ARKIB : 16/01/2003
MUHAMMAD dipilih oleh penduduk
Mekah untuk meletakkan semula Hajar Aswad di tempatnya setelah bangunan Kaabah
dibaik pulih.
Pada masa itulah Fatimah,
puteri keempat Rasulullah s.a.w. lahir dalam lingkungan masyarakat yang sedang
memuja kelahiran anak lelaki.
Ayah dan ibunya menyambut
kelahirannya dengan rasa syukur.
Tiga orang kakaknya, Zainab,
Ruqayah dan Ummu Kalsum sangat menyayanginya dan memanjakannya.
Lima tahun kemudian ayahnya
diutus oleh Allah s.w.t. menjadi nabi akhir zaman.
Fatimah melihat pelbagai
kecaman dan siksaan yang diterima ayahnya sepanjang tugas dakwahnya.
Ketika `Uqbah bin Abu Mu'ith
datang membawa semacam uri dari perut unta yang disembelih, lalu meletakkannya
ke atas punggung ayahnya yang sedang sujud, Fatimah sedang berdiri tidak jauh
daripada ayahnya. Sebelum ayahnya bangun dari sujudnya, Fatimah segera
mengambil dan membuangnya.
PUTERI YANG PALING DISAYANGI
Fatimah adalah puteri yang
paling disayangi ayahnya. Dalam banyak hal nama Fatimah selalu disebut-sebut
oleh baginda.
Contohnya, ahli-ahli sejarah
menceritakan, pernah seorang wanita Quraisy mencuri selepas dia masuk Islam.
Kaum Quraisy merasa sayang kerana wanita itu akan dipotong tangannya.
Mereka menemui Usamah bin Zaid
bin Haritsah supaya memohonkan keringanan kepada Rasulullah kerana biasanya
Usamah disayangi Baginda dan sering permohonannya diperkenankannya.
Usamah menyampaikan hajat orang
ramai itu, tetapi Baginda berkata: ``Jangan bicarakan masalah ini denganku,
Usamah. Hukuman itu apabila sampai kepadaku, tidak boleh lagi ditinggalkan.
seandainya yang mencuri itu sekali pun puteri Muhammad, Fatimah, tentu akan
kupotong tangannya.''
Nabi Muhammad tidak mengatakan
puteri Muhammad secara umum, tetapi baginda menyebut nama Fatimah, puteri yang
sudah dikenali orang-orang Quraisy.
Dalam kesempatan lain Nabi
berkata: ``Wanita yang terbaik di dunia ini ada empat, Mariam (ibu Isa), Asiah
(isteri Firaun), Khadijah dan Fatimah.''
Pada masa Rasulullah dan para
sahabat berhijrah ke Madinah, Fatimah dan kakaknya, Ummu Kalsum masih berada di
Mekah.
Kedua-duanya berhijrah selepas
ayahnya mengirim utusan yang membawa mereka untuk berkumpul semula dengan
ayahnya di Madinah.
Dalam perjalanan menyusuli
ayahnya, mereka dikejar oleh sekumpulan kaum Musyrikin, sehingga unta yang
mereka naiki ketakutan, terpijak lubang dan jatuh.
Kedua-dua puteri Rasulullah ini
jatuh ke tanah. Mereka meneruskan perjalanan dalam keadaan yang terlalu lemah,
dan akhirnya sampai juga di Madinah.
Sewaktu Ali bin Abu Talib
berjumpa Rasulullah untuk meminang Fatimah, Baginda bertanya : ``Ali apakah
kamu mempunyai sesuatu?''
Ali menjawab, ``Tidak ya
Rasulullah.''
Tanya baginda lagi, : ``Di mana
baju besimu yang kuberikan pada peperangan Badar dulu?''
Ali menjawab dengan terharu
kerana merasakan Nabi begitu baik padanya dan memerhatikan kepentingannya.
``Baju itu ada pada saya ya
Rasulullah.''
``Berikanlah baju besi itu
kepada pengantinmu.''
Ali dengan segera pergi untuk
mengambil baju tersebut dan kembali membawanya kepada Baginda. Nabi menyuruh
Ali menjual baju besinya supaya wangnya dapat digunakan sebagai persiapan
melangsungkan perkahwinan.
HIDUP DALAM KEMISKINAN
Kehidupan Fatimah bersama
suaminya, Ali sentiasa dalam kemiskinan. Fatimah tahu benar keadaannya. Ali
tidak mampu mengupah seorang pembantu rumah tangga untuk membantu dan
menggantikan isterinya mengerjakan tugas-tugas yang berat.
Namun, Ali suami yang baik.
Beliau ikut membantu isterinya menguruskan kerja-kerja rumah.
Kasihan melihat keadaan
Fatimah, Ali mencadangkan isterinya menemui ayahnya yang baru kembali dengan
kemenangan dari satu peperangan.
Baginda membawa pulang beberapa
wanita tahanan perang yang nantinya akan dijadikan hamba.
Fatimah pergi menemui ayahnya,
tetapi perasaan malunya membuat Fatimah tidak mampu menyatakan hasratnya.
Dia kembali memberitahu
keadaannya kepada suaminya. Kemudian kedua-dua suami isteri ini pun menemui
Rasulullah.
Ali menjadi jurucakap
menyampaikan hasrat mereka, meminta seorang pembantu. Sementara Fatimah duduk
di dekatnya menundukkan kepala dengan rasa malu.
``Tidak,'' jawab Nabi. ``Demi
Allah saya tidak pantas memberikan seorang pembantu kepada kamu berdua, sambil
itu membiarkan ahli Suffah, mereka yang menetap di masjid dengan perut
keroncongan. Tidak ada yang akan saya berikan untuk nafkah mereka!
``Hamba sahaya ini akan saya
jual, dan hasil jualannya akan saya berikan untuk nafkah ahli-ahli suffah.''
Demikianlah Ali dan Fatimah
kembali dengan rasa syukur kepada Allah kerana rupa-rupanya masih ramai lagi
yang lebih memerlukan berbanding mereka berdua.
Pasangan suami isteri ini tidak
menduga permintaan mereka siang tadi menjadi bahan fikiran ayahnya sepanjang
hari.
Malam itu, kebetulan udara
sangat dingin. Ali dan isterinya yang berbaring di tempat tidur yang kasar,
tidak dapat melelapkan mata kerana dingin yang mencengkam ke tulang.
Tiba-tiba Rasulullah mengetuk
pintu. Ali dan Fatimah yang membongkok dalam selimut cuba bangun.
Kalau mereka menutup kepala,
kaki akan terbuka. Kalau kaki ditutup, kepala pula yang terbuka.
Nabi segera berkata: ``Tetaplah
kamu di situ.''
Terharu melihat keadaan
kedua-duanya, Nabi berkata dengan lemah lembut: ``Mahukah kamu berdua saya
ceritakan sesuatu yang lebih baik daripada yang kamu minta siang tadi kepada
saya?''
``Jibril telah mengajarkan saya
beberapa kalimat, hendaklah kamu berdua membaca `subhanallah' sepuluh kali
setiap kali lepas sembahyang, `alhamdulillah' sepuluh kali, `Allahu akbar'
sepuluh kali.
``Apabila kamu berbaring di
tempat tidurmu, bacalah `subhanallah' 33 kali, `alhamdulillah' 33 kali dan
`allahu akbar' 33 kali.''
Lebih sepertiga abad kemudian,
orang mendengar Ali r.a. berkata: ``Demi Allah saya tidak pernah
meninggalkannya (ajaran Rasulullah tadi) semenjak baginda mengajarkannya kepada
saya.''
HAJAT BERPOLIGAMI
Suatu hari Ali berniat
mengahwini anak perempuan Amr bin Hisyam bin Mughirah al-Makhzumi. Ali
beranggapan perbuatannya itu hanyalah menurut kebiasaan masyarakat ketika itu,
beristeri dua atau lebih.
Tetapi suasana tidak seperti
yang dirancangkan oleh Ali. Nabi masuk ke masjid dengan rasa marah dan bercakap
di khalayak ramai bahawa baginda tidak bersetuju puterinya dimadu dengan puteri
Amr.
Diringkaskan kisah, kemarahan
baginda ini sebenarnya ialah kerana Amr bin Hisyam adalah musuh Allah yang
sangat jahat, yang banyak menindas umat Islam.
Wajarkah puteri Rasulullah
dikumpulkan dengan puteri musuh Allah?
Fatimah puteri Muhammad
meninggal dunia pada hari Isnin, tanggal 2 Ramadan tahun ke ll hijrah
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cW0TIS7v
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan