ARKIB : 09/11/2008
Kemusykilan anda dijawab
MOHD YUSOF ABAS
SOALAN:
Adakah ibu bapa Nabi termasuk
dalam mereka yang terselamat di akhirat nanti sedangkan ada hadis yang
mengatakan bahawa Baginda pernah bersabda: "Bapa kamu dan bapaku dalam
neraka"
- Sanusi Samsul, Taiping,
Perak.
JAWAPAN:
Menurut pendapat ahlul haq,
mereka yang berada di antara dua masa para rasul itu (mereka yang dikenali
sebagai ahlul fatrah) atau mereka yang tidak diutuskan rasul kepada mereka itu,
mereka dikira terselamat dan tidak diazabkan di akhirat nanti. Ini termasuklah
ibu bapa Nabi kita. Ia berdasarkan firman-Nya yang bermaksud "Kami tidak
menyeksa (sesiapa) sehingga Kami utuskan Rasul dan utusan (untuk menerangkan
yang benar dan salah)" (Maksud Surah al Israa' ayat 15).
Adapun sabda Nabi tadi yang
mengatakan "Bapamu dan bapaku dalam neraka" itu dikatakan hadis ahad
yang tidak dapat menolak dalil qat'ai dari al-Quran. Justeru itu para ulama
kita mengatakan maksud dengan perkataan bapaku dalam hadisnya tadi boleh
difahami sebagai bapa keturunan (seperti datuk neneknya, bapa saudara seperti
Abu Talib dan Abu Lahab dan lainnya. Ini kerana Abu Talib adalah bapa angkat
yang memelihara dan menjaganya sejak kecil lagi dan bagaimana hubungan kasih
sayang yang terjalin antara anak saudara dengan bapa saudaranya itu. Menurut
pendapat yang terkuat, ibu bapanya (ibu bapa nabi) adalah terselamat, malah
kata para ulama lagi, seluruh datuk nenek dari keturunannya dikira dari ahlul
fatrah lagi bersih dari sebarang keaiban. Ini berdasarkan sabdanya yang
bermaksud: "Aku sentiasa berpindah-pindah dari benih yang suci dari satu
generasi ke satu generasi yang baik-baik (tidak bercampur) bukan dari benih
yang kotor dan jahat'' (Riwayat Abu Nu'aim)
Malahan dikatakan ada hadis
riwayat dari Urwah dari Aisyah: "Bahawa kedua ibu bapa Nabi pernah
dihidupkan kerana permohonannya lalu hiduplah keduanya dan beriman dengannya
lalu terus meninggal" (Riwayat Ibnu Syahin).
Kesimpulannya, akidah yang
perlu dipegang ialah kedua ibu bapa Baginda adalah selamat sejahtera.
Wallahualam.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz513GmUuNu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan