ARKIB : 12/02/2003
MENGHADAP kiblat yang satu
untuk menyembah Tuhan yang satu.
Oleh ZAMRI MOHAMAD
HARI ini, 10 Zulhijjah 1423
Hijrah bersamaan dengan 12 Februari, umat Islam menyambut perayaan Hari Raya
Haji atau lebih di kenali sebagai Aidiladha.
Merenung kembali jejak-jejak
sirah para nabi, perayaan ini lebih sinonim dengan kisah Nabi Ibrahim a.s dan
anaknya, Nabi Ismail a.s.
Catatan sirah kedua-dua nabi
ini, menjadi satu inspirasi kepada jutaan umat Islam ke arah rasa taqwa kepada
Allah s.w.t. tanpa berbelah bagi.
Malah ia juga menjadi gambaran
simbol kasih sayang yang kukuh antara seorang nabi kepada Tuhannya, seorang
suami kepada isterinya, Siti Hajar serta kasih antara ibu dan anaknya.
Terdapat tiga peristiwa penting
yang boleh dikutip daripada catatan sirah ini.
Pertama, peristiwa Siti Hajar
dan anaknya Ismail a.s diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar Nabi Ibrahim
meninggalkan mereka di satu kawasan padang pasir yang tandus.
Ia kini menjadi tumpuan jutaan
umat Islam menunaikan rukun Islam yang ke lima, Mekah atau dahulunya di kenali
sebagai Bakkah.
Peristiwa kedua merupakan ujian
Allah s.w.t. ke atas Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s
yang berakhir dengan penyembelihan seekor kambing biri-biri sebagai ganti
kepada anaknya.
Peristiwa ini menunjukkan
betapa patuhnya Nabi Ismail a.s dalam memenuhi arahan yang diberikan oleh Allah
tanpa rasa ragu-ragu mahupun curiga:
Nabi Ismail a.s. berkata: ``Hai
bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan
mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'' (Ash-Shafaat:102)
Dan ketiga, pembinaan semula
Kaabah oleh kedua-dua nabi Allah yang mulia ini.
``Dan (ingatlah), ketika Kami
menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang
aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat.
``Dan telah Kami perintahkan
kepada Ibrahim dan Ismail: ``Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang
tawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan sujud...'' (Al-Baqarah:125)
Al-Quran memberikan gambaran
yang jelas tentang keperibadian Nabi Ibrahim di dalam surah Al Nahl ayat
120-122 bermaksud: ``Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat
dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah, dan seorang yang selalu berpegang
kepada kebenaran dan tidak pernah meninggalkannya.
``Dan sekali-kali bukanlah dia
termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan), (lagi) yang mensyukuri
nikmat-nikmat Allah, Allah telah memilihnya dan menunjukkannya kepada jalan
yang lurus dan kami berikan kepadanya kebaikan di dunia.
``Dan sesungguhnya dia di
akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.'' (An-Nahl:120-122)
Baitullah yang juga dikenali
sebagai Kaabah, merupakan arah kiblat bagi semua umat Islam bersembahyang untuk
mengabdikan diri kepada Allah.
Kaabah pada mulanya telah
dibina oleh Nabi Adam, bapa kepada sekalian manusia. Apabila banjir besar
melanda Mekah, Kaabah telah rosak.
Nabi Ibrahim membinanya semula
di atas tapak yang sama. Baginda meminta Nabi Ismail mencari sebiji batu bagi
menandakan penjuru bagi Kaabah.
Maka Jibril memberikan Nabi
Ismail petunjuk untuk mencari sebiji batu yang diberi nama Hajarul Aswad.
Semasa batu itu diletakkan,
mereka berdoa, ``Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina)
dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): ``Ya Tuhan kami terimalah
daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang maha mendengar lagi maha
mengetahui.
``Ya Tuhan kami, jadikanlah
kami berdua orang yang tunduk patuh kepada-Mu dan (jadikanlah) di antara anak
cucu kami umat yang tunduk patuh kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami
cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami.
``Sesungguhnya Engkaulah yang
maha penerima taubat lagi maha penyayang.'' (Al-Baqarah:127-129)
Kaabah merupakan kiblat, yakni
arah tuju Muslim ketika menunaikan kewajipan solat.
Meskipun Muslim mengarahkan
dirinya kepada Kaabah ketika solat, Muslim tidak menyembahnya.
Hakikatnya, yang layak disembah
hanyalah Allah s.w.t.
Firman Allah menjelaskan:
``Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menghadap ke
langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai.
Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidul Haram (tempat letaknya Kaabah)
dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya dan
sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab,
mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang
benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka
lakukan.'' (Al Baqarah: 144).
Struktur berbentuk kubik ini
mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Ia menjadi lambang perpaduan jutaan
Muslim di seluruh dunia.
Misalnya dalam menunaikan
ibadah solat, Muslim menghadapkan dirinya ke arah kiblat yang satu untuk
menyembah Allah yang satu.
Perpaduan merupakan elemen
penting di dalam Islam ke arah persaudaraan yang lebih bermakna.
Tambahan lagi sejarah
membuktikan, peta pertama dilukis oleh seorang Muslim dengan meletakkan tanda
arah selatan di atas dan utara di bawah.
Secara geografi, kedudukan
Kaabah itu sendiri terletak di tengah-tengah kedudukan dunia.
Meskipun Barat menukarkan tanda
arah utara di atas dan selatan di bawah, Kaabah masih kekal kedudukannya di
tengah-tengah peta dunia.
Tawaf yang dilakukan oleh
jemaah haji di Masjidul Haram sekeliling Kaabah, secara simboliknya
menggambarkan kepercayaan pada Tuhan yang satu sebagaimana setiap pusingan
menghasilkan satu bulatan.
``Dan serukanlah umat manusia
untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu)
dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang
datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
``Supaya mereka menyaksikan
berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan
menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya
kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan
yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan
berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.'' (Al Hajj 27-28).
Mengatakan Kaabah sebagai
simbol berhala adalah tidak dapat diterima akal sama sekali.
Bukti sejarah dapat di jadikan
sandaran dalam menyokong dakwaan menafikan pembohongan ini.
Ketika zaman baginda s.a.w.,
azan turut dilaungkan dengan berdiri di atas Kaabah setiap kali waktu solat.
Gambaran grafiknya boleh
dilihat dengan menonton kisah Al-Risalah (The Message), lakonan Anthony Quinn.
Watak Bilal bin Rabah
dilakonkan dengan memanjat Kaabah itu sendiri dan melaungkan azan ketika
pembukaan Mekah selepas 13 tahun berkembangnya Islam di Madinah.
Seseorang perlu bertanya pada
diri, jika benar Kaabah disamakan dengan sebuah berhala, apakah penganutnya
akan memijak berhala itu untuk menyembahnya?
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4cbzA2WMY© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan