ARKIB : 20/08/2006
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Umat Islam ketika ini dihimpit
dengan seribu satu keperitan dan kesengsaraan. Tragedi penyembelihan,
pengusiran dan penyeksaan ke atas umat Islam di pelbagai rantau dunia ketika
ini memang amat menyayatkan. Ditambah pula dengan pelbagai label murahan yang
ditempelkan ke atas umat Islam bagaikan maruah dan hak-hak asasi umat sudah
tidak berharga hingga mudah diperkosa sewenang-wenangnya.
Namun segala malapetaka yang
melanda bukan sekadar untuk dirintih dan ditangisi. Lebih malang lagi sekiranya
pelbagai bentuk keperitan dan kecelakaan yang menimpa menjadikan umat berjiwa
kerdil, takut mendepani risiko, terbelenggu perasaan gundah-gulana dan kian
mengakar rasa rendah diri.
Dalam konteks inilah, amat
wajar sekali umat Islam menelusuri sejenak peristiwa Israk dan Mikraj yang
disambut setiap tahun pada 27 Rejab. Sememangnya peristiwa yang berlaku pada
tahun ke-11 kerasulan nabi itu mempunyai timbunan khazanah yang penuh dengan
pengajaran bernilai untuk ditelaah oleh generasi pelanjut perjuangan Islam
ketika ini.
Salah satu pengajaran besar
yang boleh dirungkaikan melalui peristiwa Israk dan Mikraj ialah mengenai
pembentukan generasi berjiwa besar. Umat yang berjiwa besar adalah umat yang
kental daya juangnya, kaya dengan cita-cita dan tidak pernah mengaku kalah pada
sebarang bentuk ujian yang melanda. Generasi yang terbina di atas keimanan dan
ketakwaan tidak mudah kecewa dengan apa jua onak duri kehidupan.
Sebarang musibah dilalui dengan
sabar berserta keyakinan bahawa setiap ujian adalah satu rahmat Allah untuk
mengangkat martabat keinsanan umat. Keyakinan utuh ini didasarkan kepada firman
Allah: Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja untuk
mengatakan, "Kami telah beriman" sedang mereka belum lagi diuji.
Sessungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Maka sesungguhnya
Allah mengetahui orang-orang yang benar dan yang berdusta. (Al-Angkabut:2-3).
Begitulah juga yang
dimanifestasikan melalui pengalaman Nabi s.a.w. yang dimuliakan Allah dengan
peristiwa Israk iaitu perjalanan pada waktu malam ke Baitulmaqdis di palestin
dan dimikrajkan atau dinaikkan ke beberapa tingkatan langit sebelum pulang ke
Mekah pada malam yang sama.
Ia berlaku ketika nabi
berhadapan dengan musibah dan ujian getir dalam sejarah awal kerasulan baginda
iaitu kehilangan dua orang paling dicintainya, Siti Khadijah dan bapa
saudaranya Abu Talib yang merupakan sumber inspirasi penting dalam perjuangan
baginda menyebar Islam. Bahkan peristiwa diusir dan diseksa masyarakat Ta'if
sejurus selepas itu turut menambah sengsara perjuangan Rasulullah s.a.w.
Walau bagaimanapun indoktrinasi
tauhid berasaskan keimanan dan ketakwaan seutuhnya kepada Allah telah membina
keperibadian Nabi s.a.w. sebagai manusia berjiwa besar yang tidak mudah kecewa
mahupun tergugah oleh pelbagai musibah yang menimpa. Demikianlah yang
diisyaratkan Allah dalam al-Quran: Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah
pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi
(darjatnya di sisi Allah) kerana kamu orang yang beriman (Ali Imran: 139).
Umat yang terbangun di atas
doktrin ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental seharusnya terbina jiwa
besar sebagaimana yang diteladankan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam yang
telah menjalani doktrinasi tauhid seharusnya telah bebas daripada kongkongan
jiwa hamba yang kerdil. Mentauhidkan Tuhan bermakna secara sedar ia telah
menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah.
Dinamika tauhid inilah juga
yang telah menghakis jiwa kerdil generasi awal Islam seperti Bilal bin Rabah,
lalu tampil mendadak sebagai manusia baru berjiwa besar dan merdeka. Generasi
seperti ini sanggup menghadapi keperitan cemeti seksaan dan dugaan getir kehidupan
demi mempertahankan keyakinan terhadap tauhid yang telah mengangkat martabat
keinsanannya.
Begitulah sikap dan peribadi
manusia berjiwa besar. Ancaman, hambatan mahupun kekangan sentiasa ditempuh
dengan tenang dan penuh kesabaran. Keyakinan kepada idealisme perjuangan tidak
mudah tergugah malah terus subur memugar dalam jiwa.
Keimanan dan ketakwaan Allah
juga menumbuhkan kepercayaan bahawa setiap kesukaran pasti di hujungnya ada
kesenangan kerana Allahlah yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Keyakinan ini
bersandarkan janji Allah yang terungkap dalam ayat seribu dinar yang begitu
popular tergantung di dinding-dinding rumah masyarakat Melayu kini: Barangsiapa
yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar
(kepada kesukaran yang melanda). Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak
disangka-sangka (At-Thalaq:2).
Kualiti jiwa besar inilah yang
harus disemangati dan dihayati dalam keriuhan sorak-sorai sambutan Israk dan
Mikraj kini. Selagi umat tidak mampu meleburkan unsur-unsur jiwa kerdil yang
masih tersisa, selagi itulah mereka tidak akan berupaya mencipta kecemerlangan.
Selagi umat masih terbelenggu jiwa kerdil yang kian menebal, selagi itulah
mereka berterusan dirundung kekecewaan tanpa pembelaan.
Sesungguhnya tanpa mempunyai
jiwa besar, sesuatu bangsa tidak akan mampu mencipta kegemilangan dalam
sejarahnya. Malah impian untuk menjadi negara yang terbilang dan gemilang akan
selama-lamanya tinggal impian andainya tidak dimulakan dengan usaha membina
kualiti generasi, termasuk kualiti jiwa besar.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4oEsWzxzF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan