ARKIB : 29/06/2009
Polemik Rasulullah seorang ummi
OLEH SITI AINIZA KAMSARI
tulisan tangan nabi... surat yang
ditulis oleh rasulullah kepada Kaisar atau raja rom yang disimpan di muzium
peninggalan nabi di istanbul, turki.
DARI kecil, iaitu sejak kita mula
mengenal membaca dan menulis telah sering ditekan mengenai sebuah 'ajaran'
bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW seorang yang buta huruf!
Malah kita sanggup mempertahankan
ajaran itu apabila ada pihak cuba mengatakan yang sebaliknya, mustahil Nabi
Muhammad seorang yang buta huruf!
Adakah ini kerana jika mengatakan
baginda sebenarnya tahu membaca dan menulis maka itu tidak memberikan satu
pengesahan bahawa baginda seorang Rasul, utusan Allah?
Benar, yang dimaksudkan dengan
perkataan ummi' adalah seseorang yang tidak tahu, tidak mempunyai kepandaian
dan kemahiran untuk membaca dan menulis, iaitu merujuk kepada perkataan umm
bererti ibu.
Iaitu lazimnya keadaan di mana
seperti janin atau bayi yang masih dalam kandungan rahim ibunya, bererti tidak
tahu apa-apa, apatah lagi membaca dan menulis.
Malah ini sebagaimana telah
disebutkan dalam surah al-A'raf ayat 157 bahawa: Nabi Muhammad seorang ummi;
iaitu mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) Nabi yang ummi, yang mereka
dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada
di sisi mereka".
Ini menyebabkan kita sering kali
mengaitkan buta huruf itu dengan kebodohan (jahlun) tetapi Nabi sebenarnya
seorang yang amat pintar. Jadi bagaimana kita dapat kaitkan seorang yang ummi
itu sedangkan ketika usia mudanya pernah menjalankan perdagangan malah membawa
balik keuntungan yang sangat besar.
Kejayaan baginda melakukan
transaksi perniagaan ini menjadi satu petunjuk bahawa baginda seorang yang
mampu membaca dan menulis.
Malah dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit bahawa Nabi pernah bersabda: "Jika
kalian menulis kalimat Bismillahirrahim, maka perjelaskanlah huruf sin di
situ".
Ini menunjukkan baginda seorang
yang bukan sahaja mengenal huruf tetapi baginda tidak mempunyai masalah dalam
aspek tulisan dan penulisan.
Ini seperti gambar yang
dipaparkan di ruangan ini antara surat-surat yang ditulis oleh baginda bagi
menjayakan misi dakwah terutama kepada pemerintah-pemerintah sesebuah kerajaan.
Jadi, mustahil seorang Rasul
seperti baginda seorang yang bodoh. Apatah lagi mengingatkan kepada kita salah
satu sifat wajib yang ada bagi seorang Rasul itu adalah fathonah, iaitu cerdas
dan pandai.
'Ajaran' Nabi Muhammad seorang
yang benar-benar buta huruf dijadikan alasan atau perisai yang menahan baginda
dari dituduh, sebagai individu yang menulis al-Quran.
Andai kata baginda tahu menulis
membaca, maka kita dikatakan tidak mempunyai sebarang perisai lain yang boleh
digunakan bagi menangkis tuduhan tersebut.
Tidak dinafikan persoalan sama
ada Nabi Muhammad seorang yang buta huruf ataupun tidak, telah menjadi polemik
dan perbincangan oleh pelbagai pihak malah sehingga kini pun ia masih
dibicarakan.
Salah satu pendapat bagi
menafikan baginda seorang yang ummi iaitu faktor budaya masyarakat Arab
Jahiliah itu sendiri.
Orang Arab ketika itu dikatakan
tidak mempunyai budaya membaca dan menulis yang kuat kerana mereka mempunyai
kelebihan dalam mengingat kalimat-kalimat dengan begitu sempurna. Tanpa ada
sebaris ayat atau perkataan yang tertinggal.
Bagi mereka, menghafal 100
bait-bait puisi dan syair gurindam sudah cukup dengan sekali mendengar! Kalau
mereka mempunyai kebolehan yang sehebat itu maka tidak perlulah lagi mereka
menulis.
Malah dikatakan jika semua apa
yang mereka semat dan hafal dalam ingatan itu ditulis, maka akan terdapat
beribu-ribu lembaran buku dihasilkan bagi menampung semua yang dihafal itu.
Begitupun faktor ini tidak
mempunyai kekuatan malah yang sebenarnya masyarakat Arab walaupun jahil tetapi
mereka terkehadapan dalam aspek membaca dan menulis itu sendiri.
Setiap tahun mereka akan
menganjurkan sayembara atau festival pembacaan natsar (prosa) dan syair (puisi)
di pasar raya Ukaz.
Lalu, karya-karya yang memang dan
dianggap terbaik akan mendapat penghormatan lalu akan ditulis dan ditampal di
dinding-dinding Kaabah.
Fakta ini membuktikan masyarakat
Arab zaman itu termasuk suku Quraisy, iaitu keturunan baginda mahir membaca dan
menulis.
Namun seperti yang dijelaskan
oleh tokoh Islam terkenal, Sheikh Al Maqdisi bahawa individu yang menafsir
sejarah dan al-Quran itu sendiri yang keliru terhadap keupayaan dan kapasiti
Rasulullah khususnya dalam soal membaca dan menulis ini.
Menurutnya, walaupun benar ummi
itu bermaksud sebagai buta huruf tetapi apabila dikaitkan dengan Rasulullah,
ummi di sini bermaksud baginda bukan di kalangan golongan Yahudi dan Nasrani.
Ketika itu, kedua-dua kaum ini
sering kali menggelarkan atau sebenarnya mengejek umat yang selain Yahudi dan
Nasrani sebagai golongan ummi atau non-Yahudi dan non-Nasrani. Ini termasuklah
Rasulullah dan orang Arab yang lainnya.
Malah dalam satu penjelasannya
yang panjang, dapat kita ringkaskan apabila keturunan Arab melalui Nabi Ismail
sebelum turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad, kaum ini tidak pernah
diwahyukan dengan sebarang Kitab Allah.
Lantas kerana itu, kaum ini
disebut sebagai kaum ummiyyuun atau ummiyyiin yang bererti "kaum yang
belum pernah membaca atau menulis Kitab Allah".
Situasi ini yang menjadikan kaum
Yahudi semasa zaman Jahiliah merendah-rendahkan kaum Arab sebagai kaum yang
tidak mempunyai kitab.
Mereka begitu bermegah kerana
dikurniakan kitab Taurat berbanding kalangan Arab yang tidak mempunyai apa-apa
kitab itu.
Sindiran dan ejekan mereka itu
mungkin dapat dilihat melalui surah ali-'Imran ayat 75: Tiada yang patut
disalahkan bagi kami atas kaum ummiyyiin.
Ikuti penjelasan lanjut mengenai
persoalan ummi di keluaran akan datang!
l Petikan daripada buku Sirah
Nabawiyyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5XxADCLZ9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan