ARKIB : 05/06/2009
NABI Nuh ialah seorang nabi yang
penyabar dan beriman kepada Allah. Nabi Nuh tidak putus-putus menyeru kaumnya
supaya menyembah Allah Yang Esa. Pada mulanya, Nabi Nuh hanya menyebarkan agama
Islam secara sembunyi namun setelah diperintahkan oleh Allah, Nabi Nuh pun
menyebarkan agama Islam secara terbuka.
Setelah beratus-ratus tahun
menyeru kaumnya ke jalan Allah, hanya sedikit sahaja yang percaya kepada ajaran
Nabi Nuh. Ramai yang mengejek Nabi Nuh. Mereka menuduh Nabi Nuh gila.
Kaum itu juga cuba mencederakan
Nabi Nuh. Apabila Nabi Nuh menyeru supaya menyembah Allah, mereka akan
menyumbat telinga dengan jari. Mereka tidak mahu mendengar kata-kata Nabi Nuh
itu. Mereka terus menyembah berhala yang dicipta oleh mereka sendiri.
Nabi Nuh berasa kecewa dengan
sikap kaumnya itu. Sudah beratus-ratus tahun baginda cuba mengajak mereka untuk
menyembah Allah, namun mereka tetap ingkar.
Oleh kerana terlalu kecewa,
baginda pun mengadu kepada Allah: "Ya Tuhanku, Janganlah kau biarkan
orang-orang kafir ini tinggal di atas muka bumi Engkau. Jika tidak, nescaya
mereka akan menghancurkan anak-anak mereka. Mereka akan menyuruh anak-anak
mereka melakukan maksiat".
Allah mendengar doa Nabi Nuh.
Lalu Allah memerintahkan Nabi Nuh supaya membuat sebuah kapal.
Nabi Nuh dan pengikut-pengikutnya
mula menjalankan perintah Allah itu.
Walaupun diejek dan diketawakan,
baginda tetap sabar. Orang-orang kafir tidak tahu apa yang sedang dilakukan
oleh Nabi Nuh dan pengikutnya itu. Mereka berasa hairan.
Ketika itu, tiada seorangpun
pernah melihat kapal kerana tidak ada manusia yang pernah menciptakannya. Nabi
Nuh menjadi manusia pertama yang membuat kapal.
Nabi Nuh menanam beberapa batang
pokok dan menunggu sehingga pokok-pokok itu besar. Selepas beberapa tahun,
pokok-pokok itu pun besar. Lalu, pokok-pokok itu ditebang untuk dijadikan
papan.
Baginda menggunakan papan yang
dihasilkan itu untuk membina kapal. Baginda juga menggunakan paku untuk membina
kapal yang besar dan kukuh.
Nabi Nuh mengambil masa
bertahun-tahun untuk membuat kapal itu. Dalam tempoh berkenaan, pelbagai
cemuhan dan ejekan yang diterima oleh Nabi Nuh daripada kaumnya.
Walau bagaimanapun, baginda tetap
bersabar dan meneruskan kerja-kerja pembinaan kapal tersebut. Setelah kapal itu
siap dibina, Allah telah memerintahkan kepada Nabi Nuh untuk membawa masuk para
pengikutnya, semua jenis haiwan secara berpasangan dan juga pelbagai jenis
tumbuh-tumbuhan.
Kapal yang dibina oleh Nabi Nuh
mempunyai tiga tingkat. Pada bahagian bawah, dimuatkan binatang dengan setiap
jenis mempunyai satu pasangan. Pada tingkat dua ditempatkan manusia sementara
pada tingkat paling atas pula ditempatkan pelbagai jenis burung.
Nabi Nuh dan para pengikutnya
diperintahkan oleh Allah membuat persediaan untuk belayar. Mereka menunggu
tanda-tanda yang diberikan oleh Allah. Menurut sesetengah pendapat, terdapat 80
orang pengikut Nabi Nuh iaitu terdiri daripada lelaki dan pasangan
masing-masing yang kesemuanya berjumlah 160 orang.
Isteri Nabi Nuh dan seorang anak
Nabi Nuh yang bernam Yaam, tidak termasuk dalam senarai penumpang kapal.
Kedua-dua mereka telah menentang ajaran Nabi Nuh dan termasuk dalam golongan
yang ingkar.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5Xvumtiwz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan