Selasa, 29 Ogos 2017

PEPERANGAN ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW

Oleh-ahmad bin yaakob
Peperangan
Sesungguhnya Islam tidak menggalakkan peperangan, namun setelah turunnya wahyu yang membenarkan umat Islam mengangkat senjata, Nabi Muhammad s.a.w telah membentuk angkatan tentera Islam yang dianggotai oleh golongan Muhajirin dan Ansar. Matlamat penubuhan angkatan tentera hanyalah untuk mempertahankan negara, maruah serta kesucian agama daripada dinodai gleh musuh khususnya golongan musyrikin Quraisy, Yahudi, serta Rom dan Parsi.

Pada, zaman Rasulullah s.a.w peperangan dalam lslam dapat dibahagikan kepada dua, iaitu sariyah merujuk kepada tindakan menyekat rombongan para pedagang ataupun musuh-musuh Islam serta ghazwah yang melibatkan peperangan secara besar-besaran dan disertai olen Nabi Muhammad s.a.w sendiri.

Terdapat banyak sariyah dilancarkan begitu juga peperangan yang tercetus seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perang Ahzab dan sebagainya yang ada memberikan kemenangan dan ada yang meninggalkan kesan yang mendalam ke atas masyarakat dan negara Islam.[1]
sebab dan tujuan peperangan mengikut Islam.  
1.      Mempertahankan diri dan hak
2.      Mempertahankan kemuliaan agama
3.      Mempertahankan kedaulaan negara
4.      Menegakkan keamanan dan keadilan
5.      Menghapuskan golongan riddah
6.      Penyebaran dakwah.[2]






[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini(Shah Alam:Oxford Fajar,2014),78.
[2 “Peperangan”, ”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),31.

Konsep Ummah

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Menurut Kamus Dewan, ummah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud umat.[1]Ummah bererti masyarakat atau umat manusia.Dalam konteks Islam umat ialah pemeluk, penganut, pengamal dan pengikut agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.Inbu Hisham dalam As-Sirah menyatakan bahawa umat (ummah) Islam yang pertama ialah As-Sabiqun al-Awwalun,[2] iaitu golongan pertama yang memeluk Islam di Mekah. Dalam konteks ummah pada zaman Nabi Muhammad SAW,masyarakat yang mematuhi Piagam Madinah termasuk umat Islam dan bukan Islam seperti kaum Yahudi di Madinah.[3]
       Penyebaran Islam di Madinah lebih mudah berbanding di Makkah kerana keadaan dan suasana yang berbeza antara kedua-dua kota tersebut.Sebelum ketibaan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, Islam telah tersebar di sana menerusi usaha mereka yang menyertai Perjanjian Aqabah I dan Aqabah II, serta 12 orang naqib yang dilantik oleh baginda.
       Usaha ke arah mendaulatkan agama Islam di Madinah bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak rintangan telah dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.Umat Islam berupaya untuk mendirikan sebuah masjid di tengah-tengah kota Madinah dan dapat melakukan amal ibadat secara terbuka.
       Nabi Muhammad SAW telah menyatupadukan umat Islam Madinah dan membentuk negara Islam.Selepas Hijrah, masyarakat Islam terbahagi kepada dua golongan, iaitu Muhajirin dan Ansar. Kedua-dua golongan ini telah dipersaudarakan bagi tujuan membentuk umat Islam yang kuat di kota Madinah.[4]
Golongon Muhajirin
Golongan Muhajirin merupakan pengikut Nabi Muhammad SAW yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.Istilah Muhajirin berasal daripada perkataan hijrah, penghijrahan; orang yang berhijrah dipanggil al-Muhajir (secara jamak: al-Muhajirin).
       Golongan Muhajirin bukan orang pelarian; seperti mana anggapan sesetengah orientalis, tetapi mereka berpindah/berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah kerana mematuhi suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya derni masa depan Islam yang lebih cerah.Di Madinah, golongan Muhajirin mendapat pertolongan dari segi fizikal dan moral daripada golongan Ansar.
       Golongan Muhajirin diberitakan dalam al-Quran (surah al-Baqarah: 215, surah al-Imran: 191) mendapat rahmat dan pahala yang amat besar daripada Allah SWT kerana pengorbanan mereka berhijrah.Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar untuk menjadi umat yang mulia dan kuat.[5]Golongan Muhajirin dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan paling banyak berjasa dalam menegakkan ajaran tauhid.[6]
Golongan Ansar
Golongan Ansar ialah penduduk Madinah, khususnya daripada kaum Aus dan Khazraj yang telah memeluk agama Islam.Mereka membantu Nabi Muhammad SAW sebelum dan selepas
berhijrah ke Madinah (622M). Golongan Ansar telah menjemput Nabi SAW dan para sahabat datang ke Madinah.Golongan Ansar bersama Muhajirin telah menegakkan negara Islam Madinah.Kaum  Ansar banyak berkorban, sama ada  harta benda, tenaga dan jiwa raga untuk mengembangkan agama Islam.Mereka dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan yang paling banyak berjasa dalam menegeakkan ajaran tauhid.[7]

[1] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad Wan Sulong, Teks Pra-U STPM Sejarah Islam,(Petaling Jaya : Sasbadi, 2014),12.
[2] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),32.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),21.
[4] Ibid,21.
[5] Mahayudin Yahaya, Tamadun Islam, (Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti,1998),53.
[6] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,22.
[7] Mahayudin Yahaya, Tamadun Islam,53.

JIHAD ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pengertian Jihad
Kamus Dewan mentakrifkan jihad ialah suatu peperangan yang suci melawan orang-orang kafir kerana mempertahankan agama Islam atau perang sabil dan penentangan atau perlawanan terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan agama Islam.[1]
Dari segi bahasa jihad bererti  kesulitan  atau beban atau kesungguhan dan keupayaan terakhir.Perkataan al-Jahdu dan al-Jihad  menurut  pengertian  bahasa Arab adalah  pengerahan  segenap tenaga  manusia untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan atau menolak sesuatu yang dibenci.

Menurut  istilah  syarak pula, makna jihad ialah perang  dan membantu  semua persiapan perang. Setiap mazhab mempunyai  pandangan  yang berbeza  tentang jihad.Misalnya, Mazhab Hanafi mentakrifkan jihad  sebagai mengajak orang kafir ke dalam pelukan Din al- Haq dan memerangi  mereka jika mereka menolak. Menurut pandangan Mazhab Hanafi  pula,jihad adalah mengerahkan  segala  kemampuan  dan tenaga dengan melakukan  perkara perang fi sabilillah baik dengan diri, harta,mahupun  lidah.

Sementara Mazhab Syafie pula menjelaskan jihad sebagai berperang  dijalan Allah SWT dan mengerahkan  segala  kemampuan untuk memerangi  orang-orang  kafir. Oleh itu, dengan erti kata yang luas, jihad bolehlah dimaksudkan sebagai berjuang menegakkan  kebenaran  melalui cara yang diredai-Nya, diistilahkan juga sebagai fi sabililIah.[2]
PERANAN JIHAD ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW
a) Jihad nyawa dan tenaga
Jihad nyawa  dan tenaga merupakan jihad yang paling utama, iaitu melalui  pengorbanan  jiwa dan raga.Lazimnya  jihad  sebegini  ialah jihad di medan perang  dan mereka yang terkorban  diistilahkan  sebagai  syahid.Contohnya,  Saidina  Hamzah telah gugur atau syahid  di medan Perang Uhud.
b) Jihad mempertahankan  kebenaran
Umat Islam juga digalakkan menentang kemungkaran  dan kezaliman  dalam  sesebuah pemerintahan.Oleh  sebab  itu, segala  kebatilan yang terdapat dalam masyarakat mestilah  ditentang  sama ada melalui perbuatan, perkataan ataupun dengan  hati.Terdapat  dalil daripada al-Quran  yang menggesa  umat manusia melakukan  kebaikan,  iaitu surah al-Baqarah  ayat l12,"Tidak,  barang siapa yang menyerahkan  diri sepenuhnya kepada jalan Allah dan dia berbuat baik akan mendapat pahala di sisi Tuhannya  dan tidak  ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati'.
c Mempertahankan kesucian agama daripada tindakan musuh Isam
Peranan jihad juga untuk mempertahankan kesucian agama Islam daripada tindakan musuh. Contohnya golongan al-Riddah. Golongan ini perlu diperangi untuk mempertahankan kedudukan Islam.Ada yang dihapuskan dan ada yang kembali ke jalan Allah. SMT.[4]
d) Jihad menentang  golongan munafik
Jihad dalam  kategori ini bermaksud menentang  golongan  yang berselindung  di sebalik  nama Islam.Terdapat banyak ayat al-Quran yang membicarakan berkenaan golongan  munafik  ini. Misalnya,  dalam  surah ol-Munafiqun  yang menjadi panduan kepada umat Islam sewaktu berhadapan dengan golongan  ini.Antara dalil al-Quran yang  terdapat  surah at-Taubah ayat73 yang menyeru kepadajihad ke atas orang kafir dan munafik ialah"WahaiNabi, berjihadlah  menentang orang-orang  kafir dan orang-orang munafik,  dan bertindak keras terhadap  mereka".
e)Melambangkan pengabdian diri kepada Allah SWT.
Jihad melambangkan pengabdian diri terhadap Allah SWT. Penglibatan dalam peperangan  secara tidak langsung menggambarkan bahawa individu tersebut berusaha memenuhi tuntutan syariat Islam. Apabila seorang individu mengetepikan kesenangan dan berjuang dengan bersungguh-sungguh , maka peranan jihad telah memperkasakan ketahanan dan pertahanan tentera Islam.
f)Ganjaran syurga.
Kepentingan jihad juga ialah ganjaran dan jaminan syurga kepada orang yang syahid dalam peperangan. Memang dinyatakan dalam al-Quran bahawa orang yang syahid kerana jihad fisabillillah menentang orang kafir demi menegakkan syiar Islam dijanjikan balasan syurga kepada mereka. Perkara ini menjadi peluang dan pendorong penguat semangat tentera Islam bagi melaksanakan jihad.
g)Mempertahan Islam maruah dan negara.
Konsep jihad juga digunakan untuk mempertahankan maruah diri dan negara. Pada zaman Rasulullah SAW tentera Islam menghadapi golongan musyrikin Quraisy dalam beberapa siri peperangan. Dalam kebanyakan pertempuran, tentera Islam dapat mengalahkan musuh dengan berpegang kepada konsep jihad yang tinggi. .[5]


[1Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd, 2014), 124.
[2]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar.2014)  ,75.
[3]“Pertahanan dan Pembukaan Wilayah”,dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),29.
 [4]Skor A Dalam STPM Sejarah Islam Penggal 2 (940/2),(Petaling Jaya: Penerbitan Ilmu Bakti Sdn Bhd,2015), ,43
[5]Ibid.43

Sabtu, 19 Ogos 2017

Kisah Nabi pertama ialah Kisah Nabi Zulkifli.

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Nama sebenar Nabi Zulkifli ialah Basyar bin Ayub. Oleh kerana keyakinan dan telah menjalankan tanggungjawab yang disanggupinya, Allah telah mengangkatnya sebagai nabi dan dimasukkan dalam kalangan orang-orang yang sabar.[1]Nama Zulkifli bererti Saya sanggup berpunca daripada suatu peristiwa. Raja negeri tempat Nabi Zulkifli tinggal telah tua dan tidak berdaya lagi untuk memerintah. Raja tua itu ingin menyerahkan tanggungjawabnya memerintah negeri itu kepada sesiapa sahaja yang menyanggupi syarat-syaratnya, iaitu berpuasa pada waktu siang, beribadat pada waktu malam, memerintah dengan adil dan tidak marah-marah ketika menjalankan pemerintahan.[2]

      Raja tersebut mengadakan perhimpunan dan titahnya disambut oleh seorang pemuda bernama Bashar.Oleh yang demikian, Basyar yang telah digelar Zulkifli telah ditabalkan menjadi raja yang telah tua tadi. Setelah Zulkifli ditabalkan menjadi raja, maka baginda pun menyusun jadual-jadual pentadbirannya. Pada waktu siang, Nabi Zulkifli berpuasa dan pada waktu malam dia menjalankan pentadbirannya di samping beribadat. Ketika peperangan antara negerinya dengan orang-orang yang menderhaka kepada Allah, Zulkifli meminta rakyat negerinya  pergi berperang dan mendoakan keselamatan nyawa mereka dalam peperangan tersebut.[3]  



[1]Abdul Raof Dalip, Pengajaran dari Kisah Nabi,Progressive Publishing House Sdn. Bhd., Kuala Lumpur,2011, hlm.ii.
[2] Ibid,2.
[3] Ibid, 4.

Allah perintah berkiblatkan Kaabah



Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SYEIKH al-Maraghi berkata: Selepas Allah mendirikan segala hujah terhadap ahli kitab dinyatakan bahawa mereka amat mengetahui bahawa Muhammad s.a.w. merupakan Nabi yang sebenar dan mereka mengenalinya sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka.

Begitu juga ingkar mereka berkenaan dengan penukaran kiblat semata-mata kerana takbur dan penentangan. Ini kerana bila thabit kenabiannya adalah setiap apa yang dilakukannya, sesungguhnya ia adalah wahyu daripada Tuhannya. Disebut di sini bahawa setiap umat baginya kiblat yang dihadap. Dan wajib menyerahkan hal ini kepada arahan wahyu. Firman Allah s.w.t.:

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan. Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar). (al-Baqarah: 148-150)

Firman Allah, Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya. Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan tafsiran (huwa) iaitu Dia:

(i) Kembali kepada Allah. Yakni Allah yang memerintahkan mereka mengadap kepadanya iaitu kiblat.

(ii) Kembali kepada yang memerintahkannya dengan sendirinya.

(iii) Kembali kepada rumah Allah. Inilah pendapat Mujahid.

Seterusnya firman Allah, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, iaitu dengan bersegera. Qatadah berkata: Jangan kamu kalahkan atas kiblat kamu. Al-Qurtubi berkata: Iaitu berlumba-lumbalah apa yang Allah perintahkan kamu daripada mengadap Baitullah al-Haram sekalipun gesaan bersegera kepada seluruh amalan, ketaatan dengan umum tetapi dikehendaki dengan mengadap kiblat berdasarkan ayat-ayat seterusnya.

Makna bersegera dengan solat ialah pada awal waktunya, wallahu`alam. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w., sebagaimana riwayat Daraqutni daripada Ibn Umar: Sebaik-baik amalan ialah solat pada awal waktunya. Dan dalam hadis riwayat Ibn Mas’ud menyebut awal waktunya.

Begitu juga riwayat daripada Ibrahim bin Abd al-Malik, daripada Abi Mahzurah, daripada ayahnya, daripada datuknya, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Awal waktu merupakan keredhaan Allah, pertengahan waktu merupakan rahmat Allah dan akhir waktu merupakan keampunan Allah.

Ibn al-Arabi menambah; maka berkata Abu Bakar: Keredhaan Allah lebih suka kepada kami dari keampunannya kerana keredaan-Nya untuk orang yang baik dan muhsinin sedangkan keampunannya untuk orang yang cuai. Inilah yang dipilih oleh Imam Syafie.

Firman Allah, Kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan). Ibn Abbas menafsirkan dengan maksud hari ini pada hari kiamat.

Firman Allah, Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, iaitu Allah Maha Berkuasa dan tiada sesuatupun yang dapat menghalang.

Sayid Qutub berkata: Kemudian dikemukakan pula penjelasan bagi kali yang ketiga kerana sesuatu tujuan baru yang lain, iaitu untuk mematahkan hujah kaum Ahli Kitab dan hujah golongan yang lain dari mereka yang melihat kaum Muslimin mengadap ke arah kiblat kaum Yahudi lalu menyebabkan mereka percaya kepada kebenaran apa yang digembar-gemburkan oleh kaum Yahudi.

Ia adalah tentang kelebihan agama mereka yang mengatasi agama yang dibawa oleh Muhammad, dan tentang keunggulan kiblat mereka yang mengertikan keunggulan agama mereka atau (untuk mematahkan hujah) kaum musyrikin Arab yang menggunakan isu mengadap kiblat Bait al-Maqdis itu sebagai senjata untuk menghalang orang-orang Arab yang memandang suci kepada Bait al-Haram itu dan meliarkan mereka dari memeluk Islam yang menghendaki penganut-penganutnya mengadap kepada kiblat Bani Israel.

Benarlah firman Allah: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah). Ini merupakan ta’kid dan penguat bagi perintah mengadap Kaabah serta prihatin dengannya, kerana tempat berpaling merupakan kesukaran bagi jiwa dan diri mereka. Justeru dikuatkan perintah dengan melihat manusia prihatin dengannya untuk tenang.

Dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, yakni wajib mengadap kiblat walaupun dalam musafir. Sekalipun kita berada di mana sahaja di muka bumi ini.

Benarlah hadis riwayat Daraqutni, daripada Anas bin Malik katanya: Adalah Nabi s.a.w. apabila dalam musafir dan hendak melaksanakan solat ketika di atas tunggangan nescaya ia menghadap kiblat dan bertakbir kemudian solat di mana sekalipun dihadapkan selepas itu. Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Daud juga dan dengannya merupakan pendapat Imam Syafie, Ahmad dan Abu Thaur. Sedangkan dalam mazhab Imam Malik tidaklah melazimi dan wajib mengadap kiblat berdasarkan hadis Ibn Umar katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. solat sedangkan ia mengadap dari Mekah ke Madinah atas tunggangannya.

Supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Mujahid berkata: Mereka adalah golongan musyrikin arab dan hujah mereka adalah kenyataan mereka; kamu telah kembali ke arah kiblat kami

Dan sesungguhnya dijawab daripada ini dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Katakanlah bagi Allah lah yang mempunyai timur dan barat. Al-Syaukani berkata: Mereka adalah golongan Yahudi dan dikehendaki dengan orang yang zalim ialah yang ingkar di kalangan ahli kitab dan pendapat ini dipersetujui oleh al-Qurtubi.

Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada-Ku (semata-mata). Perasaan takut asalnya ialah ketenangan pada hati yang membangkitkan untuk menjauhkan segala larangan Allah sehingga boleh membawa kepada ringannya anggota badan untuk melaksanakan ketaatan. Al-Qurtubi berkata: Makna ayat ini ialah merasa hina bagi setiap makhluk selain Allah s.w.t. dan arahan untuk meraikan segala arahan Allah.

Dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar). Al-Zajjaj berkata: Supaya aku sempurnakan nikmat atas kamu dengan cara aku memperkenalkan kepadamu kiblatku dan penyempurnaan nikmat ialah hidayah dan petunjuk ke arah kiblat, dikatakan juga masuknya syurga. Sa`id bin Jubair berkata: Tidak sempurna mendapati nikmat Allah atas seseorang hamba sehingga dimasukkan ke dalam syurga.

Iktibar ayat:

Antara iktibar dan pengajaran yang di ambil ialah:

1. Kiblat merupakan perkara yang diserah kepada wahyu yang tidak boleh dibangkang berdasarkan logik akal.

2. Sifat muslim sejati ialah berlumba-lumba dalam melaksanakan pelbagai jenis ketaatan.

3. Takut yang sebaik-baiknya ialah kepada Allah yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Natijah daripada takut kepada-Nya akan ditambah dan disempurnakan nikmat dan hidayah.

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah pensyarah di Kolej Uniti, Seremban, Negeri Sembilan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4qCT9GoEa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 29 Julai 2017

Nabi Hud mengajak kaumnya beriman kepada Allah

ARKIB : 25/08/2006

Ads by Kiosked
Nabi Hud mengajak kaumnya beriman kepada Allah
Kisah Al-Quran (Siri 4)

DAN kepada kaum ‘Ad, Kami utuskan saudara mereka, Nabi Hud. Dia berkata: “Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada tuhan bagi kamu selain dari-Nya. Kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah). (Hud: 50)

NABI Hud dilahirkan dalam kalangan kaum ‘Ad. Kebiasaan kaum ‘Ad adalah menyembah berhala. Nabi Hud diutuskan oleh Allah untuk mengembalikan kaumnya daripada kesesatan dan syirik kepada menyembah Allah.

Baginda mengajak mereka kembali kepada ajaran yang benar dan tidak menyekutukan Allah dalam apa bentuk sekalipun. Baginda menerangkan tentang kewujudan Allah s.w.t. dengan sebaik-baiknya kepada mereka. Perbandingan-perbandingan yang telah dibuat bagi menyedarkan kaumnya yang berada dalam kegelapan yang berpanjangan.

Banyak patung berhala dibuat oleh kaum ‘Ad dan mereka menyembahnya. Baginda menerangkan bahawa patung-patung itu adalah khayalan dan rekaan mereka semata-mata. Patung-patung itu tidak mampu memberikan faedah sedikitpun kepada mereka. Perbuatan mereka itu hanyalah sia-sia sahaja.

“Wahai kaumku, marilah menyembah Allah. Hanya Allah yang berhak disembah. Dialah yang menjadikan kita semua. Patung-patung itu tidak berhak disembah. Kamu semua yang membuat patung-patung itu. Benda yang kita buat tidak patut disembah. Perbuatan kamu itu adalah sia-sia sahaja,” Nabi Hud berkata kepada kaumnya.

Baginda menerangkan bahawa kedatangannya adalah untuk menyampaikan ajaran yang benar dan suci kepada mereka. Ajaran-ajaran yang disampaikan itu bukanlah rekaannya. ia juga bukan kehendak hatinya. Baginda tidak menerima sebarang upah untuk menyampaikan dakwah kepada kaumnya.

Nabi Hud mengajak kaumnya berfikir tentang segala kejadian, rezeki dan pelindungan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada mereka di muka bumi ini. Keadaan tanaman dan ladang akan bertambah subur serta makmur sekiranya mereka sujud bersyukur kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berjanji akan memberi rezeki dan kesenangan yang melimpah-ruah bagi makhluk yang sujud dan patuh kepada suruhan-Nya. Walaupun sukar untuk menarik perhatian kaumnya supaya meninggalkan amalan penyembahan berhala, namun Nabi Hud tidak pernah berputus asa.

Informasi

Kaum ‘Ad hidup di lembah Ahqaf yang terkenal dengan kesuburannya. Lembah ini terletak di antara negara Yaman dan Oman sekarang.

Pengajaran

*Amalan menyembah berhala adalah perbuatan syirik

*Rezeki akan berlipat ganda sekiranya kita tunduk dan patuh kepada suruhan Allah

Perbendaharaan kata

*Syirik : perbuatan menyekutukan (menduakan Allah)

*Khayalan : gambaran sesuatu dalam fikiran

*Sujud : Berlutut sambil meletakkan dahi ke lantai

*Rezeki : Segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4oHqDLe98
© Utusan Melayu (M) Bhd

Israk Mikraj bukan hanya perbincangan soal solat


 

ARKIB : 22/08/2006
Israk Mikraj bukan hanya perbincangan soal solat
Dr. M. BADLIHISHAM MOHD. NASIR.

Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar, lagi maha mengetahui. (al-Israk: 1)

Setiap kali bulan Rejab, umat Islam akan mengenang kembali peristiwa Israk dan Mikraj, salah satu mukjizat kepada Rasulullah s.a.w..

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan juru foto ABDUL RAZAK LATIF menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. M. Badlihisham Mohd. Nasir mengenai sambutan majlis itu di Malaysia.

Apakah maksud peristiwa Israk dan Mikraj?

DR. BADLIHISHAM: Israk dan Mikraj ini adalah kisah yang amat simbolik serta bermakna dalam Islam. Israk bermakna perjalanan dari Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Mikraj pula adalah perjalanan dari bumi ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Ia berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah.

Peristiwa ini antara lain untuk memberi kegembiraan kepada Rasulullah selepas dilanda dukacita berikutan kewafatan isteri tercinta, Siti Khadijah dan juga bapa saudaranya, Abu Talib. Tahun itu juga digelar sebagai tahun dukacita.

Perjalanan ini melibatkan bukan sahaja ruh tetapi juga jasad Rasulullah. Ia juga menguji keimanan umat Islam terutama pada ketika itu ia dianggap satu keajaiban dan tidak diterima akal terutama oleh golongan kafir.

Di sinilah, diperlihatkan manusia pertama yang membenarkan kisah Rasulullah itu iaitu saidina Abu Bakar sehingga mendapat gelaran as-siddiq atau yang membenarkan.

Ia juga menunjukkan kekuasaan Allah kepada manusia melalui tanda-tanda manzurah (yang boleh dilihat).

Bagaimanakah sambutan masyarakat Islam Malaysia terhadap majlis ini?

Sambutan Israk dan Mikraj menjadi tradisi dalam kalendar umat Islam. Sehinggakan ada yang beranggapan sesuatu kekurangan bagi mana-mana masjid atau surau yang tidak menyambutnya.

Bagaimanapun, jika diamati, keseluruhan sambutan masih tidak terlepas dari kerangka tradisi seperti ceramah, forum sebagai agenda utama.

Memanglah peristiwa itu penting dari segi kerohanian selain menunjukkan betapa pentingnya ibadat tertentu khasnya solat yang diterima sendiri oleh Rasullullah tanpa perantaraan Jibril.

Ia juga penting sebagai iktibar kepada umat Islam. Lebih utama lagi, sambutan ini perlu diperkasakan antaranya dengan membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan umat Islam.

Sambutan yang stereotaip barangkali menyebabkan kita tidak dapat melihat kaitan peristiwa besar ini dengan kehidupan masa kini. Bagaimanakah cara untuk membetulkan keadaan ini?

Saya berpendapat sudah sampai masanya bagi kita memberi nafas baru kepada sambutan Israk dan Mikraj. Dengan kata lain, sambutannya bukan sahaja membicarakan soal perintah solat sebagaimana lazim.

Sebaliknya, para penceramah atau ustaz perlu mengambil peluang peristiwa ini untuk mengaitkannya dengan isu-isu semasa yang berkaitan. Ia tidak boleh hanya difahami dalam konteks perjalanan spiritual Rasulullah sahaja.

Sebaliknya, ia perlu diarahkan secara langsung bagaimana membantu umat Islam memahami isu Palestin dan Lebanon secara mendalam.

Antaranya, bagaimana perjalanan malam Rasulullah ke Jerusalem diselitkan dengan persekongkolan syaitan dan yahudi yang mengganggu baginda.

Peristiwa di mana seorang lelaki datang dari arah kanan meminta baginda berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu adalah simbolik seruan yahudi. Jibril menerangkan jika baginda melayannya, nescaya ramai umat Islam menjadi yahudi.

Begitu juga seorang tua yang duduk di tepi jalan dan menyuruh Nabi berhenti. Ini adalah seruan iblis yang cuba menghalang usaha Nabi berdakwah.

Keazaman kedua-dua makhluk ini mengancam Islam tetap berlarutan sehingga hari ini walaupun ditepis oleh Nabi dalam perjalanan tersebut.

Apakah contoh lain yang dapat diambil pengajaran dalam konteks isu semasa?

Isu Masjid al-Aqsa misalnya. Rasulullah pernah mengimamkan solat para nabi di masjid itu yang kini sedang menanti dirobohkan oleh pihak zionis bagi mendirikan impian mereka ialah Kuil Raja Sulaiman.

Kaum yahudi ini memanglah tidak akan selamanya bersetuju dengan Islam sebagaimana diterangkan dalam al-Quran, Orang-orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka yang terpesong itu. (al-Baqarah; 120)

Ini adalah antara perseteruan yang disebut oleh Allah yang mesti dijadikan peringatan kepada kita umat Islam. Mereka ini keras dengan fahaman sebagai umat pilihan mengetahui akan kerasulan Nabi tetapi tetap enggan beriman semata-mata kerana Rasulullah bukan dalam kalangan mereka.

Mengenai solat misalnya, kita melihat menerusi media tentera Israel sembahyang dan berdoa sebelum berperang. Ini sepatutnya mengajak kita berfikir betapa ramai umat Islam termasuk di Malaysia yang masih tidak bersolat walaupun tinggal dalam negara yang aman.

Bagaimanakah pula pendekatan berdakwah yang sesuai dalam hal ini?

Bagi menjamin keberkesanan dakwah, isu Palestin dalam konteks Israk dan Mikraj perlu difahami dengan baik. Para penceramah hanya jangan mengulang syarahan.

Ada baiknya juga menggabungkan penyampaian dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk melalui slaid.

Ceramah-ceramah Israk dan Mikraj juga perlu memandu umat Islam ke arah penyelesaian masalah bukan setakat menyentuh isu kulit sahaja.

Pada masa yang sama, kita harus bersiap-sedia dengan segala kelengkapan untuk menghadapi musuh-musuh Islam sebagaimana ditegaskan dalam ayat 60 surah al-Anfaal.

Dalam isu Palestin dan Lebanon ini, kita wajib membantu mengikut kemampuan. Setidak-tidaknya mendoakan kesejahteraan umat Islam kerana doa itu adalah senjata orang mukmin.

Kita juga perlu menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit atau tenaga membantu saudara Muslim di sana. Ini juga ditunjukkan dalam perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah yang melihat sekumpulan manusia menanam gandum, sesaat kemudian ia berbuah dan dituai.

Inilah gambaran golongan yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.

Antara sebab kekeliruan mengenai Islam adalah kurang pemahaman golongan bukan Islam. Bagaimanakah cara mengatasinya?

Pertama kita perlu jelaskan Islam kepada semua. Dakwah yang sebenarnya bukan setakat menyeru orang yang sudah Islam tetapi mereka yang bukan Islam.

Dengan kata lain, pendekatan dakwah kita perlu menyeluruh. Dalam menyambut Israk dan Mikraj misalnya, kita boleh mengadakannya di kawasan lapang atau padang bagi membolehkan golongan bukan Islam hadir.

Kita juga perlu menjemput mereka yang mampu berdialog menjelaskan apa yang mereka kurang faham tentang Islam iaitu agama yang sejahtera.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4oGUSOt8G

© Utusan Melayu (M) Bhd