Ahad, 18 Mac 2018

Nabi Ibrahim pengikut ajaran tauhid


ARKIB : 17/04/2009
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah SWT menyebut pada ayat terdahulu berkenaan dua kumpulan Yahudi dan Kristian yang mendakwa agama mereka adalah agama Allah yang sebenar. Dan bahawasanya, ia adalah agama para Nabi keseluruhan. Begitu juga agama Nabi Ibrahim a.s.

“Mereka juga mendakwa bahawa mereka tidak pernah meminda dan menukar ayat-ayat Allah. Begitu juga golongan musyrikin mendakwa dari kalangan keturunan Nabi Allah Ibrahim tetapi Allah menjelaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Ibrahim tidak mengikut dakwaan dan sangkaan mereka. Tetapi ia Nabi wahdaniah yang mengesakan Allah serta meruntuhkan segala berhala”.

Ayat ke-67

Firman Allah SWT yang bermaksud: Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Sebab Nuzul

Ibn Jauzi berkata: Ada dua pendapat berkenaan dengan sebab nuzul.

Pertama: Pembesar Yahudi berkata kepada Nabi SAW bahawa kami lebih utama daripadamu dengan agama Ibrahim a.s dan dia adalah di kalangan Yahudi sedangkan kamu adalah yang berhasad lantas turun ayat ini. Ini adalah pendapat Ibn Abbas r.a..

Kedua: Amru bin al-As hendak menjadikan raja Najasyi murka kepada sahabat Nabi seraya berkata: “Mereka mencerca Isa a.s lantas Raja Najasyi bertanya: Apakah yang dikatakan oleh sahabatmu (Muhammad tentang Isa)?”

Mereka menjawab ia adalah hamba Allah dan rohnya serta kalimah yang dicampakkannya kepada Maryam, kemudian turunnya ayat ini seperti kata Abdul Rahman bin Ghanam.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Allah Ibrahim a.s tidak syirik tetapi menganut agama yang sebenar serta beriman”.

Ayat ini sebenarnya sama seperti ayat 135 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (Wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik”.

ii. Al-Qurtubi berkata: “Allah menyucikan segala dakwaan-dakwaan mereka yang dusta dan menerangkan bahawa Nabi Ibrahim a.s di atas agama yang sebenar tanpa sekutu”.

iii. Sheikh Sya’rawi berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Ibrahim bukan golongan Yahudi kerana golongan itu datang selepasnya. Begitu juga bukan golongan Nasrani kerana golongan itu datang selepasnya.

“Berdasarkan kepada kalimah Hanif jelas menunjukkan bahwa Ibrahim AS penganut agama yang bersih datang daripada Allah SWT yang tiada sebarang condong ke mana arah pun”.

iv. Al-Maraghi berkata: “Nabi Ibrahim seorang yang telah diakui kebesaran dan kehormatannya oleh bangsa Yahudi, kaum Nasrani, dan golongan-golongan musyrik. Namun sama sekali tidak ada dengan agama mereka penyembahan berhala.

“Baginda seorang yang hanya menyerah diri kepada Allah SWT semata dan seorang yang taat kepada-Nya”.

v. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini membantah kebohongan mereka. Nabi Ibrahim a.s bukan seorang Yahudi seperti yang diakui oleh orang-orang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani seperti yang diakui oleh orang-orang Nasrani dengan dalil yang dikemukakan.

“Sebaliknya, dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri kepada Allah dan juga sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik, yang dapat diduga oleh orang-orang musyrik Mekah yang mengaku mengikut agama beliau”.

Ayat ke-68.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya- umat Islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang Yang beriman.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: “Orang yang paling berhak mengikuti Ibrahim dan agamanya adalah Nabi Muhammad SAW dan mereka yang beriman dengannya di kalangan Muhajirin dan Ansar serta mengikut jejak mereka”.

ii. Riwayat Ibn Mas’ud r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap Nabi ada wali-wali di kalangan Nabi-nabi. Dan waliku di kalangan mereka ialah bapaku (Ibrahim a.s) dan kekasih Tuhanku Azzawajalla.

“Kemudian Nabi SAW membaca ayat ini yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekelian orang-orang Yang beriman”.

iii. Al-Maraghi berkata: “Inilah hakikat Islam dan tujuan iman yang sebenar. Barang siapa yang kehilangan jiwa seperti itu bererti dia telah kehilangan seluruh agamanya (dalam sanubari)”.

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini turun menundukkan persoalan, yakni: Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim dan paling berhak dinamai pengikut Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang bersungguh-sungguh mengikutnya baik yang hidup pada masa beliau mahupun yang sesudahnya”.

v. Hamka berkata: “Tuhan menjamin bahawasanya apabila orang telah benar-benar beriman kepada-Nya, tidak lagi menduakan hati kepada orang lain, tidak memandang ada yang memberi manfaat atau mudarat dalam ala mini selain Allah SWT, orang-orang sedemikian akan dipelihara oleh Allah SWT”.

Demikianlah ayat yang membincangkan berkenaan dengan dakwaan Nabi Ibrahim AS dari golongan mereka sedangkan dakwaan itu adalah meleset dan batil sebagaimana yang dinafikan oleh Allah SWT.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang beriman dengan sebenar-benarnya dan tidak menyeleweng sebagaimana golongan yang lain.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5AAbUskqx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Asiah menyelamatkan Nabi Musa


ARKIB : 15/04/2009
ASIAH binti Mazahim merupakan seorang wanita Mesir yang baik budi pekertinya dan bijaksana dalam pemikirannya. Oleh kerana dia memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingan, dia dipaksa berkahwin dengan Firaun, raja Mesir yang berkuasa pada ketika itu.

Pada suatu hari ketika Asiah sedang duduk bersantai bersama dayang-dayang istana, dia terlihat sebuah kotak kayu terapung-apung di tepian sungai yang mengalir merentasi istana Firaun.

"Ambil kotak itu dan bawa kepada beta," arah Asiah kepada salah seorang dayang yang berdiri di tepinya.

Dayang itu berlari pantas ke arah kotak yang sedang terapung-apung di tepian sungai. Dia mengangkat kotak kayu itu dari permukaan sungai lalu dibawakan kepada Asiah. Dia berdebar-debar untuk mengetahui isi kandungan kotak kayu itu.

"Comelnya bayi lelaki dalam kotak kayu ini!," jerit hati Asiah apabila penutup kotak kayu itu terbuka.

Pada ketika itu, Firaun memerintahkan masyarakatnya membunuh semua bayi lelaki Bani Israel kerana dia bermimpi bayi tersebut akan menghancurkan dan membinasakan kerajaan pemerintahan Firaun.

Apabila berita penemuan bayi lelaki itu sampai ke telinga Firaun, maka dia bergegas ke tempat Asiah dan bayi lelaki itu.

"Pengawal! Bunuh bayi ini sekarang..." Perintah Firaun kepada pengawal yang mengiringinya ke kamar Asiah.

"Bukankah kita tidak mempunyai anak lelaki. Anak lelaki ini dapat kita jadikan anak angkat. Saya merayu supaya bayi ini tidak dibunuh kerana saya sudah sayang kepadanya.

' Dia akan memberikan manfaat kepada kita berdua apabila dewasa nanti," Asiah menghalang niat jahat Firaun dengan kata-kata bijaksananya.

"Baiklah. Saya tidak akan bunuh bayi ini kerana perasaan cinta saya pada kamu," Firaun akur dengan permintaan isterinya, lalu keluar dari kamar itu.

Asiah memberi nama Musa kepada bayi tersebut dan memeliharanya sehingga dewasa di istana Firaun.

Apabila nabi Musa mula berdakwah menyebarkan ajaran Allah, maka Asiah terus menjadi salah seorang pengikutnya tanpa pengetahuan Firaun dan orang sekelilingnya.

Pada suatu hari, Asiah duduk menyisir rambut anak perempuannya di kamar tidur. Tiba-tiba sikat yang digunakan Asiah bagi menyisir rambut anaknya jatuh dengan kehendak Allah.

Asiah yang terkejut dengan kejadian itu terus berkata, "Binasalah Firaun yang dilaknat Allah dengan izinnya."

"Dengan nama Allah," ucap Asiah tanpa menyedari anaknya memerhatikan perbuatannya dengan perasaan hairan.

"Ibu, adakah tuhan lain selain ayah? Adakah ibu sudah menganut agama yang dibawa oleh Musa? Mengapa ibu sanggup mengikut agama Musa? Bukankah ibu menyelamatkan Musa sewaktu kecil apabila dia akan dibunuh oleh ayah," anaknya bertanya pelbagai soalan kepada Asiah dan menanti jawapannya.

Manusia biasa

"Firaun, ayah kamu adalah manusia biasa seperti kita semua dan bukan tuhan. Tuhan sebenar adalah Allah, tuhan semesta alam!" jawab Asiah tanpa perasaan takut dan gentar.

"Biar saya adukan perkara ini kepada ayah!," balas anaknya, lalu dia lari keluar dari bilik itu dan pergi mengadu kepada Firaun.

Firaun yang mendengar aduan anaknya berasa sangat marah dengan Asiah. Dia tidak menyangka Asiah sudah mengikut ajaran Allah walaupun dia melarang sesiapa sahaja di Negara Mesir mengikuti ajaran Allah.

Orang yang mengingkari larangan itu akan dijatuhkan hukuman berat jika diketahui oleh Firaun. Kini isterinya sudah mengikut ajaran Allah, maka dia harus berbuat sesuatu supaya isterinya keluar dari agama Allah.

"Dengarlah nasihat saya, wahai Asiah yang amat saya cintai dan sayangi.

"Keluarlah dari agama yang dibawa oleh Musa. Saya akan berikan segala harta dan istana di Mesir sebagai hadiah," Firaun cuba berlembut dan memujuk Asiah dengan kata-kata manisnya.

"Saya tidak akan sekali-kali keluar dari agama ajaran Musa yang benar dan suci. Nanti saya akan dimurkai oleh Allah, tuhan yang mencipta saya.

"Jika saya tetap dalam agama ini, saya percaya Allah akan memberikan syurga yang lebih baik dari harta dan istana kamu," tegas Asiah yang tenang dan berani bertentang mata dengan Firaun yang menyala dengan api kemarahan.

Usaha Firaun memujuk isterinya menemui jalan buntu. Dia tidak mahu menghukum Asiah kerana perasaan kasih sayang dan cinta yang mendalam terhadap isterinya. Dia cuba memikirkan cara lain bagi melembutkan hati Asiah supaya dia tidak beriman dengan ajaran nabi Musa.

Namun, semua ikhtiarnya gagal dan tidak menemui jalan penyelesaian. Firaun termenung. Wajahnya terbayang seribu kekecewaan kerana gagal memujuk Asiah. Akhirnya, dia mengambil keputusan menggunakan kekerasan kepada Asiah supaya dia berpaling dari agama Musa.

"Pengawal, tangkap Asiah dan bawa dia berjumpa beta sekarang!," perintah Firaun dengan nada keras.

"Oleh kerana kamu masih berdegil mahu mengikuti ajaran agama Musa, beta jatuhkan hukuman berat ke atas kamu," kata Firaun lagi.

"Pengawal, bawa perempuan ini ke tanah tinggi dan ikatkan pada empat batang kayu. Pakukan empat kayu itu ke bumi dengan menelentangkan badan perempuan ini menghadap langit.

"Biarkan bahang matahari yang panas, dan sejuk malam menyeksanya," Firaun meminta para pengawalnya menjalankan hukuman ke atas Asiah dengan segera.

"Allah! Allah! Allah!," mulut Asiah tidak henti-henti menyebut kalimat Allah sepanjang hukuman itu dijalankan.

"Ya Allah! Saya mohon supaya dilindungi dari bencana Firaun dan dianugerahkan sebuah rumah di syurga," doa Asiah yang terseksa dengan pancaran matahari yang sangat panas dan terik.

Akhirnya Asiah dapat melihat rumahnya di syurga dengan kehendak Allah yang membuka hijabnya. Hatinya sangat gembira sehingga lupa pada penderitaan dan kesakitan yang sedang diharunginya.

Selepas beberapa lama tempoh penyeksaan itu berlalu, Asiah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimat Allah di mulutnya.

Begitulah kisah wanita yang berhati waja. Dia tetap dalam keimanannya kepada Allah walaupun diseksa sehingga mati tanpa belas kasihan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5A9spOnaP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Doa Nabi Nuh mohon ampun


ARKIB : 14/04/2009
Firman Allah yang maksud-Nya: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya jadilah aku daripada orang-orang yang rugi. (Hud: 47)
Keterangan ayat

Setelah mendapati anaknya bertegas untuk mencari tempat perlindungan daripada banjir besar itu, maka Nabi Nuh memohon belas kasihan Allah agar merahmati anaknya.

Baginda mengatakan dalam ayat sebelumnya iaitu ayat 45 yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku.

Menurut Abu Sheikh, Allah SWT menafikannya dan menolak doa Nabi Nuh. Allah mengatakan dia termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang rugi kerana tidak menuruti Nabi Nuh dalam dakwahnya.

Nabi Nuh memohon keselamatannya selepas banjir reda kerana adatnya mungkin ada yang selamat dalam banjir dengan rahmat Allah.

Terdapat setengah riwayat menunjukkan bahawa anak Nabi Nuh itu sebenarnya adalah seorang munafik iaitu berpura-pura Islam di hadapan bapanya.

Lantaran itu, Nabi Nuh memohon keselamatannya sehingga Allah SWT mewahyukan tentang hakikat kekufurannya itu. (Tafsir Ruhil Ma’ani, tafsir ayat 47 surah Hud).

Menurut Fudhail Iyadh, Nabi Nuh menangisi kesilapannya yang memohon perkara yang tidak diketahui rahsia ketetapan Allah di sebaliknya itu selama 40 tahun.

Al-Imam Ahmad pula menyatakan, baginda menangis selama 300 tahun sehingga menjadi kesan laluan air mata di mukanya seperti laluan anak air. (Tafsir Ruhil Ma’ani, tafsir ayat 47 surah Hud).

Khasiat dan kaifiat beramal

Marilah kita jadikan pengajaran daripada kisah ini untuk meminta keampunan Allah atas permintaan kita kepada-Nya dalam banyak perkara yang kita tidak mengetahui rahsia di sebaliknya.

Jadikanlah doa ini amalan harian sebagai satu usaha bertaubat kepada Allah SWT.

-Petikan daripada buku 101 Doa Para Nabi & Rasul dalam Al-Quran Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5A9n6KwXn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Mekah pusat bumi dan ibadat

ARKIB : 13/04/2009
Oleh IBRAHIM ABDULLAH
MEKAH atau juga disebut Bakkah, tempat di mana umat Islam melaksanakan ibadah haji dan umrah terbukti sebagai tempat yang pertama diciptakan Allah SWT dan sebagai pusat bumi. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Adalah sama tengah bumi itu ialah kaabah".

Dari tanah itulah Allah SWT menjadikan dada Nabi Adam a.s. Bahawa yang pertama berada pada Kaabah Allah itu para malaikat, kemudian dijadikan Adam selama 2,000 tahun sebelumnya.

Kemudian daripada itu para malaikat itu selalu memakmurkan Kaabah Allah itu dengan beramal kepada-Nya, sebelum Nabi Adam dijadikan oleh Allah SWT.

Selepas itu Allah dengan kehendak- Nya untuk menjadikan Adam di syurga. Kemudian Allah memerintahkan untuk turun ke bumi ini, dengan segala hikmah-Nya.

Maka turunlah Nabi Adam di sebuah pulau Sarandip, dan setelah dikurniakan Allah pada suatu tingkat di syurga, kemudian Allah berfirman maksudnya: "Wahai Adam, berjalanlah engkau", Maka ia pergilah berjalan sehingga sampai pada negeri Hindi/India. Setelah itu kemudian berdiamlah Nabi Adam di sana pada jangka waktu berselang lamanya.

Maka Nabi Adam merasa berdukacita dan kemudian Allah berfirman maksud-Nya: "Wahai Adam, pergilah menunaikan haji kepada Kaabah Allah. Maka pergilah Nabi Adam, dan setiap bekas jejak kakinya itu menjadi hutan rimba dan padang luas/gurun, sehingga tibalah Nabi Adam di Mekah serta bertemulah dengan para malaikat, seraya malaikat itu berkata: "Wahai Adam, berbahagialah haji tuan hamba, dan kami ini sudah sejak 2,000 tahun yang lalu mengerjakan haji pada kaabah ini.

Maka Nabi Adam berkata kepada malaikat itu: "Bagaimana bacaan pada waktu tawaf itu? Jawab malaikat itu kami membaca tasbih sebagai berikut: Subahanallahi wal-hamdulillahi wa la ila ha illallahu wallahu akbar.

Kemudian Nabi Adam bertawaflah di kaabah itu, serta membaca tasbih kepada-Nya dan Nabi Adam mengerjakan haji setiap tahun sekali dan seterusnya semasa hidupnya itu.

Pada riwayat Ibnu Abbas r.a menyebutkan: "Ketika Allah SWT menurunkan Nabi Adam AS ke bumi, maka Allah berfirman maksud-Nya: Wahai Adam, buatkanlah sebuah istana-Ku, kemudian Nabi Adam membuat/membina Kaabah atau Baitullah al-Haram untuk mematuhi atas perintah-Nya.

Kemudian setelah itu kaabah dibina dengan lima buah batu bukit.

Pertama, bukit Tursina, kedua, bukit Hira', ketiga, bukit Uhud, keempat, bukit Juddi dan kelima, bukit Baitulmaqdis.

Menurut kajian ilmiah, bahawa bola bumi ini pada mulanya tenggelam di dalam air iaitu samudera yang sangat luas. Kemudian gunung api di dasar samudera ini meletus dengan keras dan mengirimkan lava dan magna dalam jumlah yang besar yang membentuk bukit.

Bukit itulah tempat Allah memerintahkan untuk menjadikan lantainya dari Kaabah (kiblat). Batu asal Mekah dibuktikan oleh kajian ilmiah sebagai batu paling purba di bumi.

Setelah itu Allah terus menerus memperluas dataran dari tempat ini. Jadi tempat ini merupakan tempat yang paling tertua di dunia. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Kaabah itu adalah sistem tanah di atas air, dari tempat itu bumi ini diperluaskan".

Arah kiblat

Prof. Hussain Kamel, menemukan suatu fakta mengejutkan bahawa Makkah adalah pusat bumi. Pada mulanya ia meneliti suatu cara untuk menentukan arah kiblat di kota-kota besar di dunia.

Untuk tujuan itu, ia menarik garis-garis pada peta, dan setelah itu ia mengamati dengan saksama posisi ketujuh benua terhadap Mekah dan jarak masing-masing.

Ia memulai untuk menggambar garis-garis sejajar hanya untuk memudahkan projek garis bujur dan garis lintang. Ia kagum dengan apa yang ditemukan, bahawa Mekah merupakan pusat bumi atau dunia. (Majalah al-Arabiyyah, edisi 237, Ogos, 1978).

Gambar-gambar satelit yang muncul kemudian pada tahun 90-an menekankan hasil dan natijah yang sama, ketika kajian-kajian lebih lanjut mengarah kepada topografi lapisan-lapisan bumi dan geografi waktu daratan itu diciptakan.

Telah menjadi teori yang mampan secara ilmiah bahawa lempengan-lempengan bumi terbentuk selama masa geologi yang panjang, bergerak secara teratur di sekitar lempengan Arab. Lempengan-lempengan itu terus menerus memusat ke arah itu seolah-olah menunjuk ke arah Mekah.

Allah berfirman maksud-Nya: Demikianlah Kami wahyukan kepadamu al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memberi peringatan kepada Ummul Qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri di sekelilingnya). (asy-Syura: 7).

Kata Ummul Qura bererti induk bagi kota-kota lain, dan kota-kota di sekelilingnya, menunjukkan Mekah adalah pusat bagi kota-kota lain, dan yang lain hanyalah berada di sekelilingnya.

Lebih dari itu, kata ummu (ibu) mempunyai erti yang cukup penting dan luas di dalam peradaban Islam. Sebagaimana seorang ibu adalah sumber dari keturunan, maka Mekah juga merupakan sumber dari semua negeri lain serta keunggulan di atas semua kota.

Ada beberapa ayat dan hadis nabawi yang memperkuatkan fakta ini. Allah berfirman maksud-nya: Wahai jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan (ilmu pengetahuan). (ar-Rahman: 33).

Berdasarkan ayat ini dan beberapa hadis dapat difahamkan bahawa diameter lapisan-lapisan langit itu di atas diameter bumi (tujuh lempengan bumi). Jika Mekah berada di tengah-tengah bumi, dengan itu bererti bahawa Mekah juga berada di tengah-tengah lapisan langit.

Selain itu ada hadis yang menerangkan bahawa Masjidil Haram di Mekah, tempat kaabah berada itu ada di tengah-tengah tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan yang membentuk bumi.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Wahai orang-orang Mekah, wahai orang-orang Quraisy , sesungguhnya kamu berada di bawah pertengahan langit".

Berdasarkan kajian di atas, bahawa Mekah berada pada tengah-tengah bumi (pusat dunia), maka benar-benar diyakini bahawa Kota Suci Mekah, bukan Greenwich, yang seharusnya dijadikan rujukan waktu dunia.

Hal ini akan mengakhiri kontroversi yang timbul pada empat dekad yang lalu oleh kalangan Barat.

Ada banyak perdebatan ilmiah untuk membuktikan bahawa Mekah merupakan wilayah kosong bujur sangkar yang melalui kota suci tersebut. Jika waktu Mekah diterapkan, maka mudah bagi setiap orang mengetahui waktu solat.

Arah lawan jam

Dalam Islam, ketika seseorang sedang tawaf di sekitar kaabah, maka ia memulai dari Hajar Aswad, dan gerakannya harus berlawanan dengan arah jarum jam.

Hal itu adalah penting mengingat segala sesuatu di alam semesta dari atom hingga galaksi itu bergerak berlawanan dengan arah jarum jam.

Begitu juga peredaran darah manusia mulai gerakan berlawanan dengan arah jarum jamnya. Perputaran bumi pada porosnya dan di sekeliling matahari juga secara berlawanan dengan arah jarum jam.

Matahari dengan semua sistemnya mengelilingi suatu titik tertentu di dalam galaksi dan semuanya berputar berlawanan dengan arah jarum jam.

Sementara itu, jika dilihat orang-orang yang tawaf di sekeliling kaabah tidak putus-putus sepanjang masa mengelilingi kaabah, siang dan malam berterusan tidak henti-hentinya, sampai ke akhir zaman.

Ini membuktikan kota Mekah adalah kota suci tertua dan sebagai simbol tamadun peradaban umat manusia serta ibadah dan sebagai pusat bumi atau dunia seperti dirakamkan dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW.



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5A9dJqiIb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Adam dan pohon Khuldi


ARKIB : 10/04/2009
Di dalam syurga terdapat banyak buah-buahan yang bermacam bentuk dan rasa. Semua buah-buahan itu boleh dimakan oleh Nabi Adam dan isterinya, Hawa. Terdapat juga sepohon pokok yang sangat besar iaitu pohon Khuldi.

Allah telah melarang Nabi Adam dan isterinya mendekati pokok itu, apatah lagi memakan buahnya. Tujuannya ialah untuk menguji ketaatan mereka terhadap Allah, di samping menahan hawa dan nafsu mereka. Dengan ketaatan mereka, Allah dapat memberi kesempatan untuk mereka terus tinggal di dalam syurga untuk bersenang-lenang dan bersuka ria.

Allah memberikan peringatan kepada Nabi Adam dan isterinya supaya menjauhkan diri daripada iblis. Jangan menurut kata dan ajakan iblis kerana iblis sudah terang-terangan menyatakan dirinya sebagai musuh Nabi Adam dan keturunannya buat selama-lamanya.

Iblis juga sedaya upaya berusaha siang dan malam tanpa rasa jemu dan berputus asa, untuk menjauhkan Nabi Adam dan keturunannya daripada terus hidup dalam kebahagiaan.

Allah berfirman kepada Nabi Adam, "Wahai Adam! Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu. Dia akan selalu menggoda engkau berdua agar engkau berdua terusir pula dari syurga ini sehingga engkau hidup sengsara. Di syurga inilah engkau berdua akan dapat hidup bahagia, tidak akan menderita lapar dan susah".

Bagaimanapun, keimanan Adam dan Hawa sedikit sebanyak telah tergugat apabila digoda oleh iblis. Iblis yang iri hati sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan mereka berdua dengan cubaan berpura-pura baik.

Ia memberi nasihat kepada Nabi Adam dan Hawa sekiranya mereka makan buah Khuldi tersebut, mereka akan menjelma sebagai malaikat. Ia juga menggoda mereka dengan menceritakan kelazatan buah Khuldi dan keharuman pohonnya.

Kata-kata itu membuat Nabi Adam dan Hawa terasa ingin mencubanya walaupun telah ditegah oleh Allah SWT. Akhirnya mereka makan juga buah Khuldi itu.

Lalu Allah mencela mereka dengan firman-Nya yang bermaksud, "Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata?"

Nabi Adam dan Hawa yang mendengar firman Allah itu berasa amat menyesal. Mereka sedar yang mereka telah melakukan dosa besar. Lalu mereka berkata, "Ya Allah, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan telah melanggar perintah-Mu kerana terpedaya dengan pujukan iblis. Ampunilah dosa kami, kalau tidak kami akan tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi".
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5A9P1mrlq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ibu susuan Nabi Muhamad


ARKIB : 31/03/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
MENYEBUT mengenai institusi ibu susuan, sehingga ke hari ini ia kedengaran masih terlalu asing apatah lagi menjadi satu amalan sebagai satu kaedah berkesan bagi memastikan bayi-bayi dapat tumbuh dan membesar dengan lebih sihat dan kuat.

Tidak kurang yang sinikal dengan berkata institusi ibu susuan, merupakan satu budaya Arab Jahiliah sekalipun Nabi Muhammad SAW antara yang mendapat khidmat tersebut dalam tempoh dua tahun, iaitu tempoh susuan yang paling baik buat seorang bayi.

Oleh kerana ia menjadi satu amalan dalam budaya Arab Jahiliah maka dikatakan adalah tidak sesuai untuk kita contohi. Adakah benar begitu?

Kita telah mendengar dan mengetahui sebelum ini, mengenai kisah Nabi Muhammad yang semasa umur bayinya disusui oleh ibu susuan, malah telah dipisahkan daripada ibunya, Siti Aminah. Baginda menjalani kehidupan dalam suasana yang kedesaan, jauh dari kesibukan Kota Mekah.

Susu ibu adalah yang paling berkhasiat dan terbaik untuk pertumbuhan bayi dan kanak-kanak. Selain telah menjadi hak setiap bayi untuk menyusu dengan susu badan, iaitu bukan dengan susu lain termasuk diperah segar dari sumber haiwan ternakan terutamanya lembu atau susu formula, khasiat susu itu tidak perlu diceritakan lagi.

Malah jika tidak cukup oleh ibu sendiri akan dicari ibu susuan bagi memastikan bayi-bayi mereka menikmati khasiat hanya dari susu ibu itu.

Namun, susu sahaja tidak memadai, bagaimana dengan persekitaran luar dan dalam rumah yang sihat untuk anak-anak itu membesar dengan baik tanpa dipengaruhi oleh sebarang elemen-elemen yang cemar, kotor yang bakal memberi kesan kepada pertumbuhan fizikal dan mental bayi walaupun baru dilahirkan?

Perkara ini dipandang dengan begitu serius oleh masyarakat Arab walaupun mereka dilabelkan sebagai jahil.

Terbaik

Oleh kerana itu mereka memperkenalkan ibu susuan, yang sama sekali tidak bermakna susu ibu untuk didagangkan. Malah ada yang membawa bayi mereka ke ceruk-ceruk desa bagi mencari ibu susu yang boleh berkongsi susu dengan bayi yang datangnya dari kota semata-mata bagi memastikan si bayi mendapat yang terbaik sahaja untuk tempoh pembesaran yang penting itu.

Nabi Muhammad juga tidak terlepas dari menjadi sebahagian dari amalan ini walaupun pada awalnya baginda telah disusui oleh ibunya sendiri, Siti Aminah dan diikuti Thuwaibah, hamba perempuan milik bapa saudara baginda, Abu Lahab yang ketika itu sedang menyusui bayinya sendiri, yang bernama Masruh.

Namun Nabi Muhammad masih perlu disusui dalam suasana yang lebih baik berbanding di Kota Mekah walaupun kota tersebut merupakan kota Ibadat dan menjadi tumpuan oleh ramai pengunjung setiap tahun yang datang untuk mengerjakan haji dan menemui mereka yang alim dan kuat beribadat di situ.

Lalu, keluarga Rasulullah terutama datuk baginda, Abdul Mutalib mencari-cari ibu susu untuk menyusukan cucunya itu yang antara lain bertujuan supaya baginda Rasulullah tidak dijangkiti penyakit-penyakit sama ada dari serangan virus atau kuman mahupun penyakit yang merosakkan pemikiran.

Di samping sebenarnya, menghantar bayi ke desa-desa adalah penting bagi memastikan si anak mempelajari bahasa Arab jati, fasih dan asli.

Lalu siapakah wanita desa yang bertuah dapat menyusui baginda dan dapat menyaksikan sendiri Nabi Muhammad membesar di tangannya?

Tentu sekali nama yang telah sering menjadi sebutan, Halimah atau dikenali juga Halimatus Saadiah (kerana berasal dari Bani Saad) binti Abu Dhuayb, isteri kepada al Harith bin Abdul Uzza yang terkenal dengan gelaran Abu Kabsyah dari kabilah yang sama.

Namun tahukah anda, Nabi Muhammad sebelum disusui oleh Halimah, sebenarnya tidak mendapat tempat di hati ibu-ibu susu dari desa yang datang ke Kota Mekah semata-mata untuk mencari bayi yang hendak mereka susui.

Hanya kerana baginda anak yatim. Setiap dari mereka ditawarkan untuk menyusukan Nabi Muhammad tetapi kesemuanya enggan menerima baginda apabila sebaik sahaja mendapat tahu bahawa bahawa bayi itu seorang anak yatim.

Ini kerana mereka lazimnya juga mengharapkan agar mendapat sesuatu kebaikan dari bapa si bayi, jika sekadar dari datuk dan ibu si bayi pastinya tidak mendatangkan yang lumayan buat mereka.

Lalu diceritakan Halimah antara wanita-wanita dari desa Bani Saad yang beramai-ramai keluar dan menuju ke Mekah untuk mencari bayi dan dibayarkan upah apabila mereka menyusui bayi-bayi itu.

Mereka terpaksa keluar untuk mencari upah itu akibat tekanan dari musim kemarau yang menimpa kampung mereka.

Halimah dan suaminya bersama seekor keldai tua, bernama Qamra dan unta betina yang juga sudah tua dan telah kering susunya menuju ke Mekah dengan penuh kepayahan.

Mereka sering terpaksa berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan unta yang tidak lagi mampu mengeluarkan susu.

Setiba di Mekah, Halimah merupakan ibu susuan yang sanggup menerima Nabi Muhammad setelah ibu-ibu lain enggan menerima baginda kerana status anak yatim yang dimiliki oleh baginda itu.

"Demi Allah, saya tidak akan pulang semula ke desa tanpa seorang bayi pun untuk saya susui," katanya kerana kesukarannya untuk mendapatkan bayi untuk dibawa pulang.

Tuah si bayi

Halimah sama sekali tidak mengetahui gerangan tuah si bayi kecuali mengambil baginda kerana Nabi Muhammad satu-satunya bayi yang masih tinggal minta untuk disusui oleh ibu-ibu susu.

Namun suami Halimah berkata: "Tidak ada salahnya kamu mengambil bayi itu, mudah-mudahan Allah memberikan kita keberkatan pada bayi itu," kata Al Harith.

Lalu Halimah membawa Nabi Muhammad yang masih bayi itu untuk disusui walaupun dirinya dalam keadaan yang serba kekurangan termasuk susu badannya yang semakin berkurangan.

Namun dihulurkan juga kepada Nabi Muhammad untuk menyusu badan dan tidak semena-mena didapati bayi itu menyusu dengan enak dan puas seolah-olah terdapat banyak bekalan susu dari badan si ibu susuan itu.

Sehinggakan Rasulullah kemudiannya dapat tidur dengan lena seperti kekenyangan dan cukup bekalan susunya.

Malah ketika suami Halimah keluar, melihat unta betinanya yang sudah tua itu didapati unta itu juga dapat mengeluarkan susu dengan banyak sehingga tidak tertampung untuk diminum.

Ini membolehkan Halimah sendiri dapat menambahkan bekalan susu dalam badannya apabila beliau sendiri dapat minum susu unta dengan banyaknya.

Pada keesokan paginya, Al Harith berkata kepada isterinya: "Demi Allah, ketahuilah Halimah, sesungguhnya engkau telah mengambil seorang manusia yang sangat diberkati. Jika tidak manakan engkau dapat menyusukan bayi ini dengan bekalan yang banyak dan unta yang tiba-tiba juga mengeluarkan susu dengan begitu banyak sekali," katanya.

Tanda-tanda keberkatan dan kelebihan Rasulullah tidak henti setakat itu sahaja, sebaik tiba di perkampungan Bani Saad lebih banyak keajaiban yang berlaku.

Sedangkan kampung itu paling teruk di landa kemarau, tetapi didapati kambing-kambing peliharaan Halimah dan suaminya, yang ditinggalkan sepanjang pemergian mereka ke Mekah turut mengeluarkan susu yang banyak.

Seolah-olah kambing-kambing itu dapat meragut rumput-rumput sedangkan kesemua tumbuhan dan rumput mati akibat musim kemarau yang melanda.

Sejak mengambil Nabi Muhamad sebagai anak susunya, hidup Halimah sekeluarga benar-benar berubah kepada yang lebih baik berbanding orang lain.

Limpahan rezeki

Beliau menikmati limpahan rezeki dan kemudahan dengan menyusui bayi yang mulia itu dan Rasulullah sendiri sepanjang di bawah jagaan keluarga Halimah tidak pernah menyusahkan atau memberi sebarang kesukaran kepada mereka.

Baginda tumbuh sebagai bayi yang tidak sahaja sihat dan kuat malah telah menunjukkan tanda-tanda kenabian dengan tidak banyak menimbul ragam dan kerenah kecuali anak yang mudah diuruskan dan dijaga.

Malah baginda dengan sendiri untuk memutuskan susuan sebaik sahaja menjejak usia dua tahun.

Ini menyebabkan Halimah berasa dukacita kerana bermakna beliau terpaksa berpisah dengan anak itu dan mesti dikembalikan kepada waris baginda.

Lalu beliau suami isteri sekali lagi menemui Siti Aminah dan menyatakan hasrat mereka untuk terus memelihara si bayi dengan menjadikan alasan tidak mahu dijangkiti sebarang wabak penyakit yang menyerang Kota Mekah.

Pujukan demi pujukan menyebabkan Siti Aminah mengalah dan membenarkan supaya Halimah terus memelihara anaknya itu apabila beliau melihat sendiri puteranya itu kelihatan begitu sihat, cergas dan kuat.

Pulanglah Halimah dengan penuh gembira dan rupa-rupanya kepulangannya bersama Nabi Muhammad mencatatkan satu lagi peristiwa yang benar-benar di luar dugaan, iaitu anak susuannya itu diberitahu oleh penduduk kampung, telah dibunuh orang!

Benarkah Nabi Muhammad telah dibunuh sebagaimana yang disaksikan oleh penduduk kampung Bani Saad? Ikuti keluaran selanjutnya!.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5A6x3bSjm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Gadis yang terbakar tangannya


ARKIB : 27/03/2009
PADA suatu ketika, ada seorang gadis yang bernama Jariah datang menemui Rasulullah SAW. Ketika itu dia dalam keadaan sedih sambil memegang tangannya. Dia mahu mengadu kepada Rasulullah tentang tangan kanannya yang sakit dan merah kehitaman.

"Ya Rasulullah, tolonglah saya. Saya tidak mampu menahan kesakitan tangan saya ini. Sudilah Rasulullah mendoakan tangan saya ini supaya pulih seperti sediakala," rayu gadis itu.

Rasulullah berasa terharu dengan penderitaan gadis itu, lalu baginda berkata, "Wahai Jariah, kenapa tanganmu itu boleh terbakar?"

"Pada malam tadi, saya bermimpi. Ketika saya bangun, saya dapati tangan saya sudah terbakar," kata gadis itu lagi.

Rasulullah pun bertanya kepadanya, "Cuba ceritakan kepadaku tentang mimpi kamu."

"Malam tadi, saya bermimpi seakan-akan hari kiamat telah datang. Suasana dunia menjadi goncang, gunung-ganang berterbangan. Ia sungguh mengerikan dan tidak pernah saya melihatnya sebelum ini. Saya juga dapat melihat orang-orang di dalam neraka Jahanam yang meluap-luap apinya.

"Di tempat lain pula saya melihat syurga yang luas dan terbuka lebar. Ketika saya menyaksikan api neraka Jahanam itu, saya seolah-olah pengsan kerana ngeri melihatnya. Saya sangat terkejut apabila melihat ibu saya berada di dalam jurang neraka. Keadaan ibu sangat menyedihkan. Saya hairan kenapa ibu ditempatkan di neraka sedangkan dia membuat amalan baik di dunia," terang gadis itu.

"Bagaimana keadaan ibu kamu ketika di dunia?" tanya Rasulullah.

"Wahai Rasulullah, ibu saya adalah seorang yang kuat beribadat, taat kepada suami, sabar dan bercakap benar," jawab gadis itu.

"Mengapa ibumu ditempatkan di neraka?" tanya Rasulullah lagi.

"Di dalam mimpi saya itu, saya telah bertemu dengan ibu. Ibu mengatakan itulah tempat bagi orang-orang yang bakhil. Hanya sehelai kain dan sepotong lemak yang dibawanya di mana dia pernah menyedekahkannya sewaktu berada di dunia. Dengan amalan itu sahajalah, ibuku dapat berlindung daripada api neraka. Kemudian saya bertanya pula kepada ibu, di manakah ayah berada? Ibu memberitahu ayah sedang berada di syurga.

Kemudian, saya pun pergi mencari ayah di dalam syurga. Saya lihat ayah sangat bahagia di situ. Ayah sedang memberi minuman kepada sahabat-sahabatnya. Air minuman itu diambil daripada tangan Saidina Ali, kemudian Saidina Ali pula mengambilnya daripada Saidina Umar dan Saidina Umar juga mengambil air itu daripada tangan Rasulullah.

Kemudian, saya bertanya kepada ayah, kenapa ayah memberi minuman itu kepada orang lain, kenapa tidak memberikan minuman itu kepada ibu? Ayah memberitahu saya bahawa ibu berada ditempat orang-orang yang bakhil dan orang-orang yang membuat maksiat kepada Allah. Dengan sebab itulah, Allah mengharamkan mereka daripada telaga Rasulullah.

Wahai Rasulullah, saya kasihan melihat ibu, lalu saya mengambil air dari telaga Rasulullah, kemudian diberikan kepada ibu untuk diminum. Tiba-tiba, ibu saya mengeluarkan suara yang menakutkan. Allah telah membakar tangan saya kerana memberikan ibu minum air yang diambil dari telaga Rasulullah. Sedangkan telaga itu hanya untuk orang-orang yang tidak membuat maksiat dan orang-orang yang suka berbuat sedekah," cerita gadis itu dengan jelas.

Maka Rasulullah berkata kepada gadis itu, "Kerana sifat bakhil ibumu itulah yang menyebabkan dia menjadi penghuni neraka".

Setelah melihat tangan gadis yang terbakar itu, Rasulullah meletak tongkatnya pada tangan gadis itu sambil berdoa, "Ya Allah, ya Tuhanku, sembuhkanlah tangannya."

Dengan kehendak Allah SWT dan berkat daripada Rasulullah, tangan gadis itu sembuh seperti sediakala.

lPetikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz5A6cvEAkv
© Utusan Melayu (M) Bhd