ARKIB : 14/04/2010
Permulaan Tahun Dukacita Nabi SAW
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Makam bapa saudara Nabi, Abu
Talib bin Abdul Mutallib di perkuburan syuhada Baqi', Mekah, Arab Saudi.
TAHUN ke-10 selepas kerasulan
Nabi Muhammad SAW itu banyak mencatatkan peristiwa bersejarah selepas
berakhirnya tempoh sekatan ekonomi terhadap umat Islam. Ini kerana sedikit
sebanyak sekatan yang menyebabkan penderitaan umat Islam itu turut memberi
kesan terutamanya kepada mereka yang berusia lanjut, seperti bapa saudara
kesayangan nabi, Abu Talib.
Bapa saudara baginda menghembus
nafas terakhirnya pada tahun tersebut iaitu pada bulan Rejab, enam bulan
selepas berakhirnya episod memboikot umat Islam itu.
Di samping usianya yang begitu
lanjut iaitu dikatakan 80 tahun, Abu Talib bukan sahaja lemah kerana ditelan
usia tetapi pelbagai tekanan dan ujian yang beliau tanggung kerana selama ini,
iaitu selama 42 tahun yang begitu melindungi anak saudaranya itu.
Taraf kesihatan Abu Talib yang
semakin membimbangkan itu sampai ke pengetahuan orang ramai. Kalangan para
pembesar Quraisy yang masih kafir terus beranggapan bahawa saat keuzuran Abu Talib
inilah peluang terakhir mereka bagi menyekat kegiatan dakwah Islam yang
diterajui oleh anak saudara Abu Talib itu.
Sekali lagi mereka mengunjungi
Abu Talib untuk diajak berunding mengenai Nabi Muhammad di hadapan Abu Talib
supaya menyerahkan sahaja baginda kepada mereka.
"Demi Allah kita tidak akan
selamat jika mereka terlepas daripada kita. Kita bimbang kalau orang tua itu
mati, lalu terjadi sesuatu kepada Muhammad maka akan semakin tercemarlah nama
baik kita di kalangan orang Arab," kata para pembesar Quraisy itu.
Lalu terdiri dari kalangan para
pembesar yang terkenal seperti Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Abu Jahal
bin Hisham, Ummayyah bin Khalaf dan Abu Sufyan bin Harb mereka pun
beramai-ramai menemui Abu Talib yang sedang sakit itu.
Mereka pun berkata: "Hai Abu
Talib, kedudukan kamu di kalangan kami adalah seperti yang kamu tahu tetapi
sekarang kamu dalam keadaan sakit.
"Kami amat bimbangkan kamu
dan engkau sendiri tahu persoalan antara kami dengan anak saudaramu.
"Oleh itu tinggalkanlah dia,
ambillah apa-apa daripada kami untuknya dan ambillah apa-apa daripadanya untuk
kami agar dia berhenti mengancam kami dan kami juga berhenti mengancamnya.
Biarlah kami dengan agama kami".
Setelah mendengarkan itu, Abu
Talib hanya mampu menyerahkan segala keputusan kepada anak saudaranya sendiri
bagi menentukannya.
Lalu Nabi Muhammad pun dipanggil
dan diberitahu akan segala niat para pembesar Quraisy itu. Setelah memahami
tawaran pihak Quraisy itu dan kini tiba giliran baginda pula membuat tawaran
terhadap mereka.
"Apakah pandangan kamu jika
aku berikan kepada kamu satu kalimah untuk kamu ucapkan. Iaitu apabila kamu
mengucapkan kalimah itu kamu akan menguasai semua orang Arab dan semua orang
Ajam akan tunduk dan membayar jizyah kepada kamu?" kata baginda.
Mereka yang hadir terus terdiam
dan kebingungan dengan kata-kata tawaran Nabi SAW itu kerana mereka tidak tahu
bagaimana hendak menolak satu kalimah yang manfaat atau faedahnya begitu
menarik dan lumayan sekali.
Abu Jahal pun berkata:
"Apakah kalimah itu? Demi Bapamu, kami sanggup memberikan kepadamu sepuluh
kali ganda seumpamanya".
Lantas baginda terus menjawab:
"Katakan bahawa tiada tuhan selain Allah dan tinggalkan sembahan yang kamu
sembah selain dari Allah".
Mendengarkan itu mereka terus bersorak
marah dan bertepuk tangan serta berkata: "Hai Muhammad, apakah kamu hendak
menjadikan tuhan-tuhan yang banyak itu menjadi satu tuhan sahaja? Sesungguhnya
urusan tawaran kamu ini menghairankan".
Mereka kemudiannya berkata sesama
sendiri, iaitu: "Demi Allah lelaki ini (Muhammad) ini tidak akan memberi
apa-apa kepada kamu seperti yang kamu mahu. Ayuhlah beredar dan teruslah kekal
dengan agama nenek moyang kamu sehingga Allah menjatuhkan keputusan antara kita
dan dia".
Mereka kemudiannya beredar meninggalkan
Muhammad dan bapa saudaranya, Abu Talib yang semakin lemah itu.
Sehubungan perkara inilah Allah
kemudiannya menurunkan ayat al-Quran iaitu dari surah al-Sad, ayat 1-7. yang
bermaksud: Sadd: demi al-Quran yang mempunyai kemuliaan serta mengandungi
peringatan dan pengajaran. (Orang yang mengingkari kerasulanmu - Wahai Muhammad
- tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong,
angkuh dan suka menentang kebenaran. (Tidakkan mereka menyedari) berapa banyak
umat-umat (yang engkar) yang terdahulu dari mereka kami binasakan?
Namun Rasulullah kini mempunyai
usaha yang lebih mencabar untuk dilaksanakan.
Tidak sahaja berada di sisi bapa
saudara di saat-saat akhir riwayatnya tetapi yang lebih penting lagi, agar Abu
Talib turut bersamanya untuk mengimani Allah sepenuhnya dengan Islam sebagai
agama yang mesti dianuti.
Namun saat-saat Abu Talib semakin
nazak, berita keadaannya itu sampai kepada Abu Jahal, cepat-cepat orang yang
paling kuat menentang Islam itu datang melihat Abu Talib yang ketika itu Nabi
SAW berada di sisi bapa saudaranya yang sedang bertarung dengan maut.
Tanpa mempedulikan kehadiran Abu
Jahal, Nabi Muhammad pun berkata: "Wahai bapa saudaraku, ucapkanlah Tiada
Tuhan Melainkan Allah! Perkataan yang membolehkan aku membela kamu pada hari
akhirat kelak".
Namun jahatnya Abu Jahal, beliau
cuba menghalang Abu Talib dari mengucap dua kalimah syahadah dengan diracunnya
bapa saudara Nabi itu dengan kata-kata: "Hai Abu Talib, adakah kamu tidak
suka dengan agama (menyembah berhala) Abdul Mutalib, bapa kamu sendiri?"
Begitulah setiap kali Nabi
Muhammad cuba mengajarkan Abu Talib yang nazak untuk mengucap, tiap kali itu
jugalah Abu Jahal menganggu.
Kata Abu Jahal lagi kepada Abu
Talib: "Demi Allah wahai Abu Talib, kalau kamu melafazkan kalimah itu kami
akan memalukan kamu selama-lamanya!"
Lalu akhirnya yang terjadi
seperti menjadi pertikaian oleh ramai pihak namun dikatakan Abu Talib akhirnya
meninggal dunia tanpa sempat beriman kepada Allah dan rasul-Nya.
Walaupun dalam banyak peristiwa
dan perkataan sebelum ini mengenai kepercayaan tinggi yang ditunjukkan oleh Abu
Talib terhadap Allah dan lebih-lebih lagi pembelaannya terhadap Nabi Muhammad,
dengan sentiasa membenarkan kata-kata baginda itu.
Ini dikatakan apabila Abu Talib
berkata sebelum menutup mata buat selama-lamanya: "Aku takut nanti bangsa
Arab memalukan aku dengan hal ini lalu aku memilih di atas agama Abdul
Mutalib!"
Jadi benarlah Abu Talib akhirnya
meninggal tanpa sempat beriman atau dengan perkataan lain, meninggal dalam
keadaan kafir.
Itulah permulaan kisah 'Tahun
Dukacita' yang Rasulullah alami, kerana yang berlaku tiga hari kemudian selepas
bapa saudara kesayangan baginda meninggal itu, adalah lebih menyedihkan.
SUMBERArtikel Penuh:SUMBER
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5a7lrnq9k
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan