ARKIB : 09/06/2009
KHAULAH binti Sa'labah adalah
antara golongan wanita Ansar pertama memeluk Islam semenjak Islam tiba di
Madinah. Beliau seorang yang sangat bijaksana, fasih dan indah ketika berbahasa
dan berbicara.
Hidupnya diabadikan dengan
beribadat kepada Allah dan Rasul-Nya. Suaminya merupakan Aus bin Samit, saudara
kandung Ubadah bin Samit dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arabi.
Khaulah adalah contoh wanita yang
baik dan isteri yang setia terhadap suaminya. Sehinggalah terjadi satu
peristiwa, Khaulah tidak membenarkan suaminya mendekatinya sebelum turun hukum
Allah atas perbuatan suaminya itu yang menyamakan belakang (badan) dirinya sama
seperti belakang ibu Aus.
Perbuatan ini dikenali sebagai
zihar dalam Islam.
Ucapan "kamu seperti
belakang ibu saya" adalah sebahagian dari adat zaman jahiliah kerana
dengan ucapan itu, isteri yang disamakan itu dengan sendirinya haram untuk
disentuh!
Ini menjadikan si isteri seperti
digantung tidak bertali. Ini kerana jika hendak berkahwin lain, si isteri belum
menjadi janda dan dalam masa yang sama, si isteri tidak lagi mempunyai hak
terhadap suami dan anak, selain tidak ada hak dalam hubungan kekeluargaan.
Begitulah buruknya perbuatan
zihar ini. Lalu Khaulah mendesak Nabi Muhammad supaya segera memberi keputusan
yang sesuai mengikut hukum Allah mengenai kejadian yang menimpanya itu. Ini
adalah kerana dia masih mahu rumahtangganya kekal dan anaknya terpelihara
dengan baik.
Beliau tidak mahu berpisah
suaminya yang telah tua walaupun mempunyai perlakuan yang kasar, panas baran,
suka menengking dan tidak memiliki peribadi yang mulia terhadap ahli
keluarganya.
Namun Khaulah tetap melayani suaminya
dengan baik.
Namun, apabila pada suatu hari
suaminya itu pulang dan ingin bersama dengan isterinya itu, namun permintaannya
itu telah ditolak mentah-mentah oleh Khaulah disebabkan perbuatan zihar yang
pernah dilakukan oleh Aus.
Ini menjadikan si suami begitu
marah dan mula mengeluarkan kata-kata kesat dan yang kurang disenangi oleh
Khaulah.
"Wahai Khaulah, kamu seperti
punggung ibu saya!" kata Aus dengan nada geram lalu keluar dari rumahnya.
Walaupun Aus telah keluar dari
rumah dengan hati yang marah namun beliau pulang semula ke rumah bagi
meneruskan juga niat di hatinya itu.
"Jangan kamu menolak
kemahuan saya ini, sila ikut saya ke bilik tidur," kata Aus sambil memaksa
isterinya masuk ke dalam bilik tidur.
"Tidak, demi jiwa saya yang
berada dalam kekuasaan Allah, tidak sekali-kali saya membenarkan kamu menjamah
tubuh saya selepas apa yang kamu katakan tadi sehingga ada hukum Allah dan
Rasul-Nya yang memberi keputusan mengenai hubungan kita berdua!" ujar
Khaulah dengan tegas.
"Saya tidak peduli!"
jerit Aus sambil cuba menerkam ke arah isterinya itu.
"Tidak!" jerit Khaulah
kembali lalu sempat menepis badan Aus sehingga suaminya itu jatuh ke lantai.
menyembah bumi
Aus terjatuh menyembah bumi
kerana tidak dapat mengawal badannya yang sudah tua itu. Khaulah yang tidak
mempedulikan suaminya lalu lari keluar dari rumah dan terus menuju ke rumah
Rasulullah bagi mengadukan apa yang telah berlaku padanya itu.
Apabila tiba di rumah Rasulullah
dan kebetulan baginda ada ketika itu lalu Khaulah pun menceritakan segala apa
yang berlaku pada diri dan suaminya itu.
Khaulah mahu mendapatkan juga
hukum agama dan berdialog dengan Rasulullah mengenai perkara itu.
"Suami kamu adalah anak bapa
saudara kamu. Dia sudah lanjut usia. Maka sayangi dia dan takut pada Allah
dalam urusannya," kata Nabi Muhammad selepas mendengarkan keluhan Khaulah.
Khaulah mengulangi apa yang
menimpa dirinya dan meminta pandangan nabi sama ada dia harus bercerai dengan
suaminya itu. Namun Nabi berkata: "Saya belum mendapat wahyu berkaitan
masalah kamu itu. Saya tidak melihat melainkan kamu sudah haram baginya
(bercerai)".
"Tetapi suami saya tidak
menjatuhkan talak kepada saya!," jawab Khaulah.
Nabi hanya mendiamkan diri
selepas mendengar kata-kata Khaulah itu. Khaulah masih tidak berganjak dan
terus mendesak Nabi sehingga turun ayat dari Allah bagi menyelesaikan
masalahnya itu.
"Demi Allah, saya tidak akan
pulang sehingga turun ayat al-Quran ke atas saya," kata Khaulah berkeras
dan tidak mahu meninggalkan rumah Nabi.
Namun Khaulah kemudiannya terus
mengangkat tangan ke langit dengan hatinya penuh kesedihan dan kesusahan
sehinggakan air matanya tidak berhenti-henti mengalir membasahi kedua-dua pipinya
seolah-olah kesal dengan apa yang telah berlaku. Dia mengadu nasibnya kepada
Allah.
Khaulah terus berdoa tanpa henti
menunggu turunnya ayat al-Quran bagi menyelesaikan masalahnya dan tidak lama
kemudian Nabi Muhammad pun memberitahu bahawa Allah telah menurunkan wahyu
kepada baginda berhubung masalah Khaulah itu.
Iaitu baginda membacakan surah
al-Mujadalah ayat 1 hingga 4 di hadapan Khaulah. "Suruh suami kamu
memerdekakan seorang hamba bagi menebus kesalahannya menziharkan kamu
itu," perintah Nabi kepada Khaulah.
"Ya Rasulullah bagaimana
mungkin, pada hal suami saya itu tidak mempunyai apa-apa pun," jawab
Khaulah.
"Kalau begitu, suruh suami
kamu berpuasa dua bulan berturut-turut," kata Nabi lagi.
"Bagaimana dia hendak
berpuasa Ya Rasulullah sedangkan dia sudah tua dan tidak akan mampu untuk
berpuasa apatah lagi secara berturut-turut," kata Khaulah lagi.
"Bagaimana pula kalau dia
memberikan makan kurma kepada 60 orang miskin?" tanya Nabi.
"Demi Allah! Dia tidak
mempunyai apa-apa pun Ya Rasullah!," kata Khaulah.
"Jika demikian, saya akan
membantu dengan satu tandan kurma!," kata Nabi menyatakan hasratnya untuk
membantu Khaulah. "Saya pula akan menambahkannya dengan satu tandan yang
lain," kata Khaulah bagi membantu suaminya itu.
"Kamu merupakan seorang
wanita yang sangat baik dan bijaksana. Sekarang bawalah setandan kurma dariku
ini dan sedekahkan ia dan layanilah suami kamu dengan baik," puji Nabi
terhadap Khaulah.
Begitulah kisahnya seorang wanita
yang mengadukan rayuannya kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Allah mendengar rayuannya dari langit yang tujuh lapis dan menurunkan ayat al-
Quran untuk memberikan hukum mengenai perbuatan zihar itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5Xvzs7elq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan