Ahad, 25 November 2018

Allah kabulkan doa Khaulah


ARKIB : 09/06/2009
KHAULAH binti Sa'labah adalah antara golongan wanita Ansar pertama memeluk Islam semenjak Islam tiba di Madinah. Beliau seorang yang sangat bijaksana, fasih dan indah ketika berbahasa dan berbicara.

Hidupnya diabadikan dengan beribadat kepada Allah dan Rasul-Nya. Suaminya merupakan Aus bin Samit, saudara kandung Ubadah bin Samit dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arabi.

Khaulah adalah contoh wanita yang baik dan isteri yang setia terhadap suaminya. Sehinggalah terjadi satu peristiwa, Khaulah tidak membenarkan suaminya mendekatinya sebelum turun hukum Allah atas perbuatan suaminya itu yang menyamakan belakang (badan) dirinya sama seperti belakang ibu Aus.

Perbuatan ini dikenali sebagai zihar dalam Islam.

Ucapan "kamu seperti belakang ibu saya" adalah sebahagian dari adat zaman jahiliah kerana dengan ucapan itu, isteri yang disamakan itu dengan sendirinya haram untuk disentuh!

Ini menjadikan si isteri seperti digantung tidak bertali. Ini kerana jika hendak berkahwin lain, si isteri belum menjadi janda dan dalam masa yang sama, si isteri tidak lagi mempunyai hak terhadap suami dan anak, selain tidak ada hak dalam hubungan kekeluargaan.

Begitulah buruknya perbuatan zihar ini. Lalu Khaulah mendesak Nabi Muhammad supaya segera memberi keputusan yang sesuai mengikut hukum Allah mengenai kejadian yang menimpanya itu. Ini adalah kerana dia masih mahu rumahtangganya kekal dan anaknya terpelihara dengan baik.

Beliau tidak mahu berpisah suaminya yang telah tua walaupun mempunyai perlakuan yang kasar, panas baran, suka menengking dan tidak memiliki peribadi yang mulia terhadap ahli keluarganya.

Namun Khaulah tetap melayani suaminya dengan baik.

Namun, apabila pada suatu hari suaminya itu pulang dan ingin bersama dengan isterinya itu, namun permintaannya itu telah ditolak mentah-mentah oleh Khaulah disebabkan perbuatan zihar yang pernah dilakukan oleh Aus.

Ini menjadikan si suami begitu marah dan mula mengeluarkan kata-kata kesat dan yang kurang disenangi oleh Khaulah.

"Wahai Khaulah, kamu seperti punggung ibu saya!" kata Aus dengan nada geram lalu keluar dari rumahnya.

Walaupun Aus telah keluar dari rumah dengan hati yang marah namun beliau pulang semula ke rumah bagi meneruskan juga niat di hatinya itu.

"Jangan kamu menolak kemahuan saya ini, sila ikut saya ke bilik tidur," kata Aus sambil memaksa isterinya masuk ke dalam bilik tidur.

"Tidak, demi jiwa saya yang berada dalam kekuasaan Allah, tidak sekali-kali saya membenarkan kamu menjamah tubuh saya selepas apa yang kamu katakan tadi sehingga ada hukum Allah dan Rasul-Nya yang memberi keputusan mengenai hubungan kita berdua!" ujar Khaulah dengan tegas.

"Saya tidak peduli!" jerit Aus sambil cuba menerkam ke arah isterinya itu.

"Tidak!" jerit Khaulah kembali lalu sempat menepis badan Aus sehingga suaminya itu jatuh ke lantai.

menyembah bumi

Aus terjatuh menyembah bumi kerana tidak dapat mengawal badannya yang sudah tua itu. Khaulah yang tidak mempedulikan suaminya lalu lari keluar dari rumah dan terus menuju ke rumah Rasulullah bagi mengadukan apa yang telah berlaku padanya itu.

Apabila tiba di rumah Rasulullah dan kebetulan baginda ada ketika itu lalu Khaulah pun menceritakan segala apa yang berlaku pada diri dan suaminya itu.

Khaulah mahu mendapatkan juga hukum agama dan berdialog dengan Rasulullah mengenai perkara itu.

"Suami kamu adalah anak bapa saudara kamu. Dia sudah lanjut usia. Maka sayangi dia dan takut pada Allah dalam urusannya," kata Nabi Muhammad selepas mendengarkan keluhan Khaulah.

Khaulah mengulangi apa yang menimpa dirinya dan meminta pandangan nabi sama ada dia harus bercerai dengan suaminya itu. Namun Nabi berkata: "Saya belum mendapat wahyu berkaitan masalah kamu itu. Saya tidak melihat melainkan kamu sudah haram baginya (bercerai)".

"Tetapi suami saya tidak menjatuhkan talak kepada saya!," jawab Khaulah.

Nabi hanya mendiamkan diri selepas mendengar kata-kata Khaulah itu. Khaulah masih tidak berganjak dan terus mendesak Nabi sehingga turun ayat dari Allah bagi menyelesaikan masalahnya itu.

"Demi Allah, saya tidak akan pulang sehingga turun ayat al-Quran ke atas saya," kata Khaulah berkeras dan tidak mahu meninggalkan rumah Nabi.

Namun Khaulah kemudiannya terus mengangkat tangan ke langit dengan hatinya penuh kesedihan dan kesusahan sehinggakan air matanya tidak berhenti-henti mengalir membasahi kedua-dua pipinya seolah-olah kesal dengan apa yang telah berlaku. Dia mengadu nasibnya kepada Allah.

Khaulah terus berdoa tanpa henti menunggu turunnya ayat al-Quran bagi menyelesaikan masalahnya dan tidak lama kemudian Nabi Muhammad pun memberitahu bahawa Allah telah menurunkan wahyu kepada baginda berhubung masalah Khaulah itu.

Iaitu baginda membacakan surah al-Mujadalah ayat 1 hingga 4 di hadapan Khaulah. "Suruh suami kamu memerdekakan seorang hamba bagi menebus kesalahannya menziharkan kamu itu," perintah Nabi kepada Khaulah.

"Ya Rasulullah bagaimana mungkin, pada hal suami saya itu tidak mempunyai apa-apa pun," jawab Khaulah.

"Kalau begitu, suruh suami kamu berpuasa dua bulan berturut-turut," kata Nabi lagi.

"Bagaimana dia hendak berpuasa Ya Rasulullah sedangkan dia sudah tua dan tidak akan mampu untuk berpuasa apatah lagi secara berturut-turut," kata Khaulah lagi.

"Bagaimana pula kalau dia memberikan makan kurma kepada 60 orang miskin?" tanya Nabi.

"Demi Allah! Dia tidak mempunyai apa-apa pun Ya Rasullah!," kata Khaulah.

"Jika demikian, saya akan membantu dengan satu tandan kurma!," kata Nabi menyatakan hasratnya untuk membantu Khaulah. "Saya pula akan menambahkannya dengan satu tandan yang lain," kata Khaulah bagi membantu suaminya itu.

"Kamu merupakan seorang wanita yang sangat baik dan bijaksana. Sekarang bawalah setandan kurma dariku ini dan sedekahkan ia dan layanilah suami kamu dengan baik," puji Nabi terhadap Khaulah.

Begitulah kisahnya seorang wanita yang mengadukan rayuannya kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Allah mendengar rayuannya dari langit yang tujuh lapis dan menurunkan ayat al- Quran untuk memberikan hukum mengenai perbuatan zihar itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5Xvzs7elq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khadijah paling dikasihi Nabi


ARKIB : 08/06/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
ADA yang meminta supaya kita mengenali lebih jauh akan Saidatina Siti Khadijah al Kubra dari sudut kehebatan beliau sebagai ahli perniagaan yang berjaya.

Ramai yang ingin mengetahui mengenai kepintaran dan kemahiran beliau dalam selok belok dan liku-liku perniagaan yang menjanjikan satu dunia yang penuh dengan tipu daya muslihat dan cabaran-cabaran yang tidak terduga. Apa tah lagi di zaman Arab Jahiliah, apabila segala peraturan, norma dan etika perniagaan tidak ada tempatnya di zaman itu.

Untuk tujuan ini mungkin kita perlu mengetahuinya dengan membaca buku terbitan PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. bertajuk Rahsia Bisnes Isteri Nabi: Khadijah (2008) yang ditulis oleh Ashadi Zain yang menyingkap lebih jauh dan mendalam mengenai rahsia perniagaan Siti Khadijah.

Antara lain dalam buku itu dijelaskan mengenai:

*Apakah faktor business matching atau pemadanan perniagaan dalam menentukan kejayaan Siti Khadijah,

*Bagaimanakah pelaksanaan mudharabah antara Siti Khadijah dan Nabi Muhammad,

*Bagaimanakah perbezaan atau differentiation berlaku dalam perniagaan Siti Khadijah.

Siti Khadijah wajar sekali dijadikan ikon atau idola untuk seseorang itu berjaya dalam perniagaan. Ini kerana sekalipun sebagai wanita, bukan penghalangnya!

Namun tidak kurang yang bertanya lebih lanjut persoalan bahawa dikatakan Siti Khadijah hanya secara simbolik sahaja memecahkan tradisi, iaitu buat pertama kalinya, pihak perempuan yang meminang pihak lelaki.

Namun pada hakikatnya, tindakannya meminta bantuan rakannya, Nafsiah untuk menemui Nabi Muhammad itu tidak lebih untuk meminta baginda kemudiannya meminang Siti Khadijah setelah hajat sahabatnya itu dapat diterima oleh baginda.

Dalam hal ini, tidak perlu dijadikan polemik, malah pada sesetengah riwayat diceritakan bagaimana Nabi Muhammad terus meminta bantuan bapa saudaranya, Abu Talib untuk masuk meminang Siti Khadijah setelah tahu mengenai hasrat wanita itu.

"Kita pergi meminang Khadijah melalui bapa saudaranya kerana tuan punya badan sudah jatuh hati kepada kamu," cadang Abu Talib sejurus mendengar permintaan anak saudaranya itu.

"Saya setuju dengan cadangan itu," sokong Hamzah, seorang lagi bapa saudara Nabi Muhamad yang kebetulan ada bersama.

Rombongan dari pihak lelaki yang terdiri dari Abu Talib, Hamzah dan Nabi Muhammad sendiri kemudiannya segera menuju ke rumah keluarga Siti Khadijah bagi meminang wanita bangsawan dan sangat terkenal di kalangan bangsa Arab ketika itu.

Kedatangan mereka disambut baik oleh pihak keluarga Khadijah dan pinangan diterima dengan gembira oleh kedua-dua belah pihak.

Dalam majlis perkahwinan yang berlangsung antara Nabi Muhammad dan Siti Khadijah itu, maka sekelian yang hadir terpegun dengan ucapan yang dibuat oleh Abu Talib sempena merestui perkahwinan anak saudaranya itu.

Abdullah Khanizi dalam buku Abu Talib Mukmin Quraisy (Darul Fikir, 2004) menukilkan kata-kata Abu Talib iaitu: "Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita termasuk dalam keturunan Ibrahim dan anak cucu Ismail (Nabi), ras dan bangsa Mudhar yang menjadikan kita pemelihara rumah-Nya dan mengelola Haram-Nya maka rumah Allah itu terjaga dan Haram yang terpelihara dan menjadikan kita juga pemimpin manusia.

"Kemudian anak saudaraku ini, Muhammad bin Abdullah tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana lelaki di muka bumi ini melainkan dia seorang yang unggul, baik dalam kemuliaan, keutamaan, keistimewaan dan kecerdasan.

"Dia memang seorang yang miskin, memiliki hanya sedikit harta tetapi harta merupakan naungan yang cepat hilang, perkara yang mudah sirna dan pinjaman yang pasti diambil kembali.

"Muhammad adalah yang kalian kenal, dia melamar Siti Khadijah binti Khuwailid dan menyerahkan untuknya dunia dan akhiratnya. Demi Allah selepas ini, dia akan mendapat berita besar, sesuatu yang sangat penting dan agung".

Kata-kata Abu Talib itu disambut baik oleh semua yang hadir terutama bapa saudara Siti Khadijah sendiri, Waraqah yang bangun sambil berkata: "Tidak ada orang Quraisy yang membantah kelebihan-kelebihan kamu wahai Abu Talib. Kami sangat ingin memegang tali kebangsawanan anda".

Perkahwinan baginda pada usia 25 tahun dan isterinya, Siti Khadijah yang dikatakan berusia 40 tahun ketika itu jangan dilihat sebagai satu hubungan yang diikat atas nama tali perkahwinan.

Namun tidak lebih, bermulanya satu episod kasih sayang yang tidak berbelah bahagi antara dua insan, Nabi Muhammad terhadap isterinya itu.

Dengan faktor berbeza atau jarak usia sebagai penghalangnya. Jika tidak kerana baginda masih tercari-cari akan soal ketuhanan yang namun cinta baginda terhadap Siti Khadijah adalah mengatasi segala-galanya ketika itu.

Kasih sayang berasaskan kepada keikhlasan dan kejujuran baginda menerima Siti Khadijah itu telah diketahui umum menyebabkan Siti Aishah, yang dikahwini baginda selepas kematian Siti Khadijah berasa cemburu yang amat sangat.

Ini diluahkan sendiri oleh Siti Aishah: "Saya selalu menyesal kerana tidak sempat melihat dan berada semasa Khadijah masih hidup! Saya sungguh kesal. Ini kerana saya begitu kagum dan takjub terhadap mahabbah (kasih sayang) dan agungnya cinta yang ditunjukkan oleh Nabi terhadap Khadijah itu!

"Nabi terlalu menyayangi wanita itu dan selalu terkenang Khadijah lebih dari sesiapa pun di muka bumi ini.

"Jika baginda menyembelih domba, baginda akan mencari sahabat-sahabat Khadijah untuk dibahagi-bahagikan daging domba itu sehinggalah ke satu peringkat, ketika hendak keluar dari rumah, Nabi akan teringat kepada Khadijah lalu terus mendoakan isterinya itu sambil air mata kelihatan bercucuran.

"Ini menyebabkan saya sendiri sebagai isteri tidak mampu menahan cemburu malah menjadi semakin meluap-luap dan terus berkata kepada Rasulullah: "Khadijah tidak lebih dari sekadar seorang perempuan tua. Kini Allah telah memberikan kamu (Aishah sebagai isteri) yang lebih daripadanya, iaitu seorang yang lebih jelita, pintar dan cergas".

Akibatnya, kita semua tahu sendiri bagaimana marahnya baginda terhadap kata-kata Siti Aishah itu!

Walaupun ramai yang menyifatkan perkahwinan baginda dengan wanita ternama ini sekali gus menaikkan lagi nama dan kemuliaan Nabi Muhammad di kalangan Arab Quraisy di samping baginda berkongsi kekayaan yang dimiliki oleh wanita itu.

Namun jelas sekali, ia sebuah perkahwinan yang sangat luhur kerana sehinggalah Khadijah meninggal dunia, baginda tidak pernah berkahwin dengan mana-mana wanita yang lain!

Ini kerana pasti kecantikan Siti Khadijah semakin luntur ditelan masa namun semua itu tidak mengalihkan pandangan baginda kepada mana-mana perempuan yang lain!

'Wanita Pertama Islam' atau Ummul Mukminin Siti Khadijah ini wajar sekali dijadikan ikon atau idola terutama untuk wanita-wanita Islam moden di zaman ini. Iaitu zaman di mana ramai kalangan wanita turut menceburi dalam bidang perniagaan dan dalam masa yang sama mereka juga ingin berjaya dalam hubungan suami isteri dan kekeluargaan.

Ketokohan Siti Khadijah adalah tidak syak lagi di sebalik nama Pasar Besar Siti Khadijah, yang begitu terkenal di Kota Bharu Kelantan pada hari ini.

Dari nama asalnya Pasar Besar Buluh Kubu yang kemudiannya ditukarkan pada tahun 1990 kepada sempena isteri Nabi Muhammad itu. Ini jelas sekali tidak sahaja sebagai satu penghormatan yang tinggi kepada wanita ini atau kebanyakan yang berniaga di situ terdiri kalangan wanita-wanita Kelantan.

Namun nama Siti Khadijah perlu menjadi satu institusi besar dalam melahirkan wanita-wanita yang berkaliber malah berjaya di dunia dan di akhirat kelak.

Mungkin kelebihan Siti Khadijah, beliau dapat berkahwin dengan seorang Nabi atau Rasul namun dari pelbagai aspek yang lain, banyak yang boleh dicontohi dari wanita ini!

Sehinggalah mereka mengenali Siti Khadijah wanita-wanita Islam hari ini tidak lagi wajar mengadu mereka tidak mempunyai sesiapa untuk diteladani!



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5Xvxpwbd5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nabi Nuh cipta kapal pertama


ARKIB : 05/06/2009
NABI Nuh ialah seorang nabi yang penyabar dan beriman kepada Allah. Nabi Nuh tidak putus-putus menyeru kaumnya supaya menyembah Allah Yang Esa. Pada mulanya, Nabi Nuh hanya menyebarkan agama Islam secara sembunyi namun setelah diperintahkan oleh Allah, Nabi Nuh pun menyebarkan agama Islam secara terbuka.

Setelah beratus-ratus tahun menyeru kaumnya ke jalan Allah, hanya sedikit sahaja yang percaya kepada ajaran Nabi Nuh. Ramai yang mengejek Nabi Nuh. Mereka menuduh Nabi Nuh gila.

Kaum itu juga cuba mencederakan Nabi Nuh. Apabila Nabi Nuh menyeru supaya menyembah Allah, mereka akan menyumbat telinga dengan jari. Mereka tidak mahu mendengar kata-kata Nabi Nuh itu. Mereka terus menyembah berhala yang dicipta oleh mereka sendiri.

Nabi Nuh berasa kecewa dengan sikap kaumnya itu. Sudah beratus-ratus tahun baginda cuba mengajak mereka untuk menyembah Allah, namun mereka tetap ingkar.

Oleh kerana terlalu kecewa, baginda pun mengadu kepada Allah: "Ya Tuhanku, Janganlah kau biarkan orang-orang kafir ini tinggal di atas muka bumi Engkau. Jika tidak, nescaya mereka akan menghancurkan anak-anak mereka. Mereka akan menyuruh anak-anak mereka melakukan maksiat".

Allah mendengar doa Nabi Nuh. Lalu Allah memerintahkan Nabi Nuh supaya membuat sebuah kapal.

Nabi Nuh dan pengikut-pengikutnya mula menjalankan perintah Allah itu.

Walaupun diejek dan diketawakan, baginda tetap sabar. Orang-orang kafir tidak tahu apa yang sedang dilakukan oleh Nabi Nuh dan pengikutnya itu. Mereka berasa hairan.

Ketika itu, tiada seorangpun pernah melihat kapal kerana tidak ada manusia yang pernah menciptakannya. Nabi Nuh menjadi manusia pertama yang membuat kapal.

Nabi Nuh menanam beberapa batang pokok dan menunggu sehingga pokok-pokok itu besar. Selepas beberapa tahun, pokok-pokok itu pun besar. Lalu, pokok-pokok itu ditebang untuk dijadikan papan.

Baginda menggunakan papan yang dihasilkan itu untuk membina kapal. Baginda juga menggunakan paku untuk membina kapal yang besar dan kukuh.

Nabi Nuh mengambil masa bertahun-tahun untuk membuat kapal itu. Dalam tempoh berkenaan, pelbagai cemuhan dan ejekan yang diterima oleh Nabi Nuh daripada kaumnya.

Walau bagaimanapun, baginda tetap bersabar dan meneruskan kerja-kerja pembinaan kapal tersebut. Setelah kapal itu siap dibina, Allah telah memerintahkan kepada Nabi Nuh untuk membawa masuk para pengikutnya, semua jenis haiwan secara berpasangan dan juga pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan.

Kapal yang dibina oleh Nabi Nuh mempunyai tiga tingkat. Pada bahagian bawah, dimuatkan binatang dengan setiap jenis mempunyai satu pasangan. Pada tingkat dua ditempatkan manusia sementara pada tingkat paling atas pula ditempatkan pelbagai jenis burung.

Nabi Nuh dan para pengikutnya diperintahkan oleh Allah membuat persediaan untuk belayar. Mereka menunggu tanda-tanda yang diberikan oleh Allah. Menurut sesetengah pendapat, terdapat 80 orang pengikut Nabi Nuh iaitu terdiri daripada lelaki dan pasangan masing-masing yang kesemuanya berjumlah 160 orang.

Isteri Nabi Nuh dan seorang anak Nabi Nuh yang bernam Yaam, tidak termasuk dalam senarai penumpang kapal. Kedua-dua mereka telah menentang ajaran Nabi Nuh dan termasuk dalam golongan yang ingkar.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5Xvumtiwz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Asma' menaikkan semangat berjuang


ARKIB : 02/06/2009
ASMA' binti Yazid berasal dari keturunan kaum Ansar yang mendiami kawasan Madinah. Dia terkenal sebagai raja berpidato di kalangan kaum wanita Islam kerana kebijaksanaan dan kefasihan yang dimilikinya dala menyampaikan pidato.

Dia selalu menjadi tumpuan kaum ibu untuk menyampaikan keinginan dan tuntutan mereka kepada nabi Muhammad.

"Wahai Asma', kami ingin meminta pertolongan kamu untuk berjumpa dengan Rasulullah dan bertanyakan sesuatu kepada beliau.

"Oleh sebab kamu mempunyai keberanian dan kepandaian berkata-kata, kami percaya kamu boleh menyampaikan apa yang tersirat dalam hati kami kepada Rasulullah," luah salah seorang wanita Ansar yang datang berjumpanya di rumahnya.

"Apakah yang kamu ingin saya tanyakan pada rasulullah?" Asma' kelihatan bersetuju dengan permintaan kumpulan wanita yang datang berjumpanya.

Asma' mendengar luahan hati kumpulan wanita dengan tekun dan penuh perhatian. Dia kelihatan bersetuju dengan pandangan kumpulan wanita dan menyatakan persetujuan untuk berjumpa dengan Nabi Muhammad untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan yang ditujukan oleh kaum wanita itu.

Dia pun memakai pakaian yang sesuai lalu bergegas keluar dari rumahnya mengiringi kumpulan wanita itu pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad.

Dia bersama kumpulan wanita itu berjalan keluar mencari Nabi Muhammad. Tiba-tiba dia ternampak nabi Muhammad bersama para sahabat sedang duduk berbincang. Dia meminta kumpulan wanita itu menunggunya sementara dia pergi berjumpa Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah, saya mewakili kaum wanita di sini ingin bertanya sesuatu kepada kamu. Setiap seorang dari mereka berkata dan berpendapat sama seperti pendapat saya.

"Bukankah Allah telah mengutus kamu untuk semua umat manusia, tidak kira lelaki atau wanita. Kami percaya dengan kamu dan beriman kepada Allah.

"Kami kaum wanita rasa tersisih, tidak sama dengan kaum lelaki. Kami golongan yang serba terbatas dan terkurung. Kerja kami hanya menjaga rumah mereka, memelihara dan mengandung anak mereka serta tempat melepaskan nafsu kaum lelaki.

"Kami tidak diberi peluang untuk mengerjakan sebagaimana yang diberikan kepada kaum lelaki. Kami tidak diberikan kesempatan untuk mendapatkan pahala seperti solat Jumaat, menziarahi orang sakit, menyaksikan pengkebumian, menunaikan haji dan amalan yang paling utama iaitu berjuang pada jalan Allah.

"Apabila kaum lelaki keluar berjihad, maka kaum wanita menjaga harta, menjahit pakaian dan menjaga serta mendidik anak. Apakah kami juga akan mendapat jihad seperti mereka juga?" jelas Asma' kepada Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad menolehkan wajahnya kepada para sahabat yang berada bersamanya. Beliau menatap setiap wajah mereka sebelum bertanya sesuatu kepada mereka semua. Ada yang kelihatan terkejut mendengar kata-kata Asma' itu.

"Pernah kamu semua mendengar pertanyaan yang lebih baik dalam soal-soal agama selain dari Asma," tanya Nabi Muhammad untuk melihat reaksi para sahabat.

"Ya Rasulullah, kami tidak pernah terfikir dan menyangka bahawa Asma' akan mengajukan soalan seperti ini." jawab mereka dengan spontan.

"Pulang dan beritahu kepada kaum wanita bahawa layanan yang mereka berikan kepada suami mereka, usaha mereka mendapat redanya dan mengikutinya adalah menyamai semua yang dilakukan oleh suami mereka," kata nabi Muhammad yang menoleh ke arah Asma'.

"Terima kasih di atas jawapan kamu, ya Rasulullah". Hati Asma' berasa gembira mendengar kata-kata Nabi Muhammad.

Asma' berlari ke arah kumpulan wanita yang menunggunya dengan penuh sabar. Dia menyampaikan berita gembira itu kepada kumpulan wanita itu. Mereka semua berasa sangat gembira dan menyebarkan berita itu kepada semua kaum wanita Islam di kota Madinah.

Asma' juga telah menunjukkan keberanian dalam Perang Yarmuk menentang pasukan tentera Rom.

Khalid al- Walid menempatkan kaum wanita di belakang dua barisan pasukan tentera Islam yang sedang bertempur.

"Jika ada tentera Islam yang melarikan diri dari medan pertempuran, bunuhlah mereka," perintah Khalid al-Walid kepada kaum wanita yang memegang pedang dan senjata lain mengawasi bahagian belakang pasukan mereka.

Kaum wanita yang ditempatkan di kawasan tinggi di belakang pasukan tentera Islam mengawasi apa yang berlaku di medan pertempuran.

Mereka melempar batu kerikil dan memukul dengan kayu siapa sahaja tentera Islam yang cuba berundur dari medan pertempuran.

Mereka juga menghina tentera Islam yang cuba melarikan diri sehingga mereka kembali semula ke posisi untuk bertempur dengan tentera Rom.

Kaum wanita juga turut bertempur menyertai pasukan hadapan tentera Islam apabila pasukan musuh berjaya menembusi pertahanan pasukan tentera Islam.

Antaranya ialah Ummu Hakim yang bertempur dengan pihak musuh menggunakan pedang sehingga berjaya membunuh beberapa orang tentera Rom.

Begitu juga dengan Juwariyah binti Abu Suffian yang bergabung dengan suaminya lalu bertempur dengan pihak musuh sehingga mengalami luka.

"Wahai tentera musuh, jangan kamu ingat kaum wanita ini lemah dan boleh diperbudakbudakkan kami. Lihat apa yang kami boleh buat pada kamu!" kata Asma' untuk memberikan semangat kepada kaum wanita yang berjaga-jaga dari serangan tentera Rom.

"Asma', ada tentera musuh cuba masuk ke kawasan khemah kita!" jerit salah seorang wanita Muslim tidak jauh daripadanya.

"Adakah kamu semua rela menjadi tawanan pihak tentera musuh? Adakah kamu dan anak-anak kamu sanggup menjadi hamba kepada mereka?

"Sesungguhnya saya lebih rela mati menentang mereka dari menjadi tawanan mereka," Asma' terus berpidato meniupkan kata-kata semangat kepada kaum wanita supaya bangun menentang pihak musuh.

Kemudian dia memberi arahan kepada kaum wanita agar mengambil tiang-tiang penyangga khemah dan pasak-pasak tempat penambat tali. Asma' berteriak sekali lalu menyerbu ke arah tentera musuh, diikuti oleh kaum wanita yang lain. Mereka menyerang tentera musuh dengan satu tekad iaitu membunuh seberapa ramai tentera musuh.

"Pukul kepala dan badan mereka!" jerit Asma' yang memukul dan membelasah tentera Rom dengan tiang penyangga khemah.

Asma' berjaya membunuh sembilan orang tentera Rom. Tentera Rom yang cuba menyelinap dan menangkap kaum wanita Islam terpaksa berundur apabila melihat keberanian serta kegagahan kaum wanita Islam menentang mereka.

Mereka tidak menyangka kaum wanita Islam tidak gentar untuk menentang mereka walaupun hanya bersenjatakan tiang penyangga khemah dan pasak tempat penambat tali.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5XvqXfbbN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Mimpi matahari Siti Khadijah


ARKIB : 01/06/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SAIDATINA Siti Khadijah binti Khuwailid atau Khadijah al Kubra merupakan isteri pertama Nabi Muhammad SAW. Nama penuhnya Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai.

Beliau ialah anak perempuan pasangan Khuwailid bin Asad dan Fatimah binti Zaidah berasal daripada kabilah Bani Asad dari suku kaum Quraisy namun dikatakan bapanya itu terbunuh dalam peperangan Fujjar.

Siti Khadijah sebelum mengahwini Rasulullah pernah berkahwin sebanyak dua kali, iaitu perkahwinan pertamanya bersama Ais atau Atiq bin Abid dan mendapat dua orang anak iaitu Abdullah dan Jariyah dan perkahwinan keduanya, adalah dengan Abu Halah bin Malik dan mempunyai anak iaitu Hindun dan Zainab.

Kedua-dua suaminya meninggal dunia menyebabkan Siti Khadijah menjadi janda atau balu sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad.

Begitupun dikatakan Siti Khadijah telah puas menolak lamaran daripada ramai lelaki Quraisy yang kaya, berkedudukan tinggi dan berpengaruh besar di Kota Mekah sebaik sahaja kematian suami keduanya itu. Ini termasuklah pinangan daripada Uqbah bin Abi Muith, Abu Jahal dan Abu Suffyan.

Soalnya mengapa? Adakah kerana Siti Khadijah sudah tertutup hatinya dengan mana-mana lelaki untuk dijadikan pasangan hidup atau beliau berharap agar lelaki yang bakal dikahwini merupakan Nabi Muhammad. Namun kerana beberapa keadaan, beliau terpaksa memendam perasaannya itu terhadap pemuda yang sering menjadi sebutan penduduk Mekah itu.

Kita tidak dapat mengenalpasti jarak dan masa antara Siti Khadijah menjanda sehingga beliau mengenali Rasulullah yang menyebabkan beliau menolak kesemua lamaran-lamaran tersebut.

Namun apa yang jelas, Siti Khadijah yang pada mulanya hanya mengenali Nabi Muhammad pada nama sahaja akhirnya benar-benar jatuh hati terhadap pemuda itu apabila mendengarkan segala kisah-kisah seperti yang diceritakan oleh hambanya, Maisarah sebelum ini.

Iaitu kisah keperibadian baginda yang sangat mulia dan kebijaksanaan Nabi dalam menguruskan dan menjayakan misi dagang ke Syam.

Siti Khadijah benar-benar telah jatuh hati dan terpikat terhadap Nabi dan telah menyebabkan hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga walaupun dengan seorang pemuda yang tidak punya apa-apa itu.

Malah dikatakan perasaan beliau terhadap Nabi Muhammad itu tidak boleh ditahan-tahan atau dihalang-halang lagi sehingga beliau berkata: "Jika segala kenikmatan hidup diserahkan kepadaku, dunia dan kekuasaan para raja Iran (Parsi) dan Rumawi diberikan kepadaku, tetapi aku tidak hidup bersama Muhammad, maka semua itu bagiku tidak lebih berharga daripada sebelah sayap seekor nyamuk".

Sehingga begitu sekali perasaan Siti Khadijah terhadap Nabi.

Tetapi pernahkah Siti Khadijah sendiri meluahkan perasaannya itu terhadap tuan badan? Ibnu Hisyam dalam kitabnya Sirah Ibnu Hisyam (halaman 204), mencatatkan bahawa Siti Khadijah sendiri dikatakan pernah bertemu bagi menyatakan perasaannya terhadap Nabi Muhammad dengan berkata: "Saudaraku, mengingatkan hubungan yang ada di antara kita (bangsa Quraisy) dan kebesaran serta kemuliaan saudara di kalangan kaum serta kejujuran, akhlak terpuji dan sifat lurus dan amanah yang ada pada saudara maka saya sangat ingin untuk hidup bersama dengan berkahwin dengan saudara wahai Muhammad!"

merealisasikan impian

Namun, bagaimana harapan itu boleh menjadi kenyataan sedangkan Siti Khadijah menyedari akan terdapatnya satu adat tradisi yang boleh menghalangnya kecuali beliau perlu menunggu dan Nabi Muhammad itu sendiri yang meminangnya bagi membolehkan mereka akhirnya dapat hidup sebagai pasangan suami isteri.

Tidak mungkin perigi yang mencari timba namun wanita bangsawan ini menyedari bahawa beliau terpaksa memecahkan tradisi itu bagi merealisasikan impian suci itu.

Beliau kemudiannya meminta bantuan seorang rakan, iaitu Nafisah@Nafsiah binti Aliyah@Muniiah@Munyaa untuk menemui Nabi Muhammad bagi pihaknya dan mengharapkan rakannya itu akan membawa pulang dengan berita gembira.

Berikut dialog antara rakan Siti Khadijah itu dengan Nabi Muhammad; "Wahai Muhammad mengapa tidak anda sinari kehidupan malam anda dengan seorang isteri?"

Jawab Nabi: "Ini kerana saya tidak mempunyai sebarang persiapan untuk berkahwin".

"Kalau begitu apakah anda akan menyambutnya dengan senang hati jika saya mengundang anda kepada kecantikan, kekayaan, keanggunan dan kehormatan," kata Nafisah.

Nabi menjawab; "Apa maksud anda?"

Lalu Nafsiah menyebut nama Siti Khadijah.

Mendengarkan nama Siti Khadijah itu, lantas Nabi Muhammad pun berkata "Apakah Khadijah sudi menerima saya, pada hal dunia saya dan dunia dia jauh berbeza dan sedangkan beliau pernah menolak lamaran-lamaran daripada pemuda-pemuda yang jauh lebih mulia dan kaya daripada saya?"

"Saya mendapat kepercayaan daripada Siti Khadijah dan akan membuat dia setuju. Anda hanya perlu menetapkan tarikh perkahwinan agar walinya (Amar bin Asad) dapat mendampingi anda berserta sahabat handai, rakan taulan dan upacara perkahwinan dan perayaan dapat diadakan," kata Nafsiah.

Nabi Muhammad tidak lagi mempunyai alasan untuk berdolak dalik malah rasa terharu dengan permintaan Siti Khadijah itu dan meminta Nafsiah pulang kepada wanita itu dengan membawa khabar gembira.

Nabi Muhammad kemudiannya menyerahkan kepada bapa saudaranya, Abu Talib bagi mengaturkan pertemuan dengan keluarga Siti Khadijah dan sama-sama merancang untuk menjayakan majlis perkahwinan ini.

Wali perkahwinan

Amar bin Asad merupakan bapa saudara malah ada yang menyebut Amar bin Khuwailid, iaitu saudara lelaki Siti Khadijah menjadi wali perkahwinan berikutan si bapa, Khuwailid seperti disebut dari awal tadi terbunuh dalam peperangan Fujjar.

Begitupun, sebenarnya dikatakan berlaku tentangan daripada keluarga Siti Khadijah apabila janda kaya ini memilih Nabi Muhammad sebagai pasangan hidup.

Malah sesetengah riwayat mencatatkan, tentangan paling kuat datangnya daripada bapanya sendiri, Khuwailid.

Lantas bagi menjayakan perkahwinannya, Siti Khadijah dikatakan banyak memberi bapanya minum arak sehingga menyebabkan Khuwailid mabuk teruk dan tidak dapat menghalang perkahwinan anaknya dengan Nabi Muhammad itu.

Akhirnya, Nabi Muhammad dan Siti Khadijah selamat bergelar suami isteri dalam satu majlis yang tidak kurang meriah dan disambut oleh seluruh penduduk Mekah.

Baginda dikatakan membayar mas kahwin sebanyak 20 bakrah atau 400 ratus dinar tetapi ada yang menyebut Khadijah menerima 20 ekor unta yang masih muda daripada suaminya itu.

Episod perkahwinan Nabi Muhammad dan Siti Khadijah mungkin tidak akan berlangsung jika tidak berdasarkan alamat yang ditunjukkan oleh mimpi yang dialami oleh wanita itu.

Pada suatu hari iaitu dikatakan sebelum Nabi Muhammad mengambil upah mengetuai rombongan dagangan ke Syam itu, Siti Khadijah dikatakan telah didatangi satu mimpi yang agak aneh dan ini menyebabkan beliau segera menemui sepupunya, pendita atau rahib agama Hanif, Waraqah bin Naufal atau nama penuhnya Waraqah bin Nawfal bin Assad bin Abd al-Uzza bin Qusayy Al-Qurashi.

"Malam tadi aku bermimpi sangat menakjubkan. Aku melihat matahari berputar-putar di atas Kota Mekah, lalu turun ke arah bumi.

"Ternyata matahari itu turun dan memasuki rumahku. Cahayanya yang sangat agung itu membuatkanku terpegun.

"Lalu aku terbangun daripada tidurku itu" kata Siti Khadijah.

Mendengarkan itu, lalu Waraqah berkata; "Aku sampaikan berita gembira kepadamu, bahawa seorang lelaki agung dan mulia akan datang untuk menjadi teman hidupmu.

"Dia memiliki kedudukan penting dan kemasyhuran yang semakin hari semakin meningkat," kata Waraqah.

Akibat dari mimpi itulah ditakdirkan tidak lama kemudian Khadijah menjadi isteri Muhammad.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5XvpBCmRS
© Utusan Melayu (M) Bhd