ARKIB : 30/01/2003
Sejarah
Oleh FARIDAH MOHAMED SANI
Nabi Yunus diutus oleh Allah
s.w.t. ke sebuah negeri yang penduduknya hidup dalam kesesatan dan kejahilan.
Bahkan di setiap rumah terdapat
berhala-berhala yang dipuja dan disembah.
Tugasnya membimbing mereka dari
alam yang gelap gelita kepada kehidupan nyata menggunakan akal fikiran anugerah
Tuhan.
Mereka harus diinsafkan bahawa
segala macam berhala yang selama ini disembah, hanyalah barangan buatan manusia
yang tidak dapat memberikan sebarang manfaat kepada mereka.
Hanya Allah yang patut
disembah, iaitu Tuhan yang mencipta langit, bumi, matahari dan semua makhluk
yang ada.
Sudah tentu mereka terkejut
dengan keterangan yang seratus peratus bertentangan dengan kepercayaan mereka
selama ini; tradisi turun temurun yang menyembah dan memuja batu-batu yang
dijadikan patung dan berhala.
Apatah lagi Yunus hanya seorang
lelaki biasa, bukan jutawan, bangsawan dan keturunan raja yang memaksa mereka
mendengar kenyataannya.
Sudah boleh dijangka nasib dan
pengalamannya akan serupa dengan nabi-nabi dan rasul sebelumnya.
Yunus mendapat tentangan hebat
daripada kaumnya. Namun baginda tetap sabar mengajak mereka dengan lemah lembut
hingga bertahun-tahun lamanya.
Akhirnya, Yunus mulai bimbang.
Baginda khuatir kaumnya yang engkar ini akan menerima seksa dan azab Tuhan yang
pernah menimpa bangsa-bangsa yang terdahulu.
Yunus mengingatkan mereka
tentang seksaan Allah yang akan diturunkan kerana keengkaran mereka.
Katanya, tiada siapa dapat
mengelaknya selain orang yang dikehendaki Allah, iaitu orang-orang yang beriman
kepada-Nya.
Tetapi dengan sombong dan
angkuh mereka menjawab, ``Kami tidak akan tunduk kepadamu, kami tidak takut
seksaan Tuhanmu itu. Datangkanlah azab itu kalau kamu memang benar.''
Nabi Yunus begitu kecewa dan
marah dengan kedegilan mereka. Kesabarannya hilang, putus asa dan akhirnya dia
lari meninggalkan kaumnya dan merantau ke negeri lain.
Tidak lama kemudian, Tuhan
menurunkan azab-Nya yang dahsyat ke atas penduduk yang sombong dan degil ini.
Diturunkan hawa panas yang
semakin tinggi, menyebabkan kulit mereka mendadak berubah menjadi buruk dan
cacat.
Semakin lama suhu panas
bertambah terik, sehingga mereka merasa benar-benar terseksa.
Rasa takut mulai menghantui.
Mereka mula percaya kebenaran kata-kata Yunus dan menjerit-jerit mencari sambil
memanggil namanya.
Mereka ingin bertaubat menurut
perintah Tuhan. Tetapi Nabi Yunus sudah pergi dan tiada seorang pun yang tahu
ke mana arahnya.
Panas semakin menjadi-jadi,
sehingga para ibu tidak lagi mempedulikan bayi-bayi mereka. Apatah lagi haiwan
ternakan, semakin terbiar.
Ketika inilah mereka meminta
ampun kepada Allah, Tuhan yang diajarkan oleh Nabi Yunus dan bertaubat
sepenuhnya, mengaku untuk mematuhi ajaran dan perintah-Nya.
Tuhan Maha Pengasih dan
Penyayang, kerana taubat mereka benar-benar ikhlas, Allah segera menghentikan
segala seksaan yang dialami selama ini.
Kini mereka kembali hidup aman
dan tenteram, mengharap Nabi Yunus kembali ke pangkuan mereka, memberi tunjuk
ajar dan bimbingan ke jalan yang benar.
Sayangnya Yunus tidak kembali.
Baginda terus berjalan menghilangkan diri membawa kecewa hatinya.
Dalam perjalanannya, Yunus
akhirnya sampai di tepi sebuah pantai. Pada masa itu sekumpulan orang ramai
sedang bersiap-siap untuk belayar menyeberangi lautan luas dengan sebuah kapal.
Yunus meminta izin ikut belayar
bersama mereka. Sebagai tetamu, baginda dihormati kerana budi pekerti dan tutur
bahasanya yang baik.
Pelayaran mereka berjalan
lancar, sehinggalah apabila sampai di tengah-tengah lautan luas yang tidak
bertepi, kapal mereka dipukul gelombang.
Keputusan segera dibuat. Barang
muatan mesti dikeluarkan semuanya untuk menstabilkan kapal yang sedang
dilambung ombak.
Malangnya, usaha yang telah
dijalankan masih tidak mencukupi. Muatan yang masih ada mesti dikurangkan lagi,
dan yang tinggal hanyalah penumpang-penumpang.
Siapakah yang patut
mengorbankan diri terjun ke laut untuk menyelamatkan orang-orang lain?
Akhirnya undian dijalankan
supaya adil. Semuanya rela berkorban jiwa sekiranya takdir menentukan.
Sebaik undian dilaksanakan,
nama Nabi Yunus tersenarai. Tetapi kerana menghormati tetamu yang baik budi,
mereka tidak sanggup mengorbankannya.
Sekali lagi undian dibuat, dan
Yunus masih menjadi korban.
Akhirnya Yunus menerima
kenyataan ini walaupun mereka cuba mengundi kali ketiga.
Nabi Yunus yakin ada rahsia
besar dan hikmah di sebalik kejadian berulang ini.
Baginda bersiap sedia dicampak
ke lautan luas yang sedang bergelora, untuk di telan ombak yang mengganas.
Yunus mulai sedar kesilapannya
meninggalkan kewajipannya, membiarkan kaumnya dengan rasa putus asa, dan
berhijrah sebelum tiba perintah Allah.
Dengan perasaan pasrah, Yunus
melompat ke tengah gelombang besar menyerahkan nasibnya kepada Allah s.w.t.
Dengan perintah Allah, seekor
ikan besar yang lalu di dekatnya terus menelan Nabi Yunus a.s.
Bayangkan kegelapan dan keadaan
yang dialami Yunus di dalam perut ikan. Namun baginda menerimanya dengan redha
sebagai menebus kesilapannya meninggalkan kaumnya.
Nabi Yunus tidak henti-henti
berdoa dan memohon keampunan Tuhannya, menyesali perbuatannya : ``Bahawa tiada
Tuhan selain Engkau, Maha suci Engkau. Sesungguhnya aku adalah termasuk
orang-orang yang zalim.'' (Al-Anbia : 87).
Tuhan maha mendengar doa
hamba-Nya di mana sahaja mereka berada.
``Maka Kami telah
memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah
Kami selamatkan orang-orang yang beriman.'' (Al-Anbia : 87).
Dengan kehendak Allah, ikan
besar tadi mengeluarkan muatan dari dalam perutnya, terdampar di tepi sebuah
pantai.
Dan dengan rahmat-Nya, Yunus
masih hidup walaupun keadaannya sangat lemah.
Allah menumbuhkan sepohon pokok
yang berbuah dan berdaun lebar sebagai makanan dan tempatnya berlindung.
Akhirnya selepas pulih seperti
biasa, Nabi Yunus kembali kepada kaumnya yang telah beriman kepada Allah s.w.t.
Demikianlah kisah seorang hamba
yang pernah melakukan kesilapan tetapi segera kembali memohon keampunan kepada
Tuhan Yang maha Pengampun.
Kisah Nabi Yunus ini
diceritakan dalam surah as-Shaffat ayat 139-148:
``Sesungguhnya Yunus
benar-benar salah seorang rasul. (Ingatlah) ketika ia lari ke kapal yang penuh
muatan, kemudian ia diundi lalu ia termasuk orang-orang yang kalah dalam
undian.
``Maka ia ditelan oleh ikan
besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya ia tidak termasuk dalam
orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal dalam
perut ikan itu sampai hari kiamat.
``Kemudian Kami lemparkannya ke
daerah yang tandus, sedangkan ia dalam keadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan
untuknya sebatang pohon daripada jenis labu.
``Dan Kami utusnya kepada
seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami
anugerahkannya kenikmatan hidup kepada mereka sehingga waktu yang tertentu.''
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cWJrj5RF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan