ARKIB : 18/01/2010
Pembohongan kafir Quraisy ke atas
Nabi SAW
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PENULIS sejarah terkenal Hussein
Haekal memperuntukkan seluruh Bab 6 dalam bukunya; Sejarah Hidup Muhammad bagi
menjelaskan mengenai kisah Gharaniq dengan hujah-hujah yang padat.
Sebabnya, kisah ini biasa
digunakan oleh golongan bukan Islam dan orientalis Barat yang mengatakan bahwa
kitab suci al-Quran pernah dicemari oleh ayat-ayat syaitan.
Akibat adanya ayat-ayat syaitan
itu menyebabkan Nabi Muhammad sebenarnya berkompromi mengakui mengenai
kebenaran menyembah patung-patung berhala.
Kisah ini terjadi pada suatu hari
dalam keadaan Nabi Muhammad terus berharap akan berlaku perdamaian antara umat
Islam dan kafir Quraisy.
Justeru, antara cara bagi baginda
mencetuskan perdamaian itu ialah dengan sering membacakan ayat-ayat al-Quran
yang diturunkan kepada baginda tanpa terhad kepada para pengikut baginda
sahaja.
Baginda turut membacakan
ayat-ayat al-Quran itu secara terbuka kepada semua pihak agar mereka turut
memahami dan terbuka hati menerima Islam.
Apabila semua dapat menerima dan
memahami Islam sama ada secara rasmi atau tidak, tentunya suasana yang aman
dapat dinikmati secara bersama.
Sehinggalah pada suatu hari
ketika baginda duduk berkumpul dengan para pengikutnya di suatu tempat di
sekitar Mekah. Baginda membacakan kepada mereka surah an-Najm sehingga ke ayat
yang bermaksud: Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian daripada tanda-tanda
Tuhannya yang paling besar. Maka adakah kamu patut menganggap 'Al Lat' dan 'Al
Uzza' serta 'Al Manat' yang ketiga (yang terakhir dan bertaraf rendah lagi hina
itu sebagai anak perempuan Allah) sebagai sesuatu yang layak disembah?
(an-Najm: 18-20)
Sebaik sahaja Nabi membaca ayat
itu, dikatakan baginda menuturkan kata-kata berikut: "Itu Gharaniq yang
luhur dan mempunyai kedudukan tinggi, perantaraannya sungguh dapat
diharapkan."
Baginda kemudiannya melanjutkan
bacaan ayat-ayat dari surah itu sehinggalah sampai pada ayat Sajadah (ayat terakhir
dari surah tersebut) dan dikatakan baginda melakukan sujud sajadah.
Namun dikatakan baginda melakukan
sujud itu di hadapan berhala yang begitu banyak di hadapan Kaabah.
Malah para pengikut baginda yang
ada dan termasuk juga para musyrik turut bersujud bersama-sama baginda, kecuali
seorang bernama Walid kerana sudah terlalu tua dan uzur.
Peristiwa ini menimbulkan
kegemparan di kalangan penduduk Mekah. Di kalangan musyrik Mekah mereka begitu
gembira dengan peristiwa itu kerana mereka beranggapan Nabi Muhammad kini telah
'berbaik-baik' dengan tuhan mereka dengan berbicara dengan perkataan yang elok
dan baik terhadap tuhan-tuhan mereka itu.
Kata mereka: "Kami tahu
sudah bahwa Allah itu menghidupkan dan mematikan (makhluk), menciptakan dan
memberi rezeki. Tetapi dewa (patung) kami ini menjadi perantara kami
kepada-Nya. Kalau ternyata dia juga kau berikan tempat, maka kamipun setuju
dengan kau".
Di katakan akibat dari peristiwa
inilah yang tersebar sehingga sampai ke pengetahuan para pengikut Islam yang
mendapatkan perlindungan di negara Habsyah.
Apabila mendengarkan berita itu,
mereka beranggapan bahawa keadaan di Mekah telah kembali pulih, aman dan
selamat untuk mereka pulang semula ke tanah air.
Namun apabila mereka kembali
semula ke Mekah keadaan sebenarnya masih tidak berubah. Ancaman terhadap umat
Islam sebenarnya masih lagi berlaku apatah lagi apabila kisah Gharaniq itu
sebenarnya tidak benar dan jauh berlaku satu penyatuan antara golongan kafir
dan Muslim di kota Mekah.
Ini apabila Jibrail turun membawa
wahyu kepada Nabi Muhammad yang meminta baginda supaya menolak kaum musyrik
dengan mengatakan syaitan telah membuat baginda menuturkan kata-kata Gharaniq
itu. Ini kerana Jibrail sendiri tidak pernah mengeluarkan ucapan yang seperti
itu.
Justeru kerana peristiwa inilah
Allah telah berfirman: Sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkan
engkau (Wahai Muhammad) daripada apa yang Kami telah wahyukan kepada engkau,
supaya engkau mengada-adakan kebohongan atas nama Kami dengan perkara yang
lainnya. (Jika engkau melakukan yang demikian) barulah mereka menjadikan engkau
sahabat karib mereka. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang
teguh kepada kebenaran) tentulah engkau sudah cenderung kepada kehendak mereka.
(al-Israk: 73-74)
Berikutan peringatan dari Jibrail
dan ayat berkenaan, ia sangat memberi kesedaran kepada baginda.
"Rupa-rupanya aku telah
mengatakan sesuatu yang tidak dikatakan oleh Allah," kata baginda.
Namun di kalangan bukan Islam,
mereka tetap mempertahankan kisah al Gharaniq ini. Alasan mereka jika tidak
kerana tersebarnya kisah ini, manakan umat Islam yang melarikan diri ke ke
Habsyah akhirnya akan pulang semula ke Mekah?
Direka-reka
Tidak mungkin mereka sanggup
pulang jika kisah itu hanyalah satu khabar angin atau kisah yang direka-reka?
Menjawab persoalan ini, Haekal
memberi dua jawapan yang cukup kuat bagi menyangkal segala macam dakwaan bahawa
telah berlaku penyatuan antara Islam dan kafir Quraisy hanya dengan Nabi
Muhammad akhirnya mengakui ketuhanan dari patung-patung berhala yang selama ini
baginda musuhi.
Pertama kata Haekal, umat Islam
di Habsyah akhirnya pulang semula ke Mekah berikutan berita pengislaman Umar Al
Khattab itu sebenarnya yang menjadi satu berita gembira kepada seluruh umat
Islam sehingga mereka yang berada dalam lindungan Raja Habsyah.
Bukannya kisah Gharaniq yang
menjadi sebab mereka begitu gembira dan akhirnya pulang semula ke Mekah.
"Umar Al Khattab masuk Islam
tidak lama selepas mereka berhijrah (ke Habsyah). Umar masuk Islam dengan
semangat yang sama seperti ketika beliau menentang agama ini dahulu.
"Umar masuk Islam tidak
secara sembunyi-sembunyi atau rahsia. Malah secara terang-terangan beliau
dengan beraninya mengumumkan di hadapan khalayak orang ramai malah memberi
amaran kepada sesiapa yang cuba mempertikai tindakannya apatah lagi menganggu
Nabi Muhammad, pengikut-pengikut baginda dan Islam yang disebarkan oleh
Rasulullah itu," kata Haekal.
Malah Umar sedia berlawan dengan
mana-mana musuh Islam yang cuba menganggu agama itu. Lebih penting lagi, Umar
tidak mahu lagi kaum Muslimin terpaksa bersembunyi-sembunyi atau
terhendap-hendap di celah-celah pergunungan Mekah dalam melakukan ibadat dan
mempelajari selok belok agama itu.
Termasuk terpaksa menjauhkan
diri, membawa diri sehingga meminta perlindungan negara asing semata-mata
mengelakkan diri daripada gangguan kafir Quraisy.
Sedangkan Umar menjanjikan
keselamatan kepada umat Islam itu kini sehinggalah umat Islam itu bebas
melakukan ibadat dalam kawasan Kaabah.
Mendengarkan pengakuan berani
Umar inilah yang memberikan semangat kepada seluruh umat Islam terutama yang
dalam dalam pelarian dan persembunyian.
Faktor kedua adalah disebabkan
suasana di negara Habsyah itu sendiri.
Menurut Haekal, di Habsyah
sendiri yang disebut oleh penulis sejarah ini sebagai negara Abisinia sedang
berkecamuk suatu pemberontakan melawan Raja Najasyi atau Raja Habsyah itu
sendiri.
Umat Islam yang diberikan
perlindungan oleh baginda hanya mampu mendoakan agar raja itu akhirnya berjaya melawan
pemberontakan menentang pemerintahan baginda itu.
Mereka tidak mampu atau sampai
peringkat untuk melibatkan diri dalam pemberontakan itu bagi mempertahankan
Raja Najasyi kerana mereka adalah orang luar atau orang asing dari Habsyah.
"Oleh itu adalah lebih baik
kepada umat Islam itu supaya tidak campur tangan dan jika perlu mereka
meninggalkan kekacauan itu tanpa perlu menyusahkan lagi kepada Raja Najasyi
yang tentunya perlu memberikan perhatian dan tumpuan sepenuhnya terhadap
kekacauan yang berlaku itu," kata Haekal.
Ini menyebabkan ada yang pulang
semula ke Mekah walaupun ada sesetengah menyebut tidak semua yang pulang tetapi
hanya sebahagian sahaja yang berani pulang semula ke Mekah.
Jadi, atas dua faktor inilah
mereka pulang semula ke Mekah, bukannya terpengaruh dengan kisah kompromi
Rasulullah terhadap kafir Quraisy seperti yang didakwa sebelum ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5ZoGZOQgz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan