ARKIB : 12/04/2006
Oleh Dr. Zulkifli Mohamad
Al-Bakri
Syeikh Sya'rawi berkata: Ayat
yang mulia ini mengandungi peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas Peperangan
Uhud. Dalam Peperangan Uhud, Rasulullah s.a.w. telah meminta kumpulan pemanah
yang ditempatkan di sebuah bukit kecil supaya jangan turun sama ada orang Islam
menang atau kalah.
Tetapi tatkala kemenangan
hampir menjelma pada peringkat awal, sebahagian golongan pemanah terlupa arahan
Rasulullah s.a.w. itu dan ingin menyertai rakan taulannya memungut harta
ghanimah. Ini mengakibatkan mereka mengalami kekalahan. Walaupun begitu,
golongan kuffar tidak mampu mentahqiqkan kemenangan yang mutlak iaitu menjajah
kota Madinah dan kekal di sana. Sebaliknya mereka pulang ke Mekah.
Apabila orang Islam ingin
mencabar untuk kali kedua, mereka mendapati tiada orang. Dalam situasi seperti
ini, orang Yahudi Madinah ingin mengambil kesempatan dengan cuba memujuk
sahabat Nabi seperti Huzaifah bin al-Yaman, Tariq bin Yasir dan lain-lain.
Tetapi mereka tidak berjaya. Dengan tegas mereka menjawab dan menolak pujukan
tersebut.
Antara lain kata `Ammar dalam
jawapannya, Sesungguhnya aku beriman dengan Allah sebagai Tuhan, aku beriman
dengan Muhammad sebagai Rasul, aku beriman dengan Kitab sebagai penghulu, aku
beriman dengan Kaabah sebagai kiblat, aku beriman bahawa seluruh orang beriman
sebagai saudara dan sentiasalah aku dalam keadaan ini selama mana nyawa
dikandung badan. Rasulullah s.a.w. amat gembira dengan sikap mereka yang
beriman.
Banyak di antara Ahli kitab
(Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu
menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka
sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w.). Oleh
itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah
datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Al-Baqarah: 109)
Firman Allah, banyak di antara,
betapa seninya ta'bir al-Quran apabila mengungkapkan min yang memberi makna
sebahagian. Seolah-olah menyatakan sebahagian sahaja di kalangan mereka yang
ingin memurtadkan orang beriman dari agama mereka.
Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)
iaitu terlalu banyak cita-cita dan angan-
angan di kalangan Yahudi dan
Kristian. Sebab turunnya ayat ini seperti mana kata Ibn al-Jauzi dalam kitabnya
Zad al-Masir, Bahawa Huyai bin Akhtab dan Abu Yasir, kedua-duanya bersungguh
menghalang manusia daripada memeluk Islam. Lantas turunnya ayat ini. Inilah
pendapat Ibn Abbas.
Al-Samarqandi dalam tafsirnya
yang dikenali dengan Bahr al-`Ulum menyebut, ayat ini diturunkan tatkala orang
Islam diuji dalam Peperangan Uhud, golongan Yahudi mengambil kesempatan memujuk
Ammar bin Yasir dan Huzaifah bin al-Yaman seraya berkata: Kamu telah terkena
bala dan musibah. Justeru, eloklah kamu kembali kepada kami yang jauh lebih
baik bagimu. Lantas turunnya ayat ini. Inilah juga pendapat Muqatil.
Bahawa Ka`ab bin al-Asyraf
telah memaki Nabi s.a.w di samping mengajak dan menyeru kepada golongan kafir
Quraisy dalam bentuk syairnya menentang Rasulullah s.a.w.. Golongan musyrikin
dan Yahudi Madinah menyakiti Rasulullah ketika mula datangnya hijrah tetapi
Nabi s.a.w. menyuruh supaya mengabaikan mereka. Kemudian turunnya ayat ini.
Inilah pendapat Abdullah bin Ka`ab bin Malik.
Adapun makna wadda ialah suka
dan bercita-cita sedangkan maksud Ahli Kitab ialah golongan Yahudi. Suka
kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu
beriman. Kalaulah mereka dapat menukarkanmu menjadi kufur selepas kamu beriman
kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri Ini kerana sifat hasad
mereka terhadapmu membawa mereka bernafsu jahat. Hal ini kerana hasad manusia
tidak berlaku kecuali dirinya sendiri. Dan maknanya kasih sayang mereka atau
sukanya mereka supaya kamu kufur. Ini daripada diri mereka. Bukan kebenaran.
Dan makna hasad ialah suka supaya hilangnya nikmat daripada orang yang dihasad
sekalipun penghasad tidak mendapatnya. Betapa bahayanya sifat ini disebut di
dalam banyak kitab. Antaranya kitab Tanbih al-Ghafilin oleh al-Samarqandi,
meriwayatkan daripada al-Hasan, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, Hasad
dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat sebagai mana api memakan
kayu.
Daripada Abd al-Rahman bin
Mu`awiyah berkata, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, Tiga jenis sifat yang
tidak dapat selamat daripadanya seorangpun prasangka buruk, hasad dan takut
sial kerana sesuatu. Lalu ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana untuk selamat
daripada semua itu? Jawab Nabi s.a.w.: Jika kamu hasad maka jangan kamu
lanjutkan. Dan jika menyangka maka jangan kamu buktikan (jangan kamu cari-cari
kenyataannya). Dan jika merasa takut dari sesuatu, maka teruskanlah (jangan
mundur). Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kamu lahirkan dalam amal
perbuatanmu, sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah memaafkan
selama mana belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika suu' zan maka jangan
kamu buktikan, jangan berusaha menyelidiki untuk mencari kenyataannya. Demikian
pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang
menimbulkan was-was dalam hati, maka teruskan hajatmu dan jangan mundur.
Benci-membenci
Daripada Abu Hurairah berkata,
Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: Jangan benci-membenci dan jangan hasad-
menghasad, dan jangan menawar
barang untuk menjerumuskan orang lain, dan jadilah kamu hamba Allah sebagai
saudara.
Seterusnya nasihat-nasihat
sahabat dan ulama:
Mu`awiyah bin Abi Sufyan
berkata kepada puteranya, wahai anak, hati-hatilah (awaslah) daripada hasad
dengki kerana itu akan nyata pada dirimu sebelum bahayanya tampak nyata pada
musuhmu.
Abu al-Laith al-Samarqandi
berkata: tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasad, sebab penghasad itu
akan terkena lima bencana sebelum terkena apa-apa yang dihasad.
1. Risau hati yang tidak
putus-putus. 2. Bala yang tidak berpahala.
3. Tercela yang tidak baik.
4. Dimurkai Tuhan.
5. Tertutup padanya pintu
taufik.
Malik bin Dinar berkata, saya
dapat menerima persaksian orang qurra' terhadap siapapun, tetapi tidak dapat
menerima persaksian terhadap sesama qurra', sebab di antara mereka ada rasa iri
hati dan hasad-menghasad.
Al-Ahnaf bin Qays berkata, orang
hasad tidak dapat senang, orang bakhil tidak berbudi, tidak dapat dijadikan
kawan orang yang selalu jemu, tidak ada kemanusiaan bagi pendusta, tidak dapat
diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang rosak moral
(tidak berakhlak).
Seorang hakim (cendekiawan)
berkata, belum pernah saya melihat seseorang pun zalim menyerupai orang yang
dianiayai daripada penghasad.
Muhammad bin Sirin bertanya, saya
tidak dapat menghasad orang atas sesuatu daripada dunia, jika dia ahli syurga,
maka bagaimana saya akan iri hati padahal dia ahli syurga, dan jika dia ahli
neraka maka untuk apa hasad terhadap orang yang bakal masuk ke neraka.
Al-Hasan al-Basri berkata, hai
anak Adam, mengapakah kamu iri hati terhadap saudaramu, maka jika Allah memberi
sesuatu kepada orang yang kamu hasad itu kerana kemuliaannya di sisi Allah,
maka untuk apakah kamu hasad kepada orang yang dimuliakan, jika tidak demikian
maka untuk apakah kamu hasad kepada orang-orang yang akan masuk neraka.
Abu al-Laith al-Samarqandi
berkata, tiga jenis orang yang tidak akan diterima doanya.
1. Orang yang makan sesuatu
yang haram.
2. Orang yang suka ghibah
(menceritakan keburukan orang).
3. Siapa yang dalam hatinya ada
hasad dengki atau iri hati terhadap kaum Muslimin.
Sesudah nyata kepada mereka
kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w.). Selepas daripada zahir segala bukti yang
kukuh bahawa agamamu adalah yang sebenarnya. Itulah pengaruh hasad dengki di
jiwa mereka. Ia menimbulkan keinginan merampas kebaikan orang lain. Mengapa?
Mereka berbuat demikian bukan kerana jiwa mereka yang jahat itu tidak
mengetahui tetapi mereka berbuat begitu kerana mereka benar-benar mengetahui.
Hasad dengki ialah perasaan hitam yang hina yang melimpah dalam jiwa kaum
Yahudi terhadap Islam dan kaum muslimin dan perasaan ini masih terus melimpah.
Perasaan inilah yang melahirkan semua komplot dan perancangan-perancangan jahat
kaum Yahudi yang berterusan.
Al-Quran mendedahkan motif
hasad ini kepada kaum Muslimin supaya mereka tahu dan menyedari bahawa hasad
dengki itulah punca yang wujud di belakang setiap usaha kaum Yahudi yang mahu
menggugat akidah dalam jiwa mereka dan mengembalikan mereka selepas itu kepada
kekufuran seperti mereka, sedangkan kaum Muslimin telah diselamatkan Allah
daripada kekufuran dengan keimanan. Oleh kerana itu Allah menganugerahkan
kepada mereka sebesar-besar kurnia dan semulia-mulia nikmat yang dicemburui
oleh kaum Yahudi. Di sini, di saat terdedahnya hakikat ini dan ketaranya niat
jahat dan hasad dengki yang hina ini - al-Quran menyeru orang yang beriman
supaya jangan membalas hasad dengki mereka dengan hasad dengki juga, kejahatan
mereka dengan kejahatan yang setimpal, ia menyeru mereka supaya memberi
kemaafan kepada mereka sehingga diputuskan Allah pada bila-bila masa yang
dikehendaki-Nya.
- DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ialah pensyarah di Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4l1pscFh4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan