ARKIB : 30/03/2007
Kisah Al-Quran (SIRI 34)
ADAPUN kaum Ad maka mereka
menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar dan berkata: Siapakah
yang kekuatannya lebih besar daripada kami?.
Dan apakah mereka itu tidak
memperhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka adalah lebih besar
kekuatannya daripada mereka? Dan adalah mereka mengingkari tanda-tanda (kekuatan)
Kami. (Fussilat: 15)
KAUM Ad memberi sambutan
dingin terhadap dakwah Nabi Hud. Mereka menolak sekeras-kerasnya dakwah
tersebut. Bagi kaum Ad, seruan dan dakwah Nabi Hud itu merupakan suatu benda
baru yang tidak pernah didengar oleh mereka.
Mereka juga menganggap ajaran
yang dibawa Nabi Hud itu akan mengubah semua cara hidup, peraturan dan adat
resam yang diwarisi daripada nenek moyang mereka dahulu kala.
Mereka mula tercengang-cengang
dan hairan mengapa di celah-celah kaum mereka, lahir seorang yang berani
mengubah adat resam serta serta agama yang dianuti mereka selama ini. Ia
digantikan pula dengan sesuatu yang baru dan tidak dikenali oleh mereka pun.
Lantaran itulah, mereka menolak sekeras-kerasnya ajaran Nabi Hud.
Mereka bukan sahaja menolak, malah
Nabi Hud dilemparkan dengan kata-kata cacian dan maki hamun yang amat pedih.
Mereka juga memberikan pelbagai alasan untuk tidak menerima ajaran Nabi Hud.
Kaum Ad juga
sewenang-wenangnya menuduh Nabi Hud sebagai orang gila kerana mengajak mereka
menyembah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal. Berkali-kali mereka
menggesa Nabi Hud agar kembali kepada agama asal dan menyembah apa yang mereka
sembah. Mereka menganggap berhala yang disembah itu dapat menunaikan harapan
dan rezeki yang melimpah ruah dalam kehidupan sehari-hari.
Kaum Ad pernah berkata kepada
Nabi Hud, Wahai Hud! Ajaran dan agama apa yang engkau mahu ajarkan kepada
kami? Engkau mahu kami beriman dan meninggalkan sembahan kami yang berkuasa ini
dan menyembah Tuhanmu yang tidak dapat kami terima dengan akal? Ketahuilah
wahai Hud, cara sembahan yang kami lakukan inilah yang diwarisi daripada nenek
moyang kami dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkannya. Sebaliknya kamulah
yang harus kembali kepada ajaran nenek moyangmu. Janganlah cuba untuk
mengubahnya lagi. Sesungguhnya ini tidak direstui oleh mereka.
Walaupun kaum Ad menolak
ajaran dakwahnya, Nabi Hud tetap tidak berputus asa untuk mendidik kaumnya itu.
Firman Allah merakamkan
kata-kata Nabi Hud: Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah, Tuhanku dan
Tuhanmu. Tidak ada seekor binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang
ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus. Jika kamu berpaling,
maka sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu apa (amanat) yang aku diutus
untuk menyampaikannya) kepadamu. Dan Tuhanku akan menggantikan (kamu) dengan
kaum yang lain; dan kamu tidak dapat membuat mudarat kepada-Nya sedikitpun.
Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pemelihara segala sesuatu. (Huud: 56-57)
* Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_07.htm#ixzz4tQL4XDQW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan