ARKIB : 09/05/2003
Wacana Islam
Oleh Mohd. Shauki Abd Majid
Menjelang perayaan atau
peringatan Maulid yang akan disambut dalam bulan Rabiulawal, ia adalah sebagai
pernyataan cinta daripada umat Islam kepada Nabinya.
Sejarah mencatatkan mulanya perayaan
ini diadakan pada abad keempat Hijriah setelah tentera Salib merampas Palestin
daripada tangan umat Islam. Kemenangan ini disambut dengan perayaan Hari Natal
secara besar-besaran.
Lantas bagi mengembalikan kembali
semangat umat Islam yang kian luntur itu, maka diadakan perayaan Maulid Nabi.
Setelah 200 tahun lamanya dijajah, akhirnya tentera Salib berjaya di usir dari
Palestin di bawah pimpinan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi.
Umat Islam dituntut bukan hanya
untuk menghayati ajaran Nabi Muhammad s.a.w., tetapi juga memantapkan cinta dan
penghargaan ke atas jasa-jasa serta pengorbanannya menegakkan syiar Islam.
Justeru kerana jasa dan
pengorbanan Rasulullah, serta atas dasar pemberian hak penghormatan itulah,
sehingga Allah s.w.t dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohon maghfirah
untuk baginda serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan
salam sejahtera kepada Nabi Muhammad s.a.w serta keluarganya.
Menyedari kedudukan baginda
sebagai ikutan dan teladan, menuntut kita tidak terpaku dalam kelakuan
(kelaziman) lahiriah dan melupakan hakikat ajarannya yang sebenar. Lebih
daripada itu harus disedari bahawa ajaran Rasulullah berorientasikan kepada
usaha perpaduan kemanusiaan.
Namun perpaduan yang diajarkan
itu tidak meleburkan perbezaan tetapi tetap menghormati setiap perbezaan antara
kaum kerana setiap daripada mereka telah memilih jalan kehidupan sendiri,
sehingga mereka harus mencapai prestasi kebajikan masing-masing.
Kalau dilihat dalam konteks
kehidupan masyarakat majmuk yang telah berjaya membawa keserasian sosial di
negara ini, ia adalah salah satu hakikat daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w.
Kita amat bersyukur kerana dunia tertumpu kepada kita dengan penuh penghargaan
bahawa ajaran Nabi Muhammad s.a.w terpancar dalam kehidupan bangsa Malaysia.
Islam di Malaysia, menurut
pandangan dunia luar, menampakkan wajah-wajah yang menarik dan karakternya yang
memikat sebagai kerahmatan lil alamin (sebagai rahmat bagi seluruh alam,
seluruh manusia) jauh daripada radikalisme dan ekstremisme yang melanda dunia
masa kini.
Mereka mengagumi pendekatan
keagamaan kita, mereka menunjuki Malaysia sebagai model alternatif bagi
kewujudan kerukunan hidup antara umat beragama di permukaan bumi ini. Ramai di
kalangan cendekiawan Muslim terkenal meramalkan bahawa Islam yang indah, sejuk
dan menarik yang menghidupkan kembali nilai-nilai luhur, toleransi daripada
ajaran Nabi Muhammad s.a.w akan menyingsing dari bumi Malaysia.
Jelas sekali bahawa pengamalan
agama dalam masyarakat Malaysia dibanding dengan masyarakat Islam lainnya,
merupakan model yang paling dekat dengan nilai al-Quran dan sunah Nabi Muhammad
s.a.w. Banyak kalangan kita yang menganggap bahawa kerukunan hidup dalam
masyarakat majmuk adalah hal yang biasa dan lumrah, kerana telah sebati dalam
jiwa raga bangsa, sehingga prestasi ini tidak kita anggap suatu keunggulan dan
keistimewaan yang patut diyakini.
Namun jika kita melihat dari
dunia luar, kita akan tahu dan sedar betapa besar nikmat Allah yang dilimpahkan
kepada bangsa kita. Nilai luhur bangsa serta ajaran toleransi Nabi Muhammad
s.a.w telah berakar dalam jiwa, berkat kearifan dan jasa para pemimpin
terdahulu yang kemudian diteruskan oleh pemimpin-pemimpin yang ada hari ini.
Dalam konteks ini, kepada
golongan generasi muda, hendaklah memperhatikan pesan Allah dalam firmannya
yang bermaksud:
Janganlah kamu menjadi seperti
seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat
menjadi bercerai-berai. (Surah al-Nahl ayat 92).
Untuk memulihkan prestasi
gemilang ini orang Melayu khususnya generasi penerus, dituntut bukan sahaja
mempertahankan dan melestarikan apa yang telah dicapai tetapi meningkatkannya
sehingga model dan pendekatan kita dapat mula diperkenalkan dan aplikasikan di
dunia luar demi tanggungjawab moral kita menciptakan perdamaian dunia. Kerana
pada hakikatnya perdamaian dunia tidak akan tercapai tanpa perdamaian antara
umat beragama.
Untuk mencapai hakikat dan tujuan
ini, kita harus mampu mensosialisasikan semangat ajaran serta keteladanan Nabi
Muhammad s.a.w.
Toleransi yang Rasulullah ajar
harus sentiasa menjadi acuan dan pedoman dalam interaksi kita dengan umat agama
lain. Di antara sekian banyak contoh yang ditunjukkan oleh Nabi dalam menjalin
hubungan keakraban ialah sikap lapang dada.
Baginda mengizinkan rombongan
Kristian Najran yang berkunjung ke Madinah untuk berdoa di kediaman beliau,
sebagaimana diungkapkan oleh sejarahwan Islam Ali bin Burhanuddin Al Habibi Al
Shafie dalam bukunya Al Shirah.
Dalam usaha merealisasikan
kehidupan yang damai, umat Islam, mahupun juga penganut agama lain, sepatutnya
tidak terpengaruh oleh sejarah konflik yang pernah terjadi di dunia luar.
Sejarah konflik antara umat beragama di dunia luar telah melahirkan
kesalahfahaman, rasa curiga dan permusuhan. Ia harus dibuang jauh dari bumi kita.
Dari apa yang diutarakan di atas
tersimpul suatu harapan yang mendorong kepada umat beragama untuk menunjukkan
semangat keakraban dan persaudaraan mendalam terhadap saudara-saudaranya umat
agama lain.
Kalau harapan ini dapat wujud,
insya-Allah akan tercipta suatu model unik yang mampu menerobos tembok pemisah
psikologi yang selama ini menghambat kemesraan hubungan antara umat beragama.
- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah
Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4cuqj01S1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan