ARKIB : 29/03/2007
Oleh ZUARIDA MOHYIN
BERARAK sambil mengalunkan
puji-pujian ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., ceramah Maulidur Rasul dan
kenduri kesyukuran adalah amalan lumrah masyarakat Islam di negara ini, acap
kali tibanya hari kelahiran Rasulullah s.a.w.
Bagaimanapun terdapat
segelintir pihak yang mempertikaikan upacara sambutan sebegini dengan alasan ia
tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Namun menyedari hari itu sarat
dengan falsafah, makna serta lambang kemegahan dalam kehidupan seorang Islam,
sekali gus memperingati kisah perjuangan Baginda menyebarkan syiar Islam, maka
tidak salahnya umat Islam menyambut sesuatu peristiwa besar dalam takwim hijrah
ini.
Pun begitu, tegas Pensyarah
Kanan, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), Bangi, Dr. Saifullah Mohd. Sawi, janganlah sehingga upacara di atas itu
semacam satu kemestian, apatah lagi kesannya cuma sesaat sahaja.
Lebih menyedihkan apabila
perayaan hanya tinggal perayaan dan impaknya kepada umat Islam umpama mencurah
air di daun keladi.
Kita mahu ada anjakan selepas
sambutan peristiwa Maulidur Rasul. Kita tidak mahu ia statik di situ sahaja.
Sambutan Maulidur Rasul perlu meninggalkan kesan kepada kita, pertama kita
perlu ambil intipati peristiwa besar itu bukan aksesorinya atau hiasan
luarannya sahaja, kata beliau.
Sambutan seperti perarakan
dibolehkan cuma yang perlu diberi penekanan ialah saripati daripada sejarah
perjuangan, kejayaan dan keazaman baginda itu dijadikan pedoman dalam kehidupan
sehari-hari.
Lantas, apa kesan yang tinggal
selepas sesuatu acara sambutan Maulidur Rasul itu disambut adalah lebih penting
dan perlu difikirkan, kata Saifullah sewaktu ditemui di pejabatnya, baru-baru
ini.
Sempena sambutan Maulidur
Rasul ini, seharusnya umat Islam mengingati tiga tugas utama Nabi Muhammad dan
sentiasa ingin meniru sifat Baginda Rasulullah. Barulah Maulidur Rasul yang
disambut setiap tahun itu tidak tinggal tema dan amanat sahaja, katanya.
Kata Saifullah, ayat yang
menyebut tentang tugas Rasulullah dijelaskan dalam surah Ali Imran ayat 164.
Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada
orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul
dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah,
membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan
al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah
benar-benar dalam kesesatan yang nyata.
Tiga tugas itu ialah;
* Pertama, membacakan kepada
mereka ayat-ayat Quran. Oleh itu umat Islam tidak sekadar membaca al-Quran
semata-mata tetapi kejadian alam semula jadi, itu juga adalah ayat-ayat Tuhan.
Justeru itu, umat Islam perlu menjadi penyelidik dan peneroka alam.
* Kedua, Nabi datang untuk memperbaiki
akhlak orang jahiliah.
* Ketiga, mengajar serta
mendidik al-Quran dan hadis secara berhikmah atau bijaksana.
Menurut Saifullah, semua ini
bersesuaian dengan ayat pertama yang diturunkan iaitu Iqra yang bermaksud
Bacalah. Lantaran itu umat Islam mestilah berilmu pengetahuan. Umat Islam kini
perlu bangkit dan mewarnai apa juga bidang sehingga apa yang dilahirkan
mempunyai roh Islam. Contohnya dalam aspek perbankan, muzik, ekonomi, politik,
fesyen dan media bercorak berwarna Islam.
Untuk masa hadapan peranan
setiap umat Islam itulah yang lebih penting. Siapa mengerjakan apa dengan cara
yang bagaimana perlu menjadi fokus agar Islam tidak lagi boleh
diperkotak-katikkan oleh agama lain, katanya.
Menjelaskan perihal ini,
Saifullah berkata, setiap individu itu mesti mengambil bahagian yang relevan
dengan bidang dan kepakarannya lalu bekerja keras untuk merealisasikan butiran
itu. Contoh, ahli ekonomi perlu melawan kekafiran dengan cara-cara ekonomi
Islam.
Selain itu, seperkara yang
perlu dicontohi umat Islam ialah meniru sifat-sifat Nabi Muhammad.
Ini jelas diterangkan dalam
surah al-Fath ayat 29 bermaksud: Muhammad itu adalah utusan Allah dan
orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir,
tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari
kurnia Allah dan keredaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari
bekas sujud...
Tanpa lima karakter ini iaitu;
tegas kepada kekafiran dan orang kafir, berlembut kepada saudara sesama Islam,
kehidupannya bagaikan selalu rukuk dan sujud, meneroka bumi dengan cara yang
diredai Tuhan dan Baginda orang yang rendah hati atau tidak sombong, jangan
sekali-kali kita menyebut kita adalah umatnya.
Sayangnya umat Muhammad kini
banyak yang tersasar daripada akhlak Rasulullah. Lihat sahaja kini, umat Islam
semakin sukar dibezakan sama ada dari segi pertuturan, pergaulan, pakaian malah
apa sahaja kerana semuanya seakan-akan serupa dengan orang kafir.
Apabila sesama Islam pula,
kita langsung tidak boleh berkompromi berbanding apabila berurusan dengan orang
kafir, jelasnya.
Nabi Muhammad juga sejak kecil
sudah menggembala kambing dan berdagang. Sungguhpun ada masanya dihabiskan di
Gua Hira untuk bermeditasi tetapi ia dilakukan tidak sepanjang waktu.
Secara tidak langsung ini
menjelaskan kepada kita bahawa aspek ekonomi sentiasa menjadi keutamaan
baginda.
Lebih menghairankan mengapa
umat Islam sekarang seakan mengenepikan penglibatan dalam sektor ekonomi
sehingga dipegang oleh orang asing? Sedangkan Nabi telah menunjukkan bahawa
baginda bukan sahaja menumpukan kepada urusan dakwah tetapi kekuatan dan
kehebatan ekonomi umat Islam suatu masa dahulu memang tiada tolok bandingannya,
tegasnya.
Saifullah berpendapat, sambutan
Maulidur Rasul, Sabtu ini adalah waktu yang tepat untuk mengorak langkah
menjadikan Islam itu masuk ke dalam setiap kehidupan umat Islam.
Namun beliau akui tugas itu
bukanlah mudah dan memerlukan kerja kuat, keazaman serta keyakinan untuk
berjaya. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Umat Islam tidak seharusnya
hanya mengutamakan akhirat semata-mata sehingga meninggalkan langsung urusan
duniawi kerana itu lebih merugikan umat Islam di dunia dan di akhirat.
Sebagai khalifah Allah di muka
bumi maka kita perlu memakmurkan bumi Allah. Kita tidak boleh lari dari dunia
dan kena ikut serta, cuma jangan lalai dan menjadi pengikut, kata Saifullah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4tQFE9V6Y
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan