ARKIB : 11/08/2006
NABI Idris adalah seorang yang
tekun dan kuat beribadat. Ketekunannya menyebabkan baginda amat dikasihi oleh
Allah s.w.t. dan dikagumi para malaikat. Sebagai balasan, Nabi Idris
dianugerahkan Allah dengan kebolehan melihat alam ghaib bahkan dapat hidup di dalamnya.
Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. pernah bertemu dengan Nabi
Idris di langit keempat iaitu ketika dalam perjalanan Baginda hendak bertemu
dengan Allah s.w.t.
Nabi Idris juga merupakan orang
pertama yang menulis dengan pena, penunggang kuda yang handal, pakar astronomi
dan matematik serta pandai menjahit ketika manusia di zamannya hanya tahu
memakai pakaian daripada kulit binatang.
Segala amalannya mendapat
perhatian para malaikat. Antara malaikat yang gemar memerhati amalan Nabi Idris
ialah Kiraman Katibin iaitu malaikat pencatat amalan manusia dan Izrail,
malaikat yang bertugas mencabut nyawa atau dikenali juga malaikat maut.
Izrail amat tertarik melihat
ibadat Nabi Idris kerana lebih bercahaya berbanding dengan yang lain. Kerana
itu, Izrail berdoa kepada Allah s.w.t. untuk bertemu dan bersahabat dengan Nabi
Idris seperti manusia biasa. Allah telah memperkenankan doa Izrail itu.
Maka pergilah Izrail bertemu
dengan Nabi Idris dan menyamar sebagai manusia. Mereka berkenalan dan menjadi
sahabat karib. Mereka selalu berjalan dan beribadat bersama-sama tanpa Nabi
Idris menyedari bahawa sahabat-sahabat itu adalah malaikat.
Sepanjang perjalanan, Izrail
cuba menguji keimanan Nabi Idris supaya memakan makanan yang haram. Nabi Idris
enggan dan berkata: Selama ini aku tidak pernah menjamah benda yang haram dan
aku tidak akan makan makanan yang haram untuk selama-lamanya.
Rahsia Izrail terbongkar
apabila Nabi Idris menyedari bahawa sahabatnya itu tidak pernah makan meskipun
telah masuk waktu berbuka puasa dan tidak pernah tidur walaupun letih. Setelah
ditanya, barulah Nabi Idris mengetahui bahawa sahabatnya itu adalah malaikat.
Menggeletarlah Nabi Idris
memikirkan ajalnya apabila mengetahui di hadapannya itu adalah malaikat maut.
Namun Izrail memberitahu tujuannya yang sebenar hanya untuk bersahabat dengan
Nabi Idris.
Nabi Idris tidak melepaskan
peluang untuk bertanya tentang keadaan ghaib seperti mati, neraka, syurga
bahkan beliau berhasrat untuk merasainya. Dengan izin Allah s.w.t., Nabi Idris
diberikan rasa nazak menjelang ajalnya sehingga wafat. Kemudian baginda
dihidupkan kembali oleh Allah.
Nabi Idris juga dibawa melihat
keadaan sebenar di dalam neraka. Baru beberapa ketika melihat keadaan di neraka
yang amat dahsyat itu, Nabi Idris jatuh pengsan.
Setelah sedar daripada pengsan,
Nabi Idris dibawa pula melawat ke syurga untuk melihat dan merasai nikmat di
dalamnya. Oleh kerana terlalu asyik dengan nikmat syurga, baginda tertidur
dengan nyenyak. Kemudian Izrail datang mengejutkan baginda kembali. Tiba
masanya kita kembali ke dunia, ujar Izrail.
Namun, Nabi Idris enggan kerana
terpukau dengan nikmat syurga. Bukankah sebentar tadi aku telah mati? Biarkan
aku tinggal di syurga.
Maka berlaku perbalahan antara
Izrail dengan Nabi Idris. Lalu Allah s.w.t. berfirman, Syurga adalah tempat
beristirehat apabila tibanya hari kiamat. Oleh itu, tunggulah kamu di langit
keempat.
Lalu Nabi Idris ditempatkan di
langit keempat menanti syurganya sehingga baginda wafat di sana.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4lUiSDXEH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan