Nabi Muhammad.
Begitupun dikatakan Siti Khadijah
telah puas menolak lamaran daripada ramai lelaki Quraisy yang kaya,
berkedudukan tinggi dan berpengaruh besar di Kota Mekah sebaik sahaja kematian
suami keduanya itu. Ini termasuklah pinangan daripada Uqbah bin Abi Muith, Abu
Jahal dan Abu Suffyan.
Soalnya mengapa? Adakah kerana
Siti Khadijah sudah tertutup hatinya dengan mana-mana lelaki untuk dijadikan
pasangan hidup atau beliau berharap agar lelaki yang bakal dikahwini merupakan
Nabi Muhammad. Namun kerana beberapa keadaan, beliau terpaksa memendam
perasaannya itu terhadap pemuda yang sering menjadi sebutan penduduk Mekah itu.
Kita tidak dapat mengenalpasti
jarak dan masa antara Siti Khadijah menjanda sehingga beliau mengenali
Rasulullah yang menyebabkan beliau menolak kesemua lamaran-lamaran tersebut.
Namun apa yang jelas, Siti
Khadijah yang pada mulanya hanya mengenali Nabi Muhammad pada nama sahaja
akhirnya benar-benar jatuh hati terhadap pemuda itu apabila mendengarkan segala
kisah-kisah seperti yang diceritakan oleh hambanya, Maisarah sebelum ini.
Iaitu kisah keperibadian baginda
yang sangat mulia dan kebijaksanaan Nabi dalam menguruskan dan menjayakan misi
dagang ke Syam.
Siti Khadijah benar-benar telah
jatuh hati dan terpikat terhadap Nabi dan telah menyebabkan hatinya terbuka
untuk mendirikan rumah tangga walaupun dengan seorang pemuda yang tidak punya
apa-apa itu.
Malah dikatakan perasaan beliau
terhadap Nabi Muhammad itu tidak boleh ditahan-tahan atau dihalang-halang lagi
sehingga beliau berkata: "Jika segala kenikmatan hidup diserahkan kepadaku,
dunia dan kekuasaan para raja Iran (Parsi) dan Rumawi diberikan kepadaku,
tetapi aku tidak hidup bersama Muhammad, maka semua itu bagiku tidak lebih
berharga daripada sebelah sayap seekor nyamuk".
Sehingga begitu sekali perasaan
Siti Khadijah terhadap Nabi.
Tetapi pernahkah Siti Khadijah
sendiri meluahkan perasaannya itu terhadap tuan badan? Ibnu Hisyam dalam
kitabnya Sirah Ibnu Hisyam (halaman 204), mencatatkan bahawa Siti Khadijah
sendiri dikatakan pernah bertemu bagi menyatakan perasaannya terhadap Nabi
Muhammad dengan berkata: "Saudaraku, mengingatkan hubungan yang ada di
antara kita (bangsa Quraisy) dan kebesaran serta kemuliaan saudara di kalangan
kaum serta kejujuran, akhlak terpuji dan sifat lurus dan amanah yang ada pada
saudara maka saya sangat ingin untuk hidup bersama dengan berkahwin dengan
saudara wahai Muhammad!"
merealisasikan impian
Namun, bagaimana harapan itu
boleh menjadi kenyataan sedangkan Siti Khadijah menyedari akan terdapatnya satu
adat tradisi yang boleh menghalangnya kecuali beliau perlu menunggu dan Nabi
Muhammad itu sendiri yang meminangnya bagi membolehkan mereka akhirnya dapat
hidup sebagai pasangan suami isteri.
Tidak mungkin perigi yang mencari
timba namun wanita bangsawan ini menyedari bahawa beliau terpaksa memecahkan
tradisi itu bagi merealisasikan impian suci itu.
Beliau kemudiannya meminta
bantuan seorang rakan, iaitu Nafisah@Nafsiah binti Aliyah@Muniiah@Munyaa untuk
menemui Nabi Muhammad bagi pihaknya dan mengharapkan rakannya itu akan membawa
pulang dengan berita gembira.
Berikut dialog antara rakan Siti
Khadijah itu dengan Nabi Muhammad; "Wahai Muhammad mengapa tidak anda
sinari kehidupan malam anda dengan seorang isteri?"
Jawab Nabi: "Ini kerana saya
tidak mempunyai sebarang persiapan untuk berkahwin".
"Kalau begitu apakah anda
akan menyambutnya dengan senang hati jika saya mengundang anda kepada
kecantikan, kekayaan, keanggunan dan kehormatan," kata Nafisah.
Nabi menjawab; "Apa maksud
anda?"
Lalu Nafsiah menyebut nama Siti
Khadijah.
Mendengarkan nama Siti Khadijah
itu, lantas Nabi Muhammad pun berkata "Apakah Khadijah sudi menerima saya,
pada hal dunia saya dan dunia dia jauh berbeza dan sedangkan beliau pernah
menolak lamaran-lamaran daripada pemuda-pemuda yang jauh lebih mulia dan kaya
daripada saya?"
"Saya mendapat kepercayaan
daripada Siti Khadijah dan akan membuat dia setuju. Anda hanya perlu menetapkan
tarikh perkahwinan agar walinya (Amar bin Asad) dapat mendampingi anda berserta
sahabat handai, rakan taulan dan upacara perkahwinan dan perayaan dapat
diadakan," kata Nafsiah.
Nabi Muhammad tidak lagi
mempunyai alasan untuk berdolak dalik malah rasa terharu dengan permintaan Siti
Khadijah itu dan meminta Nafsiah pulang kepada wanita itu dengan membawa khabar
gembira.
Nabi Muhammad kemudiannya
menyerahkan kepada bapa saudaranya, Abu Talib bagi mengaturkan pertemuan dengan
keluarga Siti Khadijah dan sama-sama merancang untuk menjayakan majlis
perkahwinan ini.
Wali perkahwinan
Amar bin Asad merupakan bapa
saudara malah ada yang menyebut Amar bin Khuwailid, iaitu saudara lelaki Siti
Khadijah menjadi wali perkahwinan berikutan si bapa, Khuwailid seperti disebut
dari awal tadi terbunuh dalam peperangan Fujjar.
Begitupun, sebenarnya dikatakan
berlaku tentangan daripada keluarga Siti Khadijah apabila janda kaya ini
memilih Nabi Muhammad sebagai pasangan hidup.
Malah sesetengah riwayat
mencatatkan, tentangan paling kuat datangnya daripada bapanya sendiri,
Khuwailid.
Lantas bagi menjayakan
perkahwinannya, Siti Khadijah dikatakan banyak memberi bapanya minum arak
sehingga menyebabkan Khuwailid mabuk teruk dan tidak dapat menghalang
perkahwinan anaknya dengan Nabi Muhammad itu.
Akhirnya, Nabi Muhammad dan Siti
Khadijah selamat bergelar suami isteri dalam satu majlis yang tidak kurang meriah
dan disambut oleh seluruh penduduk Mekah.
Baginda dikatakan membayar mas
kahwin sebanyak 20 bakrah atau 400 ratus dinar tetapi ada yang menyebut
Khadijah menerima 20 ekor unta yang masih muda daripada suaminya itu.
Episod perkahwinan Nabi Muhammad
dan Siti Khadijah mungkin tidak akan berlangsung jika tidak berdasarkan alamat
yang ditunjukkan oleh mimpi yang dialami oleh wanita itu.
Pada suatu hari iaitu dikatakan
sebelum Nabi Muhammad mengambil upah mengetuai rombongan dagangan ke Syam itu,
Siti Khadijah dikatakan telah didatangi satu mimpi yang agak aneh dan ini
menyebabkan beliau segera menemui sepupunya, pendita atau rahib agama Hanif,
Waraqah bin Naufal atau nama penuhnya Waraqah bin Nawfal bin Assad bin Abd
al-Uzza bin Qusayy Al-Qurashi.
"Malam tadi aku bermimpi
sangat menakjubkan. Aku melihat matahari berputar-putar di atas Kota Mekah,
lalu turun ke arah bumi.
"Ternyata matahari itu turun
dan memasuki rumahku. Cahayanya yang sangat agung itu membuatkanku terpegun.
"Lalu aku terbangun daripada
tidurku itu" kata Siti Khadijah.
Mendengarkan itu, lalu Waraqah
berkata; "Aku sampaikan berita gembira kepadamu, bahawa seorang lelaki
agung dan mulia akan datang untuk menjadi teman hidupmu.
"Dia memiliki kedudukan
penting dan kemasyhuran yang semakin hari semakin meningkat," kata
Waraqah.
Akibat dari mimpi itulah
ditakdirkan tidak lama kemudian Khadijah menjadi isteri Muhammad.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5XvpBCmRS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan