ARKIB : 22/08/2006
Israk Mikraj bukan hanya
perbincangan soal solat
Dr. M. BADLIHISHAM MOHD. NASIR.
Maha suci Allah yang
menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah)
ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk
memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar, lagi maha mengetahui. (al-Israk:
1)
Setiap kali bulan Rejab, umat
Islam akan mengenang kembali peristiwa Israk dan Mikraj, salah satu mukjizat
kepada Rasulullah s.a.w..
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN
dan juru foto ABDUL RAZAK LATIF menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah
dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Prof. Madya Dr. M. Badlihisham Mohd. Nasir mengenai sambutan majlis itu di
Malaysia.
Apakah maksud peristiwa Israk
dan Mikraj?
DR. BADLIHISHAM: Israk dan
Mikraj ini adalah kisah yang amat simbolik serta bermakna dalam Islam. Israk
bermakna perjalanan dari Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Mikraj pula
adalah perjalanan dari bumi ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Ia berlaku
pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah.
Peristiwa ini antara lain untuk
memberi kegembiraan kepada Rasulullah selepas dilanda dukacita berikutan
kewafatan isteri tercinta, Siti Khadijah dan juga bapa saudaranya, Abu Talib.
Tahun itu juga digelar sebagai tahun dukacita.
Perjalanan ini melibatkan bukan
sahaja ruh tetapi juga jasad Rasulullah. Ia juga menguji keimanan umat Islam
terutama pada ketika itu ia dianggap satu keajaiban dan tidak diterima akal
terutama oleh golongan kafir.
Di sinilah, diperlihatkan
manusia pertama yang membenarkan kisah Rasulullah itu iaitu saidina Abu Bakar
sehingga mendapat gelaran as-siddiq atau yang membenarkan.
Ia juga menunjukkan kekuasaan
Allah kepada manusia melalui tanda-tanda manzurah (yang boleh dilihat).
Bagaimanakah sambutan
masyarakat Islam Malaysia terhadap majlis ini?
Sambutan Israk dan Mikraj
menjadi tradisi dalam kalendar umat Islam. Sehinggakan ada yang beranggapan
sesuatu kekurangan bagi mana-mana masjid atau surau yang tidak menyambutnya.
Bagaimanapun, jika diamati,
keseluruhan sambutan masih tidak terlepas dari kerangka tradisi seperti
ceramah, forum sebagai agenda utama.
Memanglah peristiwa itu penting
dari segi kerohanian selain menunjukkan betapa pentingnya ibadat tertentu
khasnya solat yang diterima sendiri oleh Rasullullah tanpa perantaraan Jibril.
Ia juga penting sebagai iktibar
kepada umat Islam. Lebih utama lagi, sambutan ini perlu diperkasakan antaranya
dengan membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan umat Islam.
Sambutan yang stereotaip
barangkali menyebabkan kita tidak dapat melihat kaitan peristiwa besar ini
dengan kehidupan masa kini. Bagaimanakah cara untuk membetulkan keadaan ini?
Saya berpendapat sudah sampai
masanya bagi kita memberi nafas baru kepada sambutan Israk dan Mikraj. Dengan
kata lain, sambutannya bukan sahaja membicarakan soal perintah solat
sebagaimana lazim.
Sebaliknya, para penceramah
atau ustaz perlu mengambil peluang peristiwa ini untuk mengaitkannya dengan
isu-isu semasa yang berkaitan. Ia tidak boleh hanya difahami dalam konteks
perjalanan spiritual Rasulullah sahaja.
Sebaliknya, ia perlu diarahkan
secara langsung bagaimana membantu umat Islam memahami isu Palestin dan Lebanon
secara mendalam.
Antaranya, bagaimana perjalanan
malam Rasulullah ke Jerusalem diselitkan dengan persekongkolan syaitan dan
yahudi yang mengganggu baginda.
Peristiwa di mana seorang
lelaki datang dari arah kanan meminta baginda berhenti seolah-olah hendak
bertanya sesuatu adalah simbolik seruan yahudi. Jibril menerangkan jika baginda
melayannya, nescaya ramai umat Islam menjadi yahudi.
Begitu juga seorang tua yang
duduk di tepi jalan dan menyuruh Nabi berhenti. Ini adalah seruan iblis yang
cuba menghalang usaha Nabi berdakwah.
Keazaman kedua-dua makhluk ini
mengancam Islam tetap berlarutan sehingga hari ini walaupun ditepis oleh Nabi
dalam perjalanan tersebut.
Apakah contoh lain yang dapat
diambil pengajaran dalam konteks isu semasa?
Isu Masjid al-Aqsa misalnya.
Rasulullah pernah mengimamkan solat para nabi di masjid itu yang kini sedang
menanti dirobohkan oleh pihak zionis bagi mendirikan impian mereka ialah Kuil
Raja Sulaiman.
Kaum yahudi ini memanglah tidak
akan selamanya bersetuju dengan Islam sebagaimana diterangkan dalam al-Quran,
Orang-orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka
kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka yang terpesong
itu. (al-Baqarah; 120)
Ini adalah antara perseteruan
yang disebut oleh Allah yang mesti dijadikan peringatan kepada kita umat Islam.
Mereka ini keras dengan fahaman sebagai umat pilihan mengetahui akan kerasulan
Nabi tetapi tetap enggan beriman semata-mata kerana Rasulullah bukan dalam
kalangan mereka.
Mengenai solat misalnya, kita
melihat menerusi media tentera Israel sembahyang dan berdoa sebelum berperang.
Ini sepatutnya mengajak kita berfikir betapa ramai umat Islam termasuk di
Malaysia yang masih tidak bersolat walaupun tinggal dalam negara yang aman.
Bagaimanakah pula pendekatan
berdakwah yang sesuai dalam hal ini?
Bagi menjamin keberkesanan
dakwah, isu Palestin dalam konteks Israk dan Mikraj perlu difahami dengan baik.
Para penceramah hanya jangan mengulang syarahan.
Ada baiknya juga menggabungkan
penyampaian dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk melalui
slaid.
Ceramah-ceramah Israk dan
Mikraj juga perlu memandu umat Islam ke arah penyelesaian masalah bukan setakat
menyentuh isu kulit sahaja.
Pada masa yang sama, kita harus
bersiap-sedia dengan segala kelengkapan untuk menghadapi musuh-musuh Islam
sebagaimana ditegaskan dalam ayat 60 surah al-Anfaal.
Dalam isu Palestin dan Lebanon
ini, kita wajib membantu mengikut kemampuan. Setidak-tidaknya mendoakan
kesejahteraan umat Islam kerana doa itu adalah senjata orang mukmin.
Kita juga perlu menghulurkan
sumbangan dalam bentuk wang ringgit atau tenaga membantu saudara Muslim di
sana. Ini juga ditunjukkan dalam perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah yang melihat
sekumpulan manusia menanam gandum, sesaat kemudian ia berbuah dan dituai.
Inilah gambaran golongan yang
suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.
Antara sebab kekeliruan
mengenai Islam adalah kurang pemahaman golongan bukan Islam. Bagaimanakah cara
mengatasinya?
Pertama kita perlu jelaskan
Islam kepada semua. Dakwah yang sebenarnya bukan setakat menyeru orang yang
sudah Islam tetapi mereka yang bukan Islam.
Dengan kata lain, pendekatan
dakwah kita perlu menyeluruh. Dalam menyambut Israk dan Mikraj misalnya, kita
boleh mengadakannya di kawasan lapang atau padang bagi membolehkan golongan
bukan Islam hadir.
Kita juga perlu menjemput
mereka yang mampu berdialog menjelaskan apa yang mereka kurang faham tentang
Islam iaitu agama yang sejahtera.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4oGUSOt8G
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan