ARKIB : 28/10/2007
Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL
ABIDIN
Dalam sejarah manusia, ramai
yang teraniaya hanya disebabkan oleh berita palsu yang direka terhadap
seseorang. Penderitaan atau kezaliman cerita bohong atau penyelewengan fakta
terhadap seseorang, bukan sahaja dirasai kesannya oleh individu berkenaan,
sebaliknya juga orang ramai. Lihat sahaja apabila diselewengkan hakikat Nabi
Isa daripada seorang insan yang diutuskan menjadi rasul diselewengkan kepada
anak Tuhan. Hasilnya, satu umat merubah menjadi syirik dan tersasar dari agama
yang sebenar. Adapun Nabi Isa, tetap mulia di sisi Allah namun yang menjadi
mangsa ialah golongan jahil yang menelan penyelewengan fakta. Demikian Sayidina
Ali, hakikat dirinya telah diselewengkan, sehingga lahirnya aliran Syiah telah
memuja-mujanya melebihi yang sepatutnya melebihi kedudukan seorang nabi lalu
tersasarlah satu mazhab di kalangan umat ini.
Sebab itu dosa para penyeleweng
fakta dan hakikat sejarah bukan sedikit. Firman Allah: (maksudnya) Kecelakaan
besar bagi orang-
orang yang menulis Kitab
(Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan
mereka), kemudian mereka berkata: Ini datang dari sisi Allah, supaya mereka dapat
membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka
kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka,
dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (
al-Baqarah: 79).
Dosa penyelewengan akan terus
ditanggung selama mana pembohongan beredar di kalangan manusia. Justeru itu,
kita sentiasa disuruh berhati-hati. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:
Wahai orang-
orang yang beriman! Jika datang
kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk
menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan
perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan
kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. Bukan sedikit dalam sejarah manusia
yang menjadi mangsa hasil penyelewengan fakta. Bermula daripada para nabi, para
sahabah Nabi s.a.w., tokoh-tokoh ilmu, para pemerintah sehingga kepada insan
biasa. Semua kerana berita golongan yang hasad, menyimpan dendam kebencian,
atau orang yang hobinya membuat cerita. Atas apa pun alasan, mereka yang
menyelewengkan fakta memakai pingat kurniaan bergelar fasik atau orang jahat
atau ahli dosa.
Umpamanya, entah berapa banyak
kisah dusta yang direka oleh golongan Syiah untuk memburuk Muawiyah bin Abi
Sufyan, sahabah Nabi s.a.w. hanya kerana dendam politik. Seorang tokoh sejarah,
Munir al-Ghadban menyebut: Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi
di dalam sejarah Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabah yang awal,
yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah dan mereka yang hidup dengan wahyu
langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya
seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan. Sesungguhnya kebanyakan
maklumat yang terlekat di pemikiran orang ramai telah diterima sebagai sesuatu
yang tidak diragui lagi dan tidak boleh untuk dipertikaikan. Maklumat itu tidak
bersesuaian sama sekali dengan darjat yang sepatutnya bagi seorang sahabah
Nabi. Gambaran Muawiyah pada pemikiran orang ramai ialah seorang yang menuntut
kuasa, ahli politik yang cekap, seorang yang mencari kesempatan, dia tidak
pernah menghiraukan apa pun dalam usahanya untuk sampai kepada kekuasaan dan
seorang yang bertarung kerana inginkan kuasa serta bertindak membunuh berpuluh-puluh
ribu orang lain semata-mata untuk menjadi khalifah. Inilah gambarannya yang
bertentangan dengan perasaan dan fitrah setiap muslim, namun tiada ganti
baginya kerana buku-buku sejarah menyebut demikian. (Munir al-Ghadban, Muawiyah
bin Abi Sufyan, m.s. 5 Syria, Dar al-Qalam).
Demikian riwayat-riwayat bohong
yang menggambarkan Khalifah Harun al-Rasyid suka berfoya-foya. Bahkan masyhur
di kalangan sesetengah masyarakat bahawa dia sering ditipu oleh kaki belit,
Abu Nawas. Ramai yang membaca kisah bohong itu dan tersengih melihat bagaimana
dia berjaya mempersendakan Khalifah Harun al-Rasyid. Sedangkan kata Ibn Khaldun
(meninggal 808H): Adapun apa yang dipalsukan oleh hikayat mengenai Harun
al-Rasyid yang selalu meminum arak dan mabuk seperti mabuknya kaki arak, Allah
memelihara daripada itu semua! Kita tidak pernah tahu dia seorang yang berbuat
jahat. Mana mungkin ini semua dengan keadaannya yang melaksanakan tanggungjawab
agama dan keadilan bagi kedudukannya sebagai khalifah. Seorang yang mendampingi
ulama dan aulia. Selalu berbincang dengan al-Fudail bin Iyad, Ibn al-
Sammak dan al-Umari. Selalu
berutusan surat dengan Sufyan al-Thauri, menangis mendengar nasihat mereka,
berdoa di Mekah ketika tawaf, kuat beribadah, menjaga waktu solat dan hadir
solat subuh pada awal waktu. (Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, m.s. 17,
Beirut: Dar al-Fikr).
Kadangkala kebencian dan dendam
membawa sesetengah pihak menghalalkan diri mereka mencipta kisah dusta
memfitnah orang lain. Kemudian orang ramai pula menelankan tanpa menyedari
bahawa jika itu satu fitnah pembohongan, mereka akan dihukum oleh Allah pada hari
kiamat kelak kerana menyebarkan fitnah terhadap muslim yang lain. Apatah lagi
jika muslim itu sahabah Nabi s.a.w. atau orang soleh atau tokoh ilmuwan Islam.
Sekalipun jika individu itu bukan terkenal sebagai orang soleh dan baragama,
kita tidak boleh menzaliminya dengan membuat cerita bohong terhadapnya.
Lihatlah apa yang dilakukan oleh penyelewengan sejarah terhadap Yazid bin
Muawiyah dengan menuduh dia membunuh cucu Nabi s.a.w. Sayidina Husain bin Ali.
Sehingga dia dilaknat dan ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan. Padahal
tiada bukti pun yang menunjukkan demikian. Kata Ibn Taimiyyah (meninggal 728H):
Yazid bin Muawiyah lahir pada zaman khalifah Uthman bin Affan. Beliau tidak
bertemu dengan Nabi s.a.w. dan tidak termasuk dalam kalangan sahabah dengan
sepakat ulama. Dia juga tidak termasuk di kalangan yang terkenal dengan agama
dan kesolehan. Dia adalah salah seorang pemuda muslimin. Dia tidak kafir atau
zindik. Memegang jawatan selepas ayahnya dengan kebencian sebahagian kaum
muslimin dan reda sebahagian yang lain. Dia adalah seorang yang berani dan
bermurah hati. Dia bukan seorang yang menzahirkan perkara-perkara keji
(maksiat) seperti yang dituduh oleh musuh-musuhnya. (Ibn Taimiyyah, Majmu
al-Fatawa, 2/
253, Riyad: Maktab al-Abikan).
Adapun peristiwa pembunuhan
cucu Nabi s.a.w. Husain bin Ali tidak ada bukti dia menyuruhnya atau terlibat
dengannya. Bahkan ahli sejarah yang adil meriwayatkan beliau menangis atas
kematian Husain dan melaknat pembunuhnya. Penduduk Syam turut menangis. Bahkan
hubungan baik Yazid dan anak Sayidina Husain iaitu Ali bin Husain berterusan
selepas itu. Mereka sering mengutus surat. Bahkan Ali bin Husain menganggap
yang membunuh ayahnya adalah Syiah di Kufah yang menjemput ayahnya dan
menipunya. Cuma Yazid dipertikaikan kerana tidak membunuh balas terhadap
pembunuh Husain. Kata Ibn al-Salah (meninggal 643H): Tidak sahih di sisi kami
bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh Husain. Riwayat yang dipercayai
menyatakan perintah membunuh al-Husain datang dari orang yang mengepalai
pembunuhannya iaitu Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu. (Ibn
Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid, Kaherah: Dar al-Sahwah).
Maka, kita dapat menerima
sesetengah pihak yang memudah-mudahkan menerima kisah buruk hanya kerana yang
dikaitkan itu artis atau orang politik atau orang yang tidak dipandang tinggi
dalam agama. Dosa tetap dosa. Para wartawan hendaklah sedar. Jangan dalam
keghairahan mengejar berita sensasi, mereka melanggar hak-hak insan yang
dipelihara agama.
Para ulama juga bukan sedikit
yang menjadi mangsa penyelewengan fakta. Cumanya fitnah terhadap tokoh-tokoh
ilmuwan agama ini kebanyakannya lahir dari sentimen ketaksuban sesama golongan
agama itu sendiri. Hal ini mengenai pelbagai tokoh termasuk al-Imam al-Syafii,
al-Bukhari, Ibn Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahhab dan ramai yang lain.
Contohnya, di sana ada kitab yang dusta mengenai al-Rihlah ila al-Rasyid
(Kembara Menuju Harun al-Rasyid) yang disandarkan secara palsu kepada al-Imam
al-Syafii. Dalam kitab tersebut banyak riwayat yang bohong dan karut. Antara
ianya mencerita bahawa Al-Imam al-Syafii bertemu dengan al-Qadi Abu Yusuf (w
182H), tokoh utama mazhab Abi Hanifah di Baghdad, sedangkan al-Qadi Abu Yusuf
meninggal sebelum al- Imam al-Syafii masuk ke Baghdad. Lebih buruk lagi ia
menceritakan tokoh terkenal ulama Islam al-Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani
(w 189H) dan juga al-Qadi Abu Yusuf merancang agar al-Imam al-Syafii dibunuh
dengan membuat dakwaan terhadapnya di hadapan khalifah. Ini adalah fitnah besar
terhadap kedua imam agung tersebut. Kedudukan kedua-dua imam itu memustahilkan
mereka melakukan perkara yang seperti itu. Kisah ini semata-mata untuk
memperlihatkan ketaksuban kepada imam al-Syafii. Semuanya datang daripada Abd
Allah bin Muhammad al-Balawi, seorang pendusta. Malangnya beberapa tokoh
memetik apa yang diriwayatkannya tanpa menjelaskan pembohongan isi
kandungannya. Sedangkan menurut kajian al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H)
al-Imam al-Syafii datang ke Baghdad pada tahun 184H. Beliau berdialog dengan
al-Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani di hadapan khalifah Harun al-Rasyid.
Muhammad bin al-Hasan memuji al-Imam al-Syafii disebabkan kebijaksanaannya.
Sehingga beliau memuliakan al-Imam al-Syafii dan mengambilnya sebagai tetamu.
Adapun Al-Qadi Abu Yusuf telah meninggal setahun, atau dua tahun sebelum itu.
(Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/263, cetakan Dar al-Kutub al-ilmiyyah,
Beirut).
Demikian fitnah yang dikenakan
kepada Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. Hanya kerana hasad dan taksub. Di Malaysia
ini pun ada tukang penyebar fitnah terhadap Ibn Taimiyyah. Tujuannya agar
cubaan membawa Islam dengan lebih terbuka dan ilmiah dapat dihalang. Maka
seperti biasa Ibn Taimiyyah dituduh sebagai wahhabi, padahal dia meninggal pada
tahun 728H dan al-Imam Muhammad Abdul Wahhab lahir pada 1115H, iaitu hampir
empat ratus sebelum kelahiran Muhammad bin Abdul Wahhab. Ilmu Ibn Taimiyyah
juga jauh mengatasi keilmuwan Muhammad bin Abdul Wahhab. Ibn Taimiyyah telah
membayar harga yang mahal untuk perjuangan pembaharuan yang dilakukan pada
zamannya. Setiap kali gerakan perbaharuan berlaku, sejarah akan mengenangnya.
Musuh-musuh pembaharuan pula akan membangkitkan semula fitnah terhadapnya. Pada
zamannya musuh-musuh beliau dari kalangan ahli-
ahli khurafat, syiah dan
tarikat yang melampau telah menabur fitnah yang begitu dahsyat terhadap beliau.
Dengan harapan, jatuhnya Ibn Taimiyyah, dapatlah mereka bermaharajalela. Tokoh
dakwah terkenal Maulana Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, dalam bukunya Al-Hafiz
Ahmad bin Taimiyyah menceritakan bagaimana golongan yang sesat berusaha agar
Ibn Taimiyyah dipenjarakan. Apabila dipenjarakan, mereka kembali berani
menyebarkan kesesatan. Maka, para ulama pada zaman tersebut mulai sedar betapa
besar dan pentingnya peranan Ibn Taimiyyah. Mereka mula menulis surat, merayu
dan membelanya di hadapan pemerintah, sehingga al-Nadwi menyebut: Ahli bidaah
dan hawa nafsu yang cuba untuk menonjolkan diri sebagai bermazhab Ahli sunah,
untuk menipu para pemerintah dan hakim (agar menangkap Ibn Taimiyyiah). Sebaik
sahaja berjaya penipuan mereka, maka orang ramai pun nampaklah kejahatan
mereka, dan golongan tersebut mulalah menonjol dan tidak bersembunyi lagi.
(Abu Hasan Ali al-Nadwi, Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah, Kuwait: Dar al-Qalam)
Jika kita perhatikan tokoh-tokoh umat pada zaman lalu dan kini, mereka banyak
mengambil manfaat daripada khazanah Ibn Taimiyyah. Lihat alNadwi yang saya
sebutkan di atas. Demikian juga al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut Al-
Imam Ibn Taimiyyah ialah
daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang
paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku.
(Al-Qaradawi, Kaif Nataamul maa al-Sunnah, Mesir: Dar al-Wafa).
Justeru, kita hendaklah
berhati-hati dengan fitnah dan khabar buruk yang disebarkan. Orang yang
difitnah tidak rugi di sisi Allah selagi dia ikhlas dan lurus dengan Allah.
Namun yang memfitnah dan menyebarkan fitnah, akan menanggung bebanan dosa itu.
Janganlah kita jadi seperti masyarakat lalat hijau yang gemarkan bahan busuk,
dan akan mati jika disiram air wangi. Dengari firman Allah (maksudnya):
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita dusta itu segolongan dari kalangan
kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan
ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan mendapat hukuman
sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil
bahagian besar dalam menyiarkannya antara mereka, akan beroleh seksa yang besar
(di dunia dan di akhirat). Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu,
orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada
diri mereka sendiri (sesama mukmin) dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang
nyata. (surah al-Nur 11-12).
- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4vkN6NuZY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan