ARKIB : 31/03/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
MENYEBUT mengenai institusi ibu
susuan, sehingga ke hari ini ia kedengaran masih terlalu asing apatah lagi
menjadi satu amalan sebagai satu kaedah berkesan bagi memastikan bayi-bayi
dapat tumbuh dan membesar dengan lebih sihat dan kuat.
Tidak kurang yang sinikal dengan
berkata institusi ibu susuan, merupakan satu budaya Arab Jahiliah sekalipun
Nabi Muhammad SAW antara yang mendapat khidmat tersebut dalam tempoh dua tahun,
iaitu tempoh susuan yang paling baik buat seorang bayi.
Oleh kerana ia menjadi satu
amalan dalam budaya Arab Jahiliah maka dikatakan adalah tidak sesuai untuk kita
contohi. Adakah benar begitu?
Kita telah mendengar dan
mengetahui sebelum ini, mengenai kisah Nabi Muhammad yang semasa umur bayinya
disusui oleh ibu susuan, malah telah dipisahkan daripada ibunya, Siti Aminah.
Baginda menjalani kehidupan dalam suasana yang kedesaan, jauh dari kesibukan
Kota Mekah.
Susu ibu adalah yang paling
berkhasiat dan terbaik untuk pertumbuhan bayi dan kanak-kanak. Selain telah
menjadi hak setiap bayi untuk menyusu dengan susu badan, iaitu bukan dengan
susu lain termasuk diperah segar dari sumber haiwan ternakan terutamanya lembu
atau susu formula, khasiat susu itu tidak perlu diceritakan lagi.
Malah jika tidak cukup oleh ibu
sendiri akan dicari ibu susuan bagi memastikan bayi-bayi mereka menikmati
khasiat hanya dari susu ibu itu.
Namun, susu sahaja tidak memadai,
bagaimana dengan persekitaran luar dan dalam rumah yang sihat untuk anak-anak
itu membesar dengan baik tanpa dipengaruhi oleh sebarang elemen-elemen yang
cemar, kotor yang bakal memberi kesan kepada pertumbuhan fizikal dan mental
bayi walaupun baru dilahirkan?
Perkara ini dipandang dengan
begitu serius oleh masyarakat Arab walaupun mereka dilabelkan sebagai jahil.
Terbaik
Oleh kerana itu mereka
memperkenalkan ibu susuan, yang sama sekali tidak bermakna susu ibu untuk
didagangkan. Malah ada yang membawa bayi mereka ke ceruk-ceruk desa bagi
mencari ibu susu yang boleh berkongsi susu dengan bayi yang datangnya dari kota
semata-mata bagi memastikan si bayi mendapat yang terbaik sahaja untuk tempoh
pembesaran yang penting itu.
Nabi Muhammad juga tidak terlepas
dari menjadi sebahagian dari amalan ini walaupun pada awalnya baginda telah
disusui oleh ibunya sendiri, Siti Aminah dan diikuti Thuwaibah, hamba perempuan
milik bapa saudara baginda, Abu Lahab yang ketika itu sedang menyusui bayinya
sendiri, yang bernama Masruh.
Namun Nabi Muhammad masih perlu
disusui dalam suasana yang lebih baik berbanding di Kota Mekah walaupun kota tersebut
merupakan kota Ibadat dan menjadi tumpuan oleh ramai pengunjung setiap tahun
yang datang untuk mengerjakan haji dan menemui mereka yang alim dan kuat
beribadat di situ.
Lalu, keluarga Rasulullah
terutama datuk baginda, Abdul Mutalib mencari-cari ibu susu untuk menyusukan
cucunya itu yang antara lain bertujuan supaya baginda Rasulullah tidak
dijangkiti penyakit-penyakit sama ada dari serangan virus atau kuman mahupun
penyakit yang merosakkan pemikiran.
Di samping sebenarnya, menghantar
bayi ke desa-desa adalah penting bagi memastikan si anak mempelajari bahasa
Arab jati, fasih dan asli.
Lalu siapakah wanita desa yang
bertuah dapat menyusui baginda dan dapat menyaksikan sendiri Nabi Muhammad
membesar di tangannya?
Tentu sekali nama yang telah
sering menjadi sebutan, Halimah atau dikenali juga Halimatus Saadiah (kerana
berasal dari Bani Saad) binti Abu Dhuayb, isteri kepada al Harith bin Abdul
Uzza yang terkenal dengan gelaran Abu Kabsyah dari kabilah yang sama.
Namun tahukah anda, Nabi Muhammad
sebelum disusui oleh Halimah, sebenarnya tidak mendapat tempat di hati ibu-ibu
susu dari desa yang datang ke Kota Mekah semata-mata untuk mencari bayi yang
hendak mereka susui.
Hanya kerana baginda anak yatim.
Setiap dari mereka ditawarkan untuk menyusukan Nabi Muhammad tetapi kesemuanya
enggan menerima baginda apabila sebaik sahaja mendapat tahu bahawa bahawa bayi
itu seorang anak yatim.
Ini kerana mereka lazimnya juga
mengharapkan agar mendapat sesuatu kebaikan dari bapa si bayi, jika sekadar
dari datuk dan ibu si bayi pastinya tidak mendatangkan yang lumayan buat
mereka.
Lalu diceritakan Halimah antara
wanita-wanita dari desa Bani Saad yang beramai-ramai keluar dan menuju ke Mekah
untuk mencari bayi dan dibayarkan upah apabila mereka menyusui bayi-bayi itu.
Mereka terpaksa keluar untuk
mencari upah itu akibat tekanan dari musim kemarau yang menimpa kampung mereka.
Halimah dan suaminya bersama
seekor keldai tua, bernama Qamra dan unta betina yang juga sudah tua dan telah
kering susunya menuju ke Mekah dengan penuh kepayahan.
Mereka sering terpaksa berada
dalam kelaparan kerana tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan unta
yang tidak lagi mampu mengeluarkan susu.
Setiba di Mekah, Halimah
merupakan ibu susuan yang sanggup menerima Nabi Muhammad setelah ibu-ibu lain
enggan menerima baginda kerana status anak yatim yang dimiliki oleh baginda
itu.
"Demi Allah, saya tidak akan
pulang semula ke desa tanpa seorang bayi pun untuk saya susui," katanya
kerana kesukarannya untuk mendapatkan bayi untuk dibawa pulang.
Tuah si bayi
Halimah sama sekali tidak
mengetahui gerangan tuah si bayi kecuali mengambil baginda kerana Nabi Muhammad
satu-satunya bayi yang masih tinggal minta untuk disusui oleh ibu-ibu susu.
Namun suami Halimah berkata:
"Tidak ada salahnya kamu mengambil bayi itu, mudah-mudahan Allah
memberikan kita keberkatan pada bayi itu," kata Al Harith.
Lalu Halimah membawa Nabi
Muhammad yang masih bayi itu untuk disusui walaupun dirinya dalam keadaan yang
serba kekurangan termasuk susu badannya yang semakin berkurangan.
Namun dihulurkan juga kepada Nabi
Muhammad untuk menyusu badan dan tidak semena-mena didapati bayi itu menyusu
dengan enak dan puas seolah-olah terdapat banyak bekalan susu dari badan si ibu
susuan itu.
Sehinggakan Rasulullah
kemudiannya dapat tidur dengan lena seperti kekenyangan dan cukup bekalan
susunya.
Malah ketika suami Halimah
keluar, melihat unta betinanya yang sudah tua itu didapati unta itu juga dapat
mengeluarkan susu dengan banyak sehingga tidak tertampung untuk diminum.
Ini membolehkan Halimah sendiri
dapat menambahkan bekalan susu dalam badannya apabila beliau sendiri dapat
minum susu unta dengan banyaknya.
Pada keesokan paginya, Al Harith
berkata kepada isterinya: "Demi Allah, ketahuilah Halimah, sesungguhnya
engkau telah mengambil seorang manusia yang sangat diberkati. Jika tidak
manakan engkau dapat menyusukan bayi ini dengan bekalan yang banyak dan unta
yang tiba-tiba juga mengeluarkan susu dengan begitu banyak sekali,"
katanya.
Tanda-tanda keberkatan dan
kelebihan Rasulullah tidak henti setakat itu sahaja, sebaik tiba di
perkampungan Bani Saad lebih banyak keajaiban yang berlaku.
Sedangkan kampung itu paling
teruk di landa kemarau, tetapi didapati kambing-kambing peliharaan Halimah dan
suaminya, yang ditinggalkan sepanjang pemergian mereka ke Mekah turut
mengeluarkan susu yang banyak.
Seolah-olah kambing-kambing itu
dapat meragut rumput-rumput sedangkan kesemua tumbuhan dan rumput mati akibat
musim kemarau yang melanda.
Sejak mengambil Nabi Muhamad
sebagai anak susunya, hidup Halimah sekeluarga benar-benar berubah kepada yang
lebih baik berbanding orang lain.
Limpahan rezeki
Beliau menikmati limpahan rezeki
dan kemudahan dengan menyusui bayi yang mulia itu dan Rasulullah sendiri
sepanjang di bawah jagaan keluarga Halimah tidak pernah menyusahkan atau
memberi sebarang kesukaran kepada mereka.
Baginda tumbuh sebagai bayi yang
tidak sahaja sihat dan kuat malah telah menunjukkan tanda-tanda kenabian dengan
tidak banyak menimbul ragam dan kerenah kecuali anak yang mudah diuruskan dan
dijaga.
Malah baginda dengan sendiri
untuk memutuskan susuan sebaik sahaja menjejak usia dua tahun.
Ini menyebabkan Halimah berasa
dukacita kerana bermakna beliau terpaksa berpisah dengan anak itu dan mesti
dikembalikan kepada waris baginda.
Lalu beliau suami isteri sekali
lagi menemui Siti Aminah dan menyatakan hasrat mereka untuk terus memelihara si
bayi dengan menjadikan alasan tidak mahu dijangkiti sebarang wabak penyakit
yang menyerang Kota Mekah.
Pujukan demi pujukan menyebabkan
Siti Aminah mengalah dan membenarkan supaya Halimah terus memelihara anaknya
itu apabila beliau melihat sendiri puteranya itu kelihatan begitu sihat, cergas
dan kuat.
Pulanglah Halimah dengan penuh
gembira dan rupa-rupanya kepulangannya bersama Nabi Muhammad mencatatkan satu
lagi peristiwa yang benar-benar di luar dugaan, iaitu anak susuannya itu
diberitahu oleh penduduk kampung, telah dibunuh orang!
Benarkah Nabi Muhammad telah
dibunuh sebagaimana yang disaksikan oleh penduduk kampung Bani Saad? Ikuti
keluaran selanjutnya!.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5A6x3bSjm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan