ARKIB : 09/04/2006
Oleh: MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
DALAM merayakan kelahiran Nabi
Muhammad s.a.w. yang merupakan suatu detik yang bersejarah dalam peradaban umat
manusia, para fukaha ahli sunnah mengkategorikan tradisi perayaan Maulidur
Rasul ini sebagai bidaah hasanah. Demikian juga praktik perayaan Maulidur Rasul
di negara kita telah menjadi tradisi yang mengakar dan dihormati serta mendapat
dukungan daripada para ulama dan cendekiawan Muslim setempat.
Demikian juga perayaan Maulidur
Rasul di negara Islam lain tidak kurang hebatnya. Di Mesir, utara Iraq, Turki,
Afrika Utara, China, Iran, dan Maghribi perayaan Maulidur Rasul disambut dengan
meriah dan diisi dengan khutbah dan pembacaan syair-syair tentang kemuliaan
Rasulullah. Perayaan ini disambut bagi mengingatkan peri pentingnya menjaga
semangat keislaman dan kecintaan pada Nabi agar dapat terpelihara dan kukuh
dalam sanubari umat Islam di bawah tekanan modenisasi dan propaganda
sekularisme.
Penulis teringat kisah pada
akhir tahun 1920-an, tuan guru Haji Abdul Rahman Selehor (datuk penulis), iaitu
tokoh ulama dari Tumpat Kelantan, pernah dikritik hebat oleh akhbar-akhbar
perdana pada waktu itu kerana mempelopori perayaan Maulidur Rasul secara
besar-besaran. Hal demikian itu, kerana bagi sesetengah pihak perbuatan ini
satu bidaah dan sesat. Kononnya, ia dianggap satu perkara yang tidak pernah
dianjurkan oleh Islam.
Sebenarnya perayaan Maulidur
Rasul adalah hal yang amat digalakkan sebagai wadah bagi melahirkan kecintaan
kepada baginda Nabi Muhammad. Mengapa kita wajib mencintai Rasulullah? Kerana
baginda sememangnya wajar untuk dicintai. Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t.
dalam firmannya yang bermaksud:
Dan barang siapa yang mentaati
Allah dan Rasul-Nya mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang
dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan
orang-orang yang soleh. Dan mereka itu teman yang sebaik-baiknya (surah
an-Nisa: ayat 69).
Kita tidak mempertuhankan
baginda. Kita hanya mengatakan bahawa baginda seorang hamba Allah dan
Rasul-Nya. Kewajipan umat baginda hanyalah mengarahkan perhatian kepada baginda
dan mengikutinya dengan sebaik-baiknya. Nabi Muhammad adalah seorang pemimpin
dan kepimpinannya itu hanyalah bagi orang yang menginginkannya. Baginda adalah
pemimpin bagi orang-orang yang taat, benar dan ikhlas serta pemimpin bagi para
wali (kekasih) Allah.
Baginda pernah bersabda yang
bermaksud: Janganlah kamu seperti orang-orang Nasrani yang menganggap nabi
mereka, Nabi Isa putera Mariam sebagai Tuhan atau anak Tuhan. Sesungguhnya aku
hanyalah hamba Allah dan Rasul-Nya.
Justeru, mencintai Rasulullah
menjadi
suatu keharusan dalam konteks
iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim
perlu menyimpan rasa cinta kepada Nabinya, seberapa kecil sekalipun. Idealnya,
mencintai Rasulullah lebih daripada segala sesuatu yang dia miliki, bahkan
dirinya sekalipun. Dan itulah pada hakikatnya iman yang paling sempurna. Sabda
Nabi yang bermaksud: Tidak beriman seseorang sehingga aku (Nabi) lebih dia
cintai daripada dirinya sendiri.
Meskipun begitu, terdapat juga
beberapa mazhab yang menentang adanya perayaan serupa itu. Salah satu mazhab
yang menentang perayaan Maulidur Rasul itu adalah kaum Kharaji di Oman. Namun
para fukaha besar seperti Ibnu Hajar, al-Nawawi, al-Syaukani serta para ulama
ortodoks lainnya dalam karya-karya mereka menegaskan bahawa perlunya perayaan
Maulidur Rasul disambut oleh setiap orang Muslim.
Kaum ulama mazhab Sunni (kaum
salafi) keturunan mazhab Hambali sentiasa berada pada barisan depan dalam
mempromosikan perayaan-perayaan Islam di pelbagai tempat. Contohnya, Ibnu
Taimiyah, seorang ulama Syria abad pertengahan, memberi pandangan: Merayakan
dan memberi rasa hormat kepada kelahiran Rasulullah dan memandangnya saat yang
bersejarah sebagaimana yang dilakukan saudara Muslim kita adalah suatu
perbuatan positif. Di dalam perbuatan itu terkandung ganjaran yang besar di
sisi Allah kerana niat tulus dan ikhlas mereka menghormati Nabi Muhammad.
Dalam tradisi kaum salaf, para
salaf al-shalih ini telah menghasilkan karya-karya apresiatif atau berbentuk
penghargaan terhadap perayaan Maulidur Rasul yang secara khusus dibicara di
hadapan umat Islam pada setiap kali perayaan itu. Salah satu di antaranya ialah
karya Ibnu Katsir berjudul Maulidur yang dianggap terbaik di antara karya-karya
kaum salaf itu. Karya Ibnu Katsir itu terkenal di kalangan kaum Muslimin di
seluruh dunia. Mufasir besar ini memulakan maulidnya dengan mengatakan: malam
kelahiran Nabi agung itu adalah suatu malam yang penuh berkat, penuh
kesakralan, kemuliaan, keagungan. Dan malam itu juga merupakan malam yang sinar
cahaya dan malam yang tidak ternilai harganya bagi para pengikut setia
Muhammad.
Imam al-Bukhari menyebutkan,
daripada Kaab bin Ajrah yang berkata bahawa Nabi ditanya: Ya Rasulullah,
salam kepada tuan telah kami ketahui, namun bagaimana dengan selawat?
Rasulullah menjawab, Katakanlah oleh kamu, Allahumma shalli ala Muhammad waali
Muhammad.
Abu Said al-Khudri berkata, Ya
Rasulullah, ini adalah salam, namun bagaimana kami mengucapkan selawat kepada
tuan? Rasulullah menjawab, Katakanlah oleh kamu Allahumma shalli ala
Muhammad waali Muhammad.
Sesungguhnya Allah dan
malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Hai orang-orang yang beriman,
berselawatlah kepadanya, dan berilah salam dengan bersungguh-sungguh (surah
al-Ahzab: 56).
Imam al-Bukhari menyatakan di
dalam sahihnya pada bahagian al-Tafsir, bahawa menurut Abu al-Aliyah, maksud
selawat daripada Allah itu adalah sanjungan Allah terhadap Nabi Muhammad di
hadapan para malaikat-Nya. Sedangkan selawat malaikat itu adalah doa.
Dalam komentarnya terhadap
tafsir Jalalayn tentang surah al-Ahzab ayat 56 (Allah telah melimpahkan kasih
sayang dan meredai nabi-Nya. Para malaikat memanjatkan doa untuknya, maka wahai
orang-orang yang beriman, panjatkanlah selawat dan salam kepada Nabi Muhammad).
al-Arif al-Shawi menyatakan bahawa di dalam ayat tersebut tersirat satu dalil
yang amat besar bahawa Rasulullah adalah tempat curahan rahmat dan makhluk yang
paling utama secara mutlak. Qadi Iyadh berkata, Seluruh ulama telah sepakat,
bahawa ayat ini menunjukkan pengagungan dan pujian terhadap Nabi yang tidak
terdapat pada orang lain selain beliau.
Banyak riwayat hadis
menyebutkan bahawa seluruh makhluk mengucapkan selawat kepada Nabi Muhammad dan
keluarga baginda. Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad berhenti di
Baitulmaqdis melakukan solat dan berjemaah dengan semua nabi dan rasul. Nabi
sebagai imam. Pertemuan tersebut diawali dan diakhiri dengan menyampaikan
selawat kepada baginda sebagai tanda penghormatan tertinggi yang diberikan
Allah kepada Nabi Muhammad.
Ketika Allah mewajibkan umat
manusia untuk mencintai Nabi Muhammad , arahan tersebut jelas bukan satu
perintah tanpa tujuan. Namun begitu, tujuan tersebut juga bukan sesuatu yang
kepentingannya akan kembali kepada Allah atau Rasul-Nya. Dengan demikian,
mencintai Rasulullah adalah satu perintah yang manfaatnya semata-mata untuk
kepentingan manusia itu sendiri. Di antara manfaatnya, kita merasakan akan
terpaut hati ini kepada peribadi Nabi Muhammad. Apabila kita jujur dalam
mencintai Nabi Muhammad, maka akan terbit kerinduan terhadap baginda.
Hal demikian ini, akan membawa
kita untuk mengetahui secara mendalam tentang diri baginda yang mencakupi aspek
kehidupan peribadi, keluarga, hubungan sesama Muslim dan sebagainya. Justeru
itu, apabila kita ingin mengetahui sejarah Nabi Muhammad, hendaklah ia diawali
dengan rasa cinta terlebih dahulu. Di sinilah, kita akan mengetahui mengapa
Allah mewajibkan mencintai Nabi Muhammad.
Kita memohon kepada Allah agar
mengukuhkan keberadaan dan perjalanan hidup kita di jalan Rasulullah,
menjadikan kita sebagai pengikut setia baginda, memberi kita kesempatan untuk
meneguk air telaga kasihnya dan menghimpunkan kita di bawah panji kemuliaannya.
Justeru, perayaan Maulidur
Rasul yang disambut saban tahun adalah di antara tanda kasih sayang dan rasa
terima kasih kita terhadap Rasulullah. Selawat dan salam untuk baginda yang
menyuluh jalan kita dengan syafaatnya.
* PENULIS ialah Penolong
Pengarah Yadim. E-mel: shaukimajid@yahoo.com.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4l18Moqx1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan