ARKIB : 27/03/2009
PADA suatu ketika, ada seorang
gadis yang bernama Jariah datang menemui Rasulullah SAW. Ketika itu dia dalam
keadaan sedih sambil memegang tangannya. Dia mahu mengadu kepada Rasulullah
tentang tangan kanannya yang sakit dan merah kehitaman.
"Ya Rasulullah, tolonglah
saya. Saya tidak mampu menahan kesakitan tangan saya ini. Sudilah Rasulullah
mendoakan tangan saya ini supaya pulih seperti sediakala," rayu gadis itu.
Rasulullah berasa terharu dengan
penderitaan gadis itu, lalu baginda berkata, "Wahai Jariah, kenapa
tanganmu itu boleh terbakar?"
"Pada malam tadi, saya
bermimpi. Ketika saya bangun, saya dapati tangan saya sudah terbakar,"
kata gadis itu lagi.
Rasulullah pun bertanya
kepadanya, "Cuba ceritakan kepadaku tentang mimpi kamu."
"Malam tadi, saya bermimpi
seakan-akan hari kiamat telah datang. Suasana dunia menjadi goncang,
gunung-ganang berterbangan. Ia sungguh mengerikan dan tidak pernah saya
melihatnya sebelum ini. Saya juga dapat melihat orang-orang di dalam neraka
Jahanam yang meluap-luap apinya.
"Di tempat lain pula saya
melihat syurga yang luas dan terbuka lebar. Ketika saya menyaksikan api neraka
Jahanam itu, saya seolah-olah pengsan kerana ngeri melihatnya. Saya sangat
terkejut apabila melihat ibu saya berada di dalam jurang neraka. Keadaan ibu
sangat menyedihkan. Saya hairan kenapa ibu ditempatkan di neraka sedangkan dia
membuat amalan baik di dunia," terang gadis itu.
"Bagaimana keadaan ibu kamu
ketika di dunia?" tanya Rasulullah.
"Wahai Rasulullah, ibu saya
adalah seorang yang kuat beribadat, taat kepada suami, sabar dan bercakap
benar," jawab gadis itu.
"Mengapa ibumu ditempatkan
di neraka?" tanya Rasulullah lagi.
"Di dalam mimpi saya itu,
saya telah bertemu dengan ibu. Ibu mengatakan itulah tempat bagi orang-orang
yang bakhil. Hanya sehelai kain dan sepotong lemak yang dibawanya di mana dia
pernah menyedekahkannya sewaktu berada di dunia. Dengan amalan itu sahajalah,
ibuku dapat berlindung daripada api neraka. Kemudian saya bertanya pula kepada
ibu, di manakah ayah berada? Ibu memberitahu ayah sedang berada di syurga.
Kemudian, saya pun pergi mencari
ayah di dalam syurga. Saya lihat ayah sangat bahagia di situ. Ayah sedang
memberi minuman kepada sahabat-sahabatnya. Air minuman itu diambil daripada
tangan Saidina Ali, kemudian Saidina Ali pula mengambilnya daripada Saidina
Umar dan Saidina Umar juga mengambil air itu daripada tangan Rasulullah.
Kemudian, saya bertanya kepada
ayah, kenapa ayah memberi minuman itu kepada orang lain, kenapa tidak
memberikan minuman itu kepada ibu? Ayah memberitahu saya bahawa ibu berada
ditempat orang-orang yang bakhil dan orang-orang yang membuat maksiat kepada
Allah. Dengan sebab itulah, Allah mengharamkan mereka daripada telaga
Rasulullah.
Wahai Rasulullah, saya kasihan
melihat ibu, lalu saya mengambil air dari telaga Rasulullah, kemudian diberikan
kepada ibu untuk diminum. Tiba-tiba, ibu saya mengeluarkan suara yang
menakutkan. Allah telah membakar tangan saya kerana memberikan ibu minum air
yang diambil dari telaga Rasulullah. Sedangkan telaga itu hanya untuk
orang-orang yang tidak membuat maksiat dan orang-orang yang suka berbuat
sedekah," cerita gadis itu dengan jelas.
Maka Rasulullah berkata kepada
gadis itu, "Kerana sifat bakhil ibumu itulah yang menyebabkan dia menjadi
penghuni neraka".
Setelah melihat tangan gadis yang
terbakar itu, Rasulullah meletak tongkatnya pada tangan gadis itu sambil
berdoa, "Ya Allah, ya Tuhanku, sembuhkanlah tangannya."
Dengan kehendak Allah SWT dan
berkat daripada Rasulullah, tangan gadis itu sembuh seperti sediakala.
lPetikan daripada buku Untaian
366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz5A6cvEAkv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan