ARKIB : 25/04/2007
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD
Syeikh al-Maghari berkata: Nabi
Muhammad s.a.w pernah berkhutbah ketika hajjatul wada, pada hari kedua dari
hari Tasyrik dan menunjukkan kepada umatnya supaya meninggalkan sifat
bermegah-megahan dengan keturunan.
Sabda Rasulullah, seraya
bersabda: Hai manusia, ketahuilah Tuhan kamu adalah satu dan ayah kamu adalah
satu. Ketahuilah, tiada kelebihan bangsa arab terhadap ajam, begitu ajam
terhadap bangsa arab. Tiada kelebihan bagi yang berkulit merah atas yang
berkulit hitam dan begitulah bagi yang berkulit hitam atas yang berkulit merah
kecuali dengan takwa. Tidakkah aku sampaikan? Mereka menjawab: Rasulullah telah
menyampaikan.
Allah berfirman, Kemudian
apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah
kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana
kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan
sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa
dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia.
(orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun
kebaikan di akhirat.
Dan di antara mereka pula ada
yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia
dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.
Mereka itulah yang akan
mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat
cepat hitungan-Nya. (al-Baqarah: 200 hingga 202)
Firman Allah s.w.t: Kemudian
apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah
kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana
kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan
sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa
dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia.
(orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun
kebaikan di akhirat.
Ibn al-Jauzi berkata: Sebab
turun ayat ini dengan tiga pendapat:
i. Ahli jahiliah mereka
berkumpul pada musim haji lantas menyebut tentang kehebatan nenek moyang mereka
dan juga sejarah mereka dengan berbangga diri. Inilah pendapat yang
diriwayatkan daripada al-Hasan, Ata dan Mujahid.
ii. Orang arab apabila bercakap
biasa menyebut: Dan demi ayahmu sesungguhnya mereka telah melakukan yang
begini-begini. Inilah yang diriwayatkan oleh al-Hasan.
iii. Bahawa mereka apabila
selesai melaksanakan ibadat haji lantas seorang bangunan di Mina seraya
berkata: Ya Allah! Sesungguhnya ayahku seorang yang hebat, banyak harta.
Justeru berilah aku sepertinya. Sedangkan tidak menyebut Allah sebaliknya
menyebut ayahnya. Inilah pendapat al-Suddi.
Maksud ibadat di sini ialah:
i. Segala perbuatan haji
seperti kata al-Hasan.
ii. Menumpahkan darah dengan
sembelihan seperti kata Mujahid.
Sedangkan maksud menyebut ayah-
ayah mereka dengan empat pendapat:
i. Mereka mengikrarkan dengan
ayah mereka.
ii. Mereka bersumpah dengan
ayah mereka.
iii. Mereka menyebut ihsan ayah
mereka terhadap mereka sedangkan lupa ihsan Allah.
iv. Bahawa kanak-kanak menyebut
ayah kerana permulaan percakapan mereka dengan menyebut ayah.
Firman Allah s.w.t: Dan di
antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah
kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab
neraka. Maksud kebaikan di dunia di sini dengan tujuh pendapat ulama:
i. Isteri solehah seperti kata
Ali.
ii. Ibadat seperti yang
diriwayatkan oleh Sufyan bin Husein daripada al-Hsan.
iii. Ilmu dan ibadat seperti
riwayat Hisyam daripada al-Hasan.
iv. Harta seperti yang
diriwayatkan oleh Abu Wail, al-Suddi dan Ibn Zaid.
v. Kesihatan seperti kata
Qatadah.
vi. Rezeki yang luas seperti
pendapat Muqatil.
vii. Nikmat seperti kenyataan
Ibn Qutaibah.
Kebaikan akhirat pula dengan
tiga pendapat:
i. Bidadari seperti kata Ali.
ii. Syurga seperti pendapat
al-Hasan, al-Suddi dan Muqatil.
iii. Keampunan seperti
diriwayatkan daripada al-Hasan dan al-Thauri.
Sayid Qutub berkata: Di sana
ada dua golongan manusia. Satu golongan hanya berminat kepada kesenangan dunia.
Dahulu ada kaum Arab Badwi
datang ke tempat wukuf di musim haji dan berdoa: Ya Allah ya Tuhanku!
Jadikanlah tahun ini tahun hujan, tahun subur dan tahun beranak yang baik.
Mereka tidak sedikitpun menyebut perkara akhirat.
Mengikut riwayat daripada Ibn
Abbas r.a ayat ini diturunkan mengenai golongan manusia ini, namun begitu tujuannya
lebih luas dan lebih kekal dari itu. Golongan manusia seperti ini merupakan
contoh manusia yang berulang-ulang di setiap zaman dan tempat.
Mereka adalah golongan manusia
yang hanya berminat kepada kesenangan hidup dunia sahaja. Kesenangan ini sahaja
yang diingati mereka walaupun ketika mereka bertawajjuh kepada Allah.
Kesenangan inilah yang memenuhi
kekosongan jiwa mereka, melingkungi alam hidup mereka dan mengongkong mereka.
Golongan ini mungkin
dikurniakan Allah habuan kesenangan mereka di dunia, tetapi di akhirat mereka
tidak akan mendapat apa-apa habuan.
Firman Allah s.w.t: Mereka
itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka
usahakan.
Al-Zajjaj berkata: Doa mereka
dimustajabkan kerana usaha mereka disini ialah dengan doa dan ayat ini
mempunyai kaitan dengan yang sebelumnya kecuali diriwayatkan bahawa ia
diturunkan atas sebab yang menyalahi sebab saudaranya yang lain.
Al-Dahhaq meriwayatkan daripada
Ibn Abbas, seorang lelaki bertanya: Hai Rasulullah! Ayahku sudah meninggal dan
belum melaksanakan ibadat haji. Adakah aku boleh menunaikan haji untuknya?
Lantas Rasulullah s.a.w
bersabda: Jika sekiranya ayahmu mempunyai hutang adakah memadai daripadanya
jika dibayar? Jawabnya: Ya. Sabda Rasulullah: Maka hutang Allah lebih berhak
dibayar.
Firman Allah s.w.t: Dan Allah
amat cepat hitungan-Nya. Terdapat lima pandangan ulama:
i. Bahawa ia sedikitnya seperti
kata Ibn Abbas.
ii. Bahawa ia amat dekat
kedatangannya seperti kata Muqatil.
iii. Bahawa tatkala mengetahui
apa yang akan dihisab dan sebelum hisabnya nescaya cepatlah perhitungannya
seperti pendapat al-Zajjaj.
iv. Allah amat cepat
membalasnya seperti pendapat al-Zajjaj.
v. Dia tidak memerlukan kepada
sebarang fikiran seperti kata Abu Sulaiman al-Dimasyqi.
Iktibar dan pengajaran ayat
* Zikrullah digalakkan selepas
selesai ibadat seperti selepas solat atau haji berdasarkan nas-nas yang sahih.
* Prof. Mahmud Yunus berkata: Bahawa
orang yang meminta keselamatan untuk di dunia sahaja, ia tidak akan berbahagia
pada hari yang kemudian, kerana memang ia tidak peduli mengerjakan yang halal
atau haram. Asal ia beroleh kesenangan di dunia ini.
* Perkara yang baik ialah orang
yang meminta berbahagia di dunia dan akhirat. Permintaannya itu akan diterima
oleh Allah, tetapi hendaklah disertakan dengan usaha dan kerja. Adapun
semata-mata doa maka tidaklah mendapat kebahagiaan itu.
* DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia
(USIM)
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4tY2BrR3X
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan