ARKIB : 23/01/2003
Sejarah
Oleh FARIDAH MOHAMED SANI
DALAM siri pertama semalam,
diceritakan mengenai cadangan Salman Al-Farisi supaya menggali parit sebagai
benteng pertahanan kota Madinah.
Ikuti urutan kehidupan Salman
yang berasal daripada keluarga kaya tetapi sanggup meninggalkannya semata-mata
mencari Tuhan Yang Maha Suci.
Salman yang berasal dari
Isfahan adalah anak kesayangan ayahnya, seorang pembesar di daerah tersebut.
Beragama Majusi, Salman
menumpahkan baktinya pada agamanya dengan memastikan api sentiasa menyala.
Satu hari ayahnya menyuruh Salman
ke sebidang tanah miliknya. Dalam perjalanan itu beliau melewati sebuah gereja
milik kaum Nasrani.
``Aku masuk ke dalam untuk
melihat mereka bersembahyang. Kataku dalam hati mengagumi cara sembahyang
mereka ``Ini lebih baik daripada yang kuanuti selama ini.
``Aku tidak berganjak dari situ
sampai matahari terbenam. Kerana itu aku tidak pergi ke tanah milik ayah tadi
dan tidak pulang ke rumah, hingga ayah mengirim orang menyusulku''cerita
Salman.
Akibat cerita dan luahan
perasaannya kepada ayahnya, Salman dipenjarakan dan kakinya dirantai.
Tetapi anak muda ini tidak
patah semangat, beliau mengirim berita kepada orang-orang Nasrani mengenai
dirinya yang telah memeluk Nasrani.
``Aku berharap dapat bersama
mereka kembali ke Syria, tempat asal agama mereka,''katanya.
Setelah berjaya memboloskan
diri dari penjara, beliau menggabungkan diri bersama rombongan ke Syria.
Di sana baktinya dicurahkan
kepada ketua gereja sebagai pelayan, belajar dan beramal.
Sayang sekali rupanya ketua
berkenaan seorang yang tidak amanah. Sedekah daripada orang ramai disimpannya
untuk keperluan peribadinya.
Setelah dia meninggal dunia,
Salman berbakti pula kepada penggantinya.
Begitulah kehidupan Salman
seterusnya, sehinggalah seorang pendeta menasihatinya : ``Sekarang sudah dekat
masanya kebangkitan seorang nabi yang mengikuti agama Ibrahim secara murni.
``Nanti dia akan berhijrah ke
suatu tempat yang ditumbuhi kurma...seandainya kamu dapat ke sana, temuilah
dia...dia tidak mahu menerima sedekah, sebaliknya bersedia menerima hadiah.
``Di bahunya ada cap kenabian.
Apabila kamu melihatnya kamu akan segera mengenalinya.''
Pada satu hari, Salman melihat
rombongan dari Jazirah Arab. Beliau mengikutinya tetapi ketika sampai di Wadil
Qura, mereka menjualnya sebagai hamba kepada seorang Yahudi.
Selepas itu Salman dibeli pula
oleh seorang Yahudi dari Banu Quraizah, yang membawanya ke Madinah.
Ketika sampai di Madinah,
Salman begitu yakin inilah negeri yang disebutkan oleh pendeta itu kepadanya.
Beliau tinggal bersama tuannya
dan bekerja di perkebunan kurma milik Banu Quraizah, sehinggalah datang saat
kerasulan Nabi Muhammad yang datang ke Madinah dan singgah pada Bani Amar bin
Auf di Quba.
Pada suatu hari ketika Salman
berada di atas pohon kurma, sementara tuannya duduk di bawahnya, datang seorang
Yahudi membawa khabar: ``Bani Qilah celaka! mereka berkerumun mengelilingi
seorang lelaki di Quba yang datang dari Mekah dan mengaku sebagai nabi.''
Sebaik sahaja mendengar berita
itu, tubuh Salman menggigil kuat sehingga beliau hampir jatuh menimpa tuannya
yang ada di bawah.
Beliau segera turun dan
bertanya : ``Apa yang anda katakan tadi dan berita apa yang anda bawa?''
Akibat pertanyaan itu, Salman
dipukul sekuatnya oleh tuannya.
Pada petang harinya, Salman
menemui Rasulullah s.a.w. di Quba bersama anggota rombongannya.
Beliau berkata kepada mereka:
``Kamu semua adalah perantau yang memerlukan. Kebetulan saya mempunyai
persediaan makanan yang telah saya niatkan untuk bersedekah. Tetapi setelah
melihat keadaan kamu semua, saya rasa kamu lebih layak menerimanya, dan makanan
itu saya bawa ke sini.''
Salman meletakkan makanan itu
di hadapan mereka. Nabi bersabda kepada para sahabatnya : ``Makanlah dengan
nama Allah''. Tetapi baginda sendiri tidak menjamahnya.
Salman segera teringat cerita
pendeta tentang tanda-tanda lelaki yang tidak mahu makan harta sedekah.
Besoknya, awal pagi lagi Salman
menemui Rasulullah s.a.w. sambil membawa makanan. Katanya kepada Baginda :
``Saya lihat Tuan tidak mahu makanan sedekah. Saya bawakan sesuatu untuk Tuan
sebagai hadiah.''
Salman pun meletakkan makanan
tersebut di hadapan Rasulullah s.a.w. dan baginda bersabda kepada para sahabat
yang ada di situ: ``Makanlah dengan menyebut nama Allah.''
Melihat Nabi makan bersama,
Salman berkata dalam hatinya, inilah tanda kedua, iaitu dia bersedia menerima
hadiah.
Beberapa lama kemudian Salman
mencari Rasulullah s.a.w. dan menemui Baginda dan para sahabatnya di Baqi'
mengiringi jenazah.
Ketika itu Baginda memakai dua
helai kain yang lebar. Sehelai kain dipakainya sebagai sarung, sementara
sehelai lagi sebagai baju.
Salman mengucapkan salam sambil
melihatnya. Rupa-rupanya Baginda mengerti maksud Salman.
Oleh itu Baginda menyingkap
kain dari lehernya hingga ternampaklah pada bahunya tanda kenabian yang
diceritakan oleh pendeta tadi.
Melihat tanda-tanda itu semua,
Salman segera mencium Nabi sambil menangis. Beliau menceritakan pengalamannya
kepada baginda.
Setelah itu Salman memeluk
Islam, tetapi perhambaan menjadi penghalang baginya untuk turut serta dalam
peperangan Badar dan Uhud.
Oleh kerana itu Rasulullah
s.a.w. memerintahnya: ``Mintalah pada tuanmu supaya bersedia membebaskanmu
dengan menerima wang tebusan.''
Akhirnya, Salman dimerdekakan
dan hidup sebagai seorang Muslim yang bebas, setelah para sahabat Rasulullah
s.a.w. membantunya membayar wang tebusan.
Rasulullah s.a.w. selalu memuji
kecerdasan dan ketinggian ilmu Salman al-Farisi. Baginda juga memuji agama dan
budi pekertinya yang luhur.
Pada satu hari Salman yang
tinggal bersama Abu Darda ingin menggagalkan niatnya untuk berpuasa sunat esok
harinya.
Abu Darda berkata : ``Apakah
kamu hendak melarangku berpuasa dan solat kerana Allah?''
Jawab Salman : ``Sesungguhnya
kedua matamu mempunyai hak atas dirimu, demikian pula keluargamu mempunyai hak
atas dirimu.
``Di samping kamu berpuasa,
berbukalah. Dan di samping kamu bersembahyang, tidurlah.''
Abu Darda adalah seorang
sahabat yang terkenal dengan kuat ibadahnya. Abu Darda selalu beribadah pada
waktu malam dan berpuasa pada siangnya. Salman melarang beliau berlebih-lebihan
dalam ibadah itu.
Apabila peristiwa Salman dan
Abu Darda sampai kepada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda : ``Sungguh Salman
telah dipenuhi dengan ilmu.''
Pada waktu peperangan Khandak
pula, kaum Ansar berdiri sambil berkata : ``Salman dari golongan kami.''
Tiba-tiba bangkit pula kaum
Muhajirin: ``Tidak, dia dari golongan kami.''
Akhirnya Rasulullah s.a.w.
memanggil mereka semua dan bersabda : ``Salman adalah golongan kami, ahlul
bait.''
Sungguh satu penghormatan yang
tiada tolok bandingnya daripada Rasulullah s.a.w.!
Ketika Salman sedang sakit yang
membawa ajalnya, iaitu pada pagi hari kematiannya, beliau memanggil isterinya
untuk mengambil sesuatu yang pernah disimpan oleh isterinya atas permintaannya.
Rupa-rupanya barang itu
hanyalah seikat kasturi yang diperolehinya sewaktu pembebasan Jalula dulu.
Ia sengaja disimpan sebagai
wangi-wangian pada hari kematiannya.
Salman menyuruh isterinya
mengambil segelas air. Ditaburnya kasturi tadi ke dalam gelas tersebut.
Kata Salman kepada isterinya:
``Percikkanlah air ini di sekelilingku. Sekarang telah hadir di hadapanku
makhluk Allah yang tidak dapat makan dan hanya gemarkan wangi-wangian.''
Setelah isterinya melaksanakan
suruhannya. Salman berkata lagi : ``Tutupkanlah pintu dan turunlah kamu.''
Isterinya patuh pada arahannya.
Dan tidak berapa lama kemudian ia masuk kembali dan mendapati suaminya, Salman
Al-Farisi telah pergi menemui Tuhannya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cWCyUIEF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan