Isnin, 25 Julai 2016

SEMPENA SAMBUTAN NUZUL Al-QURAN HARI INI -- Kemurnian al-Quran

ARKIB : 16/01/1998
KATA 'Nuzul al-Quran' mempunyai dua makna (1). Turunnya al-Quran dari Lauh al-Mahfuzh ke suatu tempat yang bernama Bait al-'Izzah. (2) Dari Bait al-'Izzah kepada Rasulullah s.a.w.

Berdasarkan kepada sebuah hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim, al-Baihaqiy, an-Nasai, bahawa al-Quran diturunkan dari Lauh al-Mahfuzh ke Bait al-'Izzah pada malam lailatulqadar, iaitu suatu malam yang menurut surah al-Qadr ayat 2-5 di antaranya mengandungi empat keistimewaan. (1) Pada malam itu al-Quran diturunkan. (2) Malam itu lebih baik daripada 1,000 bulan (lebih kurang 83 tahun). (3) Pada malam itu para melaikat dan roh-roh turun ke muka bumi, mengucapkan selamat dan sejahtera kepada orang-orang yang beriman. (4) Malam tersebut adalah malam yang penuh dengan kesejahteraan.

Tentang bila waktu terjadinya lailatulqadar, majoriti 'ulama' berpendapat bahawa ia terjadi pada salah satu malam daripada malam-malam ganjil setelah Ramadan yang ke-20 iaitu pada 21, 23, 25, 27 dan 29.

Imam Syafii misalnya lebih menekankan malam yang ke-21 dan 23 lailatulqadar memang merupakan suatu malam yang dirahsiakan oleh Allah s.w.t. agar kita lebih giat beribadah pada malam-malam 10 yang terakhir daripada bulan Ramadan, yang mana pada waktu-waktu tersebut semangat ibadah lazimnya telah berkurangan dikeranakan perhatian yang tidak lagi sepenuhnya tertumpu kepada ibadah puasa.

Tentang turunnya al-Quran pertama kali kepada Rasulullah, menurut kebanyakan para ulama seperti Ibn Ishak, Thabari dan al-Qashthalani, terjadi pada 17 Ramadan.

Yang tidak ada perbezaan pandangan padanya ialah bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, kerana al-Quran menegaskan demikian (al-Baqarah: 85).

Al-Quran diturunkan Allah adalah untuk menjadi ''petunjuk'' (hudan) bagi orang-orang yang bertakwa (al-Baqarah: 2) sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan daripada petunjuk itu dan pembeza antara yang benar dan yang salah (yang hak dan yang batil) (al-Baqarah: 85). Untuk mengeluarkan manusia daripada kesesatan kepada kebenaran (Ibrahim: I). Untuk menjadi ubat (syifa') dan juga rahmat bagi orang-orang yang beriman (al-Isra': 82). Dan untuk tujuan-tujuan lainnya.

Begitu juga surah al-Maidah ayat 3 diwahyukan kepada Rasulullah sebagai ayat yang terakhir sekali diturunkan. Al-Quran telah menetapkan aturan-aturan umum pada suatu aspek kehidupan, untuk menjadi 'petunjuk' bagi manusia, agar mereka terkeluar daripada kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang. Aturan-aturan tersebut meliputi: Apabila (hal-hal yang berhubung kait dengan keimanan), ibadah (hal-hal ayng berkaitan dengan perkara-perkara pengabdian diri kepada Allah), muamalah (hal-hal yang berkenaan dengan perkara-perkara hubungan manusia dengan manusia dan makhluk-makhluk lainnya).

Aturan-aturan umum yang telah ditetapkan oleh al-Quran tersebut kemudian dijelaskan oleh sunah Rasulullah. Adapun perkara-perkara yang tidak diperbincangkan oleh al-Quran secara jelas, Rasulullah memberi penjelasan tentangnya. Mengenai hal-hal yang al-Quran dan assunah berdiam diri tentangnya, maka perkara itu diserahkan kepada akal manusia (ijtihad) untuk mencari penyelesaian dengan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh al-Quran dan as-sunah (al-Quran: 59).

Al-Quran memang tidak ada keraguan padanya, baik keasliannya mahupun kandungannya. Hal ini di antaranya kepada firman Allah ''fKitab itu tidak ada keraguan padanya''(al-Baqarah: 2) dan Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya. (Al-Hijr: 9).

Kemurnian al-Quran daripada kepalsuan dan kata-kata manusia telah dibuktikan dengan alasan-alasan yang kuat, di antaranya adalah (1) Rasulullah adalah seorang yang ummi (tidak tahu tulis baca). (2) Di masa Rasulullah, banyak para sahabat yang menghafal al-Quran di samping juga menuliskannya di pelbagai tempat, seperti pelepah-pelepah kurma, tulang-tulang, kayu-kayu, daun-daun dan lain-lain. Di masa khalifah yang pertama, Abu Bakar, setelah terjadinya peperangan Yamamah yang menyebabkan banyak penghafal al-Quran terkorban (syahid), 'Umar Ibn Khatab memberi usulan kepada Abu Bakar agar al-Quran yang tercatat di pelbagai tempat tersebut disalin ke dalam satu musyhaf. Abu Bakar setuju dengan usulan tersebut dan dimintanya salah seorang sahabat Nabi, Zaid bin Tasbit untuk melaksanakan tugas tersebut. Musyhaf tersebut kemudian disimpan di rumah Abu Bakar, kemudian di rumah 'Umar bin Khattab. Di masa Khalifah ketiga 'Utsman bin 'Affan diadakan penulisan kembali untuk penyeragaman penulisan dan bacaan. Kemudian dari sinilah seluruh al-Quran diperbanyak dan disebarkan ke seluruh dunia. Tidak ada keraguan historis tentang kemurnian al-Quran.

Tentang kandungan al-Quran pula telah diuji keagungannya daripada pelbagai disiplin ilmu. Kerana itu tidak hairanlah jika George Benard Shaw, seorang pujangga Inggeris pernah mengusulkan agar kerajaan Inggeris menganut ajaran al-Quran. Dan tidak merupakan sesuatu yang aneh jika Monsieur David Forte mengatakan bahawa al-Quran merupakan peraturan dasar kemasyarakatan yang dinamis, mengatasi semua peraturan yang ada di muka bumi ini.

Yang jelas al-Quran mengatakan:

''Dan jika kamu tetap dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), barulah satu surah (sahaja) yang semisal al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang memang benar'' (al-Baqarah: 23).

''Jika kamu tidak dapat membuat (nya) dan pasti kamu tidak dapat membuat (nya) peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu yang disediakan bagi orang-orang yang kafir'' (al-Baqarah: 24).

Kesimpulannya, al-Quran tidak ada keraguan padanya, dan ia adalah petunjuk bagi umat mansuia untuk keselamatan mereka di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda yang maksudnya ''Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, maka kamu tidak akan pernah tersesat, ialah Kitabullah dan Sunah Rasulullah.''

Kerana itu, al-Quran mestilah terus dibaca, kerana membaca sahaja pun menurut Rasulullah adalah ibadah, mesti terus dipelajari kandungannya, diamalkan isinya serta sentiasa berupaya untuk mewariskannya generasi-generasi berikutnya.

Kandungan sabda Rasulullah s.a.w. berikut perlu untuk kita renungkan bersama:

Sesungguhnya rumah yang di dalamnya dibaca al-Quran, lapanglah kehidupan penghuninya, banyak kebajikannya, malaikat hadir dan setan-setan keluar melarikan diri dari rumah itu. Sebaliknya rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya, sempitlah kehidupan penghuninya, sedikit kebajikan, keluar malaikat dan hadir setan-setan di rumah tersebut. Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda ''Hiasilah rumah kamu dengan bacaan al-Quran.''
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4FPx89I9I © Utusan Melayu (M) Bhd