ARKIB : 02/04/2008
SYEIKH Al-Maghari berkata: Ayat
ini merupakan perumpamaan yang lain bagi menunjukkan adanya hari kebangkitan.
Di samping itu, ia juga menunjukkan kuasa Allah kepada orang yang beriman
dengan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.
Diulangkan perbandingan untuk
mengisbatkan hari bangkit dan tidak disebut kecuali satu perbandingan sahaja
bagi mengisbatkan Rububiyah kerana yang mengingkari hari bangkit kebanyakannya
yang mengingkari Uluhiyyah Tuhan.
Firman Allah Taala: Dan
(ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku
bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati. Allah berfirman: Belum yakinkah
kamu? Ibrahim menjawab: Aku telah menyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap
mantap (dengan imanku) Allah berfirman: (Kalau demikian) ambillah empat ekor
burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): Lalu letakkan di
atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, Kemudian
panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera. Dan ketahuilah
bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 260)
Firman Allah s.w.t.: Allah
berfirman: Belum yakinkah kamu? Ibrahim menjawab: Aku telah meyakinkannya, akan
tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: (Kalau
demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu.
Ibnu Jauzi berkata: Sebab
Ibrahim bertanya terdapat empat pandangan ulama:
Pertama: Kerana ia melihat
bangkai yang telah dkoyakkan oleh binatang buas dan serangga. Lantas ditanya.
Inilah pendapat Ibnu Abbas, al-Hasan, Qatadah, Ad-Dhohak, Ata al-Kharasani,
Ibnu Juraij dan Muqatil. Apakah yang mati itu? Ini mempunyai tiga pendapat:
* Seorang lelaki yang mati.
Inilah pendapat Ibnu Abbas.
* Bangkai keldai seperti kata
Ibnu Juraij dan Muqatil.
* Ikan yang mati. Inilah yang
dinyatakan oleh Ibnu Zaid.
Kedua: Apabila Allah memberi
berita gembira dengan melantiknya menjadi khalil lantas ditanya bagi mengetahui
kebenaran berita itu. Inilah yang dinyatakan oleh As-Suddi daripada Ibnu Masud
dan Ibnu Abbas.
Ketiga: Bahawa beliau bertanya
demikian itu untuk menghilangkan segala rintangan was-was seperti pendapat Ata
bin Abi Rabah.
Keempat: Apabila Namruz
membangkangnya berkenaan dengan menghidupkan yang mati lantas bertanya demikian
itu untuk melihat apa yang Allah khabarkannya. Inilah pendapat Mahammad bin
Ishak.
Sayyid Qutub berkata: Yakni
Allah menyuruh Ibrahim a.s. memilih empat ekor burung supaya beliau mendekati
dan menjinakkan burung-burung itu kepadanya agar beliau dapat mengenal pasti
sifat masing-masing tanpa tersalah, kemudian hendaklah beliau menyembelih
burung-burung itu dan mencincang badannya setelah itu hendaklah beliau
bahagikan cincangan-cincangan badan burung itu di atas bukit-bukau yang ada di
sekelilingnya kemudian hendaklah beliau memanggil burung (yang mati dicincang)
itu nescaya seluruh bahagian badannya yang dicincang itu akan berkumpul sekali
lagi dan akan hidup kembali dan akan pulang kepadanya dengan segera. Dan
beginilah apa yang telah berlaku.
Kini Ibrahim telah melihat
rahsia Ilahi berlaku di hadapan matanya, dan itulah rahsia yang berlaku pada
setiap saat tetapi tidak dilihat oleh manusia kecuali kesan-kesannya sahaja
setelah ia berlaku dengan sempurna. Itulah rahsia pengurniaan hayat, iaitu
hayat yang datang pertama kali, sedangkan sebelum ini ia tidak wujud dan itulah
hayat yang tercetus berkali-kali yang tidak terhingga pada setiap makhluk hidup
yang baru.
Kini Ibrahim telah melihat
rahsia itu berlaku di hadapan matanya. Beberapa ekor burung telah mati dan
cincangan-cincangan tubuh badannya telah dibahagi-bahagikan di tempat-tempat
yang jauh. Kemudian burung-burung yang dicincang itu sekali lagi hidup kembali
dan pulang mendapatkan beliau.
Bagaimana? Inilah satu rahsia
yang di luar kemampuan kejadian manusia memahaminya. Mereka mungkin melihat
rahsia ini sebagaimana dilihat oleh Ibrahim dan mereka mungkin mempercayainya
sebagaimana dipercayai oleh setiap mukmin, tetapi mereka tidak dapat memahami
hakikat rahsia ini dan dapat mengetahui caranya, kerana rahsia ini adalah
daripada urusan Ilahi, sedangkan manusia tidak mengetahui sesuatu daripada ilmu
Allah melainkan apa yang dikehendaki oleh-Nya. Malah Allah tidak menghendaki
manusia mengetahui rahsia ini kerana ia lebih besar daripada mereka, kerana
tabiat rahsia ini berlainan daripada tabiat mereka dan kerana rahsia ini tidak
diperlukan mereka di dalam pentadbiran mereka.
Rahsia ini adalah urusan khas
Ilahi yang tidak mampu dijenguk oleh para makhluk dan andainya mereka menjenguk
juga untuk melihatnya, maka tiada apa yang dapat dilihat mereka selain daripada
tirai yang menutupi rahsia itu. Segala usaha mereka sia-sia sahaja. Itulah
usaha orang-orang yang tidak mahu menyerahkan urusan ghaib yang tersembunyi itu
kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib.
Firman Allah Taala: (Allah
berfirman): Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari
bahagian-bahagian itu, Kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang
kepadamu dengan segera.
Berkenaan dengan empat jenis
burung terdapat tujuh pandangan:
Pertama: Burung merpati, ayam
jantan, kurki (burung Jenjang) dan merak. Seperti riwayat Abdullah bin Hubairah
daripada Ibnu Abbas.
Kedua: Burung merak, ayam
jantan, ayam betina dan angsa. Inilah riwayat Ad-dhohak daripada Ibnu Abbas.
Ketiga: Empat ekor burung Syanah.
Inilah riwayat Abu Soleh daripada Ibnu Abbas.
Keempat: Burung merak, helang,
gagak dan ayam jantan. Dinaqalkan daripada Ibnu Abbas juga.
Kelima: Ayam jantan, burung merak,
gagak dan merpati. Inilah pendapat Ikrimah ,Mujahid, Ata, Ibnu Juraij dan
Ibnu Zaid.
Keenam: Ayam jantan, gagak,
itik dan burung merak. Inilah riwayat Laith daripada Mujahid.
Ketujuh: Ayam jantan, itik,
gagak dan merpati. Inilah pendapat Muqatil.
Ibnu Kathir berkata: Walaupun
begitu lebih baik tidak ditentukan kerana kalau ia amat penting nescaya
dinaskan oleh al-Quran berkenaan dengan binatang tersebut. Seterusnya disuruh
untuk memotongnya dan mencincangnya. Inilah pendapat Ibnu Abbas, Ikrimah, Said
bin Jubair, Abu al-Aswad al-Duali dan lain-lain.
Firman Allah Taala: dan
Ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Iaitu Allah bersifat Maha
Perkasa tiada bandingan dan tandingan serta tiada sesiapa pun yang dapat
menegahnya dan Maha bijaksana dalam perbuatan, perkataan, syariat dan
kudratnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4yr0HWXwa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan