ARKIB : 09/03/2009
Oleh ROOSFA HASHIM
HARI ini umat Islam di seluruh pelosok dunia
meraikan tarikh 12 Rabiulawal, iaitu tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Sungguhpun Baginda telah pergi meninggalkan umat yang dikasihinya lebih 1,500
tahun lalu, namun perasaan cinta dan kasih sayang seluruh umat Muslimin tidak
akan berkurang.
Meskipun Baginda pernah menyatakan bahawa umat
Islam yang ramai pada akhir zaman umpama buih akan berada dalam keadaan yang
lemah namun jumlah yang tetap berpegang teguh pada ajarannya tetap ramai.
Usaha mendokumentasikan setiap kata-kata dan
perbuatan Baginda oleh para pengumpul hadis telah menyelamatkan umat Islam
dalam mentafsirkan kebanyakan maksud ayat al-Quran. Hadis dan sunah Nabi SAW
kemudian menjadi sumber utama selepas al-Quran dalam menetapkan hukum Islam.
Daripada catatan-catatan inilah kemudiannya lahir banyak buku yang menceritakan
kisah hidup Rasulullah SAW.
Dapatlah dikatakan Nabi Muhammad SAW salah
seorang tokoh dan pemimpin yang kisah hidupnya paling banyak diterbitkan.
Biografi Baginda sentiasa terbit dalam bentuk dan edisi baru kerana selalu ada
penulis kontemporari yang melihat ketokohan baginda dalam pelbagai konteks dan
tafsiran yang baru.
Antara buku biografi baginda yang laris ialah
Sejarah Hidup Muhammad karya Muhammad Husain Haekal. Karya Haekal ini dipuji
oleh pelbagai pihak dan dapat dikatakan sebagai buku terpenting dalam era
sekarang. Melalui biografi ini, memberikan gambaran dan wajah sebenar baginda
Nabi Muhammad SAW yang kita sayangi sungguhpun kita tidak berpeluang menatap
Baginda. Ulama Nusantara, Hamka dalam kata pengantar buku versi Indonesia yang
asalnya sebuah artikel dalam Panji Masyarakat membuka buku ini dengan penuh bersemangat.
Penulis Barat dan mereka yang terdidik di Barat dan terpengaruh dengan
pemikiran para orientalis bila menulis tentang Nabi Muhammad SAW dan ini tidak
berlaku bagi karya Haekal. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai
bahasa. Versi bahasa Indonesia telah diulang cetak berpuluh kali. Bahkan teks
penuh versi Indonesia dapat dibaca seluruhnya dalam Internet.
Haekal meletakkan kembali Nabi Muhammad SAW ke
kedudukannya yang paling mulia. Bahagian pertama buku ini dimulai dengan
penghuraian Haekal tentang bangsa Arab pra-Islam dengan menyajikan senario
bangsa itu sebelum kelahiran Nabi yang dilanjutkan dengan membincangkan
kedudukan Mekah, Kaabah dan kaum Quraisy.
Haekal kemudian melanjutkan penceritaannya
tentang sejarah kehidupan Nabi SAW bermula dengan kisah kelahirannya hingga
berkahwin, diangkat menjadi rasul, mengIslamkan Umar sehinggalah kepada suasana
pemakaman Rasulullah SAW.
Kepandaian Haekal menulis telah dapat
membangkitkan suasana yang menggambarkan pelbagai peristiwa bersejarah yang disajikannya
dengan lengkap, indah, dan ilmiah. Kehebatan buku ini juga terletak pada
pengalaman Haekal sendiri. Sejak muda Haekal menulis tentang pelbagai perkara
dari politik kepada kritik sastera kepada biografi. Dari Cleopatra hinggalah
kepada Mustafa Kamal di Turki, dari Shakespeare, Shelley, Anatole France, Taine
hinggalah kepada Jean Jacques Rousseau dengan stail penulisannya yang memang
sudah cukup dikenali.
Setelah mencecah usia setengah abad, Haekal
menumpukan pula perhatiannya kepada Islam. Maka terhasillah dua buah karyanya
yang sangat terkenal, Hayat Muhammad (Sejarah Hidup Muhammad) dan Di Lembah
Wahyu.
Memang sebuah karya yang kontemporari cepat
mengundang kemarahan masyarakat. Sejarah Hidup Muhammad dengan pantas
menimbulkan reaksi hebat dan kritik tajam bangsa Mesir dan dunia Islam umumnya.
Akan tetapi Haekal telah dapat menangkis kebanyakan kritikan terhadap biografi
Muhammad ini.
Haekal dilahirkan di Kampung Kafr Ghanam, di
Delta Nil, Mesir, 20 Ogos 1888. Begitu pun, tamat belajar mengaji Quran di
madrasah kampungnya, beliau pindah ke Kaherah untuk memasuki sekolah rendah dan
ke sekolah menengah hingga 1905. Haekal seterusnya menyambung pengajian
undang-undang dan meneruskannya ke Fakulti Undang-undang di Universite de
Paris, Perancis, hingga ke peringkat kedoktoran dalam bidang ekonomi dan
politik. Pada 1909 beliau kemudian kembali ke Mesir dan bekerja sebagai peguam
di Mansura, sebelum di Kaherah hingga tahun 1922.
Beliau aktif menulis semasa menjadi mahasiswa
hinggalah apabila menjadi peguam dan tulisannya terbit dalam akhbar harian
Al-Jarida, As-Sufur dan Al-Ahram. Tulisannya menyentuh isu sosial dan politik,
di samping memberikan kuliah dalam bidang ekonomi dan undang-undang (1917-22).
Haekal dipilih memimpin akhbar As-Siasa sebagai organ rasmi Parti Liberal dan
aktif dalam bidang kewartawanan hingga tahun 1938.
Novelnya Zainab, berkisar tentang kehidupan
petani Mesir, dihasilkannya semasa ia masih mahasiswa di Paris. Novel ini telah
diadaptasi ke filem dan dikirim ke festival filem antarabangsa di Jerman (1952)
dengan judul Die Liebesromanze der Zenab dan telah terpilih pula sebagai filem
yang paling berjaya, dan mendapat jolokan sebagai "Egyptische
Welturauffuhrung in Berlin".
Pada 1943 Haekal diangkat menjadi ketua Liberal
Constitutional Party, yang disandangnya hingga 1952. Pada 1938 beliau menjadi
Menteri Dalam Negeri, kemudian Menteri Pendidikan dan Menteri Sosial. Pada
permulaan tahun 1945 ia terpilih sebagai Speaker Senat hingga tahun 1950.
Banyak kajian tentang Haekal dilakukan dan diterbitkan. Haekal kembali aktif
menulis dalam akhbar Al-Mishri dan Al-Akhbar sejak 1953 hingga beliau meninggal
pada 8 Disember 1956.
ROOSFA HASHIM Pensyarah Pusat Pengajian Umum,
UKM roosfa@ukm.my
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz54e9p30q2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan