ARKIB : 26/12/2008
Nabi Ibrahim melawan Raja
Namrud
APAKAH kamu tidak memerhatikan
orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah memberikan
kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan:
"Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan." Orang itu
berkata: "Saya dapat menghidupkan dan mematikan." Ibrahim berkata,
"Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia
dari barat." Lalu terdiamlah orang kafir itu dan Allah tidak memberi
petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 258)
Peristiwa ini berlaku selepas
sahaja baginda keluar dari api yang membakar dirinya. Nabi Ibrahim semakin
bersemangat untuk meneruskan dakwah kerana bertambah yakin dengan petunjuk dan
perlindungan daripada Allah SWT. Baginda menjalankan dakwah tidak
berhenti-henti kepada kaumnya.
Suatu hari, kegiatan dakwahnya
itu telah diketahui oleh Raja Namrud. Raja Namrud berasa sangat risau dan susah
hati. Dia bimbang kekuasaannya akan tergugat kerana dakwah yang dijalankan oleh
Nabi Ibrahim. Dia juga bimbang sekiranya kerajaannya akan musnah disebabkan
oleh pengaruh dan dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim.
Raja Namrud telah memanggil
Nabi Ibrahim supaya datang mengadapnya. Apabila Nabi Ibrahim tiba, Raja Namrud
pun bertanya kepada Nabi Ibrahim:
"Apakah fitnah dan api
permusuhan yang engkau sebar dan engkau khabarkan di tengah-tengah rakyatku?
Siapa Tuhan yang engkau minta rakyatku menyembahnya? Ada lagikah Tuhan yang
engkau kenal dan patut disembah selain aku? Siapa yang mempunyai kedudukan
setinggi kedudukanku dan siapa yang memiliki kekuasaan seluas kekuasaanku?
Tidakkah engkau nampak, aku berkuasa mengatur dan mentadbir kerajaanku yang
luas ini, menetapkan dan membatalkan sesuatu menurut kehendakku tanpa ada
sesiapa dapat menghalangnya ? Segala keputusanku ditaati dan tidak ada sesiapa
pun dapat menundanya. Semua orang bergantung kepadaku untuk meminta pertolongan
dan mereka tidak berani melawannya. Mengapa engkau berani menentang aku? Kamu
bukan menghina malah merosakkan sembahan-sembahan rakyatku."
Nabi Ibrahim pun menjawab
kata-kata Raja Namrud itu dengan tenang sekali, "Aku tidak menyebarkan
fitnah atau menimbulkan kekacauan. Aku hanya membawa kebenaran dan mahu
menghapuskan kesesatan. Aku mengajak orang ramai supaya menyekbah Allah, Tuhan
yang menghidupkan dan mematikan, memberi kehidupan kepada makhluk-Nya atau
mencabut nyawa.
Itulah Tuhan yang aku sembah
dan aku mengajak orang menyembah-Nya. Bukan patung-patung yang dibuat oleh
mereka sendiri."
Namrud berasa amat tidak berpuas
hati. "Jika Tuhan yang engkau sembah dapat menghidupkan dan mematikan, aku
pun mampu melakukannya. Seseorang yang mesti menjalani hukuman mati apabila
diampunkan olehku maka dia akan hidup dan apabila orang itu dijatuhi hukuman
mati, maka ertinya aku telah mematikan dia. Sekarang tidak ada bezanya Tuhanmu
dengan diriku. Mengapa engkau tidak menyembahku?"
Nabi Ibrahim masih tidak
berputus asa. "Baiklah, Tuhanku telah menciptakan matahari dengan
kedudukan terbit setiap hari di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat.
Jika engkau benar-benar berkuasa, cubalah engkau ubah kedudukannya itu.
Dapatkah engkau melakukannya?"
Namrud akhirnya terdiam
seketika. Dia tidak dapat melawan kata-kata dan hujah daripada Nabi Ibrahim.
Mulai dari saat itulah, Namrud menganggap Nabi Ibrahim sebagai musuh yang perlu
dilayan dengan berhati-hati. Dia tidak mahu menampakkan kebencian yang nyata
kepada Nabi Ibrahim. Sebagai langkah berjaga-jaga Namrud telah menghantar
beberapa pasukan pengawal untuk menyiasat segala kegiatan Nabi Ibrahim.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz51F7gWThm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan