ARKIB : 13/11/2009
ALI bin Abu Talib ialah sepupu kepada Rasulullah SAW. Ibnu Ishak menceritakan ketika Ali datang
menemui Rasulullah, baginda ketika itu sedang bersembahyang bersama isterinya,
Siti Khadijah.
Ali sangat kagum melihat segala
yang dilakukan oleh baginda dan isterinya. Lalu, Ali pun bertanya kepada
Rasulullah apa yang dilakukan oleh baginda itu.
Baginda pun menjawab, itulah
agama Allah yang baginda pilih, dan dengan agama itulah Allah mengutuskan semua
utusan-Nya. Oleh itu baginda turut menyeru kepada Ali supaya menyembah Allah
Yang Esa. Baginda juga turut menyuruh Ali supaya meninggalkan berhala Laata dan
Uzza.
Mendengar kata-kata baginda itu
Ali meminta izin untuk memberitahu kepada ayahnya, Abu Talib terlebih dahulu.
Namun, baginda melarang Ali
memberitahu sesiapa pun kerana baginda tidak mahu perkara itu diketahui oleh
orang lain sebelum datangnya perintah untuk menyebarkannya kepada orang ramai.
Semalaman Ali berfikir tentang
perkara itu dan ruparupanya Allah telah membukakan pintu hatinya untuk menerima
Islam. Maka, keesokan harinya Ali terus pergi menemui baginda dan beliau pun
berkata, "Apakah yang engkau mahukan dariku, wahai Muhammad?"
Baginda pun menjawab,
"Hendaklah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa,
tiada sekutu bagi-Nya, dan hendaklah engkau mengkufuri berhala Lata dan Uzza,
dan membersihkan dirimu daripada segala macam Tuhan selain Allah".
Ali segera menerima ajakan
baginda itu dan memeluk Islam. Selepas itu, beliau tetap mendatangi baginda
secara sembunyi-sembunyi kerana takut diketahui oleh bapanya. Ali terus
menyembunyikan keislamannya dan tidak mengkhabarkan kepada sesiapapun.
Sementara itu dalam medan
peperangan, baginda sangat mempercayai Ali. Baginda mengatakan ingin
menyerahkan bendera perang kepada seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya
serta dicintai Allah dan Rasul-Nya juga.
Maka Ali telah dipilih oleh
baginda. Tetapi ketika itu Ali sedang sakit mata. Baginda tetap menyuruh Ali
datang kepada baginda dan baginda meludah mata Ali yang sakit itu dan memohon
kepada Allah. Dengan tiba-tiba, mata Ali terus sembuh seolah-olah tidak pernah
ditimpa sakit atau pedih. Kemudian bendera Islam itu diserahkan kepadanya.
Ketika pihak Quraisy sedang
membuat perancangan untuk membunuh Rasulullah ketika baginda sedang tidur,
baginda meminta Ali menyamar sebagai dirinya dengan tidur di tempat perbaringan
baginda. Ali menerimanya tanpa bantahan walaupun nyawanya dalam bahaya.
Rasulullah juga telah
mengahwinkan anak baginda iaitu Fatimah dengan Ali disebabkan perwatakan dan
perangai Ali yang sangat menawan hati baginda.
Ali dan Fatimah dikurniakan empat
orang anak iaitu; Hasan, Husain, Zainab dan Ummu Kalthom. Melalui anak Fatimah
dan Ali ini, baginda mempunyai keturunan yang banyak di samping berjasa kepada
agama Islam.
Ada di antara mereka seperti
Hasan dan Husain menjadi penguasa, pemimpin, menjadi imam yang sering beramal
dan berjihad di jalan Allah. Begitulah kasih sayang yang telah ditunjukkan oleh
Rasulullah terhadap Ali bin Abu Talib.
nPetikan daripada buku 366 Kisah
daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YciiFbYR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan