Isnin, 27 Mac 2017

Salman Al-Farisi mencari tanda-tanda kenabian

ARKIB : 23/01/2003
Sejarah
Oleh FARIDAH MOHAMED SANI
DALAM siri pertama semalam, diceritakan mengenai cadangan Salman Al-Farisi supaya menggali parit sebagai benteng pertahanan kota Madinah.

Ikuti urutan kehidupan Salman yang berasal daripada keluarga kaya tetapi sanggup meninggalkannya semata-mata mencari Tuhan Yang Maha Suci.

Salman yang berasal dari Isfahan adalah anak kesayangan ayahnya, seorang pembesar di daerah tersebut.

Beragama Majusi, Salman menumpahkan baktinya pada agamanya dengan memastikan api sentiasa menyala.

Satu hari ayahnya menyuruh Salman ke sebidang tanah miliknya. Dalam perjalanan itu beliau melewati sebuah gereja milik kaum Nasrani.

``Aku masuk ke dalam untuk melihat mereka bersembahyang. Kataku dalam hati mengagumi cara sembahyang mereka ``Ini lebih baik daripada yang kuanuti selama ini.

``Aku tidak berganjak dari situ sampai matahari terbenam. Kerana itu aku tidak pergi ke tanah milik ayah tadi dan tidak pulang ke rumah, hingga ayah mengirim orang menyusulku''cerita Salman.

Akibat cerita dan luahan perasaannya kepada ayahnya, Salman dipenjarakan dan kakinya dirantai.

Tetapi anak muda ini tidak patah semangat, beliau mengirim berita kepada orang-orang Nasrani mengenai dirinya yang telah memeluk Nasrani.

``Aku berharap dapat bersama mereka kembali ke Syria, tempat asal agama mereka,''katanya.

Setelah berjaya memboloskan diri dari penjara, beliau menggabungkan diri bersama rombongan ke Syria.

Di sana baktinya dicurahkan kepada ketua gereja sebagai pelayan, belajar dan beramal.

Sayang sekali rupanya ketua berkenaan seorang yang tidak amanah. Sedekah daripada orang ramai disimpannya untuk keperluan peribadinya.

Setelah dia meninggal dunia, Salman berbakti pula kepada penggantinya.

Begitulah kehidupan Salman seterusnya, sehinggalah seorang pendeta menasihatinya : ``Sekarang sudah dekat masanya kebangkitan seorang nabi yang mengikuti agama Ibrahim secara murni.

``Nanti dia akan berhijrah ke suatu tempat yang ditumbuhi kurma...seandainya kamu dapat ke sana, temuilah dia...dia tidak mahu menerima sedekah, sebaliknya bersedia menerima hadiah.

``Di bahunya ada cap kenabian. Apabila kamu melihatnya kamu akan segera mengenalinya.''

Pada satu hari, Salman melihat rombongan dari Jazirah Arab. Beliau mengikutinya tetapi ketika sampai di Wadil Qura, mereka menjualnya sebagai hamba kepada seorang Yahudi.

Selepas itu Salman dibeli pula oleh seorang Yahudi dari Banu Quraizah, yang membawanya ke Madinah.

Ketika sampai di Madinah, Salman begitu yakin inilah negeri yang disebutkan oleh pendeta itu kepadanya.

Beliau tinggal bersama tuannya dan bekerja di perkebunan kurma milik Banu Quraizah, sehinggalah datang saat kerasulan Nabi Muhammad yang datang ke Madinah dan singgah pada Bani Amar bin Auf di Quba.

Pada suatu hari ketika Salman berada di atas pohon kurma, sementara tuannya duduk di bawahnya, datang seorang Yahudi membawa khabar: ``Bani Qilah celaka! mereka berkerumun mengelilingi seorang lelaki di Quba yang datang dari Mekah dan mengaku sebagai nabi.''

Sebaik sahaja mendengar berita itu, tubuh Salman menggigil kuat sehingga beliau hampir jatuh menimpa tuannya yang ada di bawah.

Beliau segera turun dan bertanya : ``Apa yang anda katakan tadi dan berita apa yang anda bawa?''

Akibat pertanyaan itu, Salman dipukul sekuatnya oleh tuannya.

Pada petang harinya, Salman menemui Rasulullah s.a.w. di Quba bersama anggota rombongannya.

Beliau berkata kepada mereka: ``Kamu semua adalah perantau yang memerlukan. Kebetulan saya mempunyai persediaan makanan yang telah saya niatkan untuk bersedekah. Tetapi setelah melihat keadaan kamu semua, saya rasa kamu lebih layak menerimanya, dan makanan itu saya bawa ke sini.''

Salman meletakkan makanan itu di hadapan mereka. Nabi bersabda kepada para sahabatnya : ``Makanlah dengan nama Allah''. Tetapi baginda sendiri tidak menjamahnya.

Salman segera teringat cerita pendeta tentang tanda-tanda lelaki yang tidak mahu makan harta sedekah.

Besoknya, awal pagi lagi Salman menemui Rasulullah s.a.w. sambil membawa makanan. Katanya kepada Baginda : ``Saya lihat Tuan tidak mahu makanan sedekah. Saya bawakan sesuatu untuk Tuan sebagai hadiah.''

Salman pun meletakkan makanan tersebut di hadapan Rasulullah s.a.w. dan baginda bersabda kepada para sahabat yang ada di situ: ``Makanlah dengan menyebut nama Allah.''

Melihat Nabi makan bersama, Salman berkata dalam hatinya, inilah tanda kedua, iaitu dia bersedia menerima hadiah.

Beberapa lama kemudian Salman mencari Rasulullah s.a.w. dan menemui Baginda dan para sahabatnya di Baqi' mengiringi jenazah.

Ketika itu Baginda memakai dua helai kain yang lebar. Sehelai kain dipakainya sebagai sarung, sementara sehelai lagi sebagai baju.

Salman mengucapkan salam sambil melihatnya. Rupa-rupanya Baginda mengerti maksud Salman.

Oleh itu Baginda menyingkap kain dari lehernya hingga ternampaklah pada bahunya tanda kenabian yang diceritakan oleh pendeta tadi.

Melihat tanda-tanda itu semua, Salman segera mencium Nabi sambil menangis. Beliau menceritakan pengalamannya kepada baginda.

Setelah itu Salman memeluk Islam, tetapi perhambaan menjadi penghalang baginya untuk turut serta dalam peperangan Badar dan Uhud.

Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. memerintahnya: ``Mintalah pada tuanmu supaya bersedia membebaskanmu dengan menerima wang tebusan.''

Akhirnya, Salman dimerdekakan dan hidup sebagai seorang Muslim yang bebas, setelah para sahabat Rasulullah s.a.w. membantunya membayar wang tebusan.

Rasulullah s.a.w. selalu memuji kecerdasan dan ketinggian ilmu Salman al-Farisi. Baginda juga memuji agama dan budi pekertinya yang luhur.

Pada satu hari Salman yang tinggal bersama Abu Darda ingin menggagalkan niatnya untuk berpuasa sunat esok harinya.

Abu Darda berkata : ``Apakah kamu hendak melarangku berpuasa dan solat kerana Allah?''

Jawab Salman : ``Sesungguhnya kedua matamu mempunyai hak atas dirimu, demikian pula keluargamu mempunyai hak atas dirimu.

``Di samping kamu berpuasa, berbukalah. Dan di samping kamu bersembahyang, tidurlah.''

Abu Darda adalah seorang sahabat yang terkenal dengan kuat ibadahnya. Abu Darda selalu beribadah pada waktu malam dan berpuasa pada siangnya. Salman melarang beliau berlebih-lebihan dalam ibadah itu.

Apabila peristiwa Salman dan Abu Darda sampai kepada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda : ``Sungguh Salman telah dipenuhi dengan ilmu.''

Pada waktu peperangan Khandak pula, kaum Ansar berdiri sambil berkata : ``Salman dari golongan kami.''

Tiba-tiba bangkit pula kaum Muhajirin: ``Tidak, dia dari golongan kami.''

Akhirnya Rasulullah s.a.w. memanggil mereka semua dan bersabda : ``Salman adalah golongan kami, ahlul bait.''

Sungguh satu penghormatan yang tiada tolok bandingnya daripada Rasulullah s.a.w.!

Ketika Salman sedang sakit yang membawa ajalnya, iaitu pada pagi hari kematiannya, beliau memanggil isterinya untuk mengambil sesuatu yang pernah disimpan oleh isterinya atas permintaannya.

Rupa-rupanya barang itu hanyalah seikat kasturi yang diperolehinya sewaktu pembebasan Jalula dulu.

Ia sengaja disimpan sebagai wangi-wangian pada hari kematiannya.

Salman menyuruh isterinya mengambil segelas air. Ditaburnya kasturi tadi ke dalam gelas tersebut.

Kata Salman kepada isterinya: ``Percikkanlah air ini di sekelilingku. Sekarang telah hadir di hadapanku makhluk Allah yang tidak dapat makan dan hanya gemarkan wangi-wangian.''

Setelah isterinya melaksanakan suruhannya. Salman berkata lagi : ``Tutupkanlah pintu dan turunlah kamu.''

Isterinya patuh pada arahannya. Dan tidak berapa lama kemudian ia masuk kembali dan mendapati suaminya, Salman Al-Farisi telah pergi menemui Tuhannya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cWCyUIEF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Salman Al-Farisi berpengalaman dalam teknik perang

ARKIB : 22/01/2003
Sejarah
Oleh FARIDAH MOHAMED SANI
DUA puluh empat ribu tentera di bawah pimpinan Abu Sufyan dan Uyainah menghampiri kota Madinah.

Mereka berhasrat mengepung dan menghancurkan Nabi Muhammad s.a.w. yang membawa agama baru, bersama para sahabatnya.

Pasukan tentera ini bukan sahaja terdiri daripada orang-orang Quraisy, bahkan daripada pelbagai kabilah atau suku kaum yang menggangap Islam sebagai lawan yang membahayakan mereka.

Kaum Muslimin menginsafi keadaan mereka yang genting ini, lalu Rasulullah s.a.w. pun mengumpulkan para sahabat mengajak bermusyawarah.

Mereka membincangkan cara sebaiknya untuk mempertahankan diri dan mengangkat senjata.

Ketika itulah seorang lelaki tinggi lampai dan berambut lebat tampil mengemukakan pendapatnya.

Itulah Salman Al-Farisi yang berasal dari Parsi. Beliau mempunyai pengalaman luas mengenai teknik-teknik peperangan dan lekuk likunya semasa berada di negaranya dulu.

Salman mengajukan satu cadangan yang belum pernah dikenali oleh orang-orang Arab dalam peperangan mereka sebelum ini.

Khandak atau parit harus digali sepanjang daerah yang terbuka di keliling kota.

Cadangan ini dikemukakan Salman setelah beliau meneliti kedudukan kota Madinah.

Walaupun Madinah dikelilingi gunung ganang dan bukit bukau yang sebenarnya menjadi benteng kepada penduduknya, tetapi ada sebahagian daerah yang terbuka luas dan terbentang panjang.

Keadaan ini akan memudahkan musuh-musuhnya menyerbu dan memasuki benteng pertahanan mereka.

Sewaktu Salman ikut serta menggali parit, cangkulnya terbentur sebuah batu besar.

Dengan tenaganya yang kuat beliau dan rakan-rakannya berusaha memecahnya menjadi pecahan-pecahan kecil, tapi tidak berjaya.

Salman menemui Rasulullah s.a.w. meminta izinnya mengalihkan jalur parit dari garis semulanya untuk menghindari batu besar yang tidak terusik itu.

Baginda pergi ke tempat yang diceritakan untuk melihat sendiri keadaannya.

Kemudian Baginda meminta alat untuk memecahkan batu dan menasihatkan para sahabat menghindari pecahan batu-batu kecil itu nanti.

Dengan basmalah Baginda sekuat tenaga menghunjamkannya ke batu besar itu.

Batu itu terbelah, dan dari celah-celah belahannya yang besar, keluar percikan api yang tinggi dan menerangi sekitarnya.

Kata Salman, ``Saya melihat semburan api itu menerangi pinggiran kota Madinah.''

Sementara itu Rasulullah s.a.w. mengucapkan takbir dan bersabda: ``Allahu akbar, aku telah dikurniakan kunci-kunci istana negeri Parsi.

``Dan daripada cahaya api itu tadi aku nampak dengan nyata istana-istana kerajaan Hirah, kota-kota maharaja Parsi. Dan umatku akan menguasai semuanya.''

Setelah itu Baginda lakukan hal yang sama kali kedua. Sekali lagi pecahan batu besar tadi menyemburkan api yang tinggi dan menerangi sekitarnya.

Rasulullah s.a.w. bertakbir, sabdanya: ``Allah Maha Besar. Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Rom. Dari cahayanya, nampak nyata olehku istana-istana merahnya. Sesungguhnya umatku akan menguasainya.''

Buat kali ketiga Baginda memecahkan batu tadi hingga pecah berderai. Sinar cahayanya terpancar terang. Baginda mengucapkan ``la ilaha illallah'' diikuti dengan suara gemuruh kaum Muslimin.

Rasulullah s.a.w. bercerita bahawa sekarang baginda melihat istana-istana dan mahligai-mahligai di Syria, Shan'a dan beberapa daerah lain yang satu ketika nanti akan berkibar di bawah bendera Allah.

Maka dengan penuh keimanan, kaum Muslimin serentak berseru : ``Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya.''

Salman adalah orang yang mencadangkan penggalian parit. Beliau juga yang menemui batu besar yang telah memancarkan rahsia-rahsia dan ramalan-ramalan ghaib Nabi Muhammad s.a.w.

Salman melihat kejadian tersebut dari dekat dan mendengar sendiri berita gembira itu. Dan Salman juga masih hidup ketika ramalan-ramalan tersebut menjadi kenyataan.

- Bersambung esok
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cW74hRgH

© Utusan Melayu (M) Bhd

Fatimah puteri kesayangan nabi

ARKIB : 16/01/2003
MUHAMMAD dipilih oleh penduduk Mekah untuk meletakkan semula Hajar Aswad di tempatnya setelah bangunan Kaabah dibaik pulih.

Pada masa itulah Fatimah, puteri keempat Rasulullah s.a.w. lahir dalam lingkungan masyarakat yang sedang memuja kelahiran anak lelaki.

Ayah dan ibunya menyambut kelahirannya dengan rasa syukur.

Tiga orang kakaknya, Zainab, Ruqayah dan Ummu Kalsum sangat menyayanginya dan memanjakannya.

Lima tahun kemudian ayahnya diutus oleh Allah s.w.t. menjadi nabi akhir zaman.

Fatimah melihat pelbagai kecaman dan siksaan yang diterima ayahnya sepanjang tugas dakwahnya.

Ketika `Uqbah bin Abu Mu'ith datang membawa semacam uri dari perut unta yang disembelih, lalu meletakkannya ke atas punggung ayahnya yang sedang sujud, Fatimah sedang berdiri tidak jauh daripada ayahnya. Sebelum ayahnya bangun dari sujudnya, Fatimah segera mengambil dan membuangnya.

PUTERI YANG PALING DISAYANGI
Fatimah adalah puteri yang paling disayangi ayahnya. Dalam banyak hal nama Fatimah selalu disebut-sebut oleh baginda.

Contohnya, ahli-ahli sejarah menceritakan, pernah seorang wanita Quraisy mencuri selepas dia masuk Islam. Kaum Quraisy merasa sayang kerana wanita itu akan dipotong tangannya.

Mereka menemui Usamah bin Zaid bin Haritsah supaya memohonkan keringanan kepada Rasulullah kerana biasanya Usamah disayangi Baginda dan sering permohonannya diperkenankannya.

Usamah menyampaikan hajat orang ramai itu, tetapi Baginda berkata: ``Jangan bicarakan masalah ini denganku, Usamah. Hukuman itu apabila sampai kepadaku, tidak boleh lagi ditinggalkan. seandainya yang mencuri itu sekali pun puteri Muhammad, Fatimah, tentu akan kupotong tangannya.''

Nabi Muhammad tidak mengatakan puteri Muhammad secara umum, tetapi baginda menyebut nama Fatimah, puteri yang sudah dikenali orang-orang Quraisy.

Dalam kesempatan lain Nabi berkata: ``Wanita yang terbaik di dunia ini ada empat, Mariam (ibu Isa), Asiah (isteri Firaun), Khadijah dan Fatimah.''

Pada masa Rasulullah dan para sahabat berhijrah ke Madinah, Fatimah dan kakaknya, Ummu Kalsum masih berada di Mekah.

Kedua-duanya berhijrah selepas ayahnya mengirim utusan yang membawa mereka untuk berkumpul semula dengan ayahnya di Madinah.

Dalam perjalanan menyusuli ayahnya, mereka dikejar oleh sekumpulan kaum Musyrikin, sehingga unta yang mereka naiki ketakutan, terpijak lubang dan jatuh.

Kedua-dua puteri Rasulullah ini jatuh ke tanah. Mereka meneruskan perjalanan dalam keadaan yang terlalu lemah, dan akhirnya sampai juga di Madinah.

Sewaktu Ali bin Abu Talib berjumpa Rasulullah untuk meminang Fatimah, Baginda bertanya : ``Ali apakah kamu mempunyai sesuatu?''

Ali menjawab, ``Tidak ya Rasulullah.''

Tanya baginda lagi, : ``Di mana baju besimu yang kuberikan pada peperangan Badar dulu?''

Ali menjawab dengan terharu kerana merasakan Nabi begitu baik padanya dan memerhatikan kepentingannya.

``Baju itu ada pada saya ya Rasulullah.''

``Berikanlah baju besi itu kepada pengantinmu.''

Ali dengan segera pergi untuk mengambil baju tersebut dan kembali membawanya kepada Baginda. Nabi menyuruh Ali menjual baju besinya supaya wangnya dapat digunakan sebagai persiapan melangsungkan perkahwinan.

HIDUP DALAM KEMISKINAN
Kehidupan Fatimah bersama suaminya, Ali sentiasa dalam kemiskinan. Fatimah tahu benar keadaannya. Ali tidak mampu mengupah seorang pembantu rumah tangga untuk membantu dan menggantikan isterinya mengerjakan tugas-tugas yang berat.

Namun, Ali suami yang baik. Beliau ikut membantu isterinya menguruskan kerja-kerja rumah.

Kasihan melihat keadaan Fatimah, Ali mencadangkan isterinya menemui ayahnya yang baru kembali dengan kemenangan dari satu peperangan.

Baginda membawa pulang beberapa wanita tahanan perang yang nantinya akan dijadikan hamba.

Fatimah pergi menemui ayahnya, tetapi perasaan malunya membuat Fatimah tidak mampu menyatakan hasratnya.

Dia kembali memberitahu keadaannya kepada suaminya. Kemudian kedua-dua suami isteri ini pun menemui Rasulullah.

Ali menjadi jurucakap menyampaikan hasrat mereka, meminta seorang pembantu. Sementara Fatimah duduk di dekatnya menundukkan kepala dengan rasa malu.

``Tidak,'' jawab Nabi. ``Demi Allah saya tidak pantas memberikan seorang pembantu kepada kamu berdua, sambil itu membiarkan ahli Suffah, mereka yang menetap di masjid dengan perut keroncongan. Tidak ada yang akan saya berikan untuk nafkah mereka!

``Hamba sahaya ini akan saya jual, dan hasil jualannya akan saya berikan untuk nafkah ahli-ahli suffah.''

Demikianlah Ali dan Fatimah kembali dengan rasa syukur kepada Allah kerana rupa-rupanya masih ramai lagi yang lebih memerlukan berbanding mereka berdua.

Pasangan suami isteri ini tidak menduga permintaan mereka siang tadi menjadi bahan fikiran ayahnya sepanjang hari.

Malam itu, kebetulan udara sangat dingin. Ali dan isterinya yang berbaring di tempat tidur yang kasar, tidak dapat melelapkan mata kerana dingin yang mencengkam ke tulang.

Tiba-tiba Rasulullah mengetuk pintu. Ali dan Fatimah yang membongkok dalam selimut cuba bangun.

Kalau mereka menutup kepala, kaki akan terbuka. Kalau kaki ditutup, kepala pula yang terbuka.

Nabi segera berkata: ``Tetaplah kamu di situ.''

Terharu melihat keadaan kedua-duanya, Nabi berkata dengan lemah lembut: ``Mahukah kamu berdua saya ceritakan sesuatu yang lebih baik daripada yang kamu minta siang tadi kepada saya?''

``Jibril telah mengajarkan saya beberapa kalimat, hendaklah kamu berdua membaca `subhanallah' sepuluh kali setiap kali lepas sembahyang, `alhamdulillah' sepuluh kali, `Allahu akbar' sepuluh kali.

``Apabila kamu berbaring di tempat tidurmu, bacalah `subhanallah' 33 kali, `alhamdulillah' 33 kali dan `allahu akbar' 33 kali.''

Lebih sepertiga abad kemudian, orang mendengar Ali r.a. berkata: ``Demi Allah saya tidak pernah meninggalkannya (ajaran Rasulullah tadi) semenjak baginda mengajarkannya kepada saya.''

HAJAT BERPOLIGAMI
Suatu hari Ali berniat mengahwini anak perempuan Amr bin Hisyam bin Mughirah al-Makhzumi. Ali beranggapan perbuatannya itu hanyalah menurut kebiasaan masyarakat ketika itu, beristeri dua atau lebih.

Tetapi suasana tidak seperti yang dirancangkan oleh Ali. Nabi masuk ke masjid dengan rasa marah dan bercakap di khalayak ramai bahawa baginda tidak bersetuju puterinya dimadu dengan puteri Amr.

Diringkaskan kisah, kemarahan baginda ini sebenarnya ialah kerana Amr bin Hisyam adalah musuh Allah yang sangat jahat, yang banyak menindas umat Islam.

Wajarkah puteri Rasulullah dikumpulkan dengan puteri musuh Allah?

Fatimah puteri Muhammad meninggal dunia pada hari Isnin, tanggal 2 Ramadan tahun ke ll hijrah

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cW0TIS7v © Utusan Melayu (M) Bhd

Rasulullah pernah jadi mangsa sihir

ARKIB : 19/01/2003
Soal Jawab Agama Oleh Dr. Amran Kasimin
SOALAN:
Saya masih tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan sihir. Dan adakah benar baginda Rasulullah pernah kena sihir? - Ismail, Kuala Lipis

JAWAPAN:
Para ulama, termasuk ahli-ahli tafsir banyak membicarakan tentang definisi sihir. Al-Baydawi dalam tafsirnya menyatakan bahawa sihir ialah apa-apa perbuatan yang dilakukan oleh manusia untuk mencapai sesuatu tujuan, yang dilakukan dengan cara menghampirkan diri kepada syaitan.

Tanpa bantuan makhluk ini, manusia tidak berupaya melakukan perbuatan tersebut. Kerana itu amalan ini hanya akan dilakukan oleh mereka yang jahat lagi kotor diri.

Al-Imam ar-Razi dalam bukunya bertajuk Ahkamu `s-sihr wa `s-saharati fi `l-Quran wa `s-Sunnah menyatakan bahawa sihir adalah perbuatan tersembunyi puncanya, bukan hakikat, terjadi dengan tipu helah dan kepalsuan. Beliau mengajukan dalil daripada al-Quran surah al-A'raf: 116 yang bermaksud: Maka tatkala mereka melemparkan, mereka menyulap mata orang menyebabkan orang ramai takut. Mereka mendatangkan sihir yang menakjubkan.

Ayat ini menjelaskan peristiwa yang berlaku di antara Firaun dan Nabi Musa, di mana tukang-tukang sihir telah menyihir mata orang ramai, memesongkan atau memalsukan pandangan mata mereka yang memandang, menyebabkan mereka menyangka tali-tali dan tongkat-tongkat yang dilemparkan itu berjalan (Taha: 66).

Menurut Ibn Qudamah al-Muqaddas, seperti yang dicatat oleh Wahid Abdul Salam (1412H: 8), sihir adalah tangkal azimat, jampi mantera atau rangkaian kata yang ditukarkan, ditulis atau sesuatu yang dilakukan, yang memberi kesan, iaitu pada jasad mangsa sihir, pada hati atau akalnya tanpa menyentuhnya langsung.

Termasuk dalam amalan sihir ini ialah mereka yang menyediakan tangkal azimat dan menghembuskannya pada simpulan tangkal azimat setelah menuturkan rangkaian kata jampi mantera atau serapah seperti yang disebut dalam surah al-Falaq: 4 yang bermaksud: Dan dari kejahatan wanita tukang sihir, yang menghembuskan pada simpulan-simpulan.

Dalam surah al-Falaq: 1-5, Allah menyuruh agar setiap orang berlindung kepada-Nya, iaitu Allah yang menguasai subuh dan kejahatan makhluk-Nya juga daripada kejahatan malam yang gelap gelita, dari kejahatan tukang-tukang sihir, juga daripada mereka yang dengki.

Perintah Allah agar manusia memohon perlindungan kepada-Nya yang menjadikan waktu pagi (Rabbi `l-Falaq) ini membuktikan bahawa amalan sihir itu adalah sesuatu yang benar-benar berlaku. Disebut dalam ayat ini (al-Falaq: 4), tentang wanita-wanita yang menghembus pada simpulan-simpulan, setelah menuturkan rangkaian kata sihir yang terdiri dari jampi, mantera atau serapah kerana tukang-tukang sihir kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita (Muhammad bin Abdul Wahap, tt: 111).

Kalimah an-naffathat yang diambil daripada surah al-Falaq di atas adalah jamak daripada perkataan an-naffathat sighati-mublaghah. Menurut al-Munjid (1960: 823), an-nafath ialah ism al-masdar daripada perkataan nafatha, yanfithu - atau yanfutuhu bererti apa yang keluar dari mulut yang terdiri daripada air ludah yang pekat.

Menurut Ibn al-Qayyim (Ahmad An-Nuhas, 1994: 70), an-nafath bererti hembusan, iaitu mengeluarkan angin dari mulut yang disertai dengan sedikit ludah, ataupun perbuatan antara kedua-duanya. Ia adalah perbuatan tukang sihir.

Apabila diri seseorang itu kotor dan berhasrat agar berlakunya kecelakaan kepada orang lain sama ada untuk dirinya sendiri atau atas permintaan seseorang, setelah meminta pertolongan daripada iblis dan syaitan, melalui rangkaian kata jampi mantera atau serapah, maka tukang sihir itu pun melakukan hembusan pada simpulan yang mengandungi bahan sihir tadi.

Dari jasad yang kotor keluar hembusan yang dibantu oleh kejahatan iblis dan syaitan. Dengan demikian, orang yang berkenaan akan terkena sihir dengan izin Allah.

Menurut tafsir al-Azhar, ``apabila malam tiba, maka timbullah kesepian yang mencengkam. Pelbagai ragam berbahaya boleh berlaku daripada binatang buas, manusia, iblis dan syaitan. Dalam kehidupan moden, pelbagai maksiat berlaku, di meja judi, di sarang-sarang pelacuran. Dalam surah ini (al-Falaq: 1) Allah menyuruh setiap orang memohon perlindungan dan naungan-Nya di pagi hari, agar mereka terselamat daripada segala bahaya yang tidak diketahui.

Allah juga memerintahkan agar manusia berlindung daripada kejahatan sihir dengan merujuk perempuan-perempuan sihir yang menghembus pada simpulan-simpulan bahan sihir selepas menyeru iblis dan syaitan. Di dunia Barat, tukang-tukang sihir digambarkan sebagai perempuan-perempuan tua yang sudah romping gigi dengan rupa yang menakutkan. Di hadapannya diletakkan periuk berisi air menggelegak dipenuhi pelbagai ramuan sihir dengan api yang menyala di bawahnya.

Dalam masyarakat Melayu, sesetengah mereka yang terlibat menyediakan tangkal atau azimat turut meniup atau menghembus simpulan berkenaan setelah rangkaian jampi mantera atau serapah untuk memanggil makhluk-makhluk halus yang dibela atau dibuat sahabat, dibaca.

Selain melakukan hembusan pada bahan berkenaan, hembusan dari mulut juga dilakukan untuk melakukan upacara sihir yang dikenali sebagai ``tuju-tuju''. Dalam upacara ini, seperti yang dijelaskan oleh tafsir al-Azhar, perempuan-perempuan tukang sihir akan menghembuskan ramuan yang dibungkus, diikat dengan tali yang telah disimpulkan.

Isinya terdiri daripada bahan-bahan kotor atau bahan yang mengandungi simbolik dalam upacara ini, seperti jarum, kain kafan atau tanah yang diambil dari kubur, batu nisan dan sebagainya. Dengan menggunakan bahan tadi, mangsa sihir akan menderita seumpama ditusuk jarum.

Untuk menjadikan mangsa gelisah, bingung dan tidak keruan, bahan-bahan seperti sampah, daun kayu atau binatang kecil yang telah mati diambil dari air yang berpusar, atau apa-apa objek seperti semut, labah-labah atau lipas mati yang terperangkap di sarang labah-labah tergantung berpusing-pusing ke kanan ke kiri ditiup angin.

Mangsa sihir akan menjadi bingung tidak karuan atau menjadi tidak siuman, terasa berpusing-pusing kepalanya seperti keadaan bahan yang diambil di pusaran air atau berpusing-pusing tergantung di sarang labah-labah menurut tiupan angin. Begitu juga halnya dilakukan untuk menjadikan mangsa garang di mana misai harimau digunakan ataupun tulang kokang untuk menjadikan mangsa malu, menyorok kepala atau melarikan diri apabila melihat ada orang datang. Bahan-bahan yang digunakan hanya simbolik semata-mata, di mana ia tidak memberi kesan kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin yang diseru.

Pada tahun ketujuh Hijrah, iaitu selepas balik daripada Hudaibiyah baginda Rasulullah terkena sihir. Ketua-ketua Yahudi datang menemui Labid bin al-A'sam, seorang tukang sihir yang handal daripada kalangan ahli-ahli sihir Yahudi. Mereka mengadu mengatakan bahawa mereka begitu kagum dengan kehandalan Labid. Mereka mengaku berusaha untuk menyihir Muhammad, tetapi tidak memberi kesan. Kerana itu mereka meminta agar ia melakukan sihir ke atas Muhammad dengan memberi upah tiga dinar.

Peristiwa sihir ini disebut oleh Saidina Aishah radiallahuanhu di mana ia berkata: Seorang lelaki dari kaum Bani Zuraiq bernama Labid al-A'sam telah menyihir nabi menyebabkan Rasulullah merasakan seolah-olah melakukan sesuatu pada hal ia tidak melakukannya, hingga pada satu hari Rasulullah berdoa dan berdoa, kemudian baginda bersabda yang bermaksud:

Wahai Aishah, apakah engkau merasakan bahawa Allah telah mendatangkan fatwa ketika aku benar-benar memerlukannya? Telah datang kepadaku dua orang lelaki, lalu salah seorang daripadanya duduk berhampiran kepalaku dan yang seorang lagi berhampiran kakiku.

Lelaki yang berhampiran kepala berkata kepada temannya yang berada berhampiran kakinya:

``Apa sakit lelaki ini?''

Ia menjawab, ``terkena sihir.''

``Siapa menyihirnya?''

Ia menjawab, ``Labid bin Al-A'sam.''

``Dengan bahan apa?''

``Pada sikat dan rambut kemudian dibungkus dengan seludang tamar jantan muda.''

Temannya bertanya lagi, ``di mana letaknya benda itu?''

``Di dalam telaga Zarwan.''

Lalu Rasulullah menemui salah seorang sahabatnya agar ia pergi meninjau. Setelah kembali sahabat tadi berkata:

``Wahai Aishah! Demi Allah, air telaga itu berwarna kemerah-merahan, seolah-olah warna inai. Rupa pohon tamar itu seperti kepala-kepala syaitan.

Aku (Aishah) bertanya: ``Ya Rasulullah, kenapa tidak dibunuh sahaja tukang sihir itu?''

Baginda menjawab, ``jangan! Allah telah menyembuhkan daku. Aku tidak suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain.'' Lalu baginda menyuruh agar ditanam sahaja bahan-bahan sihir itu tadi.

Banyak hadis membicarakan tentang peristiwa sihir yang berlaku ke atas Rasulullah. Bahan yang digunakan untuk menyihir ialah sikat yang digunakan untuk menyikat rambut dan janggut, juga rambut yang gugur ketika disikat, juga pelepah tamar. Bahan-bahan tadi ditanam dalam perigi zarwan, iaitu sebuah perigi kepunyaan kaum Bani Zuraiq.

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Rasulullah menderita sihir selama enam bulan dan merasakan seolah-olah dia menggauli isterinya padahal baginda tidak berbuat demikian. Kerana itulah sesetengah ulama berhujah bahawa sihir tersebut menyebabkan Rasulullah tertahan daripada bersatu dengan isterinya.

Setelah Jibril memberitahu apa yang telah dilakukan oleh Labid, baginda pergi ke perigi bersama sahabat-sahabatnya. Kemudian baginda balik menyuruh Ali dan Ammar datang ke perigi berkenaan, lalu mereka mengeringkan airnya. Qays telah mengangkat batu yang menindih bahan-bahan sihir di perut perigi. Sesetengah riwayat menyebut ia mendapati satu patung yang diperbuat daripada lilin yang dicucuk dengan jarum, dililit dengan sebelas ikatan.

Allah telah menurunkan surah al-Mu'awwizataini. Setiap ayat dibacakan maka terhurailah satu ikatan sihir menimpa, menyebabkan baginda rasulullah berasa lega dan akhirnya berupaya berdiri, sebebas seperti unta yang terlepas daripada ikatan apabila keseluruhan ayat-ayat itu habis dibaca.

Menurut keterangan hadis-hadis lain, bahawa sihir yang dikenakan ke atas nabi ialah sihir ikatan (sihru I'aqd) yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak berupaya bersatu dengan isterinya. Rasulullah merasakan beliau telah mendatangi salah seorang daripada isterinya, padahal baginda tidak berbuat demikian.

Ada pendapat menyatakan bahawa baginda terkena sihir selama 40 hari, lalu baginda berdoa kepada Allah, lalu Allah mengutus dua malaikat yang datang duduk berhampiran dengannya, satu berhampiran kepalanya dan satu lagi berhampiran kedua-dua belah kakinya, lalu berlaku dialog seperti yang dijelaskan.

Labid telah menyihir nabi dengan sihir yang kuat, bertujuan untuk membunuhnya, tetapi Allah telah memeliharanya, menyebabkannya terkena sihir ikatan, yang diistilahkan sebagai sihru i'aqd atau sihru r'rabt seperti yang dijelaskan.

- Pembaca yang ada kemusykilan

alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin

Mingguan Malaysia

46M, Jalan Chan Sow Lin

55200 Kuala Lumpur.

Faks: 03-92213752

E-mel: mingguan@utusan.com.my

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4cVrb9Ufn

© Utusan Melayu (M) Bhd