ARKIB : 26/11/2008
Oleh Putera Shith al-Madani
BERULANG-alik antara Bukit Safa
dan Marwah adalah sebagai memperingati peristiwa Siti Hajar mencari bantuan
makanan untuk anaknya Nabi Ismail. Gambar hiasan
Pada bulan Zulkaedah, 10H
Rasulullah SAW memaklumkan kepada para sahabat tentang keazaman baginda untuk
menunaikan haji. Pengumuman ini mendapat respons yang positif di mana sahabat
bersegera menyiapkan bekalan perjalanan masing-masing.
Sesungguhnya, ibadah yang bakal
dilaksanakan ini merupakan yang pertama dan terakhir sebelum kewafatan baginda.
Justeru, Hajjatul Wada adalah satu-satunya contoh untuk kita mengetahui
sejarah haji Rasulullah dan kaifiat mengerjakannya.
Perjalanan haji Rasulullah SAW
bersama isteri-isteri dan sahabat baginda bermula pada 24 atau 25 Zulkaedah;
iaitu pada enam hari terakhir bulan tersebut. Rombongan seramai kira-kira
120,000 orang ini bermalam di Zul Hulaifah sebelum berihram haji pada keesokan
harinya.
Menurut pendapat yang rajih,
Rasulullah berihram secara Qiran sebagaimana yang diceritakan oleh Anas ibn
Malik r.a.:
selepas itu Baginda SAW pun berihram dengan haji dan umrah.
(riwayat Bukhari). Kemudian, dengan laungan talbiah dan alunan zikir yang
bergema penuh semangat, mereka bergerak menuju Mekah.
Setelah menempuh pelbagai
situasi, pada 3 Zulhijjah rombongan tiba di Zu Tuwa; sebuah perkampungan di
pinggir kota Mekah seterusnya bermalam di situ.
Setelah siang iaitu pada 4
Zulhijjah, Rasulullah mandi membersihkan diri kemudian bergerak memasuki Kota
Makkah melalui Kada di wilayah al-Batha. Apabila tiba di Masjidil Haram,
Rasulullah SAW mengetuai umatnya menuju ke Baitullah dan berittiba. Setelah
istilam dan mengucup Hajarul Aswad, baginda SAW terus mengerjakan tawaf Qudum
sebanyak tujuh pusingan, di mana Ramal dilakukan pada tiga pusingan yang
pertama.
Selesai tawaf, Rasulullah
menunaikan solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim dan apabila selesai,
baginda sekali lagi mengucup Hajarul Aswad.
Seterusnya Baginda menuju ke
al-Masa untuk mengerjakan saie haji antara Bukit Safa dan Marwah. Setelah
mengerjakan saie, Rasulullah memerintahkan para sahabat yang berihram secara
Ifrad atau Qiran tetapi tidak membawa al-Hadyu (binatang sembelihan) agar menukar
niat ihram mereka kepada ihram umrah dan seterusnya bercukur atau bergunting
bagi menghasilkan tahallul.
Jabir r.a. berkata bahawa
Rasulullah SAW bersabda di Marwah: Barang siapa di antara kamu yang tiada
membawa al-Hadyu, maka hendaklah ia bertahallul umrah. (riwayat Muslim)
Setelah selesai urusan yang
berkenaan, Rasulullah kekal berada di Mekah sehingga 8 Zulhijjah. Sepanjang
tempoh ini, baginda berterusan memberi tunjuk ajar kepada para sahabat.
Pada waktu zuhur hari Tarwiyah
bersamaan Khamis, 8 Zulhijjah, iaitu ketika berada di Abtah, Rasulullah
mengingatkan jemaah Tamattuk agar berihram haji. Kemudian, mereka bergerak ke
Mina sambil bertalbiyah, seterusnya bermalam di situ. Semasa di Mina, mereka
mengerjakan solat fardu secara qasar tanpa jamak.
Keesokan harinya (Hari Arafah/9
Zulhijjah), pada waktu dhuha, Rasulullah dan rombongan berangkat ke Arafah dan
baginda berkhemah di Namirah. Apabila hampir waktu zuhur, Rasulullah menaiki
untanya al-Qaswa menuju ke Wadi Uranah untuk menyampaikan khutbah Arafah.
Selepas itu, baginda mengimami
solat zuhur dan asar secara jamak taqdim dan qasar, dengan satu azan dan dua
iqamat. Selesai solat, Rasulullah pergi ke kaki bukit Jabal Rahmah dan berwuquf
di al-Sakhrah sehingga terbenam matahari.
Setelah terbenam matahari,
Rasulullah berangkat dengan penuh ketenangan ke Muzdalifah dengan menaiki
untanya. Usamah ibn Zaid r.a. meriwayatkan: Rasulullah SAW bergerak dengan
perlahan. Sekiranya didapati ada kelapangan di hadapan, barulah baginda
mempercepatkan pergerakan untanya. (riwayat Bukahri)
Apabila tiba di Muzdalifah,
Rasulullah menunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak takhir dan qasar.
Sebelum mabit, baginda mengizinkan golongan tua yang uzur, wanita dan
kanak-kanak agar meneruskan perjalanan ke Mina selepas tengah malam.
Apabila fajar menyingsing,
Rasulullah bangun menunaikan solat subuh seterusnya berdoa sehingga hari cerah
dan mengutip tujuh biji anak batu. Kemudian, dengan gema laungan talbiyah,
baginda menuju ke al-Jamratul Kubra di Mina lalu melakukan lontaran seraya bertakbir
pada waktu dhuha.
Selesai melontar pada hari
Nahar, 10 Zulhijjah ini, baginda menyembelih al-Hadyu sebanyak 63 ekor Badanah
seterusnya bercukur untuk Tahallul Awwal, dan menghadiahkan rambut-rambutnya
kepada sahabat sebagai kenangan. Selesai bercukur, Rasulullah membersihkan diri
dan memakai wangian kasturi lalu baginda bergerak menuju Mekah.
Apabila tiba di Masjidil Haram,
Rasulullah mengerjakan tawaf Ifadhah bertujuan menghasilkan Tahallul Thani.
Selesai tawaf dan solat di belakang Makam Ibrahim, baginda minum air zamzam dan
berehat seketika sehingga masuk waktu zuhur. Setelah solat, Rasulullah kembali
ke Mina bagi tujuan mabit pada malam hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13
Zulhijjah.
Pada siang harinya pula,
Rasulullah mengisi waktu-waktu Baginda dengan berkhutbah dan menyelesaikan
permasalahan umatnya berkaitan ibadat haji. Apabila matahari tergelincir,
Rasulullah SAW pergi melontar di Jamarat, iaitu al-Sughra, al-Wusta dan
al-Kubra, serta berdoa setiap kali sempurna lontaran di dua jamrah yang pertama
seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Umar r.a.
Jabir r.a. pula meriwayatkan:
Rasulullah SAW melontar al-Jamratul Kubra pada hari Nahar ketika waktu dhuha,
manakala lontaran yang seterusnya (di Jamarat pada hari-hari Tasyriq) ialah
selepas matahari tergelincir. (riwayat Muslim)
Sepanjang baginda SAW berada di
Mina, Rasulullah mengerjakan solat-solat fardu secara qasar sahaja.
Setelah menyempurnakan lontaran
pada 13 Zulhijjah, Rasulullah menuju ke al-Muhassab dan bermalam di situ. Pada
14 Zulhijjah, baginda bangun sebelum subuh lalu menyucikan diri. Selepas itu,
baginda menunggang untanya menuju ke Masjidil Haram untuk mengerjakan tawaf
Wada ketika hari masih gelap.
Selesai tawaf, Rasulullah
segera meninggalkan Mekah melalui al-Thaniyyah al-Sufla dan pulang ke Madinah.
Setibanya di Kuday, Rasulullah bertemu dengan isterinya Aisyah r.a. yang baru
selesai mengerjakan umrah dari Tanim.
Rasulullah meneruskan
perjalanan sehingga tiba di Zul Hulaifah lalu bermalam di situ. Keesokan
paginya, baginda bergerak menuju ke Madinah melalui jalan Muarras. Akhirnya,
dengan lafaz takbir, tahlil dan doa, Rasulullah dan rombongan baginda selamat
sampai ke Kota Madinah.
Begitulah secara ringkasnya
sirah haji yang mampu dipaparkan dalam ruangan ini. Semoga ia menjadi panduan
buat bakal jemaah haji dan pembaca sekelian. Wallahu Alam.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz518sRFvrG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan