ARKIB : 24/09/
Oleh Mohd. Shauki Abdul Majid
ISRAK dan Mikraj atau perjalanan
Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Baitulmaqdis dan naik ke Sidratul Muntaha,
kemudian kembali ke Mekah dalam waktu singkat merupakan peristiwa yang sukar
diterima oleh akal yang rasional kecuali melalui pendekatan iman. Satu
perjalanan spiritual yang paling tinggi yang tidak pernah dialami oleh
mana-mana Nabi pun. Ia dianggap mukjizat kedua terbesar setelah al-Quran.
Para ulama banyak berselisih
pendapat tentang bilakah terjadinya Israk dan Mikraj. Sebahagian ulama
berpendapat ia terjadi pada malam 7 Rabiulawal, sebahagian yang lain pula
menyatakan 27 Rabiulawal dan ada yang mengatakan pada 29 Ramadan. Namun
sebahagian besar ulama antaranya seperti Al-Allamah Al-Manshufury berpendapat
Israk dan Mikraj terjadi pada malam 27 Rejab.
Demikian juga perselisihan
pendapat tentang jumlah atau berapa kali terjadinya Israk dan Mikraj, tentang
bagaimana terjadinya iaitu adakah dengan tubuh kasar (jasmani) atau tubuh halus
(rohani) atau rohani sahaja, apakah ia termasuk mukjizat Nabi atau tidak dan
sehinggalah dalam menentukan tempat menjadi titik tolak perjalanan Israk itu.
Selepas pelbagai penafsiran dan
pendapat mengenai cara bagaimana Israk dan Mikraj itu terjadi, peristiwa
ladunity (Ilahi) itu diakui kebenarannya oleh segenap umat Islam. Dalam kaitan
masalah tersebut, kenyataan menunjukkan ia benar-benar berlaku meskipun hanya
hadis yang membicarakan peristiwa Israk dan Mikraj. Penyebutannya dalam
al-Quran dapat dikatakan amat sedikit. Kerana itu wajarlah jika timbul pelbagai
pendapat dan pentafsiran. Yang perlu kita ketahui adalah cara al-Quran dalam
mengemukakan suatu peristiwa sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w tidak sama
dengan cara yang ditempuh oleh para penulis kitab-kitab Sirah, atau buku-buku
sejarah yang lainnya. Ia merupakan salah satu ciri-ciri khas al-Quran.
Penjelasan al-Quran mengenai
peristiwa-peristiwa yang terjadi, baik yang ringkas mahupun yang panjang,
memang berbeza sekali dari penjelasan yang lazim diberikan oleh penulis buku.
Al-Quran tidak mengutamakan besar atau kecilnya skala kejadian, tetapi lebih
mengutamakan kandungan hikmahnya yang dikehendaki Allah s.w.t.
Keimanan
Penyajian yang ringkas ini
mungkin bermaksud menguji keimanan, mana yang mantap dan mana yang goyah di
kalangan para pengikut Rasulullah s.a.w, yakni kaum Muslimin. Ia ditunjukkan
oleh kenyataan bahawa beberapa orang yang pada masa itu telah memeluk Islam
terus menjadi murtad setelah mendengar berita tentang Israk dan Mikraj. Itulah
yang menjadi dasar pentafsiran yang menegaskan bahawa peristiwa Israk dan
Mikraj merupakan ujian bagi kaum Muslimin.
Sejauh mana hikmah yang
dikehendaki Allah s.w.t dalam peristiwa besar itu, kita tidak dapat
menjangkaunya, akan tetapi dengan disebut peristiwa itu di dalam al-Quran telah
memberi dorongan kepada kita untuk berfikir dan merenungkan kekuasaan Allah
s.w.t Yang Maha Mutlak.
Sebenarnya adalah tidak wajar
diberi tempat untuk perdebatan yang berlarutan yang timbul di zaman dahulu dan
sekarang mengenai hakikat peristiwa Israk dan Mikraj yang nyata berlaku dalam
kehidupan Rasulullah s.a.w. Jarak di antara Israk Mikraj dengan roh, jasad,
atau jarak di antara melihat dalam masa tidur atau melihat dalam masa jaga
adalah jarak yang tidak jauh.
Ia tidak sedikit pun menjejaskan
hakikat peristiwa ini sebagai satu peristiwa yang telah mendedah dan membuka
kepada Rasulullah s.a.w tempat-tempat dan alam yang amat jauh dalam sekilas
masa yang pendek sahaja. Orang yang memahami sesuatu daripada hakikat kudrat
Ilahi dan hakikat nubuwah, tidak sedikit pun memandang ganjil kepada peristiwa
itu.
Segala kerja yang kelihatan
berbeza-beza dari segi mudah dan payah pada pandangan manusia mengikut ukuran
kudrat dan pemikiran mereka atau mengikut apa yang dibiasakan dan difikirkan
mereka adalah sama sahaja di hadapan kudrat Ilahi. Sesuatu kebiasaan yang
dilihat di alam manusia itu tidak boleh dijadikan hukum dalam penilaian segala
perkara dibandingkan dengan kudrat Allah.
Hakikat nubuwah pula ialah
perhubungan dengan al-Mala'ul-A'la, iaitu perhubungan yang bukan menjadi ukuran
atau kebiasaan kepada insan-insan yang lain (daripada para Rasul). Kebolehan
menjelma di tempat atau di alam yang jauh atau kebolehan sampai di tempat yang
jauh dengan wasilah yang diketahui umum dengan wasilah yang tidak diketahui
umum bukanlah sesuatu perkara yang lebih pelik daripada perhubungan dengan alam
al-Mala'ul-A'la dan menerima wahyu darinya.
Abu Bakar telah berkata benar
apabila dia memulangkan perkara yang dirasakan pelik dan ganjil oleh kaum
Musyrikin kepada hakikat yang mudah dan biasa dengan katanya: ``Aku percayakan
beliau lebih dari itu lagi, iaitu aku telah percaya bahawa baginda membawa
wahyu dari langit (Allah)!''
Kebenarannya
Di antara perkara yang menarik
perhatian sehubungan dengan peristiwa ini, yang mana kebenarannya ternyata
kepada kaum Musyrikin dengan bukti fizikal yang dipinta mereka, iaitu bukti
kafilah (dalam perjalanan balik ke Mekah) dan sifat-sifatnya, ialah Rasulullah
s.a.w tidak mendengar nasihat Ummu Hani yang menyatakan kebimbangannya bahawa
baginda akan didustai oleh kaum Musyrikin kerana peristiwa itu sangat ganjil.
Kepercayaan Rasulullah s.a.w
kepada kebenaran yang dibawa olehnya dan kebenaran yang berlaku kepadanya
membuat baginda sanggup menceritakannya kepada mereka dengan terus terang tanpa
mempedulikan apa sahaja pendapat mereka terhadap dirinya. Sesetengah mereka
telah bertindak keluar dari Islam dan sesetengah pula menggunakan peristiwa itu
sebagai bebanan ejekan dan menanamkan keraguan, tetapi semua itu tidak dapat
mematahkan keazaman Rasulullah s.a.w untuk mengumumkan secara lantang kebenaran
yang dipercayainya.
Ini adalah menjadi contoh teladan
kepada para pendakwah agar sanggup menerangkan dakwah yang benar itu dengan
berterus terang tanpa menaruh kebimbangan terhadap kesannya di dalam hati
manusia, tanpa mengampu-ampu untuk mengambil hati mereka dan tanpa berusaha
mencari titik-titik kebenaran yang hendak dikemukakan kepada mereka.
Satu perkara lagi yang menarik
perhatian ialah Rasulullah s.a.w tidak menggunakan peristiwa ini sebagai
mukjizat untuk membenarkan kerasulannya sedangkan kaum Musyrikin mendesak beliau
supaya menunjukkan mukjizat-mukjizat. Dan kini sekurang-kurangnya telah
terbukti kepada mereka kebenaran peristiwa Israk itu. Ini kerana dakwah Islam
tidak bergantung kepada mukjizat, malah bergantung kepada tabiat dakwah dan
kepada cara dakwah itu sendiri yang diambil dari fitrah manusia yang lurus,
yang sesuai dengan daya-daya pemikiran mereka setelah ia dibetulkan.
Pengumuman peristiwa ini yang
dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dengan terus-terang itu bukanlah terbit kerana
beliau berpegang kepadanya untuk membuktikan sesuatu daripada kerasulannya,
malah ia merupakan pengumuman hakikat yang diyakini benar oleh baginda, iaitu
pengumuman semata-mata kerana ia adalah benar.
- Mohd. Shauki Abdul Majid ialah
Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm#ixzz4dZpqwYK0
© Utusan Melayu (M) BhdARKIB :
23/09/2003
Tiada ulasan:
Catat Ulasan